Pages

Saturday, February 25, 2012

Syeikh Bakri al-Tarabisyi رحمه الله تعالى


Al-Muqri’ Syeikh Bakri bin ‘Abd al-Majid bin Bakri al-Tarabisyi dianggap sebagai pemegang sanad al-Quran yang paling tinggi di dunia. Beliau adalah orang terakhir dalam peringkat ke-27 dalam bidang qiraat tujuh yang mutawatir melalui jalan al-Syatibi selepas Baginda Rasulullah SAW. Beliau meninggal dunia di Dubai, Emirates pada hari Khamis, 23hb. Februari 2012 bersamaan 1hb Rabiul Akhir 1433H dalam usia 93 tahun.

Beliau dilahirkan di Dimasyq pada tahun 1338H (1920). Bapanya adalah salah seorang ulama mazhab Hanafi di Dimasyq. Beliau telah menghafaz al-Quran semasa berusia 12 tahun. Antara guru-gurunya ialah al-Muhaddith Syeikh Badruddin al-Hasani, Syeikh ‘Abd al-Wahhab Dibs Wazait, Syeikh ‘Izzuddin ‘Araqsusi, Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Sabbagh, Syeikh Muhammad Salim al-Hilwani yang mengijazahkannya qiraat tujuh, dan Syeikh Mahmud Fa’iz al-Dir‘atani yang mengijazahkannya qiraat sepuluh.

Antara murid-murid yang pernah bertalaqqi dengan beliau ialah Syeikh Muhammad Syaqrun (Emirates), Syeikh Hussam Sibsibi (Kuwait), Syeikh ‘Isam ‘Abd al-Mawla (Jordan), Syeikh Muhammad Burukkab (Algeria), Syeikh ‘Umar Da‘uq (Lubnan), Syeikh Muhyiddin Abu al-Hasan al-Kurdi (Dimasyq), Syeikh Muhammad Sukr (Dimasyq) dan lain-lain.

Beliau tidak meninggalkan sebarang karya penulisan kecuali tulisan-tulisan berkaitan pengijazahan sanad dan sebuah nazam yang terdiri daripada 40 bait tentang silsilah sanadnya. Syeikh Zuhayr al-Syawisy pernah menulis sebuah kitab berhubung ketinggian sanad Syeikh al-Tarabisyi yang berjudul (السندان الأعليان في تلاوة القرآن الكريم للشيخ بكري الطرابيشي). (Rujuk juga: تاريخ علماء دمشق , 2/600).


Rujukan:

- rayaheen.net


No comments: