Pages

Saturday, August 27, 2011

Apakah Ada Ucapan Sempena Menyambut Hari Raya Menurut Hadis?


Soalan:

Adakah ucapan: “Kulla ‘Am Wa Antum Bi Khayr” yang dibudayakan oleh masyarakat Arab dalam menyambut perayaan itu merupakan suatu sunnah?

Jawapan:

Setakat sumber-sumber yang dapat dirujuk, belumlah diketahui bila sejarah bermula dan tersebarnya di kalangan masyarakat Arab ucapan: “Kulla ‘Am Wa Antum Bi Khayr” yang maksudnya, “Semoga sepanjang tahun anda berkeadaan baik”, ketika menyambut perayaan. Zahir ucapan tersebut merupakan suatu doa memohon kebaikan kepada orang yang ditujukan ucapan itu, maka ianya adalah harus. Ianya bukan suatu sunnah Nabi SAW, bahkan tidak ada sebarang nas yang sahih tentang ucapan tahniah sempena perayaan yang diriwayatkan dari Nabi SAW. Bagaimanapun, tidak seharusnya sebarang adat budaya yang baik dan tidak bercanggah dengan syarak yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat dianggap sebagai bidaah yang salah.

Menurut Syeikh Sulaiman al-Jamal (m. 1204H) dalam Hasyiah ’ala Syarh Manhaj al-Tullab:

Kata al-Qamuli (m. 727H): Aku belum pernah melihat sebarang perbincangan oleh Ashabina (ulama Syafi’i) tentang ucapan tahniah sempena Hari Raya, tahun-tahun dan bulan-bulan tertentu, sebagaimana yang dilakukan oleh orang ramai. Tetapi al-Hafiz al-Munziri ada menukilkan dari al-Hafiz al-Maqdisi bahawa beliau ada menjawab tentang masalah tersebut, menurutnya; manusia masih terus berselisih mengenainya dan menurut pendapat saya, ianya adalah harus, tiada sunnah dan bidaah padanya.

Jawab Syeikhul-Islam Hafiz-‘Asrihi Ibn Hajar al-Haytami (m. 974H) mengenainya setelah beliau menelaah isu berkenaan bahawa ianya (ucapan tahniah) itu adalah disyariatkan. Beliau berhujah bahwa al-Bayhaqi (dalam al-Sunan al-Kubra) telah memperuntukkan satu bab tentangnya dengan kata beliau: ‘Bab apa yang diriwayatkan mengenai kata-kata orang antara satu sama lain pada Hari Raya (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك)’, dan beliau membawakan beberapa khabar dan athar yang daif, tetapi boleh dibuat hujah dengan himpunan kesemuanya itu dalam perkara seumpama demikian. Kemudian katanya: Juga dapat dibuat hujah berdasarkan keumuman ucapan tahniah kerana suatu nikmat yang diperoleh, atau suatu bencana yang terhindar, dengan disyariatkan sujud syukur dan ucapan takziah, dan juga dengan hadis yang terdapat dalam Sahihain; dari Kaab bin Malik RA dalam kisah taubat beliau kerana meninggalkan Perang Tabuk, bahawa beliau semasa diberitakan tentang penerimaan taubatnya dan berjalan menuju kepada Nabi SAW, Talhah bin ‘Ubaydillah telah mendapatkannya dan mengucapkan tahniah kepada beliau, dan Nabi SAW telah mengiyakannya.

Dalam syarah al-Ramli (m. 1004H) berhubung kata-kata (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك); yakni dan juga yang seumpama demikian daripada perkara yang telah menjadi adat dalam mengucapkan tahniah, di antaranya ialah berjabat tangan. Difahami daripada kata-kata beliau; “pada Hari Raya” bahawa ianya tidak dituntut pada hari-hari tasyriq dan juga hari selepas Hari Raya ‘Idil-Fitri, tapi telah menjadi adat manusia mengucapkan tahniah pada hari-hari tersebut, dan tiada sebarang halangan terhadapnya kerana maksudnya ialah untuk berkasih sayang dan melahirkan kegembiraan. Difahami daripada kata-kata beliau juga; “pada Hari Raya” bahawa waktu ucapan tahniah bermula dengan waktu fajar, bukannya dengan malam Hari Raya, berlawanan dengan apa yang ada dalam sesetengah catatan kitab.

Menurut al-Syabramallisi (m. 1087H) (حاشية على نهاية المحتاج للرملي): Dan ibarat al-Birmawi (m. 1106H); Ucapan tahniah sempena perayaan, bulan dan tahun itu adalah mustahab, dan dapat dikompromikan dengan tuntutan sujud syukur ketika memperolehi sesuatu nikmat, dan dengan kisah Kaab RA serta dua orang rakannya ketika dia diberitakan dengan penerimaan taubatnya kerana meninggalkan Perang Tabuk, dan ucapan tahniah Talhah RA kepadanya. Dan disunatkan menjawab ucapan tahniah dengan kata-kata seperti (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنْكُمْ), (أَحْيَاكُمْ اللَّهُ لِأَمْثَالِهِ) dan (كُلَّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ), tamat nukilan. Wallahu a’lam.

Imam al-Suyuti (m. 911H) dalam (وصول الأماني بأصول التهاني) telah cuba menghimpunkan riwayat-riwayat berkaitan ucapan tahniah sempena Hari Raya. Namun hanya satu ucapan saja yang ditemukan sama ada memberi atau membalas ucapan, iaitu ucapan: (تقبل الله منا ومنك) atau (تقبل الله منا ومنكم) maksudnya, ”Semoga Allah menerima (amal) daripada kami dan juga kamu”. Bagaimanapun, ucapan tersebut hanya diriwayatkan dari sahabat-sahabat Nabi SAW serta sebahagian tabiin, bukan dari Rasulullah SAW. Antara mereka ialah Wathilah, Abu Umamah al-Bahili, ’Abdullah bin Bisyr, ’Abd al-Rahman bin ’A’iz, Jubair bin Nufair, Khalid bin Ma’dan,’Umar bin ’Abd al-’Aziz, Yunus bin ’Ubaid, dan al-Hasan al-Basri. Dan ianya juga merupakan amalan ahli Madinah menurut Imam Malik.

Antara dalilnya:

أخرج زاهر بن طاهر في كتاب تحفة عيد الفطر، وأبو أحمد الفرضي في مشيخته بسند حسن عن جبير بن نفير قال: كان أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا التقوا يوم العيد يقول بعضهم لبعض: تقبل الله منا ومنكم.

Terjemahan:

Dikeluarkan oleh Zahir bin Tahir dalam kitab Tuhfah ’Id al-Fitr dan juga Abu Ahmad al-Fardhi dalam Masyyakhah beliau dengan sanad hasan dari Jubair bin Nufair katanya: ”Para sahabat Rasulullah SAW apabila bertemu pada Hari Raya mereka akan mengucapkan antara satu sama lain: (تقبل الله منا ومنكم)”.

Adapun ucapan (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ) yang ada diriwayatkan dari Rasulullah SAW, maka hadisnya adalah munkar menurut al-Hafiz Ibn ’Adi, seperti yang dinukilkan oleh al-Bayhaqi (al-Sunan al-Kubra, 6520). Begitu juga hadis sebaliknya yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW tidak menyukai ucapan tersebut kerana meniru Ahli Kitab, menurut al-Bayhaqi: Tidak sahih (al-Sunan al-Kubra, 6522).

Kesimpulannya, ucapan (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ/ومنكم) adalah satu-satunya ucapan yang warid dari para salafussoleh yang dapat kita ucapkan sempena Hari Raya. Namun ucapan-ucapan lain yang baik atau doa-doa yang baik harus diamalkan. Dalam hadis yang sahih Nabi SAW menyebut: (كل كلمة طيبة صدقة) maksudnya, ”Setiap kalimah yang baik itu adalah sedekah” (HR al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad). Tidak sabitnya sebarang ucapan sempena perayaan dari Nabi SAW, seolah-olah baginda mahu memberi kelonggaran kepada umatnya dalam urusan berkaitan adat budaya masing-masing yang berbagai bangsa dan bahasa, selama ianya tidak bercanggah dengan syarak. Jika kita di Malaysia, sudah menjadi adat kebiasaan dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin’. Kebanyakan masyarakat Arab pula sudah biasa dengan ucapan: “Kulla ‘Am Wa Antum Bi Khayr”. Maka semuanya itu adalah harus lagi mustahab.

Wallahu a’lam.

No comments: