Pages

Thursday, February 14, 2013

Dr. Syawqi Ibrahim, Mufti Baru Mesir


Dr. Syawqi Ibrahim ‘Abdul Karim ‘Allam


Jawatankuasa Ulama Besar Al-Azhar yang dipengerusikan oleh  Syeikh Al-Azhar al-Imam al-Akbar Dr. Ahmad Tayyib pada hari Isnin lepas telah memilih Dr. Syawqi Ibrahim ‘Abdul Karim ‘Allam sebagai Mufti Republik Arab Mesir yang baru menggantikan Dr. ‘Ali Jum‘ah yang dijangka tamat tempoh perkhidmatannya akhir bulan ini. 

Dr. Syawqi Ibrahim adalah seorang profesor dan ketua Jabatan Fiqah Perbandingan di Universiti Al-Azhar cawangan Tanta. Beliau telah memperoleh undian tertinggi semasa proses pengundian yang dijalankan oleh Jawatankuasa Ulama Besar Al-Azhar tersebut. 

Selain beliau, Dr. ‘Atiyyah Sayyid, profesor Fiqah Perbandingan di Universiti Al-Azhar Kaherah dan Dr. Farhat ‘Abd al-‘Ati, profesor Fiqah Perbandingan di Universiti Al-Azhar masing-masing mendapat tempat ke-2 dan ke-3 dalam proses pengundian tersebut. Jawatankuasa Ulama Besar Al-Azhar telah menetapkan beberapa syarat dalam proses pemilihan mufti yang baru. Antaranya, calon mestilah berlatarbelakangkan pendidikan al-Azhar semenjak kecil, mahir berbahasa Inggeris, seorang profesor dalam bidang syariah Islam, mempunyai pengetahuan Islam am yang luas, dan tidak melebih umur 60 tahun. 

Majlis Jawatankuasa Ulama Besar Al-Azhar tersebut turut dihadiri oleh Dr. ‘Ali Jum‘ah dan Dr. Yusuf al-Qaradawi. Dimaklumkan bahawa tempoh perkhidmatan Mufti terdahulu, Dr. ‘Ali Jum‘ah akan tamat akhir bulan ini kerana beliau telah mencapai usia 61 tahun. Dr. Syawqi Ibrahim bakal diangkat menjadi Mufti Mesir yang ke-19.

 - Pelbagai sumber

No comments: