Pages

Tuesday, February 9, 2010

Sifat Rahmat Rasulullah SAW

Matan Hadith

عن عَبْد اللَّهِ ‏ بن مسعود قال: كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَحْكِي نَبِيًّا مِنْ الْأَنْبِيَاءِ ضَرَبَهُ قَوْمُهُ فَأَدْمَوْهُ وَهُوَ يَمْسَحُ الدَّمَ عَنْ وَجْهِهِ وَيَقُولُ :‏ ‏اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُون.

Terjemahan:

Daripada ‘Abdullah bin Mas’ud RA katanya: Seolah-olah aku lihat Nabi SAW menceritakan seorang nabi yang dipukul oleh kaumnya, sambil dia menyapu darah dari wajahnya dia berkata: “Ya Allah, ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui”. (Muttafaq ‘alayh: al-Bukhari, no. 3218 & 6417 dan Muslim, no. 3347)

Syarah Hadith:

· Dalam riwayat Sahl bin Sa’d al-Sa’idi RA bahawa Rasulullah SAW berdoa:

‏اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُون.

Terjemahan: “Ya Allah, ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui”. (Riwayat al-Tahawi, al-Fasawi, Ibn Hibban, al-Tabarani dan al-Bayhaqi, dengan perawi-perawi sahih)

· Kata al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (11/196): Maksud mengampunkan dalam hadith ialah memaafkan apa yang mereka lakukan terhadap dirinya, bukan menghapuskan dosa mereka seluruhnya, kerana dosa kekufuran tidak dapat dihapuskan. Atau maksud kata-kata; ampunilah mereka itu ialah berilah mereka petunjuk terhadap Islam yang layak dengannya mereka beroleh keampunan. Atau maknanya; ampunilah mereka sekiranya mereka memeluk Islam. Wallahu ta’ala a’lam.

· Lihat betapa besarnya sifat rahmat para nabi AS terhadap umat mereka. Dalam melaksanakan misi dakwah mereka, tidak ada yang tersimpan dalam hati mereka melainkan rasa kasih sayang dan belas kasihan terhadap umat manusia agar mereka menyedari tujuan kewujudan hidup mereka di atas muka bumi ini, lantas mereka dapat memantapkan keimanan dan amalan soleh supaya mereka terselamat kelak daripada azab api neraka di akhirat nanti. Sifat rahmat para nabi AS ini didahului oleh penghulu mereka, Nabi Muhammad SAW kerana baginda telah ditabalkan oleh Allah SWT sebagai “rahmatan lil-’alamin”. Banyak ayat al-Quran yang memberi makna sebegini jika kita renungkan dengan teliti.

· Besarnya peranan Rasulullah SAW terhadap seluruh alam ini serta tingginya kedudukan baginda di sisi Allah SWT ini adalah sesuatu yang perlu kita fahami dan renungkan. Sifat rahmat baginda SAW adalah sifat yang perlu diteladani dan ikuti. Demikianlah sikap para salaf dan solihin yang menurut jejak Rasulullah SAW dalam setiap langkah baginda. Di antara bukti rasa kasih sayang dan belas kasihan mereka terhadap umat manusia demi keselamatan mereka sendiri di akhirat kelak ialah misi-misi jihad, dakwah dan tarbiyah yang dijalankan oleh mereka yang dapat kita saksikan di sepanjang lembaran sejarah umat Islam.

· Apabila ramai umat Islam semakin jauh daripada tuntutan syariat dan landasan yang benar, maka usaha dakwah dan tarbiyah turut difokuskan secara utama kepada mereka. Selain ‘masalah dalaman’ iaitu masalah moral dek nafsu dan dakyah syaitan, umat Islam turut menghadapi ‘masalah luaran’ seperti perpecahan sesama ummah dan serangan musuh. Maka kesemuanya ini menuntut para ulama dan solihin menerapkan sifat rahmat terhadap mereka.

· Ada di antara mereka berdoa dalam mengharapkan rahmat, kebaikan dan kesejahteraan kepada umat Muhammad SAW sedemikian:

اللهم ارحَمْ أمة محمد r، اللهم أصلِحْ أحوال أمة محمد r، اللهم فرّجْ عن أمة محمد r.

Terjemahan: “Ya Allah, kasihilah umat Muhammad. Ya Allah, perbaikilah hal-ehwal umat Muhammad. Ya Allah selamatkanlah umat Muhammad”.

Doa tersebut diriwayatkan daripada Ma’ruf al-Kurkhi, katanya: “Barangsiapa yang mengucapkannya setiap hari, akan dituliskan oleh Allah dari kalangan Abdal (wali Allah peringkat elit)”. Dalam riwayat lain disebut: “Tiga kali setiap hari”. (Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, 7/248) Namun dalam kitab al-Hawi oleh al-Suyuti (2/436) disebut: “Sepuluh kali setiap hari”.

· Doa yang seumpama ada dicatat oleh Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari dalam kitab Lata’if al-Minan (h. 99) daripada Imam Abu al-Hasan al-Syazili tetapi lafaznya seperti berikut:

اللهم اغفرْ لأمة محمد r، واللهم ارحَمْ أمة محمد r، واللهم استر أمة محمد r، اللهم اجبر أمة محمد r.

Terjemahan: “Ya Allah, ampunilah umat Muhammad. Ya Allah, kasihilah umat Muhammad. Ya Allah, tutuplah keaiban umat Muhammad. Ya Allah perbaikilah umat Muhammad”.

Katanya: “Ini adalah doa al-Khidir. Barangsiapa yang mengucapkannya setiap hari, akan dituliskan dari kalangan Abdal”.

· Ada diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dalam Tafsirnya daripada ’Ubaid bin ’Umair al-Laithi, katanya: Diceritakan bahawa kaum Nabi Nuh AS telah menangkapnya lalu dijerut lehernya sehingga baginda pengsan. Apabila telah sedar baginda berdoa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُون.

Manakala Ibn ’Asakir dalam Tarikh Dimasyq menyebut:

اهْدِ قَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُون.

· Ibrahim bin ’Isa apabila telah selesai bersolat waktu dinihari, beliau berdoa bagi orang Yahudi, Nasrani serta Majusi (memohon hidayah dan petunjuk) katanya:

اللَّهُمَّ اهْدِهِم

“Ya Allah, berilah petunjuk buat mereka”. Apabila telah selesai berdoa pula beliau mengangkat kedua tangannya berkata: Ya Allah, sekiranya Engkau memasukkan aku ke dalam neraka maka besarkanlah fizikal tubuhku sehingga tidak ada lagi tempat bagi umat Muhammad SAW di dalamnya”. (Hilyah al-Awliya’ 10/393)

· Malik bin Dinar pernah berkata: Kalaulah aku ada pembantu-pembantu, nescaya akan aku utuskan mereka semua menyeru di serata dunia seluruhnya: Wahai manusia, api neraka! Api neraka!

· Lihat pula bagaimana kata-kata Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani, katanya: Tumpuanku terhadap kamu sekalian adalah kerana Allah Taala. Teguranku terhadap kamu sekalian juga adalah kerana Allah Taala. Kalaulah aku mampu, akan kumasuk bersama setiap orang daripada kamu sekalian ke dalam kubur, dan aku jawabkan untuknya soalan Munkar dan Nakir dek kerana rasa kasih dan sayang terhadap kamu sekalian. (al-Fath al-Rabbani, h. 297)

· Demikianlah, sifat rahmat para nabi dan para wali Allah terhadap umat manusia. Semoga kita sama-sama dapat renungkan dan fahamkan. Agar kita tidak menjadi seperti orang yang disebut oleh Nabi SAW:

إِذَا قَالَ الرَّجُل:ُ هَلَكَ النَّاسُ، فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ. ‏

”Jika seorang lelaki berkata: Binasalah manusia, maka dia adalah yang paling binasa di antara mereka”. (Muslim, no. 4755 & Abu Dawud, no. 4331) Maksudnya kerana didasari oleh sifat ‘ujub, bangga diri serta menghina orang lain. Adapun jika menyebutnya dalam nada sedih dan dukacita terhadap kerosakan umat manusia, maka itu tidak mengapa. (lihat Syarah al-Nawawi)


No comments: