Pages

Thursday, October 3, 2013

Tuan Guru Ustaz Haji Ghazali Bin Haji Siraj رحمه الله تعالى

Sahabat saya, mudir Maahad Tahfiz al-Ghazaly, Sungai Udang, Klang, Ustaz Hj. Ahmad Shukri telah menghantar mesej kepada saya memberitahu bahawa ayahanda beliau, Tuan Guru Ustaz Haji Ghazali bin Haji Sirat bin Haji Othman al-Kudus, mantan nazir Masjid Darul Muttaqin (Masjid Demak Malaysia), Sungai Udang, Klang, telah kembali ke rahmatullah selepas asar tadi (Khamis, 3 Okt. 2013). Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan berzikir.

Tuan Guru Haji Ghazali bin Haji Sirat merupakan tokoh ulama Klang yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat Islam Klang dan Selangor umumnya. Seluruh hidupnya diabdikan untuk berkhidmat kepada agama. Dikatakan, beliau berketurunan Sunan Kudus, salah seorang anggota Wali Songo dari Jawa Tengah, Indonesia.

Sejak kecil beliau berminat mendalami ilmu agama dan pernah mengaji di Pondok Kiyai Haji Ali di Sijangkang. Kemudian meneruskan pengajian ke Maahad Hisamuddin Klang khusus pengajian Arab selama lapan tahun dan memiliki kelulusan Empat Thanawi.

Beliau berguru dengan Syeikh Mahmud al-Bukhari, pengetua Maahad Hisamuddin yang pertama, yang merupakan seorang tokoh agama yang tidak asing dulu di negeri Selangor, berketurunan Bukhara dan berasal dari Mekah, datang ke Malaysia pada tahun 1940an atas jemputan al-Marhum Sultan Selangor Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.

Tuan Guru Haji Ghazali pernah mengikuti pengajian secara tidak formal selama 2 tahun di kediaman Syeikh Mahmud di Kampung Kuantan, Klang iaitu pada tahun 1946 dan 1947. Kemudian mengikuti pula pengajian formal di al-Maahad ad-Dinil Islami Hisamuddin Klang selama 8 tahun antara tahun 1948 hingga 1956. Pada tahun 1956 seramai 8 orang pelajar telah menamatkan pengajian di peringkat 4 Thanawi, antaranya ialah Tuan Haji Ghazali bin Haji Siraj, Dato’ Haji Hasan Azhari (tokoh al-Quran dan Tokoh Maal Hijrah), Tuan Haji Ahmad Muhid (mantan imam Masjid Negeri Selangor), Ustaz Jamek Duriat, Ustaz Said Husin, Ustaz Mohd. Amin Abdul Karim dan Ustaz Hambali Abdul Salam, tetapi hanya 3 orang yang pertama sahaja telah menduduki peperiksaan Sijil Empat Thanawi dan telah lulus dengan jayanya. Mereka adalah generasi Maahad Hisamuddin yang pertama di bawah mudir Syeikh Mahmud al-Bukhari. 

Selain Syeikh Mahmud, Tuan Guru Haji Ghazali juga pernah berguru dengan bapa mertuanya, Kiyai Haji Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj dan Kiyai Haji Fathullah Harun (bapa Dr. Musa Fathullah), mantan imam Masjid Negara yang terkenal suatu masa dulu dengan Kuliah Subuhnya sehingga Ustaz Ghazali menggelarnya ‘Bapak Kuliah Subuh’ kerana pada masa itu belum pernah ada dilakukan kuliah Subuh di mana-mana.

Tamat pengajian 4 Thanawi pada tahun 1956, Syeikh Mahmud al-Bukhari telah menjemput beliau mengajar di Maahad Hisamuddin Klang. Beliau kemudian bekerja sebagai pegawai agama bahagian pendidikan di JAIS sebelum dilantik sebagai guru agama dan nazir bagi sekolah-sekolah daerah Klang selama 15 tahun.

Tuan Guru Haji Ghazali pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Agama Selangor 1995, Tokoh Aktivis Masyarakat Daerah Rantau Panjang, Klang 2004 dan Tokoh Keluarga Mithali 2005 sempena majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Selangor yang disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Masjid As Syarif, Meru, Klang.

Walaupun telah melangkau usia persaraan, beliau tidak pernah menganggap dirinya wajar bersara. Beliau begitu rajin dan cukup kuat bekerja. Beliau memegang konsep gigih berusaha kemudian bertawakal kepada Allah s.w.t. Dalam usia emas beliau masih ke kebun menebang pisang, membersihkan parit tersumbat, malah beliau melakukan kerja sendiri mengecat dan membersihkan rumah-rumah sewaannya. Dalam masa yang sama, beliau mengajar agama pada setiap minggu di 17 buah masjid dan surau di sekitar daerah Klang. Katanya, selagi dikurniakan tubuh badan yang sihat dan khidmatnya diperlukan beliau akan terus berdakwah. Selain bertugas sebagai imam dan nazir Masjid Darul Muttaqin (dulu Masjid Nurul Ehsan), Sungai Udang, beliau menjadi tenaga pengajar fardu ain kepada imam dan nazir masjid seluruh Klang, di samping kelas dewasa mengajar kitab kepada guru-guru takmir.


Beliau juga memiliki bakat dalam bidang penulisan dan telah menghasilkan beberapa buah buku agama dan ada di antaranya pernah dijadikan buku teks sekolah rendah bagi negeri Selangor. Antaranya:
  1. Ilmu Tajwid, untuk sekolah rendah agama,
  2. Akhlak Tuntunan Budi,
  3. Tulisan Khat,
  4. Kitab Tauhid Nazham `Aqidatul 'Awam, yang dijadikan buku teks sekolah rendah agama di Selangor dari tahun 1986 hingga 1995,
  5. Feqah dan Tauhid, dijadikan buku teks di sekolah agama rendah di Wilayah Persekutuan dari tahun 1986 hingga 2000an.
  6. Masjid Nurul Ehsan: Dulu dan Kini
Di samping menjadi panel mengarang kutbah Jumaat dan Hari Raya daerah Klang. Beliau juga antara pakar khat yang masyhur di Selangor sehingga pernah dilantik pada tahun 1986 sebagai pembantu kepada pakar khat dari Mesir, Syeikh ‘Abdul Mun‘im ‘Ali as-Syarqawi menulis tulisan khat pada kubah, dinding dan pintu gerbang Masjid Negeri Shah Alam. Kebolehan menulis khat jawi dengan baik memberinya peluang menulis jawi bagi nama jalan-jalan di Klang dan Shah Alam, watikah dan peralatan di Muzium Selangor.  

Beliau dikurniakan tujuh orang anak yang kesemuanya berjaya menggenggam ijazah. Beliau seorang yang agak tegas dalam mendidik anak-anak kerana mahukan yang terbaik buat mereka.

إنا لله وإنا إليه راجعون
الفاتحة
Rujukan:
- Wikipedia,  

No comments: