عَنْ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَرْبَعُونَ خَصْلَةً أَعْلَاهُنَّ مَنِيحَةُ الْعَنْزِ. مَا مِنْ عَامِلٍ يَعْمَلُ بِخَصْلَةٍ مِنْهَا رَجَاءَ ثَوَابِهَا وَتَصْدِيقَ مَوْعُودِهَا إِلَّا أَدْخَلَهُ اللَّهُ بِهَا الْجَنَّةَ.
قَالَ حَسَّانُ : فَعَدَدْنَا مَا دُونَ مَنِيحَةِ الْعَنْزِ مِنْ رَدِّ السَّلَامِ وَتَشْمِيتِ الْعَاطِسِ وَإِمَاطَةِ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ وَنَحْوِهِ فَمَا اسْتَطَعْنَا أَنْ نَبْلُغَ خَمْسَ عَشْرَةَ خَصْلَةً
Terjemahan:
Daripada 'Abdullah bin 'Amru RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Empat puluh amalan kebajikan, yang paling tinggi sekali adalah memberi pinjam kambing betina. Tidak seorang pun yang beramal dengan satu amalan kebajikan daripadanya berserta mengharap ganjaran pahalanya dan membenarkan apa yang dijanjikan melainkan Allah akan memasukkannya dengan sebab itu ke dalam syurga".
Kata Hassan bin 'Atiyyah: "Maka kami telah cuba menghitung amalan yang lebih rendah daripada memberi pinjam kambing betina tersebut seperti membalas salam, mendoakan orang yang bersin, menjauhkan benda yang menyakiti dari laluan dan sebagainya. Namun, kami tidak mampu untuk mencapai jumlah 15 amalan kebajikan sahaja". (Riwayat al-Bukhari, no. 2438)
Syarah Hadith:
Rasulullah SAW menerangkan dalam hadith ini bahawa ada 40 amalan kebajikan yang kesemuanya amat mudah dilakukan oleh umatnya. Dan amalan-amalan tersebut setiap satunya dapat membawa orang yang mengamalkannya masuk ke dalam syurga. Amalan-amalan kebajikan yang mudah ini didahului oleh amalan yang paling tinggi sekali daripadanya iaitu memberi pinjam kambing betina dengan erti kata, memberi pinjam kambing betina kepada orang yang memerlukan untuk diperah susunya dan diminum oleh orang tersebut, atau ahli keluarganya. Setelah itu dipulangkan semula kepada tuannya tadi. Amalan bantu-membantu sebegini merupakan amalan yang paling disukai oleh Allah SWT, bukan sahaja kepada manusia bahkan kepada binatang sekalipun sepertimana riwayat bahawa Allah SWT mengampunkan dosa seorang lelaki - dalam riwayat lain; seorang pelacur - dengan sebab ia memberi minum seekor anjing yang kehausan.
Namun, dalam hadith ini Rasulullah SAW tidak menyebut apakah dia amalan-amalan kebajikan lain yang berjumlah sebagai bakinya sebanyak 39. Dan ianya mestilah lebih rendah berbanding amalan memberi pinjam kambing betina yang disebutkan itu. Malah salah seorang perawi hadith, Hassan bin 'Atiyyah hanya mampu menyenaraikan kurang daripada 15 amalan kebajikan sahaja. Antara hikmah Rasulullah SAW tidak menyenaraikan kesemua 40 amalan berkenaan ialah agar ia tidak menjadi 'penggalang' kepada pintu-pintu kebajikan lain yang lebih luas, dan sebagai motivasi kepada umatnya untuk terus beramal baik, walaupun dilihat sebagai kecil sahaja.
Kata Ibn Battal: Ada disampaikan kepada saya bahawa ada ulama yang telah menghitungnya dan didapati ianya lebih dari 40 amalan. Antaranya, menolong orang lain membuat sesuatu kerja, membuat kerja untuk orang yang tidak mahir, memberi bantuan tali capal yang putus, menutup aib seorang muslim, mempertahankan maruahnya, menggembirakan seorang muslim, melapangkan tempat duduk suatu majlis, memberi tunjuk kepada kebaikan, pertuturan yang baik, bercucuk tanam, bertani, memberi syafaat (bantuan melalui pengaruh seseorang), melawat orang sakit, berjabat tangan, berkasih sayang kerana Allah, benci kerana Allah, duduk bersama kerana Allah, saling berziarah, memberi nasihat, dan berkasih sayang (bersifat rahmat dan belas kasihan). Tidak dinafikan sekiranya ada perkara-perkara yang disebutkan itu dilihat oleh sesetengah ulama lain sebagai amalan kebajikan yang lebih tinggi nilainya daripada memberi pinjam kambing betina. (Lihat: Fath al-Bari)
Hadith ini telah disyarah secara terperinci oleh al-'Allamah Yusuf bin Muhammad al-Surramarri (w. 776H) di dalam kitabnya 'al-Arba'un al-Sahihah fi ma Duna Ajri al-Manihah'. 40 amalan tersebut secara ringkasnya ialah:
1. Bersifat kasihan belas, walaupun kepada binatang.
2. Saling bantu-membantu.
3. Bersedekah, walaupun sebelah biji tamar.
4. Menjauhkan benda yang menyakiti/menghalang dari laluan orang ramai.
5. Mengutamakan nafkah tanggungan lebih dari diri sendiri.
6. Menyenangkan orang yang susah.
7. Berjalan ke masjid.
8. Memohon wasilah untuk Nabi SAW, dan berselawat ke atasnya.
9. Menjaga lidah dan kemaluan.
10. Bersifat sabar.
11. Menyebarkan salam.
12. Bersifat benar dan jujur.
13. Tekun ibadah kepada Allah.
14. Mahabbah kepada para nabi AS dan para solihin.
15. Menjauhi permusuhan/pertelingkahan.
16. Menziarahi orang sakit.
17. Bersyukur atas rezeki.
18. Bersikap tolak ansur dan berhati mulia.
19. Mengiringi jenazah.
20. Takut kepada Allah.
21. Bersifat qana'ah (berpada dengan yang ada).
22. Bersifat lemah-lembut dan sopan.
23. Bersifat kasih sayang (rahmat).
24. Berakhlak mulia.
25. Mendampingi ahli zikir/orang soleh.
26. Bersifat adil, tidak zalim.
27. Bersangka baik dengan Allah Taala.
28. Bertawakkal kepada Allah.
29. Sentiasa beristighfar.
30. Berihtisab (meyakini ganjaran Allah) terhadap segala musibah.
31. Menjauhi hasad dengki.
32. Memberi tunjuk kepada kebaikan.
33. Membenci kemungkaran, walaupun dengan hati.
34. Mengucap 'amin' bersama imam.
35. Menggembirakan orang lain, termasuk memberi makan kepada orang.
36. Tekun dengan amalan-amalan sunat.
37. Menyukai sesuatu untuk saudaranya sepertimana yang ia sukai untuk dirinya sendiri.
38. Bersifat tawaduk/rendah diri.
39. Berniat mati syahid.
40. Disebut-sebut sebagai orang baik oleh orang lain.
Maksud 'memberi pinjam kambing betina' dalam hadith di atas juga dapat diterjemahkan sebagai memberi pinjam sebarang bentuk manfaat yang dapat dimanfaatkan oleh orang yang diberi pinjam. Ini bersesuaian dengan situasi semasa pada hari ini, seperti memberi pinjam motosikal, komputer, telefon dan sebagainya. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment