Pages

Tuesday, February 17, 2015

Wanita Tanpa Pingat


(Sebagaimana yang Diceritakan oleh Puan Mahawa Pilus)

Cerita Puan Mahawa Pilus tentang ibunya memang cukup menginspirasi dan memotivasikan. Cerita seorang wanita biasa, tetapi cukup luar biasa. Cerita yang selalunya sering kita dengar dalam kisah-kisah kewalian. Bertuahnya bagi saya, cerita ini bukan cerita yang tidak diketahui pucuk pangkalnya, tapi cerita yang ditutur oleh mulut anaknya sendiri yang telah mendampingi ibunya sejak puluhan tahun.

Saya ringkaskan sahaja nama Ibu Puan Mahawa sebagai IPM.

IPM merupakan seorang wanita yang gigih, kuat dan tabah. Meskipun beliau tidak boleh membaca dan menulis, namun beliau sempat mempelajari al-Quran dan mampu membaca al-Quran dengan baik. Beliau telah mempelajari asas-asas pengetahuan agama daripada Syeikh Ahmad Said Linggi (1328H/1912 – 1383H/1964) dan Tuan Guru Hj. Ibrahim Bongek (1325H/1907 - 1418H/1997).

Beliau membaca al-Quran setiap hari dan mengkhatamkannya setiap bulan. Beliau tekun dengan rutin hariannya membaca al-Quran antara waktu zohor sehinggalah waktu asar.

Ini ditambah lagi dengan bacaan Surah al-Ikhlas sebanyak 10,000 kali setiap hari.

IPM sentiasa menjaga solat tahajudnya pada setiap malam. Selain menjaga puasa sunat Isnin dan Khamis pada setiap minggu.

Di samping tugasan dan amal ibadat harian, mulutnya tidak pernah henti-henti berzikir mengingati Allah SWT. Hinggakan ketika beliau tidur sekalipun, lidahnya masih bergerak menyebut LA ILAHA ILLAH... Ini belum termasuk bilangan selawatnya kepada Junjungan Baginda Nabi SAW.

IPM juga seorang wanita yang zuhud. Beliau mempunyai sepasang pakaian yang sering dipakainya berulang kali selama lebih 60 tahun. Adakalanya beliau diberikan pakaian baru, istimewanya bagi menyambut Hari Raya Idulfitri. Namun, beliau enggan memakainya dan sebaliknya, lebih selesa memakai pakaian yang biasa dipakainya, setelah memastikan ianya telah bersih.   

Inilah sekelumit daripada sifat peribadi luar biasa wanita ini.

Kehidupannya ditakdirkan oleh Allah bukan dalam kalangan orang susah. Datuknya dahulu adalah seorang datuk bandar. Bagaimanapun, beliau tidak mewarisi sebarang harta pusaka milik datuknya itu. Apa yang beliau miliki adalah hasil usaha beliau sendiri, di samping sedikit tanah daripada neneknya.

IPM seorang wanita yang penyabar dan suka membantu orang lain yang amat memerlukan pertolongan. Beliau pernah membela beberapa orang anak yatim dan memeliharanya dengan penuh kesungguhan. Beliau akan mengusap rambut mereka dan menyikatkannya sendiri, kerana itulah yang ditunjuk ajarkan oleh Nabi SAW katanya. Beliau menyekolahkan mereka sama seperti anak sendiri sehinggalah mereka meningkat dewasa dan berjaya dalam bidang pekerjaan.

IPM juga seorang yang banyak bersedekah dan berwakaf. Setiap kali mendapat hasil keuntungan yang diperolehinya daripada penjualan hasil sawah padi dan tanaman sayur-sayuran, beliau akan mengkhususkan satu bahagian daripadanya untuk disedekahkan. Beliau sering membuatkan badal haji secara ikhlas bagi mereka yang telah meninggal dunia tetapi belum sempat untuk menunaikan fardhu haji.

IPM banyak berwakaf untuk membina berbagai kemudahan bagi orang ramai. Antaranya wakaf untuk membuat masjid, sekolah agama dan jalanraya. Selain turut mewakafkan beribu-ribu naskhah al-Quran.

IPM mempunyai falsafah hidup yang mudah, iaitu mengabdi diri kepada Allah dan berbakti kepada manusia.  

Beliau pernah menghadapi berbagai cabaran sukar dalam hidupnya. Namun, semuanya dihadapi dengan penuh tenang dan sabar. Beliau sentiasa berasa dekat dengan Allah SWT sehingga perkara-perkara yang memeritkan itu dapat dilaluinya dengan mudah atas bantuan daripada-Nya jua.

Pernah kereta yang dinaiki oleh beliau terlibat dalam kemalangan, ia terbalik beberapa kali sehingga badan kereta tersebut remuk. Namun, beliau telah terkeluar dari kereta tersebut dalam keadaan selamat tanpa sebarang luka.

Pernah sekali terbakar deretan beberapa kedai dengan api yang sungguh marak. Namun, apabila api yang menjilat-jilat itu hampir sampai ke kedai miliknya, ia pun padam dengan tiba-tiba.

Sekali peristiwa, beliau telah tercekik tulang ikan sehingga doktor memutuskan untuk melakukan pembedahan ke atasnya. Namun, setelah 10 minit masuk ke dalam bilik bedah, beliau keluar semula dengan penuh sihat tanpa menjalani proses pembedahan kerana doktor secara tiba-tiba mendapati tulang ikan tersebut telah pun hilang.

Semoga Allah SWT melimpahkan rohnya dengan limpahan rahmat-Nya yang maha luas. Amin...


P/S: Ucapan terima kasih & penghargaan kepada Puan Mahawa atas pembetulan.

No comments: