Tentu ada yang tertanya, persoalan ini sudah lama dibahas dan dibincangkan
oleh para ulama. Justeru, kenapa perlu diungkit semula? Bukankah mereka yang berpuashati
dengan dalil bolehnya tetap mengatakan harus, dan mereka yang berpuashati
dengan dalil tidak bolehnya tetap mengatakan tidak harus? Memang benar, namun
kita masih kekurangan dalam soal berlapang dada dan soal adab ikhtilaf. Tulisan
ini sebenarnya hanya bertujuan untuk menjawab persoalan sesetengah orang yang masih
mempertikaikan dan tidak mahu menerima ikhtilaf ulama dalam masalah ini. Di
samping untuk memberi pencerahan kepada sesetengah orang yang berasa samar dan
keliru disebabkan momokan orang yang mempertikaikan itu. Apakah para ulama dan
para ustaz yang mengamalkannya selama ini sebenarnya salah dan sesat?
Isu ini adalah
salah satu isu paling utama dalam senarai sebuah fahaman kontemporari, selain
soal ziarah, tawassul, tabarruk dan lain-lain yang berkaitan dengan alam
barzakh. Ia merupakan salah satu masalah yang selalu ditimbulkan dan
dibahaskan, sedangkan para ulama dahulu telah selesai lama membahaskannya. Keputusannya,
mereka yang tidak bersetuju dengan memberi sedekah pahala kepada si-mati tetap mengatakan
tidak bersetuju dan mendakwa ia tidak dilakukan oleh Nabi SAW dan para salaf. Sebaliknya,
mereka yang berpendapat boleh memberi sedekah pahala kepada si-mati tetap
mengatakannya boleh kerana ia masih di dalam ruang lingkup nas-nas dan
dalil-dalil hukum syarak.
Khilaf Ulama Yang Muktabar
Perlu diketahui, bahawa para
ulama bersepakat yang pahala haji, sedekah, permohonan doa dan istighfar boleh sampai
kepada si mati. Namun, mereka berselisih tentang pahala solat, puasa, bacaan
al-Quran, zikir dan seumpamanya, adakah ia boleh disampaikan kepada si mati
atau tidak?
-
Pendapat yang mengatakan sampai
pahala tersebut ialah daripada Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad (menurut satu
riwayat yang masyhur daripadanya), sebahagian ashab Imam Malik dan ramai
ashab Imam al-Syafi‘i.
-
Manakala pendapat yang mengatakan
tidak sampai pahala tersebut ialah daripada Imam Malik, Imam al-Syafi‘i
(menurut satu riwayat yang masyhur daripadanya) dan Imam Ahmad (menurut riwayat
lain daripadanya).
Sebagaimana yang jelas tertera, masalah
ini termasuk dalam perkara khilaf di kalangan ulama mujtahidin. Maka, tidak sewajarnya dalam perkara khilaf
sebegini kita masih melontarkan tuduhan bidaah, jahil, sesat dan sebagainya
kepada pihak yang tidak sependapat. Perkara tersebut sepatutnya tidak perlu
berlaku kerana perselisihan yang muktabar seperti ini tidak termasuk dalam
perkara mungkar yang wajib dicegah.
Antara dalil-dalil yang
mengharuskan
Secara ringkas, hanya dicatatkan
di sini sebahagian dalil-dalil pihak yang mengatakan boleh memberi sedekah
pahala kepada si mati, kerana perbincangan lanjut mengenai dalil-dalil
kedua-dua belah pihak secara panjang lebar boleh dirujuk kepada kitab-kitab
yang telah membahaskannya secara terperinci.
1- Hadis:
عن ابن عمر قال: سمعت
النبي صلى اللّه عليه وسلم يقول: إذا مات أحدكم فلا تحبسوه وأسرعوا به إلى قبره
وليُقرأ عند رأسه بفاتحة الكتاب وعند رجليه بخاتمة البقرة في قبره. (رواه الطبراني في المعجم
الكبير والبيهقي فى شعب الإيمان والخلال في القراءة عند
القبور، ولفظه: بفاتحة البقرة، قال الهيثمي: فيه يحيى بن عبد الله
البابلتي، وهو ضعيف. وقال الحافظ ابن حجر في فتح الباري: أخرجه الطبراني بإسناد
حسن. وله شاهد من حديث عبد الرحمن بن العلاء بن
اللجلاج عن أبيه، قال الهيثمي: رجاله موثقون. فالحديث عندي حسن لغيره على الأقل)
Terjemahan:
Dari Ibnu ‘Umar RA katanya: Aku
dengar Nabi SAW bersabda: “Apabila mati salah seorang dari kamu, maka janganlah
kamu menahannya dan segeralah membawanya ke kubur dan bacakanlah di sisi kepalanya
Fatihah al-Kitab (dalam lafaz lain: pembukaan al-Baqarah) dan di sisi kedua
kakinya penutup al-Baqarah di kuburnya”. (Hadis riwayat al-Tabarani, al-Baihaqi
dan al-Khallal dengan sanad hasan li ghairih)
2- Hadis:
روي
عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ رضي الله عنه أَنَّ اَلنَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم
قَالَ: اقْرَؤُوا عَلَى مَوْتَاكُمْ يس. (رَوَاهُ أَبُو دَاوُدَ
وَالنَّسَائِيُّ وابن ماجه وأحمد والحاكم وابْنُ حِبَّانَ وَصَحَّحَهُ، وأقره
الحافظ ابن حجر في بلوغ المرام، وحسنه السيوطي، وضعفه آخرون لجهالة أبي عثمان
وأبيه)
Terjemahan:
Diriwayatkan dari
Ma‘qil bin Yasar RA dari Nabi SAW bersabda: “Bacakanlah ke atas orang yang telah
mati di kalangan kamu surah Yasin”. (Hadis riwayat Abu Dawud,
an-Nasa’i, Ibn Majah, Ahmad, al-Hakim dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya)
Terjemahan
ini berdasarkan kepada zahir lafaz hadis bagi yang berpendapat
boleh sedekah pahala kepada si-mati dan menghukumkan
darjatnya hasan berdasarkan penilaian Abu Dawud, al-Hakim, Ibn Hibban, Ibn
Hajar dan al-Suyuti. Manakala, sebahagian ulama lain mentafsirkannya, “…orang
yang hendak mati di kalangan kamu” dan menghukumkan tarafnya daif.
3- Hadis:
عَنْ جَابِرٍ قَالَ: قَالَ
رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: « مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَنْفَعَ
أَخَاهُ فَلْيَنْفَعْهُ ». (رواه مسلم وابن ماجه وأحمد)
Terjemahan:
Dari Jabir RA berkata: Rasulullah
SAW bersabda: “Sesiapa yang mampu dari kalangan kamu untuk memberi manfaat
kepada saudaranya, maka berilah manfaat kepadanya”. (Hadis riwayat Muslim, Ibn
Majah dan Ahmad)
Jika dalam hal urusan dunia kita digalakkan
oleh syarak supaya saling bantu membantu antara satu sama lain, apatah lagi
dalam hal urusan akhirat yang merupakan suatu kehidupan yang kekal abadi.
4. Hadis Nabi SAW meletakkan pelepah
kurma di atas kubur.
Dari Ibnu ‘Abbas, katanya:
“Bahawa Nabi SAW pernah melewati dua buah kubur, lalu baginda bersabda:
“Kedua-dua mereka sedang diseksa, padahal mereka diseksa bukanlah kerana
melakukan perkara besar. Adapun salah seorang daripada mereka, ia selalu tidak betul-betul
bersuci (istibra’) dari kencingnya. Manakala yang seorang lagi pula suka
mengadu domba.” Kemudian Nabi mengambil satu pelepah kurma hijau, lalu
dibelahnya menjadi dua. Lantas, baginda menanamkan setiap satunya pada
kedua-dua kubur tersebut. Para sahabat
bertanya: “Ya Rasulullah, mengapa tuan berbuat demikian?” Jawab baginda:
“Moga-moga kedua-dua mereka diberi keringanan selama pelepah ini belum kering” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam
kisah yang lain, menurut riwayat Muslim, Nabi SAW menyuruh Jabir RA mengambil
dua pelepah kurma, lalu baginda meletakkan setiap satunya di atas dua buah
kubur dan bersabda: “Aku telah melewati dua buah kubur yang kedua-dua
penghuninya diazab, maka aku ingin supaya dengan syafaatku ia diangkat daripada
mereka berdua selamamana kedua-dua pelepah ini masih basah”. Dalam kisah yang
lain lagi, menurut riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya, Nabi SAW melewati
sebuah kubur, lalu baginda meminta dua pelepah kurma, maka salah satunya
diletakkan di sebelah kepala mayat dan satu lagi diletakkan di sebelah kakinya.
Kata Imam al-Khattabi: “Padanya terdapat dalil istihbab (disukai) membaca
al-Quran di atas kubur kerana jika dapat diharapkan terhadap si mati agar diringankan
azab dengan sebab tasbih tumbuh-tumbuhan, maka bacaan al-Quran itu tentu lebih
besar lagi harapan dan barakahnya”. (‘Umdah al-Qari)
5- Dalil kias dengan amalan haji, puasa, sedekah, doa dan istighfar yang
jelas sahih nas-nasnya.
Tohmahan Terhadap Ulama Mazhab
Syafi'i
Antara kritikan yang dilontarkan kepada
ulama-ulama Syafi'i yang berpendapat boleh memberi sedekah pahala untuk si-mati
ialah kononnya mereka membelakangi Imam al-Syafi'i dan tidak bertaklid
kepadanya dalam isu ini kerana Imam al-Syafi'i mengatakan tidak sampai pahala
kepada si-mati. Adakah ini benar? Sedangkan ada kenyataan jelas daripada Imam
al-Syafi'i sendiri yang zahirnya bertentangan dengan apa yang dinukilkan
daripada beliau. Iaitu kata Imam al-Syafi'i dalam kitab al-Umm:
وأحب لو قرئ عند القبر ودعي للميت.
“Dan aku suka kalau dibacakan
(al-Quran) di sisi kubur dan didoakan untuk si mati”.
Imam al-Khallal meriwayatkan
dalam kitabnya al-Qira’ah ‘inda al-Qubur daripada al-Hasan bin al-Sabbah
al-Za‘farani: “Aku bertanya al-Syafi‘i tentang bacaan (al-Quran) di sisi kubur,
lalu beliau menjawab: Tidak mengapa”.
Barangkali timbul persoalan,
sekiranya pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati, mengapa Imam
al-Syafi‘i membenarkan bacaan al-Quran di kubur? Ini tidak lain selain memberi maksud
bahawa si-mati dapat memperolehi manfaat dengan bacaan al-Quran daripada orang
yang hidup itu. Jika tidak, tentu ia hanya suatu amalan yang sia-sia dan tidak
mungkin Imam al-Syafi‘i menggalakkan kepada sesuatu yang sia-sia seperti ini. Walaupun
dikatakan yang masyhur daripada beliau ialah pahala bacaan al-Quran tersebut tidak
sampai kepada si-mati.
Imam an-Nawawi, tokoh besar dalam
Mazhab Syafi'i telah menukilkan dalam kitab-kitabnya dua pendapat Imam
al-Syafi'i yang kelihatan bertentangan ini.
- Kata
Imam an-Nawawi dalam Riyad al-Salihin:
“Kata al-Syafi'i rahimahullah:
Disukai agar dibacakan di sisinya (si mati) sedikit daripada al-Quran.
Jika mereka mengkhatamkan al-Quran keseluruhannya itu adalah baik.”
- Kata
Imam an-Nawawi dalam al-Azkar: “Kata al-Syafi'i dan ashab: Disukai
agar mereka membacakan di sisinya (si mati) sedikit daripada al-Quran. Kata
mereka: Jika mereka mengkhatamkan al-Quran keseluruhannya itu adalah
baik. Telah kami riwayatkan dalam Sunan al-Baihaqi dengan isnad
hasan, bahawa Ibnu ‘Umar RA menyukai agar dibaca di atas kubur
sesudah pengebumian awal surah al-Baqarah dan akhirnya”.
- Selang
beberapa lembar dalam al-Azkar, Imam an-Nawawi menyebut pula: “Ulama berselisih tentang sampainya pahala
bacaan al-Quran. Maka yang masyhur dari mazhab al-Syafi'i dan
sekumpulan ulama bahawa ia tidak sampai. Manakala Ahmad bin Hanbal,
sekumpulan ulama dan sekumpulan ashab al-Syafi'i berpendapat bahawa
ianya sampai".
- Kata al-Imam al-Nawawi dalam Fatawanya (hlm. 83): "Masalah: Adakah sampai kepada si-mati pahala apa yang disedekahkan untuknya, doa, ataupun bacaan al-Quran? Jawapan: Sampai kepadanya pahala doa dan pahala sedekah dengan IJMAK ULAMA. Dan mereka berselisih pula tentang pahala bacaan al-Quran. Maka kata Ahmad dan sebahagian ashab al-Syafi'i: Ia sampai. Manakala kata al-Syafi'i dan kebanyakan ulama: Tidak sampai".
- Kata al-Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim (7/90): “Pendapat yang masyhur dalam mazhab kami (Imam al-Syafi'i) bahawa bacaan al-Quran untuk si mati tidak sampai pahalanya kepadanya. Manakala, kata sekumpulan ashab kami (al-Syafi'iyyah): Sampai pahalanya kepadanya. Ini juga pendapat Ahmad bin Hanbal".
- Kata al-Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu‘: “Disukai agar menunggu seketika di atas kubur selepas pengebumian, berdoa dan beristighfar untuk si mati. Ini telah dinyatakan oleh al-Syafi'i dan disepakati oleh ashab. Kata mereka: Disukai agar dibacakan di sisinya sedikit daripada al-Quran dan jika mereka mengkhatamkan al-Quran, itu adalah afdal (lebih baik)”.
Secara ringkas, meskipun Imam
al-Syafi'i tidak jelas mengatakan bahawa memberi sedekah pahala dapat sampai
kepada si-mati, namun beliau seperti yang jelas dalam kitabnya sendiri yang
dapat kita faham daripadanya, berpendapat bahawa si-mati dapat memperoleh
manfaat daripada amalan orang yang hidup. Bagi keluar dari sedikit kekeliruan
ini, ulama Syafi'i telah menghuraikan dengan lebih lanjut dengan menyatakan bahawa
kita perlu berDOA selepas bacaan al-Quran tersebut agar disampaikan pahalanya
kepada si-mati, kerana DOA yang dipohonkan akan sampai kepada si-mati secara
ijmak ulama. Kata Imam an-Nawawi dalam al-Azkar: “Pendapat yang dipilih ialah hendaklah pembaca mengucapkan
selepas selesai daripadanya: Ya Allah, sampaikanlah pahala apa yang kubaca
ini kepada si fulan, wallahu a‘lam”.
Menurut Syeikhul Islam Zakaria
al-Ansari dalam Fath al-Wahhab: “Apa yang disebut sebagai pendapat yang
masyhur dalam mazhab itu dimaksudkan sekiranya ia dibaca bukan di hadapan si
mati dan tidak meniatkan pahala bacaannya kepadanya, atau ada meniatkannya
tetapi tidak berdoa”. Jadi kata-kata Imam al-Syafi'i dalam kitab al-Umm:
“Dan aku suka kalau dibacakan (al-Quran) di sisi kubur dan diDOAkan untuk si
mati”, bermaksud jika kita tidak berDOA selepas bacaan al-Quran tersebut
memohon agar disampaikan pahalanya kepada si-mati, maka ia tidak akan sampai
kepada si-mati. Inilah maksud sebenar Imam al-Syafi'i, wallahu a‘lam.
Ini pun yang sebenarnya diamalkan
oleh kebanyakan orang yang mengharuskan amalan tersebut, di mana mereka akan berDOA
memohon agar disampaikan pahala amalan yang dilakukan kepada si-mati. Selain
bacaan al-Quran, termasuk juga bacaan tahlil, zikir dan juga selawat. Ini
berdasarkan dalil umum hadis sahih yang menyebut bahawa kalimah yang baik itu
juga merupakan sedekah (الكلمة
الطيبة صدقة). Dan pahala SEDEKAH
juga sampai kepada si-mati secara ijmak ulama.
Kata Imam al-Qurtubi dalam al-Tazkirah: “Asal dalam bab ini ialah
SEDEKAH yang tiada ikhtilaf padanya. Maka sebagaimana sampai kepada si mati
pahalanya, maka demikian juga sampainya bacaan al-Quran, doa dan istighfar
kerana semua itu adalah SEDEKAH. Sesungguhnya sedekah itu tidak terkhusus hanya
dengan harta sahaja”. Sebab itu amalan dalam masyarakat kita ialah berdoa menyebut:
“Pahala bacaan ini kita SEDEKAHkan kepada si fulan, si fulan...”.
Karya-karya ulama berkaitan isu ini
Para ulama telah membincangkan masalah ini secara panjang lebar berserta
hujah-hujah dan dalil-dalil dalam banyak karya yang telah disusun secara khusus.
Antara karya-karya ulama dari berbagai mazhab berkaitan dengan masalah ini,
yang saya susun menurut kronologi kewafatan pengarangnya adalah sepertimana
berikut;
1- (القراءة عند القبور) oleh al-Imam Abu Bakr Ahmad bin Muhammad
bin Harun al-Khallal al-Hanbali (w. 311H).
2- (هدية الأحياء
للأموات وما يصل إليهم من النفع والثواب على ممر الأوقات) oleh al-Imam ‘Ali bin Ahmad bin Yusuf
al-Hakkari (w. 489H).
3- (كتاب صلات الأحياء إلى الأموات) oleh al-Imam ‘Abd al-Ghani bin ‘Abd
al-Wahid al-Maqdisi al-Hanbali (w. 600H).
4- (انتفاع الأموات بإهداء التلاوات
والصدقات وسائر القربات)
oleh al-Imam Abu Ishaq Ibrahim bin al-Muzaffar Ibn al-Barni al-Harbi al-Mawsili
al-Hanbali (w. 622H).
5- (نفحات النسمات في وصول الثواب إلى
الاموات) oleh al-‘Allamah Syihabuddin Abu al-‘Abbas
Ahmad bin Ibrahim al-Saruji al-Hanafi (w. 701H).
6- (رفع الأصوات في نفع الأموات) oleh al-‘Allamah Zainuddin
Sarija bin Muhammad al-Malti (w. 788H).
7 (الكواكب النيرات في وصول ثواب الطاعات
إلى الأموات) oleh al-‘Allamah Saaduddin Sa‘id bin Muhammad Ibn
al-Diri al-Maqdisi al-Hanafi (w. 867H).
8- (قرة العين بالثواب الحاصل للميت
والابوين) oleh al-Hafiz
Syamsuddin Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Sakhawi (w. 900H).
9- (رسالة في نفع مساعي الأحياء للأموات) oleh al-‘Allamah Awhaduddin
‘Abd al-Ahad al-Nawawi bin Mustafa bin Isma‘il bin Abi al-Barakat al-Siwasi (w.
1061H).
10- (القول البات في إيصال الثواب للأموات) oleh Syeikh Ibrahim bin Husain bin Ahmad
Ibn Biri al-Hanafi, mufti Hanafi di Makkah (w. 1099H).
11- (القول السديد في وصول ثواب فعل الخيرات
للاحياء والاموات بلا شك ولا ترديد)
oleh Syeikh ‘Isa bin ‘Isa al-Sifati al-Hanafi al-Buhairi (masih hidup tahun
1131H).
12- (رسالة في لحوق ثواب القراءة المهداة من
الأحياء إلى الأموات) oleh al-Imam
Muhammad bin ‘Ali al-Syawkani (w. 1250H).
13- (إفادة الطلاب
بأحكام القراءة على الموتى ووصول الثواب) oleh al-‘Allamah al-Sayyid
Muhammad bin Ahmad bin ‘Abdul Bari al-Ahdal (w. 1298H).
14- “Pembantu
Sekalian Orang Islam Dengan Harus Membaca al-Quran dan Sampai Pahalanya Kepada
Sekalian Yang Mati” oleh al-‘Allamah Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdul
Muttalib al-Mandili (w. 1385H).
15- (إسعاف المسلمين
والمسلمات بجواز القراءة ووصول ثوابها إلى الأموات) oleh al-‘Allamah Syeikh
Muhammad al-‘Arabi bin al-Tabbani al-Maliki al-Jaza’iri (w. 1390H).
16- (توضيح البيان لوصول ثواب القرآن) oleh al-‘Allamah al-Sayyid
‘Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari (w. 1413H).
17- (الآيات البينات في
وصول ثواب الطاعات والقراءة إلى الأموات) oleh Syeikh Ishaq ‘Aqil
‘Azzuz (w. 1415H).
18- (تحقيق
الآمال فيما ينفع الميت من الأعمال أو هدايا الأحياء للأموات) oleh Dr. al-Sayyid
Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani (w. 1426H).
19- “Sampaikah
Doa Amal Orang Hidup Untuk Yang Mati?” oleh Ustaz Salim bin Usman, Jakarta . Selesai ditulis pada tahun
1978.
20- (دفع الافتئات بجواز الجلوس للتعزية والقراءة للأموات) oleh Dr. ‘Isa bin ‘Abdullah bin Mani‘
al-Himyari.
21- “Sampaikan Pahala Kepada Si Mati” oleh Tuan Guru Hj. Yahya Zikri bin Alang Mat
Piah, Telok Intan.
22- “Sampaikah Amalan Orang Hidup Kepada Arwah?” oleh Syeikh Dr.
Muhammad Afifi al-Akiti, pensyarah di Universiti Oxford. Kitab kecil ini diberi kata-kata aluan oleh Mufti
Perak, Sahibus Samahah Dato' Seri Hj. Harussani bin Hj. Zakaria.
23- “Tahlil dan Kenduri Arwah Tidak Haram” oleh Ustaz Dr. Zamihan
Mat Zin al-Ghari.
24- “Benarkah Tahlilan & Kenduri Haram?” oleh Kiyai Muhammad
Idrus Romli.
25- (إهداء ثواب قراءة
القرآن للميت)
oleh ‘Ali bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Ali Dubais.
Jami‘ah al-Iman: http://www.jameataleman.org/main/articles.aspx?article_no=1302
26- (قراءة القرآن الكريم
يصل ثوابها للميت)
Markaz al-Fatwa, Islam Web, Jabatan Dakwah dan Bimbingan Agama, Kementerian
Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar.
27- Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Mesir.
29- Fatwa-fatwa ulama yang mengharuskan dalam isu ini amatlah banyak
sekali... Wallahu a‘lam.
# Berdasarkan penelitian, isu ini juga sebenarnya berasaskan prinsip saling
bantu membantu antara satu sama lain dalam kalangan sesama saudara Islam, sebagaimana
maksud firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu
bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu
bertolong-tolongan dalam melakukan dosa dan pencerobohan” (Al-Ma’idah: 2). Perbahasan
ini tentu sekali tidak berkaitan dengan orang-orang yang malas beramal ibadat
semasa hidup di dunia dan hanya mengharapkan sedekah pahala daripada orang lain
setelah ia mati kelak. Orang seperti ini hanya merugikan diri sendiri dengan
kerugian yang amat besar kerana ia meninggalkan sesuatu yang dijamin baginya
dan mengharapkan sesuatu yang belum dijamin baginya. Apakah pasti nanti ada orang
yang akan menyedekahkan pahala kepadanya? Berapa banyakkah yang ia akan
perolehi berbanding jika ia lakukan amal ibadat sendiri? Apakah ia pasti akan
terlepas dari beban kewajipan-kewajipan yang ditinggalkan dan dosa-dosa yang
dilakukan? Ia sewajarnya mengetahui bahawa perkara ini hanyalah di atas ijtihad
para ulama dan bukannya sesuatu yang diijmakkan oleh mereka kecuali yang telah
nyata sabit nas-nasnya. Semoga Allah SWT memelihara kita semua. Amin…
وفقنا الله لما يحب ويرضى...
No comments:
Post a Comment