Pages

Tuesday, June 7, 2011

Syeikh Muhammad Darwisy al-Khatib رحمه الله


Syeikh Muhammad Darwisy al-Khatib al-Syafi’i adalah salah seorang ulama kota Halab (Aleppo), Syria. Beliau meninggal dunia semalam pada usia 110 tahun setelah menghabiskan hayatnya dengan ilmu, zikir dan hidup istiqamah. Jenazah beliau telah disembahyangkan di Masjid Besar Halab selepas solat zohor hari Selasa 7 - 6 – 2011.

Nama lengkapnya Syeikh Muhammad bin Syeikh Darwisy bin Syeikh Muhammad al-Khatib bin Syeikh Mustafa bin Syeikh Muhammad ‘Arab bin Syeikh Ahmad bin Syeikh Hasan bin Syeikh Khadir, dari keluarga al-Kharfan yang dinisbahkan kepada Sayidina Husain RA.

Beliau lahir pada tahun 1901 di Desa Jenah, bandar Halab, dari keluarga beragama yang turun temurun secara warisan berkhidmat terhadap agama Islam. Para leluhur beliau semua adalah ahli agama dan ulama belaka.

Beliau mula menghafaz Al-Quran sejak kecil lagi sehinggakan ia mengulang-ulanginya sekalipun sewaktu menjaga binatang ternakan. Beliau berjaya menghafaznya dalam tempoh empat bulan dan sepuluh hari.

Beliau dididik oleh Syeikh Ahmad Syahid rahimahullah yang mengajarnya al-Quran dan hadis. Kemudian beliau masuk ke Sekolah al-Khusrawiya di Halab dan mempelajari ilmu-ilmu agama di sana.

Beliau telah menerima ilmu dari sejumlah guru agama dan masyayikh kota Halab, antara mereka ialah:

- Syeikh Ahmad Syahid

- Syeikh Sa’id al-Idlibi,

- Syeikh Raghib al-Tabbakh, sejarawan kota Halab

- Syeikh ‘Umar Maratini

- Syeikh Faidhullah Ayyubi

- Syeikh Abdullah Hammad, dan ramai yang lain.

Syeikh Muhammad bin Darwisy al-Khatib mengajar di Masjid Besar al-Umawi dan memberi fatwa menurut mazhab al-Syafi’i. Beliau berkemahiran khususnya dalam masalah mirath (faraidh). Beliau meriwayatkan hadis dari Syeikh Muhammad Raghib al-Tabbakh.

Syeikh suka duduk bersama fakir miskin dan membantu mereka. Beliau giat menyampaikan dakwah hingga ada non-muslim yang terdorong memeluk Islam secara tulus. Di samping itu, beliau turut bertani dan menternak lebah bagi menyara keluarganya yang besar. Beliau pernah berkahwin sebanyak lima kali. Jumlah semua anak dan cucunya kini lebih dari 150 orang. Di akhir-akhir hayatnya beliau telah hilang penglihatan.

رحمه الله تعالى رحمة واسعة

Rujukan:

- Rawd al-Rayyahin.

- Multaqa Ahl al-Hadith.


No comments: