Soalan:
Di manakah sumber bagi doa berbuka puasa ini yang berbunyi:
يا عظيم، يا عظيم، أنتَ إلهي، لا إله غيرك، اغْفِرْ لي الذنْبَ العظيمَ، فإنه لا يغفرُ الذنْبَ العظيمَ إلاّ العظيم.
Adakah ianya terdapat di dalam kitab-kitab Sunan yang muktabar?
Imam al-Nawawi rah. didapati tidak mencatatkan doa ini di dalam kitabnya yang terkenal al-Azkar, pada bab apa yang diucapkan ketika berbuka, yang menunjukkan doa ini tidak direkodkan di dalam kitab-kitab Sunan yang muktabar. Meskipun demikian, doa tersebut ada diriwayatkan oleh Ibn ’Asakir di dalam kitab beliau Tarikh Dimasyq (54/238) dalam biografi Muhammad bin ’Ali bin Ahmad bin Musa al-Samarqandi (no. 6761). Ibn ’Asakir membawakan sanadnya seperti berikut;
أخبرنا أبو محمد بن الأكفاني ثنا عبد العزيز الكتاني أنبأنا أبو عبد الله محمد بن علي بن أحمد بن موسى بن عبد الله السمرقندي قدم علينا قراءة عليه ثنا أبو علي عبد الله ابن عبد الرحمن النيازكي ثنا الشيخ الصالح أبو يعقوب يوسف بن محمد بن إسحاق المذكر ثنا أبو بكر محمد بن الفضل ثنا أبو محمد عبد الله بن محمد بن يعقوب ثنا محمد ابن منصور ثنا علي بن أبي طالب البصري ثنا عمرو بن جميع عن أبان
عن أنس عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: ما من مسلم يصوم فيقول عند إفطاره: يا عظيم يا عظيم أنت إلهي لا إله غيرك اغفر لي الذنب العظيم فإنه لا يغفر الذنب العظيم إلا العظيم إلا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه. وقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: علموها عقبكم فإنها كلمة يحبها الله ورسوله ويصلح بها أمر الدنيا والآخرة. [ 11479 ]
Terjemahan matan:
Daripada Anas daripada Nabi SAW sabdanya: “Tidaklah seorang muslim itu berpuasa lalu mengucapkan ketika ia berbuka: Wahai Yang Maha Agung, Wahai Yang Maha Agung, Engkaulah Tuhan-ku, tiada tuhan selain Engkau, ampunilah bagiku dosa yang agung, sesungguhnya tidak mengampunkan dosa yang agung itu melainkan Yang Maha Agung, melainkan ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana pada hari ibunya melahirkannya”. Sabda Rasulullah SAW lagi: “Ajarkanlah ia kepada zuriat kamu sekalian, sesungguhnya ia adalah kalimah yang disukai oleh Allah dan Rasul-Nya, dan yang dapat memperelokkan urusan dunia dan akhirat”.
Namun, Ibn ‘Asakir menyatakan bahawa martabat hadith ini adalah lemah dengan katanya:
شاذ بمرة وفي إسناده مجاهيل.اهـ
”Hadith yang syaz (ganjil) sekali, dan di dalam sanadnya terdapat beberapa perawi yang majhul (tidak diketahui)”.
Bagaimanapun, pada pendapat saya tidak ada masalah jika kita hendak mengamalkan doa tersebut kerana hadith da’if masih dapat diamalkan dalam perkara fadha’il amal, dengan syarat-syaratnya yang masyhur, antaranya tidak meyakini dengan iktikad yang pasti bahawa ianya benar-benar disabdakan oleh Nabi SAW. Lebih-lebih lagi, Ibn ’Asakir tidak pun menyatakan di dalam sanadnya ada perawi pendusta atau pemalsu hadith, yang menunjukkan bahawa hadith tersebut bukanlah sebuah hadith mawdhu’ (palsu).
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment