Pages

Monday, November 27, 2017

Benarkah Imam as-Syafi‘i Mencela Tasawuf?




Diriwayatkan bahawa Imam as-Syafi‘i berkata:
"ﻟﻮ ﺃﻥّ ﺭﺟﻼً ﺗﺼﻮّﻑ ﻣِﻦ ﺃﻭّﻝ ﺍﻟﻨﻬﺎﺭ ﻟﻢْ ﻳﺄﺕ ﻋﻠﻴﻪ ﺍﻟﻈّﻬﺮ ﺇﻻّ ﻭﺟﺪﺗﻪ ﺃﺣْﻤَﻖ."
Sekiranya seorang lelaki bertasawuf daripada awal pagi, tidak akan sampai kepadanya waktu zohor melainkan kamu akan mendapatinya jadi bodoh.” (Riwayat al-Baihaqi dalam Manaqib as-Syafii)  

Ulasan:

1. Pertama yang perlu difahami, Imam as-Syafi‘i (w. 204H) antara mereka yang hidup dalam 200 tahun hijrah yang pertama, di mana setiap disiplin ilmu Islam pada era tersebut seperti akidah, fiqh, hadis, usul termasuk tasawuf serta istilah-istilah yang digunakan pada setiap disiplin masih dalam proses pembentukan dan penyusunan serta belum lagi mencapai tahap akhir. Ramai salaf dalam era ini lebih mengenali istilah ‘abid dan zahid, berbanding istilah sufi, yang hakikatnya juga daripada asas dan prinsip yang sama. Justeru, ucapan Imam as-Syafi‘i di atas perlulah dianalisis dengan cermat.    

2. Berdasarkan konteks ucapan, ia boleh jadi ditujukan kepada orang yang mendakwa-dakwi sebagai ahli sufi secara luaran sahaja dan menyangka ia sudah mencapai peringkat sempurna. Imam al-Baihaqi (w. 458H) kelihatan lebih memahami situasi ucapan ini, jelas beliau: “Sesungguhnya yang dimaksudkan ialah orang yang masuk dalam kalangan ahli sufi, namun ia merasa cukup dengan sekadar nama sahaja berbanding makna sebenar, dan dengan zahir luaran sahaja berbanding hakikat dalaman. Ia juga meninggalkan usaha dan mencampakkan bebannya kepada kaum muslimin. Ia tidak peduli dengan mereka dan tidak juga menjaga hak-hak mereka. Ia tidak menyibukkan diri dengan ilmu mahu pun ibadah.” (Manaqib as-Syafii oleh Imam al-Baihaqi, 2/128, ikhtisar & ta’liq Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki)  

3. Ucapan tersebut juga boleh dianggap kiasan yang ditujukan kepada orang yang bertasawuf tanpa ilmu. Ini kerana tasawuf merupakan amal dan amal pula berpaksikan kepada ilmu. Jika seseorang beramal tanpa ilmu, maka sudah pasti kerosakan dan kefasadan yang akan dilakukan lebih besar lagi. Orang jahil yang terus mula bertasawuf dan bukannya mula berguru menimba ilmu, akan dan telah membawa banyak fitnah kepada ahli sufi yang hak semenjak dahulu. Justeru, amal mesti didasari dengan ilmu agar kualiti yang baik dapat dijamin.  

4. Malah dari sisi positif, lafaz ‘bodoh’ juga boleh ditafsirkan sebagai bodoh tentang hal ehwal dunia atau bodoh tentang hal urusan orang lain. Ini kerana bertasawuf bukanlah bermaksud melakukan ritual bidaah tertentu umpama orang dungu, sebagaimana sangkaan golongan yang jahil tentang mereka. Tetapi maksud bertasawuf ialah berterusan dalam keadaan sentiasa berzikir kepada Allah SWT dan bermuraqabah serta istiqamah beramal ibadah seperti solat, puasa, membaca al-Quran dan sebagainya daripada amalan-amalan taqarrub kepada Allah SWT. Maka, tidak masuk akal jika tasawuf ini yang dimaksudkan oleh Imam as-Syafi‘i hingga menjadikan seseorang itu bodoh sebelum waktu zohor! Kecuali ‘bodoh’ yang dimaksudkan ialah bodoh tentang hal ehwal dunia yang fana atau bodoh tentang hal urusan dan aib orang lain.

5. Jika Imam as-Syafi‘i mahu menegah orang ramai secara tegas daripada tasawuf, beliau boleh menggunakan gaya bahasa yang lebih jelas dan mudah difahami, seperti lafaz ‘لا تصوفوا’ (jangan kamu bertasawuf..) dan seumpamanya yang menunjukkan tegahan dan larangan, berbanding ucapan samar di atas yang bermula dengan lafaz ‘لو’ (sekiranya..). Imam as-Syafi‘i juga secara jelas boleh menyebut akibatnya menjadi sesat, bukannya menjadi bodoh. Atau terus menghukum sesat sejak awal lagi dan tidak perlu bertangguh menunggu sampai waktu zohor untuk menghukum sesat pada setiap hari, sebagaimana halnya kumpulan-kumpulan sesat yang ada di zaman beliau seperti Rafidhah, Khawarij, Muktazilah dll.  

6. Antara yang membuktikan ucapan tersebut bukan sebagaimana yang difahami secara zahir ialah ucapan tersebut hanya dinukilkan daripada Imam as-Syafi‘i dan tiada dinukilkan daripada tokoh-tokoh lain yang sezaman dengannya, sama ada ucapan yang senada dengan maknanya atau ucapan yang membenarkannya atau yang menyokongnya sebagai testimoni ke atas dakwaan bahawa ramai ahli sufi telah menjadi bodoh kerana bertasawuf. Oleh kerana tidak ada bukti dan dalil hidup ke atas dakwaan tersebut, maka ucapan Imam as-Syafi‘i itu perlu difahami menerusi kaedah yang betul sebagaimana penjelasan Imam al-Baihaqi di atas.   

7. Malah Imam as-Syafi‘i hidup sezaman dengan ramai pemuka besar sufi dan juga murid-murid mereka, seperti Ibrahim bin Adham (w. 161H), Dawud at-Ta’i (w. 165H), al-Fudhail bin ‘Iyadh (w. 187H), Syaqiq al-Balkhi (w. 194H), Ma‘ruf al-Karkhi (w. 200H), Idris al-Khawlani (211H), Abu Sulaiman al-Darani (w. 215H), Bisyr al-Hafi (w. 227H), Ibn Abi al-Hawari (w. 230H), Hatim al-Asom (w. 237H) dan lain-lain. Jika mereka golongan sesat, sewajarnya Imam as-Syafi‘i mengkritik atau menjarhkan mereka secara terang-terangan kerana mereka adalah pemuka-pemuka ahli sufi yang menerusi merekalah berpengaruh dan berkembangnya ajaran tasawuf secara lebih luas di zaman-zaman berikutnya. Namun, Imam as-Syafi‘i jelas tidak memaksudkan mereka.    

8. Imam as-Syafi‘i sendiri pernah memuji seorang qari sufi, seperti yang diriwayatkan oleh Isma‘il at-Tayyan ar-Razi katanya: Aku tiba di Makkah, lalu aku bertemu as-Syafi‘i. Lantas beliau bertanya kepadaku: ‘Apakah engkau kenal Musa ar-Razi? Tidak ada yang datang kepada kami dari arah timur yang lebih mahir tentang Kitab Allah daripadanya.’ Maka, aku pun berkata kepadanya: ‘Wahai Abu Abdillah, gambarkanlah ia kepadaku’. Beliau berkata: ‘Seorang yang berumur yang datang kepada kami dari Ray’. Lalu beliau menggambarkannya kepadaku sehingga aku kenal sifatnya bahawa dia adalah Abu ‘Imran as-Sufi. Lantas aku berkata: ‘Aku kenal dia, iaitulah Abu ‘Imran as-Sufi.’ Beliau pun membalas: ‘Dialah itu.’ (Adab as-Syafi‘i wa Manaqibuh oleh Ibn Abi Hatim, h. 164)

9. Diriwayatkan, Imam as-Syafi‘i telah berdamping dengan ahli sufi selama 10 tahun (Manaqib as-Syafii oleh Imam al-Baihaqi, 2/128, ikhtisar & ta’liq Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki). Jika mereka itu golongan batil, tentu beliau tidak akan mengambil masa yang sangat lama untuk mengesan kebatilan mereka. Ini kerana beliau adalah seorang alim mujtahid yang luar biasa bijaksananya sehingga beliau diizinkan berfatwa ketika berusia 15 tahun, dan sudah tentu beliau boleh mengesan kebatilan mereka dalam tempoh yang sangat singkat. Adalah tidak masuk akal jika beliau melihat dan membiarkan ahli sufi menjadi bodoh setiap hari sebelum zohor hingga berlangsung selama tempoh 10 tahun!  

10. Imam as-Syafi‘i sendiri hidup sebagaimana hidupnya ahli sufi dengan sifat warak dan zuhudnya. Diriwayatkan bahawa perut beliau tidak pernah kenyang selama 12 tahun, manakala riwayat lain menyebut 16 tahun, 17 tahun sehingga 20 tahun. Dalam tempoh tersebut, beliau hanya pernah kenyang sekali, namun yang itu pun dimuntahkannya semula. Beliau juga biasa hidup dalam keadaan fakir sehingga beliau tidak takut lagi dengan kefakiran. (Manaqib as-Syafii oleh Imam al-Baihaqi, 2/109-110, ikhtisar & ta’liq Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki)   

11. Imam as-Syafi‘i juga punya amal ibadah yang jarang dapat ditandingi oleh ramai ahli sufi di zamannya. Siapa yang mampu menandingi beliau mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali setiap bulan Ramadhan, selain khatam 30 kali setiap bulan? Berapa ramai yang mampu berqiamullail sepanjang satu pertiga malam pada setiap hari di sepanjang hidupnya? (Manaqib as-Syafii oleh Imam al-Baihaqi, 2/105, ikhtisar & ta’liq Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki). Kelazatan ibadah sebegini yang ingin dicapai oleh ahli sufi. Inilah buahnya tasawuf. Jika beliau bukan benar-benar ahli sufi, maka tidak wujudlah ahli sufi yang sebenar jika begitu. Cuma title ‘mujtahid’ yang diberi pada beliau sudah pun mencakupi kesemua aspek pencapaian dan martabat tertinggi. Bahkan, beliau juga diangkat lebih tinggi lagi daripada itu oleh ramai ulama, iaitu sebagai MUJADDID kurun kedua Hijrah.    

رحمه الله تعالى ورضي عنه



No comments: