Tuesday, February 7, 2012

Al-‘Allamah Syeikh ‘Abd al-Razzaq al-Halabi (رحمه الله تعالى)

إنا لله وإنا إليه راجعون

Syeikh ‘Abd al-Razzaq al-Halabi adalah faqihul Hanafiyyah di Syam, Syeikhul Jami‘ al-Umawi, penasihat am Mujamma‘ al-Fath al-Islami Dimasyq dan juga syeikh Qiraat. Meninggal dunia pada fajar hari Sabtu 12 Rabi’ul Awwal 1433 (di Malaysia: 11 Rabi’ul Awwal) bersamaan 4 Februari 2012. Usia beliau kira-kira 90 tahun.

Beliau adalah salah seorang tokoh ulama keluaran Maahad al-Fath al-Islami yang masyhur di Syria, selain Syeikh Muhammad Adib Kallas, Syeikh Ramzi al-Bazm, Syeikh Muwaffaq al-Nasyuqati dan lain-lain.

Nama penuh beliau ialah ‘Abd al-Razzaq bin Muhammad Hasan bin Rasyid bin Hasan bin Ahmad al-Halabi al-Hanafi. Dilahirkan di Dimasyq pada tahun 1343 /1925.

Antara guru-guru pengajiannya:

1- Syeikh Muhammad Solih al-Farfur (w. 1407/ 1986). Beliau boleh dikatakan murid kanan kepada gurunya ini yang sentiasa bersamanya sehinggalah kewafatannya.

2- Syeikh Mahmud Fayiz al-Dir ’Atani.

3- Dr. Muhammad Sa’id al-Hilwani

4- Syeikh Husain Khattab.

Antara guru-guru ijazahnya:

1- Syeikh Muhammad Abu al-Yusr ‘Abidin, mufti Syam

2- Syeikh Muhammad al-‘Arabi al-‘Azuzi.

3- Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Qasimi

4- Syeikh Mulla Ramadhan al-Buti

Syeikh ‘Abd al-Razzaq adalah tokoh ulama yang disegani. Kebanyakan pengajian beliau bertempat di Masjid al-Umawi yang boleh dikatakan pada setiap hari selama lebih dari 60 tahun. Selain pengajiannya di masjid-masjid sekitar Dimasyq dan Maahad al-Fath al-Islami.

Beliau telah mengkhatamkan dalam pengajian-pengajiannya kitab-kitab besar seperti Tafsir al-Nasafi, Tafsir al-Khazin, Tafsir al-Qurtubi, al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran, Kutub Sittah, Muwatta’ Malik, Syarah al-Nawawi atas Sahih Muslim, Bazlul Majhud Syarah Sunan Abi Dawud, Jami’ al-Usul, Maraqi al-Falah, Hasyiah al-Tahtawi, Hasyiah Ibn ‘Abidin, Kasyf al-Haqa’iq Syarah Kanz al-Daqa’iq, al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, Mughni al-Labib, al-Syifa oleh al-Qadhi ‘Iyadh, Ihya’ Ulumiddin, al-Risalah al-Qusyairiyyah, Sifatus Safwah, Nawadir al-Usul, dan sebagainya!!!

Beliau membaca kitab-kitab ini secara harfi (sardan) dan hanya berhenti jika ada perkara-perkara musykil yang perlu disyarah dengan lebih lanjut. Beliau begitu mengambil berat dalam mengkhatamkan sesebuah kitab sehingga ke akhirnya.

Beliau juga telah melahirkan ratusan para penghafaz al-Quran. Beliau tidak jemu dalam mengajar al-Quran dari waktu dhuha sehinggalah ke waktu lepas isya’.

Bersama-sama gurunya, Syeikh Muhammad Solih al-Farfur dan rakannya, Syeikh Ramzi al-Bazm, mereka telah mengasaskan Pertubuhan al-Fath al-Islami dan Maahad al-Fath al-Islami. Beliau adalah khalifah/pengganti gurunya sesudah kewafatannya.

Di samping keluasan ilmunya, beliau turut memiliki ingatan yang kuat dan mampu mendatangkan matan-matan ilmiah secara spontan jika diperlukan. Beliau juga berkebolehan dalam bertutur dengan bahasa Perancis dan Turki.

Waktu-waktu beliau banyak dihabiskan dengan ibadah, ilmu, mendidik dan menyampai pengajian. Beliau telah menunaikan haji lebih dari 50 kali, yang kebanyakannya sebagai pengiring jemaah haji Syria.

Semoga Allah SWT merahmati rohnya dan menempatkannya bersama-sama para nabi, para syuhada’ dan para solihin. Amin.


Rujukan:

1- al-Fath online.

2- facebook syeikh.

3- Tafsir.net

4- Rayaheen.net

No comments: