Mawlana Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi di dalam kitabnya ‘al-Tariq ila al-Madinah al-Munawwarah’ di bawah judul ‘Penyair-penyair Ajam Dalam Menyanjung Penghulu Arab dan Ajam (1)’ (h. 97) telah memuatkan beberapa petikan syair Parsi yang digubah oleh penyair-penyair terkenal berkaitan pujian dan sanjungan terhadap baginda Rasulullah SAW. Syair-syair tersebut diterjemahkan oleh beliau daripada bahasa Parsi kepada bahasa Arab. Manakala saya pula di dalam entri kali ini,
1. Syeikh Sa’di (m. 691H)
“Si anak yatim yang lahir dan hidup ummi
Tidak pernah belajar al-Quran di sekolah
Mampu menyalin gedung ilmu banyak bangsa dunia
Lalu disaring nilai murni dan unsur hidupnya
Lantas membina pula sebuah gedung baru
Yang menjadi sumber ilmu dan makrifat
Bak sumur penghilang dahaga
para pengembara dan para pengunjung...”.
2. Syeikh Fariduddin Muhammad al-’Attar (m. 627H)
“Sesungguhnya bagi baginda itu ada satu hak
– kerana beliau dinamakan dengan nama baginda yang mulia –
Dan orang-orang mulia memelihara anak-anak
yang dinamakan dengan nama mereka
Juga mengetahui hak itu...”.
3. al-Amir Khasru
“Sesungguhnya nafas dan akhlaknya
telah meniupkan kehidupan
pada bangsa Arab yang sedang nazak
Yang memadamkan pada masa sama
obor Abu Lahab yang menyala-nyala
yang hampir-hampir meratah semua pohon hijau dan kering
Sesungguhnya baginda telah sampai dalam dua langkah
Dari alam ini ke alam sana
Dalam kembara dari alam benda ke alam rohani...”.
4. Mawlana ’Abdul Rahman al-Jami (m. 898H)
“Wahai yang empunya keturunan Arab
dan gelarannya ummi
Sungguh telah tunduk setia mentaatimu
serta akur dengan ketuananmu
seluruh bangsa Arab dan Ajam secara saksama
Sungguh kefasihanmu telah memberi kesan bangsa Arab
dan keindahanmu telah memiliki hati bangsa Ajam
Tidak memudaratkanmu kerana tidak tahu membaca dan menulis
Lalu dengan usahamu serta kebangkitanmu
Maka yang ummi bisa belajar
dan yang jahil bisa cemerlang
Denganmu sahifah amalan menjadi putih
Cahayamu menyinar dalam kegelapan
Maka tidak mengapa jika engkau
tidak melakar dakwat hitam di atas lembaran putih
atau mencantum lembar hitam kepada lembar hitam yang lain…”.
5. ’Arfi (m. 999H)
“Tidak mungkin seseorang itu bisa berdendang
Memuji raja-raja dan sultan-sultan
Dalam masa yang sama memuji Rasul al-Amin
Penghulu golongan awal dan akhir
Adalah biadap dan kurang intirasa
Bila seorang insan itu menghimpun dua pujian
Malah punya dua jiwa yang serupa
Jiwa untuk menyanjung sultan-sultan Ajam
Juga jiwa untuk menyanjung penghulu Arab dan Ajam…”.
6. al-Qudsi (m. 1056H)
“Pernah sekali kusandarkan diriku pada seekor anjing
Daripada anjing-anjing kampungmu
Lantas aku tersedar dan kutundukkan kepala
dek rasa malu, seraya aku berkata:
Ini adalah biadap dan kurang zauq…”.
* Ungkapan yang berupa majaz ini adalah bagi menunjukkan rasa penuh rendah diri si penyair.
7. Asadullah Khan Ghalib (m. 1285H)
“Jari jemarinya tak pernah memegang pena
Namun ia telah mencoret lakaran
Yang tak mampu dilakar oleh pena-pena sejarah
Tidaklah dijejakkan tapak kakinya di atas padang pasir
Melainkan ia pasti bertukar menjadi taman yang hijau
Manis tuturnya menjadikan si kafir seorang muslim
Juga si zindik seorang mukmin
Ia telah menyuluh dunia dengan cahaya agama
Menyelamatkan para mukminin dari azab pembalasan
Memerdekakan hamba dari penyembahan berhala
Memakmurkan alam dengan sebuah rumah
Itulah rumah iman
Yang mencairkan hati-hati musuh dan jiwa-jiwa yang begitu keras
Tidaklah hairan, kerana sebiji batu bendul rumahnya
Mampu mencairkan besi dan melembutkan yang keras kaku
Ia beriktikaf di mihrab, sedang hatinya
tergantung dengan semua makhluk Allah…”.
8. Mas’ud ’Ali al-Mihwi
“Fitrah telah menyingkap cadur dari wajahnya
Dan terpamerlah ia dalam rupa paras yang paling indah
Lalu melaksana rutin musim kembang
Lantas bumi dipakaikan pakaian merah
Dari bunga-bungaan dan juga mawar
Semua itu, demi kebangkitan Muhammad SAW
Sungguh pandangan matanya itu
Umpama campuran kimia
Yang menukarkan tanah hitam yang tiada nilai
Kepada emas tulen yang berkilau
Dialah penghulu yang mampu
tanpa bala tentera dan soldadu
Menjadikan kaum yang tiada haluan di pedalaman
Sebagai raja-raja yang mentadbir alam
Serta sarjana-sarjana yang mengajar umat manusia…”.
No comments:
Post a Comment