Pages

Friday, July 20, 2012

Syeikh ‘Abdul Ghani bin Soleh al-Ja‘fari رحمه الله تعالى


  
إنا لله وإنا إليه راجعون

Berita tentang perginya tokoh sufi ini saya terima pada malam tadi melalui sms daripada seorang teman.

Nama penuh tokoh ini ialah Syeikh ‘Abdul Ghani bin Syeikh Soleh bin Muhammad bin Soleh bin Muhammad bin Rifa‘i yang bersambung keturunannya dengan Saidina Ja‘far al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin bin al-Husain bin Saidina ‘Ali bin Abi Talib, suami Saidatina Fatimah al-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w.

Bapanya, Syeikh Soleh, adalah antara tokoh ulama al-Azhar yang masyhur di zamannya. Beliau merupakan imam dan khatib Masjid al-Azhar dan juga pengamal Tariqat Ahmadiyyah. Beliau giat mengembangkan tariqatnya sehingga ia kemudian dikenali sebagai Tariqat Ja‘fariyyah Ahmadiyyah Muhammadiyyah. Setelah kewafatannya, Syeikh ‘Abdul Ghani mewarisi dan memikul daripada bapanya tugas memimpin Tariqat Ja‘fariyyah yang terus berkembang luas di bawah pimpinannya.

Syeikh ‘Abdul Ghani dilahirkan di Dinqala, Sudan dan merupakan anak lelaki tunggal Syeikh Soleh. Beliau dijaga oleh datuknya kerana Syeikh Soleh meninggalkan isteri dan anaknya bersama keluarganya apabila beliau berhijrah ke Mesir untuk belajar di al-Azhar. Syeikh Soleh kemudian terus menetap di Mesir bertugas sebagai tenaga pengajar dan khatib di Masjid Al-Azhar. Anaknya, Syeikh ‘Abd al-Ghani terus membesar dan mempelajari ilmu agama serta menghafaz al-Quran di tempat kelahirannya.

Ketika berusia 10 tahun, Syeikh ‘Abdul Ghani mengambil tariqat dari bapanya, Syeikh Soleh. Seawal usia 14 tahun, Syeikh ‘Abdul Ghani telah mengarang qasidah Hijrah yang masyhur dibaca hingga hari ini setiap kali menjelang sambutan Awal Hijrah. Setelah tamat pengajian, beliau bertugas sebagai guru di peringkat sekolah rendah. Beliau telah menyandang berbagai jawatan dalam bidang pendidikan dan pentadbiran dari guru sekolah rendah hinggalah kepada pegawai penyelia pelajaran.

Selepas wafat bapanya pada tahun 1979, di atas rasa tanggungjawab Syeikh ‘Abdul Ghani telah berhijrah ke Mesir untuk mengambil alih tempat bapanya. Langkah pertama yang diambil beliau ialah mendaftarkan Tariqat Ja‘fariyah di bawah al-Majlis al-A‘la li al-Turuq al-Sufiyyah, Mesir (Majlis Tertinggi Tariqat Sufi Mesir). Beliau menggunakan gelaran “Syeikh Umum Tariqat”. Beberapa anak murid Syeikh Soleh memberitahu, Syeikh ‘Abdul Ghani dipilih atas arahan dari Rasulullah s.a.w kepada Syeikh Soleh. Lalu, di akhir hayat Syeikh Soleh, Syeikh ‘Abdul Ghani telah diangkat sebagai bakal pengganti Syeikh Soleh yang berlangsung di tanah suci Mekah. (Berdasarkan qasidah karangan Syeikh ‘Abdul Ghani)

Di zaman Syeikh ‘Abdul Ghani inilah, berkembangnya tariqat ini terutama di Mesir. Boleh dikatakan setiap muhafazah (negeri) terdapat markaz Tariqat Ja‘fariyah. Di muhafazah Aswan sahaja terdapat hampir 20 buah markaz selain di muhafazah lain seperti Iskandariah, Helwan, Bani Suwef, Asyut, Isna, Mahalah Kubro, Qalyubiyyah, Manufiyah, Luxor dan Qina. Di Kaherah, antara markaz Tariqat Ja‘fariyah ialah di al-Amiriyyah, Darul Salam, Jabal Asfar. Masjid di Darrasah, Kaherah sekarang ini pula beroperasi sebagai Markaz Induk bagi Tariqat Ja‘fariyah.

Syeikh ‘Abdul Ghani amat mengambil berat dalam menerbitkan dan menyebarkan karya-karya bapanya dan juga karya-karya tasawuf lain secara umumnya. Penubuhan Maktabah Jawami‘ al-Kalim di Jalan Ja‘fari, Darrasah adalah diilhamkan oleh Syeikh ‘Abdul Ghani awal tahun 1980.

Beliau juga telah meninggalkan beberapa hasil penulisan, antaranya:
  1. (من وحى المنبر)
  2. (المختار من مدائح المختار) terdiri daripada 130 qasidah di dalam dua juzuk.
  3. (الكنز الثرى في مناقب الجعفري) biografi bapanya, Syeikh Soleh.
  4. (ختمة القرآن الكريم)
  5. (حصن الأمان)
  6. (مفتاح الدخول للطريقة الجعفرية)
  7. (منهاج الطريقة الجعفرية)
  8. (الطريقة الجعفرية شيخاً ومنهاجاً)

Hingga kini, Tariqat Ja‘fariyyah telah berkembang dan mempunyai markaz di Libya, Sudan, Kuwait dan juga Malaysia. Bahkan ramai di kalangan warga Nigeria, Jordan dan Thailand mengambil tariqat dari Syeikh ‘Abdul Ghani.

Kepada Abna’ Ja‘fariyyah diucapkan takziah…


Wednesday, July 4, 2012

Kekeliruan Tentang Bertemu Nabi SAW Secara Jaga

نحمد الله العظيم، ونصلّي ونسلّم على رسوله الكريم؛

Perkara khilaf seumpama ini, jika tidak disertai dengan nada ‘keras’, tidak perlu untuk diperpanjang-panjangkan lagi. Namun, jika sudah menggunakan nada ‘keras’ seperti; “membuka pintu kefasadan yang besar”, “membawa kecelaruan dalam amalan agama”, “memusnahkan rujukan penting umat Islam”, “perlu dibendung kerana membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam” dan “menjauhkan mereka dari ajaran Nabi s.a.w.”, maka menurut hemat saya kekeliruan-kekeliruan seumpama ini wajar diperjelaskan. [*Saya tidak mahu menyebut siapa dan dari mana sumber kekeliruan ini kerana pada saya ia tidak perlu]

1. Kekeliruan:
Seseorang tidak boleh bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. kerana seseorang yang mati tidak lagi boleh bertemu dengan orang yang hidup secara sedar. 

Jawapan:
Benar, dalam hal keadaan biasa seseorang tidak boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Tetapi, sebagai suatu karamah seseorang yang soleh boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Hukumnya adalah harus dan mungkin, tidak mustahil. Malah secara praktis ia memang berlaku kepada sebahagian wali-wali Allah Taala dan orang-orang yang soleh. Maka tidak harus bagi kita menuduh mereka berbohong atau berdusta dalam dakwaan berkenaan. Melainkan jika kita mempunyai bukti kukuh tentang pembohongan atau pendustaan tersebut.

Antara mereka ialah; Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani, Syeikh Abu al-Hasan al-Syazili, Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi, Syeikhul-Akbar Muhyiddin Ibn al-‘Arabi, Syeikh Khalifah bin Musa, Syeikh Abu al-‘Abbas al Mursi (w. 686H), Syeikh Abu ‘Abdillah al-Qurasyi, Syeikh Kamaluddin al-Adfawi, Syeikh ‘Ali al-Wafa’i, Syeikh ‘Abd al-Rahim al-Qinawi, Syeikh Abu Madyan al-Maghribi, al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Syeikh ‘Ali al-Khawwas, Syeikh Ibrahim al-Matbuli, Imam Abu al-‘Abbas al-Qastallani, Syeikh Abu al-Su‘ud ibn Abi al-‘Asya’ir, Syeikh Ibrahim al-Dusuqi, Sayyid Nuruddin al-Iji, Syeikh Ahmad al-Zawawi, Syeikh Mahmud al-Kurdi, Syeikh Ahmad bin Thabit al-Maghribi, Imam al-Sya‘rani, Syeikh Abu al-Mawahib al-Syazili, Syeikh Nuruddin al-Syuni, al-Habib ‘Umar bin ‘Abdul Rahman al-‘Attas (penyusun Ratibul ‘Attas), Sayyidi ‘Abd al-‘Aziz al-Dabbagh, Syeikh Muhammad bin Abi al-Hasan al-Bakri, Sayyidi Ahmad bin Idris, Syeikh Ahmad al-Tijani dan lain-lain.

Antara dalilnya adalah zahir hadis berikut yang menunjukkan seseorang yang soleh boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., tetapi dengan syarat mestilah pernah bertemu dahulu secara mimpi (ru’ya) dengan baginda s.a.w. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 
« من رآني في المنام فسيراني في اليقظة، ولا يتمثل الشيطان بي»
Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka dia akan melihatku secara yaqazah (di dalam keadaan jaga), kerana syaitan tidak boleh menyerupaiku”. [Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad. Lafaznya dari al-Bukhari]

Antara ulama yang mengatakan atau mengiktiraf kemungkinan boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ialah:
1.      Imam Ibn Abi Jamrah al-Maliki dalam Bahjah al-Nufus.
2.      Al-‘Allamah Ahmad al-Nafrawi al-Maliki dalam Syarh Risalah Ibn Abi Zayd.
3.      al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari.
4.      al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti dalam Tanwir al-Halak fi Imkan Ru’yah an-Nabi wa al-Malak.
5.      Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim.
6.      Imam al-Ghazali dalam al-Munqiz min al-Dhalal.
7.      Imam Syihabuddin al-Qarafi,
8.      Imam Afif al-Din al-Yafi‘i al-Syafi‘i dalam (روض الرياحين).
9.      Al-‘Allamah Ibn al-Haj al-Maliki dalam al-Madkhal.
10.  Al-Qadhi Ibnu al-‘Arabi al-Maliki dalam kitabnya (قانون التأويل).
11.  Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari (w. 709H) dalam kitab Lata’if al-Minan.
12.  Al-Qadhi Syaraf al-Din al-Barizi dalam (توثيق عرى الإيمان).
13.  Imam Tajuddin al-Subki.
14.  Imam al-Qurtubi dalam (التذكرة في أحوال الموتى وأمور الآخرة).
15.  Al-‘Allamah Ibn Battal al-Maliki
16.  Al-‘Allamah Ibn al-Tin
17.  Imam ‘Izz al-Din ibn ‘Abd al-Salam dalam al-Qawa'id al-Kubra.
18.  Al-‘Allamah Mulla ‘Ali al-Qari dalam Syarh al-Syama'il.
19.  Al-Qadhi Ibn al-Munayyir.
20.  Imam Ibn Daqiq al-‘Id.
21.  Imam ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani dalam beberapa kitabnya.
22.  Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah.
23.  Al-‘Allamah ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi dalam Faydh al-Qadir.
24.  Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdullah al-‘Idrus (w. 1038H) dalam kitabnya al-Nurus Safir ‘an Akhbaril Qarnil ‘Asyir.
25.  Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi dalam al-Mufhim.
26.  Imam al-Qastallani dalam al-Mawahib al-Laduniyyah.
27.  Imam al-Baqillani.
28.  Al-‘Allamah Sadruddin al-Qunawi dalam Syarh al-Arba‘in.
29.  Al-‘Allamah Burhanuddin al-Biqa’i dalam al-Hawi.
30.  Al-Qadhi ‘Iyadh al-Maliki.
31.  Al-‘Allamah al-Maziri.
32.  Al-‘Allamah Nuruddin al-Iji.
33.  Al-‘Allamah ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi dalam Syarh Salawat al-Jaylani.
34.  Syeikh Ahmad ibn ‘Ajibah al-Hasani (w. 1224H) dalam al-Futuhat al-Ilahiyyah.
35.  Al-‘Allamah Syeikh Ibn ‘Allan al-Siddiqi.
36.  Al-‘Allamah Najmuddin al-Ghazi dalam kitabnya al-Kawakib al-Sa’irah.
37.  Imam Syah Waliy Allah al-Dihlawi dalam al-Durr al-Thamin.
38.  Al-‘Allamah al-Alusi dalam tafsir Ruh al-Ma'ani.
39.  Sayyid ‘Abdul Rahman al-‘Idrus dalam kitab Syarh Salawat al-Badawi.
40.  Syeikh ‘Ali al-Ajhuri al-Maliki dalam al-Nur al-Wahhaj.
41.  Syeikh Muhammad al-Khalili dalam al-Fatawa.
42.  Syeikh ‘Abdullah Sirajuddin al-Halabi dalam al-Solat 'ala al-Nabiy.
43.  Al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani dalam Sa‘adah al-Darayn, Syawahidul Haq dan Jami‘ Karamatil Auliya’.
44.  Syeikh Badi al-Zaman Said al-Nursi.
45.  Syeikh Ibrahim al-Bajuri dalam Syarh al-Syama’il.
46.  Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf.
47.  Syeikh Abu al-Qasim Muhammad al-Hafnawi dalam Ta'rif al-Khalaf.
48.  Al-‘Allamah Dr. ‘Abdul Halim Mahmud, Syeikhul Azhar.
49.  Al-‘Allamah Sayyid ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam kitabnya Fadha’ilun Nabi SAW.
50.  Al-‘Allamah Dr.  Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki dalam al-Zakha’ir al-Muhammadiyyah. 
51.  Al-‘Allamah Dr. Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti.
52.  Al-Allamah Dr. ‘Ali Jum‘ah, Mufti Mesir dalam al-Bayan.
53.  Dr. ‘Umar ‘Abdullah Kamil,
54.  Dr. Mahmud al-Zayn.
55.  Datuk Seri Maharaja Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Mufti Brunei.

Dan ramai lagi jika diperincikan secara detil.

2. Kekeliruan:
Iktikad seperti ini membuka pintu kefasadan yang besar dan seterusnya membawa kecelaruan dalam amalan agama. Ini kerana, seseorang yang telah berjumpa Nabi s.a.w. seterusnya akan mendakwa ajaran-ajaran tambahan yang diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya.

Jawapan:
Belum ada orang mukmin soleh yang telah berjumpa Nabi s.a.w. mendakwa membawa ajaran-ajaran tambahan yang diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya, dalam erti kata, ajaran-ajaran tambahan yang tidak ada asalnya dalam al-Quran mahupun hadis. Kesemua yang dinyatakan sekiranya betul, hanyalah berbentuk petunjuk dan nasihat yang tidak lari dari ruang lingkup syarak, atau mempunyai asalnya daripada al-Quran dan hadis.

Kata al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani (w. 1398H):

Kami tidak beriktikad bahawa di sana - selepas Rasulullah SAW - terdapat suatu syariat baru dalam apa jua bentuk sekalipun. Dan apa yang dibawa oleh baginda SAW mustahil untuk dimansuh sebahagian daripadanya, atau ditambah sesuatu terhadapnya. Sesiapa yang mendakwa sedemikian, maka dia adalah kafir terkeluar daripada agama Islam.

Sesungguhnya kami, meskipun kami berpendapat harus seorang wali itu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap hukumnya adalah sama seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat dipegang kecuali atas apa yang menepati syariatnya SAW. Penyaksian-penyaksian para wali itu bukanlah suatu hujah, tetapi yang menjadi hujah adalah syariat Muhammad SAW. Adapun  penyaksian-penyaksian tersebut, hanyalah berita-berita gembira (busyra) yang terikat dengan syariat baginda yang mulia; apa yang diterima olehnya kami juga menerimanya dan apa yang tidak diterima olehnya, maka mazhab kami adalah bersangka baik padanya. Maka kami hukumkannya seperti hukum mimpi yang tertakwil.

Kita tidak ragu lagi bahawa kebanyakan mimpi itu perlu kepada takwil/tafsir. Namun, kami memilih bersangka baik kerana seorang mukmin yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah SWT, dan ia sayang terhadap agamanya, serta patuh mengikutinya, kami menolak bahawa ia sengaja berdusta ke atas Rasulullah SAW. Keadaan berjaga dalam perkara ini adalah sama seperti keadaan tidur, sedang dia membaca sabdaan baginda SAW: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya daripada api neraka”. – tamat kata-kata Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani

3. Kekeliruan:
Dengan itu, segala hadis yang telah dikumpul oleh para ulamak yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan. Ini kerana sudah ada sumber hadis lain yang lebih dekat kepada baginda. 

Jawapan:
Kekeliruan ini hanya pendapat akal dan khayalan semata-mata yang tidak berpijak kepada realiti yang berlaku dalam dunia kerohanian ahli-ahli sufi yang hak. Tiada siapa dari kalangan wali-wali Allah Taala dan orang-orang soleh ini mengatakan segala hadis yang telah dikumpul oleh para ulama yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan kerana sudah ada sumber hadis lain yang lebih dekat kepada baginda. Pada saya, kekeliruan kerana berkhayal ini disebabkan kerana tidak cukup menelaah, membaca dan memahami.

4. Kekeliruan:
Setelah situasi ini wujud maka banyaklah amalan-amalan yang boleh ditambah dan diwujudkan berdasarkan arahan langsung daripada Rasulullah kepada guru atau orang yang mencapai darjat menemui Rasul s.a.w.

Jawapan:
Sudah ratusan tahun isu bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ini dibincangkan oleh para ulama. Namun, hakikatnya tiada langsung akidah baru atau hukum-hakam baru yang didakwa oleh orang-orang soleh dan wali-wali Allah Taala yang pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Kebanyakannya jika betul adalah berkaitan zikir, doa dan selawat. Dan kesemua itu pula tidak terkeluar dari dalil-dalil dan perintah-perintah syarak yang umum mengenainya. Bahkan menurut ramai ulama, masalah-masalah yang khusus berkaitan zikir dan doa ini pintu perbahasannya adalah lebih luas, tidak sepertimana amalan-amalan ibadah lain, selamamana ia tidak melanggar batas-batas syarak. Jika benar ada penerimaan sesuatu secara yaqazah, maka hukumnya adalah seumpama hukum apa yang diperolehi daripada kasyaf, ilham dan mimpi yang benar. Mesti ditimbang dengan neraca syarak.

Cuba perhatikan kata-kata Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani tadi:

Meskipun kami berpendapat harus seorang wali itu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap hukumnya adalah sama seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat dipegang kecuali atas apa yang menepati syariatnya SAW”.

5. Kekeliruan:
Hadis adalah tonggak kedua agama Islam, apabila tonggak ini telah berjaya dicerobohi, maka panduan umat Islam akan menjadi goyah dan berkecamuk. Percaya bahawa seseorang boleh menerima taklimat terus dari Nabi s.a.w akan memusnahkan salah satu rujukan penting umat Islam yang diberitahu sendiri oleh Rasulullah s.a.w iaitu, kitabullah dan sunahnya.

Jawapan:
Percaya bahawa seorang wali atau orang soleh boleh menerima taklimat terus dari Nabi s.a.w tidak akan memusnahkan institusi hadis yang sudah sedia ada. Jika benar mereka bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., maka adalah amat MUSTAHIL baginda s.a.w. akan menyuruh kepada perkara-perkara yang akan memansuhkan atau merosakkan syariatnya sendiri. Tidak dapat diterima dek akal bahawa Nabi s.a.w. akan mengkucar-kacirkan syariat yang telah dibangunkan dengan titik peluh dan darah dagingnya sendiri.

Apa yang dikhayalkan itu tidak akan berlaku selama-lamanya kerana para wali atau orang-orang soleh tersebut adalah golongan yang amat takut kepada Allah SWT, sangat cinta kepada baginda Nabi s.a.w., terlalu sayang dengan syariat baginda s.a.w., dan begitu kasih kepada umat baginda s.a.w. Apakah dapat diterima akal, mereka ini berusaha untuk merosakkan syariat baginda s.a.w.dan menyesatkan umatnya?? Seolah-olah mereka tidak pernah dengar hadis baginda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya daripada api neraka”.

Jangan terlalu berprasangka buruk kepada ahli-ahli sufi seolah-olah mereka semua orang yang bodoh, tidak mengerti syariat dan akan menerima secara membuta tuli siapa saja yang mendakwa bertemu dengan Nabi s.a.w., walaupun dari orang yang jahil. Jika ada ahli sufi yang menyeleweng, maka sandarkan kesalahan itu kepadanya sahaja, bukan kepada semua golongan ahli sufi.

6. Kekeliruan:
Para ulamak silam antaranya Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud Ahmad dan ramai lagi, berjuang hingga berjaya menjadikan sumber rujukan Islam kedua ini terpelihara dari dicampur adukkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari baginda tetapi tidak disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak silam maka dakwaan itu dianggap salah dan pembohongan.

Jawapan:
Rangkap akhir di atas dapat difahami sebaliknya begini; Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari baginda dan disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak silam maka dakwaan itu dianggap benar. Alhamdulillah, ada sedikit kemuafakatan.

Cubalah belek contohnya, kitab al-Durr al-Thamin fi Mubasysyarat al-Nabi al-Amin SAW susunan Imam al-Mujaddid Syah Wali Allah al-Dihlawi yang menghimpunkan 40 peristiwa bertemu Rasulullah s.a.w. secara mimpi dan jaga. Perhati dan fahamkan, apakah ada yang tidak bersandarkan kepada syariat baginda s.a.w.?

7. Kekeliruan:
Sebarang ajaran sufi yang percaya dengan asas ini perlu dibendung kerana akan membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam dan menjauhkan mereka dari ajaran Nabi s.a.w yang walaupun dari sudut penampilan mereka mengajak kepada ibadat dan berbuat baik.

Jawapan:
Menurut pengetahuan saya setakat ini, tidak ada satu pun tariqat sufi muktabar di dunia pada hari ini yang menolak keharusan bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Apakah seluruh tariqat-tariqat sufi ini dengan puluhan juta pemgamalnya perlu dibendung dan dibanteras...? Apakah kemusnahan benar-benar berlaku kepada masyarakat Islam dan mereka telah jauh dari ajaran Nabi s.a.w. disebabkan seluruh tariqat sufi di dunia pada hari ini menyatakan – sesudah sekian lama - seorang soleh harus bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ??

Tidak ada orang waras yang mengatakan demikian. Bahkan ramai dari kalangan alim ulama tariqat-tariqat sufi ini adalah pemelihara-pemilhara sunnah baginda s.a.w. baik sunnah yang zahir mahupun sunnah yang batin. Berapa banyak rahmat dan manfaat rohani yang tersebar di seluruh dunia sama ada kita sedari ataupun tidak, disebabkan usaha-usaha mereka.

Memang seluruh tariqat sufi di dunia pada hari ini menyatakan harus bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., namun realitinya perkara tersebut tidak selalu berlaku pun kerana ia adalah suatu karamah yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki sahaja. Bahkan dalam tempoh 100 tahun, barangkali hanya beberapa orang sahaja yang boleh dibilang dengan jari mendakwa demikian, atau dikatakan mengalaminya. Jika peribadi dan latar belakangnya bertunjangkan syariat, maka baru boleh diterima dakwaan itu. Jika sebaliknya, maka dakwaan tersebut adalah wajib ditolak.

Perlu juga dilihat bagaimana cara mereka dapat mencapai peringkat kerohanian yang tinggi itu; Apakah zikirnya 100,000 setiap hari, atau selawatnya 50,000 setiap hari, atau tahajjudnya 500 rakaat setiap hari? Atau apakah hanya sekadar berjanggut, berjubah dan berserban besar saja, tetapi amalannya ‘kosong’?? Kata al-‘Allamah Ibn Al-Haj dalam kitab al-Madkhal (3/194): 

Sebahagian orang mendakwa melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah, sedangkan ia merupakan satu perbahasan yang sempit (sukar) untuk diperbahaskan.  Amat sedikitlah dari kalangan mereka yang mengalaminya, kecuali terhadap mereka yang amat mulia di zaman ini. Walau bagaimanapun, kami tidak mengingkari sesiapa yang mengaku pernah mengalaminya, dari kalangan orang-orang yang mulia yang dipelihara oleh Allah s.w.t. zahir dan batin mereka.”

Wallahu a’lam.


Rujukan Tambahan:

- Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan oleh Raja Ahmad Mukhlis:
- Rawd al-Rayyahin, http://cb.rayaheen.net
- Multaqa al-Nukhbah, http://www.nokhbah.net
- Masalah Berjumpa Rasulullah Ketika Jaga Selepas Wafatnya (terjemahan) oleh Husain Hasan Toma‘i.
- Sa‘adah al-Darayn oleh al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani.
- Fatwa Mufti Brunei, download :   yaqazah-fatwa-mufti-brunei.
- al-Muqizah fi Ru’yah al-Rasul SAW fil Yaqazah oleh Syeikh Hisyam bin 'Abd al-Karim al-Alusi, download: http://www.almijhar.org/book/almokza.pdf

Saturday, June 30, 2012

Taklid dan Ijtihad Dalam Mengamalkan al-Quran dan Sunnah Menurut Imam al-Sya‘rani


Kata Imam Syeikh ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani [w. 973H] dalam kitab Lawaqih al-Anwar (لواقح الأنوار القدسية في العهود المحمدية):

“Telah termetri ke atas kita perjanjian am daripada Rasulullah SAW supaya kita tidak mengamal agama dengan melakukan sesuatu bidaah yang dikeji yang tidak disaksikan oleh zahir al-Quran mahupun sunnah. Dan supaya kita menjauhi beramal dengan segala pendapat yang tidak jelas kepada kita keselarasannya dengan al-Quran dan sunnah, kecuali jika ia telah diijmakkan.

Orang yang ingin beramal dengan perjanjian ini perlu kepada keluasan ilmu dalam mengenal hadis-hadis dan juga athar-athar, serta perlu mencakupi kesemua dalil mazhab-mazhab yang telah pupus mahupun yang sedia diamalkan, hinggakan hampir-hampir tidak terluput dari pengetahuannya daripada dalil-dalil tersebut melainkan hanya sedikit sahaja. Mudah-mudahan ia dapat keluar dari bertaklid di dalam kebanyakan hukum-hakam. Adapun orang yang tidak sampai ke peringkat tersebut, maka wajib baginya bertaklid kepada satu mazhab tertentu, jika tidak ia akan terjerumus ke dalam kesesatan.

Sayyidi ‘Ali al-Khawwas (رحمه الله تعالى) merupakan seorang yang tahu melalui jalan kasyaf, akan setiap masalah mempunyai dalilnya daripada kata-kata syarak. Kata beliau: “Seorang lelaki di sisi kami tidak akan mencapai makam sempurna sehinggalah ia mengetahui secara yakin mana yang merupakan kalam syarak, mana yang merupakan kalam sahabat, mana yang daripada qiyas, dan mana yang merupakan pendapat yang terkeluar dari keselarasannya dengan apa yang telah kami sebutkan tadi”.

Kata Sayyidi ‘Ali al-Khawwas lagi: “Orang yang ingin terikat dalam beramal dengan al-Quran dan sunnah serta menjauhi beramal dengan pendapat akal perlu kepada keluasan ilmu dalam bidang ilmu tatabahasa Arab, ilmu ma‘ani dan bayan. Dan ia perlu juga kepada keluasan ilmu dalam bahasa kaum Arab sehingga ia dapat mengetahui kedudukan cara-cara beristinbat, serta mengetahui kata-kata orang Arab, majaz dan isti‘arahnya. Juga ia mengetahui dalil-dalil mana yang boleh menerima takwil dan mana yang tidak boleh menerimanya”.

Kata Imam al-Sya‘rani lagi:

“Allah Taala telah menganugerahkan kepadaku kemampuan menelaah dalil-dalil mazhab imam yang empat dan juga mazhab-mazhab lain. Dan aku tahu sandaran pendapat-pendapat mereka di dalam kesemua bab-bab fiqh. Tiada satu pendapat pun daripada pendapat-pendapat mereka melainkan aku lihat ianya bersandar kepada dalil, sama ada kepada ayat al-Quran, hadis, athar, ataupun qiyas yang sahih di atas asal yang sahih. Mazhab-mazhab imam yang empat itu, dengan segala pujian bagi Allah, sekarang di sisiku menjadi seolah-olah telah ditenun daripada syariat yang suci murni, dari segi panjang dan lebarnya, sebagaimana mengetahui demikian sesiapa yang telah menelaah kitabku: (مختصر السنن الكبرى للإمام البيهقي).

Setiap orang yang tidak menelaah dalil mazhab-mazhab sebagaimana yang telah kami sebutkan tadi, maka ia tidak akan tahu membezakan masalah-masalah pendapat akal daripada nas. Boleh jadi ia akan terjerumus kepada akidah-akidah yang sesat dan beramal dengan mazhab-mazhab yang batil, melainkan jika ia benar-benar terikat dengan satu mazhab yang muktabar. Imam Abu Qasim al-Junaid (رحمه الله) berkata: “Seseorang lelaki tidak akan sempurna di sisi kami pada jalan Allah ‘azza wajalla sehinggalah ia menjadi imam di dalam bidang fiqh, hadis dan tasawuf, serta mentahkikkan ilmu-ilmu ini kepada ahlinya”.

Maka ketahuilah, bahawa tidak sewajarnya sesiapa yang mendakwa berilmu dengan syariat itu hanya sekadar memadai dengan apa yang difahami olehnya daripada syariat tersebut tanpa berguru, sepertimana yang telah terjadi kepada sesetengah ahli zaman kita ini. Di mana beliau hanya dengan semata-mata sudah memahami terus menyibukkan diri dengan menulis dan mengarang serta meninggalkan berguru kepada alim ulama. Akhirnya, jadilah ia berada di satu pihak dan para alim ulama berada di satu pihak yang lain. Dan jauhlah ia dari mengenal pendapat yang rajih di sisi alim ulama di zamannya, di mana pendapat mereka semua menyalahi pendapatnya. Lalu tiada seorang pun yang mengambil manfaat dari ilmunya. Sekiranya ia bersabar dalam berguru kepada syeikh-syeikh sehingga mereka mengizinkannya berfatwa dan mengajar, nescaya mereka semua akan memuji dirinya, dan manusia pula akan bertumpu kepadanya selepas ketiadaan syeikh-syeikhnya nanti. Maka ketahuilah yang demikian itu”.

Kata Imam al-Sya‘rani lagi:

“Aku dengar syeikh kami, Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari (رحمه الله) [w. 926H] berkata: Begitu jarang sekali terhimpun pada diri seseorang dalam sesuatu zaman itu ilmu fiqh, hadis dan tasawuf. Kata beliau lagi: Tidak sampai kepada kami berita bahawa ia ada terhimpun pada diri seseorang selepas al-Tibi, pengarang kitab (حاشية الكشاف) [w. 743H], sehinggalah ke waktu kita ini. Dan barangsiapa yang terhimpun padanya ketiga-tiga ilmu ini, maka dialah yang layak digelar sebagai Syeikh Ahlis Sunnah wal Jamaah di zamannya, dan sesiapa yang tidak menggelarkannya demikian, maka ia telah menzaliminya”.

*Catatan:

Meskipun Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari tidak melihat ulama yang menguasai kombinasi fiqh, hadis dan tasawuf di zamannya, namun ada beberapa orang di zamannya dan yang muncul selepasnya yang menghimpunkan ketiga-tiga ilmu berkenaan, seperti al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti [w. 911H], Syeikh ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani sendiri, Syeikh Ibn Hajar al-Haytami [w. 974H], Syeikh ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi [w. 1031H] dan Imam Syah Wali Allah al-Dihlawi (w. 1176 H). Kemudian tidak ramai ulama seumpama mereka yang muncul sesudah itu sehinggalah abad ke-14 H, di mana munculnya keluarga-keluarga yang hebat, seperti keluarga Ibn al-Siddiq al-Ghumari dan keluarga al-Kattani di Morocco, serta keluarga al-Kandahlawi di India.


Friday, June 22, 2012

Tiada Ikhtilaf Yang Rahmat??..


Ada antara kita yang begitu bersemangat dengan seruan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah mengkritik dengan tidak berfikir panjang terhadap perselisihan (ikhtilaf) di antara mazhab-mazhab fiqh. Mereka mencemuh alim-ulama yang mengatakan bahawa perselisihan pandangan di antara ulama Islam itu adalah suatu rahmat. Bagi mereka semua bentuk perselisihan itu adalah tercela di sisi syarak, tanpa membezakan di antara perselisihan dalam masalah-masalah usul (perkara-perkara pokok), mahupun perselisihan dalam masalah-masalah furu’ (perkara-perkara cabang). Manakala hadis yang ada menyatakan ‘perselisihan (ikhtilaf)  umat itu rahmat’ dihukum secara total sebagai hadis palsu..

Ada antara mereka yang meratakan hukum tersebut kepada semua jenis perselisihan, menulis dengan penuh semangat dalam rumusannya: “... Oleh itu, semua perselisihan adalah suatu yang tercela dalam agama kerana ianya boleh menyebabkan umat ini menjadi lemah”. Sedangkan majoriti ulama seperti sedia maklum, berpendapat bahawa perselisihan dalam masalah-masalah furu’ tidak termasuk kepada perselisihan yang dicela. Justeru persoalan yang boleh kita tujukan kepadanya; apakah perselisihan mazhab-mazhab fiqh yang muktabar dalam Islam itu turut wajar dicela!?

Tanpa ia sedar, di kalangan mereka yang menyeru kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah itu juga tidak terlepas dari berselisih pandangan antara sesama mereka. Ini sebagaimana yang terdapat dalam kitab al-Ijaz fi Ba’d ma Ikhtalafa fihi al-Albani wa Ibn ‘Uthaymin wa Ibn Bazsebagai contohnya (Boleh baca secara online @ save as di sini). Kitab ini mendedahkan secara detil perselisihan pendapat antara Syeikh al-Albani, Syeikh Ibn 'Uthaymin dan Mufti Bin Baz dalam sebahagian masalah-masalah agama.

Saya sertakan di bawah beberapa contoh masalah daripada kitab tersebut yang telah diringkaskan oleh penulis sendiri. Sebagai peringatan, kitab ini disusun sendiri oleh penulis yang pro kepada mereka, dan bukannya dihasilkan oleh pihak ‘lawan’ mereka. Seruan kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah adalah seruan  positif yang umum kepada umat Islam, namun praktisnya bukanlah semudah sepertimana yang ditutur oleh lidah kita.


Sila baca dengan teliti:

 * Maaf tiada terjemahan Melayu..

Saya percaya, jika dihimpunkan pandangan tokoh-tokoh yang lain dalam isu-isu agama selain tiga tokoh di atas, seperti al-Fawzan, al-Jibrin, Bakr Abu Zayd, Muqbel, al-Madkhali dan lain-lain, tentunya kita akan dapat melihat lebih banyak lagi perselisihan pandangan di kalangan mereka yang menyeru kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri.

Apakah perselisihan pandangan di antara mereka sahaja yang baru dianggap sebagai rahmat??


Monday, June 4, 2012

Hukum doa sesudah al-Fatihah dan sebelum Amin


Soalan:

Apakah warid bacaan (رب اغفر لي) selepas selesai membaca al-Fatihah di dalam solat? Ada orang yang mengatakan amalan tersebut tidak warid.

Jawapan:

Memang saya ada mendengar seorang ustaz menafikan perkara tersebut di kaca tv. Jika beliau mengatakan tidak tahu, itu lebih baik.

Sebagai dalilnya, diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (107) dan al-Bayhaqi dalam al-Sunan al-Kubra (2551) dari Wa’il bin Hujr RA bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW ketika membaca:
(غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ)
baginda  menyebut selepasnya: (ربِّ اغفرْ لي، آمين).

Menurut al-Haythami dalam Majma‘ al-Zawa’id (2/ 113): “Terdapat pada sanadnya Ahmad bin ‘Abd al-Jabbar al-‘Utaridi, dan beliau dithiqahkan oleh al-Daraqutni, serta dipuji oleh Abu Kuraib, manakala sekumpulan ulama lain mendaifkannya. Kata Ibn ‘Adi: Aku tidak melihat satu hadis munkar pun baginya”.

Imam Ibn al-Jazari (w. 833H) telah mencatatkannya dalam kitab al-Hisn al-Hasin sebagai amalan sunnah. Dalam mensyarahkan amalan tersebut di dalam Tuhfah al-Zakirin, al-Syawkani (w. 1250H) turut mengiyakannya sahaja.

Al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haytami (w. 974H) dalam Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj mengisyaratkan hadis ini sebagai hasan. Diikuti oleh Al-‘Allamah al-Ramli (w. 1004H) dalam Nihayah al-Muhtaj, dan beliau menambah:
وَيَنْبَغِي أَنَّهُ لَوْ زَادَ عَلَى ذَلِكَ "وَلِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ" لَمْ يَضُرَّ أَيْضًا
Terjemahan:
Dan sewajarnya jika ia menambah ke atas lafaz tadi (وَلِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ) tidak memberi mudarat juga”.

Tambahan tersebut barangkali di atas alasan bahawa terdapat banyak dalil kita dituntut memohon doa kepada orang lain juga, terutama ibu bapa.

Amalan ini telah diakui oleh ramai fuqaha’ Syafi‘iyyah sesudah itu, seperti Al-‘Allamah ‘Ali al-Syabramallisi (w. 1087H), Al-‘Allamah Sulaiman al-Jamal (w. 1204H) dalam Hasyiah ‘ala Syarh Manhaj al-Tullab, Al-‘Allamah Sulaiman al-Bujairimi (w. 1221H) dalam Hasyiah ‘ala al-Minhaj, Al-‘Allamah ‘Abd al-Hamid al-Syirwani dalam Hasyiah ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, Al-‘Allamah Sa‘id Ba-‘isyn (w. 1270H) dalam Syarah al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah, Al-‘Allamah Abu Bakr Syata al-Dimyati dalam I‘anah al-Talibin, dan lain-lain.

Demikian penjelasan mengenainya. Sebagaimana yang dilihat, kesemua mereka yang tersebut di atas adalah alim ulama besar. Jika ada yang mengatakan hadis tersebut daif sekalipun, maka pendapatnya itu tidak sepatutnya menjadi ‘tunggangan’ untuk membidaahkan orang lain kerana dalam masalah doa ini pintunya agak luas. Hadis berkenaan adalah hujah bagi mereka yang menyabitkannya.

Wallahu a‘lam.




Thursday, May 24, 2012

Orang Perempuan Kurang Riwayat Hadis?


Wanita dan Periwayatan Hadis

Oleh kerana tak berapa ramai penyertaan kaum wanita dalam majlis daurah periwayatan hadis ni, maka suka saya nak berkongsi di sini tentang penglibatan kaum wanita dalam bidang periwayatan hadis di kalangan alim ulama kita terdahulu. Moga-moga dapat memberi sedikit motivasi kepada kaum wanita untuk bersama-sama mengikuti majlis-majlis periwayatan hadis (kalau tak @ belum disibukkan oleh suami dan anak).

Yang konsisten mengikuti tu, saya ucapkan syabas!..

Meskipun penglibatan dalam bidang periwayatan hadis ini kebanyakannya dimonopoli oleh orang lelaki kerana tradisi dan naturenya begitu. Namun, tidak bermakna seolah-olah ada sekatan khusus bagi kaum wanita dari melibatkan diri.

Perlu diingat, antara tujuh perawi hadis yang paling banyak meriwayatkan hadis di kalangan sahabat Nabi SAW ialah Umm al-Mu’minin Sayyidatuna ‘A’isyah RA. Beliau telah mempelajari banyak ilmu dari baginda SAW. Dan sesudah baginda wafat, beliau tidak lokek untuk meriwayatkan hadis-hadis Nabi SAW kepada orang yang datang kepadanya menuntut ilmu. Maka, banyak ilmu yang ditimba oleh para sahabat dan para tabiin daripada beliau.

Jika kita menelusuri sejarah imam-imam terkenal dahulu, kita akan dapati bahawa bukan semua guru-guru mereka adalah lelaki. Selain kaum lelaki, ramai di antara mereka turut meriwayatkan hadis atau menimba ilmu dari kaum wanita juga. Misalnya, Imam al-Syafi‘i, antara guru beliau ialah Sayyidah Nafisah, tokoh wanita Ahlul Bait yang masyhur makamnya di Mesir. Beliau menghafaz al-Quran dan banyak meriwayatkan hadis-hadis.

Al-Khatib al-Baghdadi, pengarang Tarikh Baghdad dan alim hadis tersohor, telah meriwayatkan kitab Sahih al-Bukhari dari gurunya, Syeikhah Karimah binti Ahmad al-Marwaziyyah, di mana beliau telah membaca Sahih al-Bukhari di hadapannya selama lima hari sahaja di Makkah. Iaitu suatu tempoh yang jarang dapat dilakukan melainkan dengan aturan waktu yang benar-benar ketat dan padat! 


Bukan saja al-Khatib al-Baghdadi, bahkan ramai ahli hadis di zamannya yang datang berpusu-pusu kepada Syeikhah Karimah kerana ingin meriwayatkan Sahih al-Bukhari dari beliau. Syeikhah Karimah meninggal dunia dalam usia kira-kira 100 tahun dan tidak pernah berkahwin!

Al-Hafiz Abu ‘Amr Muslim al-Azdi telah meriwayatkan hadis dari 70 orang wanita. Begitu juga al-Hafiz Abu al-Walid Hisyam al-Bahili. Manakala al-Hafiz Abu ‘Abdillah Muhammad Ibn al-Najjar pula telah merekodkan seramai 400 orang wanita dalam senarai guru-gurunya!

Antara tokoh wanita dalam bidang periwayatan hadis ialah Syuhdah binti Abi Nasr Ahmad al-Ibriyyah (w. 549H). Oleh kerana beliau banyak meriwayatkan hadis, maka ramailah orang di zamannya yang datang untuk mendengar hadis daripada beliau pula.

Syeikhah Maryam binti Abd al-Rahman (w. 758H) antara tokoh-tokoh wanita yang alim dengan hadis sehinggakan al-Hafiz Ibn Hajar, pengarang Fath al-Bari, telah menghimpunkan di dalam sebuah kitab seramai 283 orang guru beliau, sama ada lelaki dan wanita yang ada meriwayatkan hadis yang diberi judul: Mu‘jam al-Syaykhah Maryam.

Perlu diperhatikan, bahawa mereka ini bukan saja mendengar sebutir dua hadis lalu meriwayatkannya. Tetapi sebutir dua kitab hadis yang mengandungi ribuan, malah puluhan ribu buah hadis di dalamnya. Cuba lihat misalnya;

 ‘Atikah binti Abi al-‘Ala’ al-Hasan al-‘Attar (w. 609H) meriwayatkan kitab Sunan Abi Dawud yang mengandungi kira-kira 5,274 buah hadis dan kitab Makarim al-Akhlaq oleh Ibn Lal.

‘Afifah binti Ahmad al-Asbahaniyyah (w. 606H) meriwayatkan al-Mu‘jam al-Kabir dan al-Mu‘jam al-Saghir kedua-duanya oleh al-Tabarani serta kitab al-Fitan oleh Nu‘aym bin Hammad. Kitab-kitab ini semua didengari dari Syeikhah Fatimah binti ‘Abdullah al-Juzadaniyyah. Perlu diketahui, kitab al-Mu‘jam al-Kabir dikatakan mengandungi lebih kurang 60,000 buah hadis!

Zaynab bin Abd al-Rahman (w. 615H) meriwayatkan Sahih al-Bukhari yang mengandungi kira-kira 7,397 buah hadis dan menerima ijazah sanad dari ramai orang syeikh.

Dan sebagainya. Sangat ramai untuk disenaraikan kesemua mereka.

Bagi merakamkan peranan dan sumbangan wanita dalam bidang periwayatan hadis ini, beberapa buah buku telah disusun oleh para sarjana kini. Antaranya;

1-       جهود المرأة في رواية الحديث القرن الثامن الهجريoleh Dr. Ṣāliḥ Yūsuf Maʻtūq, khusus tentang sumbangan wanita dalam periwayatan hadis di kurun ke-8 hijrah.
2-      صفحات مشرقة من عناية المرأة بصحيح الإمام البخاري oleh Dr. Muhammad bin ‘Azzuz, khusus tentang perhatian wanita terhadap kitab Sahih al-Bukhari.
3-      جهود المرأة الدمشقية في رواية الحديث الشريف juga oleh Dr. Muhammad bin ‘Azzuz, khusus tentang sumbangan wanita kota Dimasyq dalam periwayatan hadis.
4-      دور المرأة في خدمة الحديث في القرون الثلاثة الأولى oleh Amal Qirdasy binti al-Husayn, tentang peranan wanita dalam periwayatan hadis di tiga kurun pertama hijrah.
5-     Dan lain-lain.

Prof. Dr. Muhammad Akram al-Nadwi pula telah berjaya merekodkan seramai lebih 8,000 biografi perawi wanita di dalam kitabnya al-Wafa’ bi Asma’ al-Nisa’ yang setebal 40 jilid!

Justeru, anda di mana?..

Tuesday, May 22, 2012

Dairi Daura..




Alhamdulillah, majlis daurah kitab Sunan al-Tirmizi pimpinan Syeikh Muhammad ‘Awadh al-Manqusy - hafizahullah - pada hari ini, hari keempat, berakhir sampai hadis yang ke-1,719, iaitu di akhir kitab al-jihad. Jika ikut kitab cetakan lain, mungkin lain pula nombor hadisnya.

Beberapa orang ustaz dilantik untuk membacanya secara bergilir-gilir, di mana syeikh hanya mendengar dan sekali-sekala memberi ulasan dan syarah (tiada terjemahan Melayu). Kaedah yang digunakan ialah membaca secara laju sebagaimana tradisi yang biasa diamalkan oleh ramai ulama terdahulu. Yang menjadi ‘juara’nya ialah Ustaz Adlan Abdul Aziz kerana tiada siapa yang dapat menandingi kecepatan dan kelajuan beliau membaca. Memang ‘terangkat’... J


Kitab yang saya guna adalah kitab cetakan Mesir, siap dengan hukum Syeikh al-Albani pada setiap hadisnya dengan warna merah. Ada yang tidak gemar dengan cetakan sebegitu. Namun, bagi saya ia bagus untuk membuat perbandingan.

Banyak hadis yang disahih atau dihasankan oleh al-Tirmizi, didaifkan oleh al-Albani. Dan begitu juga sebaliknya, ada hadis yang dilemahkan oleh al-Tirmizi, tetapi disahih atau dihasankan oleh al-Albani. Bagaimanapun, ternampak jelaslah perbezaan yang sangat ketara antara Imam al-Tirmizi dengan Syeikh al-Albani, ibarat umpama bumi dengan langit.

Menurut pandangan saya, banyak hukum al-Albani yang didapati tidak tepat dan tersasar daripada maksud Imam al-Tirmizi. Misalnya, al-Albani mendaifkan sesuatu hadis, sedangkan Imam al-Tirmizi telah merekodkan bersama hadis tersebut isyarat kepada jalan-jalan riwayatnya yang lain yang berfungsi sebagai penyokong kepadanya dengan kata beliau: “Wa fil-bab...”. Darjat hadis tersebut kemungkinan dapat meningkat kepada darjat hasan atau sahih dan tidak dapat ditolak begitu saja. Apatah lagi jika al-Tirmizi menambah; itulah yang diamalkan oleh kebanyakan ahli ilmu, dan makna ‘ahli ilmu’ menurut al-Tirmizi ialah para imam salaf yang mujtahid. Ini dapat menguatkan lagi kedudukan hadis berkenaan.

Hal yang seumpama ini banyak saya temukan sepanjang pembacaan di dalam daurah.

Sebagaimana maklum, al-Albani telah memecahkan kitab Sunan al-Tirmizi kepada dua bahagian; Sahih Sunan al-Tirmizi dan Da‘if Sunan al-Tirmizi. Bagaimana sekiranya orang hanya berpegang dengan penilaian al-Albani dalam kitab Sahih Sunan al-Tirmizi, lalu mendakwa semua hadis di dalam kitab Da‘if Sunan al-Tirmizi perlu ditolak dan tidak boleh diamalkan? Hal sebegini, tentunya akan menimbulkan musibah...

Semoga Allah SWT memberi kekuatan dan kelapangan kepada semua untuk meneruskan daurah sehingga khatam. Amin...

P/S: Mari bersama-sama mengambil keberkatan dan memeriahkan majlis khatam Sunan al-Tirmizi nanti...

Tuesday, May 8, 2012

KAIFIAT MEMBACA PENUTUP SURAH AL-HASYR


HADIS KAIFIAT MEMBACA PENUTUP SURAH AL-HASYR

Antara kitab yang saya temui semasa di Pesta Buku Antarabangsa 2012 tempoh hari ialah kitab Kasyf al-Labs ‘an Hadith Wad‘ al-Yad ‘ala al-Ra’s oleh Imam al-‘Allamah al-Sayyid Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Kattani (w. 1382H) berkenaan hadis meletak tangan kanan di kepala ketika membaca tiga ayat terakhir Surah al-Hasyr.

Pemerolehan kitab tersebut pastinya sangat menggembirakan kerana ia membantu mengukuhkan lagi akan kaifiat amalan yang terdapat dalam Wazifah Zarruqiyyah. Wazifah Zarruqiyyah susunan Imam Ahmad Zarruq al-Syazili (w. 899H) adalah konsep wirid asal bagi amalan al-Ma’thurat yang dimasyhurkan oleh Imam Hasan al-Banna.

Ini kerana di antara awrad Wazifah Zarruqiyyah ialah membaca tiga ayat terakhir Surah al-Hasyr, dan Imam Zarruq menyebutkan:

وهو واضع يده اليمنى على رأسه.
((Sambil ia meletakkan tangan kanannya di kepala)) yakni pada membaca ketiga-tiga ayat tersebut. Namun, kaifiat ini ditiadakan dalam amalan al-Ma’thurat Imam Hasan al-Banna.

Ia sebenarnya merujuk kepada sebuah hadis yang diriwayatkan dari Sayyiduna ‘Abdullah bin Mas‘ud RA dan juga Sayyiduna ‘Ali bin Abi Talib RA. Hadis ‘Abdullah bin Mas‘ud RA direkodkan oleh Abu Nu‘aym, al-Khatib, al-Daylami, Ibn al-Taylasan, dan lain-lain. Manakala hadis ‘Ali bin Abi Talib RA direkodkan oleh al-Daylami sahaja. Sila lihat takhrij dan kupasan tentangnya secara detil dalam kitab Kasyf al-Labs ‘an Hadith Wad‘ al-Yad ‘ala al-Ra’s.

Matan hadisnya ialah:

عن علقمة والأسود: قرأنا على عبد الله بن مسعود، فلما انتهينا إلى خاتمة سورة الحشر قال: ضعا أيديكما على رؤوسكما فإني قرأت على النبي صلى الله عليه و سلم فلما بلغت هذه الآية قال: ضع يدك على رأسك فإن جبريل عليه السلام لما نزل بها علي قال لي: ضع يدك على رأسك فإنها شفاء من كل داء إلا السام، وهو الموت.
Terjemahan:
Dari Alqamah dan al-Aswad: Kami membaca al-Quran kepada ‘Abdullah bin Mas‘ud RA, lalu tatkala kami sampai di penutup Surah al-Hasyr, beliau berkata: Letakkan tangan kamu berdua di kepala kamu, sesungguhnya aku pernah membaca kepada Nabi SAW, maka ketika aku sampai pada ayat ini baginda bersabda: Letakkan tangan kamu di kepala kamu, sesungguhnya Jibril AS ketika menurunkannya kepadaku beliau berkata kepadaku: Letakkan tangan kamu di kepala kamu, sesungguhnya ia adalah penawar dari segala penyakit kecuali mati”.


Ayatnya:


Dengan perbahasan yang panjang, al-Sayyid Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Kattani merumuskan bahawa hadis ini bukan palsu sepertimana dakwaan al-Hafiz al-Zahabi. Ia masih dapat diamalkan dalam bab  fadha’il amal sekurang-kurangnya. Imam al-Sayyid Muhammad ‘Abd al-Hayy al-Kattani turut menyabitkan ramai alim ulama yang mengamalkan hadis ini.

Guru kepada guru kami, Mawlana Syeikh al-Imam Muhammad Khalil al-Khatib  al-Tantawi ketika mentakhrijkan hadis ini dalam Ithaf al-Akhyar hanya menyandarkannya kepada Imam al-‘Allamah al-Qawuqji (w. 1305H). Jika beliau melihat kitab ini pastinya beliau akan merasa amat gembira.

Walhamdulillah..

Untuk download kitab Kasyf al-Labs ‘an Hadith Wad‘ al-Yad ‘ala al-Ra’s edisi cetakan lama. Sila klik di SINI.