Tuesday, October 22, 2013

Syeikh Ahmad ad-Doghan رحمه الله تعالى




Syeikh Ahmad bin ‘Abdullah bin Muhammad ad-Doghan al-Ahsa’i al-Khalidi, syeikh as-Syafi‘iyyah di Ahsa’, salah seorang tokoh ulama Syafi‘i yang masyhur di Arab Saudi telah kembali ke rahmatullah dalam usia 102 tahun pada 14hb. Zulhijjah 1434 (19 Oktober 2013). 

Syeikh Ahmad ad-Doghan dilahirkan di Ahsa’ pada tahun 1332H (1911). Beliau telah menghafal al-Quran pada masa kecil lagi, selain menghafal matan az-Zubad dan 300 bait daripada Alfiyah Ibn Malik. Antara guru-gurunya; Syeikh Muhammad bin Husain al-‘Arfaj (murid kepada Syeikh Ahmad Zaini Dahlan), Syeikh Ahmad bin Muhammad al-‘Ali al-‘Arfaj, Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Soleh al-‘Aliji dan Syeikh Muhammad al-‘Abdul Latif. Beliau turut menerima ijazah keilmuan daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Syeikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah, Syeikh ‘Abdullah Sirajuddin al-Halabi dan lain-lain.

Beliau pernah pergi ke India semasa melalui zaman kefakiran, namun tidak memperolehi sebarang pekerjaan di sana. Beliau hanya dapat mengajar kanak-kanak yang ‘yuran’ setiap seorang daripada mereka hanya 2 rupiah sebulan. Kata beliau, “Kami pernah diuji dengan kefakiran, namun sekarang dalam kenikmatan yang banyak. Kami tidak dapat menghitung pujian kepadaNya”. Di India, beliau sempat berguru kepada Syeikh As‘adullah al-Hindi dalam bidang al-Quran, tajwid dan qiraat.

Beliau pernah bertugas sebagai guru sekolah rendah di Ahsa’ selama 25 tahun. Selain mengajar fiqh Syafi‘i kepada ramai para pencinta ilmu dari dalam dan luar Ahsa’. Madrasah Syafi‘iyyah yang diasaskannya bermula pada tahun 1395H. Menurut Syeikh Muhammad ‘Awwamah, “Baki golongan salafus soleh, syeikh kami, alim yang beramal dan menjadi suri tauladan, lagi berusia panjang, Syeikh Ahmad Doghan telah mendidik beberapa generasi sepanjang beberapa dekad, yang mana fatwa mereka menjadi pegangan dalam fiqh Syafii. Semoga Allah menyejukkan pandangan syeikh dengan sebab mereka”.

Antara kitab-kitab Syafi‘iyyah yang diajarkannya ialah;
1. (عمدة السالك وعدة الناسك للشيخ أحمد بن النقيب)
2. (شرح منظومة الزبد للشيخ أحمد بن حجازي الفشني)
3. (الإيضاح في مناسك الحج للإمام النووي)
4. (فتح المعين للشيخ زين الدين المليباري)
5. (فتح الوهاب للقاضي زكريا الأنصاري)
6. (كفاية الأخيار للشيخ تقي الدين الحصني)
7. (الإقناع للشيخ الخطيب الشربيني)
8. (مغني المحتاج شرح المنهاج للشيخ الخطيب الشربيني)
9. (فتح الجواد شرح الإرشاد للشيخ ابن حجر الهيتمي)
10. (طبقات الشافعية للشيخ تاج الدين السبكي)

Beliau telah menghidupkan kembali fiqh Syafi‘i di Ahsa’ yang sebelumnya hampir-hampir tenggelam kerana pengaruh fiqh tanpa mazhab. Namun, beliau bukan seorang yang suka berdebat. Beliau lebih suka bersikap toleransi dan menjauhi perselisihan. Beliau menasihatkan murid-muridnya agar tidak membangkitkan fitnah dan perpecahan serta wajib meninggalkan pertelingkahan. Sikap ini yang membuat beliau dihormati oleh pihak kawan dan lawan.

Beliau seorang yang zuhud, tawaduk, lidahnya sentiasa berzikir kepada Allah dan kuat mengamalkan sunnah. Masanya tidak pernah dibiarkan kosong dan tangannya sentiasa memegang kitab.

Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un. 

Rujukan:

No comments: