Pages

Tuesday, April 6, 2010

Kecemerlangan, Kegigihan dan Keasyikan Ulama (2)

Antara kitab menarik mengenai kecemerlangan dan kegigihan ulama serta keasyikan mereka terhadap ilmu ialah kitab Sur’ah al-Qira’ah wa al-Sabr ‘ala al-Sama’ oleh Dr. Muhammad ibn ‘Azuz (2007). Di bawah ini saya senaraikan sebahagian dari ringkasan maklumatnya.

1. Membaca kitab dalam satu majlis.

  1. Imam Ishaq bin Ibrahim bin Rahawaih (m. 238H). Beliau mengulang semula kepada Ibrahim bin Abi Talib apa yang dibacanya dalam sebuah majlis sambil bersandar pada bingkai pintu rumahnya.
  2. Imam Abu ‘Isa al-Tirmidhi (m. 279H). Beliau membaca 2 juzuk kitab hadith daripada hafalannya kepada seorang syeikh dalam satu majlis.
  3. al-Hafiz Ibrahim bin Muhammad al-Hadhrami al-Qurtubi (m. 396H). Beliau menyempurnakan 52 juzuk kitab hadith dalam majlis pengajiannya antara zohor dan asar setiap hari.
  4. al-Hafiz Ahmad bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Abdullah al-Khawlani (m. 430H). Beliau membaca sebuah kitab dari hafalannya dalam satu majlis.
  5. al-Qadhi ‘Iyadh (m. 544H). Beliau membaca sebuah kitab dalam dua jilid dalam masa satu malam.
  6. al-Hafiz Abu al-Qasim Ibn ‘Asakir (m. 571H). Beliau membaca dari hafalannya kitab al-Ba’thu wa al-Nusyur oleh Ibn Abi Dawud dalam satu majlis.
  7. al-Hafiz Abu Musa al-Madini (m. 581H). Beliau menghafal kitab ‘Ulum al-Hadith oleh al-Hakim dan membacanya di hadapan Isma’il al-Taymi dalam satu majlis.
  8. al-Hafiz Abu ‘Abdillah Ibn al-Hanbali (m. 657H). Beliau membaca kitab al-Muntakhab di hadapan Ibn al-Jawzi dari hafalannya dalam satu majlis.
  9. Imam Ibn Daqiq al-‘Id (m. 702H). Adakalanya beliau menelaah pada sepanjang malam satu atau dua buah jilid kitab.
  10. al-Hafiz Ahmad bin ‘Abdul Halim ibn Taymiyyah (m. 728H). Beliau telah menghafal kitab Jannah al-Munazir dalam satu hari.
  11. al-Hafiz Siraj a-Din al-Bulqini (m. 805H). Beliau pernah berkata: “Adakalanya saya menelaah satu jilid kitab seluruhnya dalam satu masa dan habis sebelum isyak”.
  12. al-Hafiz Abu al-Qasim ‘Abdul ‘Aziz bin Musa al-‘Abdusi al-Fasi (m. 837H). Beliau telah membaca Sahih al-Bukhari dalam masa sehari.
  13. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (m. 852H). Beliau telah membaca kitab al-Mu’jam al-Saghir oleh al-Tabarani dalam satu majlis antara solat zohor dan asar.
  14. al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti (m. 911H). Beliau telah mempelajari kitab Musnad al-Syafi’i daripada al-Qamsi dalam masa sehari.
  15. ‘Allamah Abu Bakr Ahmad Ba‘alawi (m. 1053H). Beliau telah menelaah satu jilid kitab besar seluruhnya dalam masa sehari atau semalam.
  16. ‘Allamah Syamsuddin al-Babili al-Qahiri (m. 1077H). Tidak terjatuh pandangannya ke atas sesuatu dan sebelum beliau mengalihkan pandangannya itu melainkan beliau telah pun dapat menghafalnya secara mantap di dalam satu majlis.

2. Membaca kitab dalam dua majlis.

  1. ‘Allamah Muhammad bin al-Hasan bin Salam (m. 630H). Beliau telah mempelajari kitab ‘Ulum al-Hadith oleh al-Hakim daripada Ibn Sasri al-Dimasyqi di dalam 2 majlis.

3. Membaca kitab dalam tiga majlis.

  1. al-Khatib al-Baghdadi (m. 463H). Beliau telah mempelajari seluruh kitab Sahih al-Bukhari daripada Isma’il al-Hairi di dalam 3 majlis.
  2. ‘Allamah Talhah bin Muzaffar al-‘Althi (m. 593H). Beliau telah membaca kitab Sahih Muslim di dalam 3 majlis.
  3. ‘Allamah Syarafuddin al-Fazari (m. H). Beliau telah membaca kitab Masyyakhah Ibn al-Bukhari di Dimasyq dalam 3 majlis yang dihadiri oleh 1000 orang.
  4. ‘Allamah Majduddin al-Fairuzabadi (m. 816H), pengarang al-Qamus. Beliau telah mempelajari kitab Sahih Muslim daripada Nasiruddin ibn Jahbal di Dimasyq antara Bab al-Nasr dan al-Faraj berhadapan tempat capal Nabi SAW dalam masa 3 hari.

4. Membaca kitab dalam empat majlis.

  1. ‘Allamah Abu Ishaq Ibrahim bin Ahmad al-Ba’labakki (m. 800H). Beliau membacakan kepada para ahli hadith kitab al-Muntakhab Min Musnad ‘Abd bin Humayd di dalam 4 buah majlis.

5. Membaca kitab dalam lima majlis.

  1. ‘Allamah ‘Abdul Ghani bin ‘Abdul Wahid al-Maqdisi (m. 600H). Beliau telah mempelajari kitab al-Muhaddith al-Fasil oleh al-Ramahurmuzi daripada Abu Tahir al-Silafi di dalam 5 buah majlis.
  2. ‘Allamah Ahmad bin Muhammad al-Qastallani (m. 923H). Beliau telah membaca kitab Sahih al-Bukhari di dalam 5 buah majlis.

6. Membaca kitab dalam masa enam hari atau dalam enam majlis.

  1. al-Hafiz Abu ‘Abdillah al-Zahabi (m. 748H). Beliau telah mempelajari kitab Sirah Ibn Hisyam daripada al-Abarquhi dalam masa 6 hari.
  2. al-Hafiz Abu al-Fadhl al-‘Iraqi (m. 806H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih Muslim daripada Muhammad bin Isma’il bin al-Khabbaz di dalam 6 buah majlis.
  3. ‘Allamah Burhanuddin Ibrahim bin Muhammad al-Biqa’i (m. 935H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih al-Bukhari seluruhnya daripada Badruddin al-Ghazzi dalam masa 6 hari.

7. Membaca kitab dalam masa lapan hari.

  1. al-Malik al-Asyraf Musa bin Muhammad bin Ayyub (m. 635H). Beliau telah mendengar Sahih al-Bukhari dengan bacaan Musnid al-Syam al-Husain bin al-Mubarak Ibn al-Zubaidi dalam masa 8 hari di Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah, Dimasyq.
  2. ‘Allamah Burhanuddin al-Abnasi (m. 802H). Beliau telah mempelajari kitab Jami’ al-Tirmizi dan Sunan Abi Dawud daripada Ibn Amilah di Dimasyq dalam masa 8 hari.

8. Membaca kitab dalam masa hampir 10 hari atau lebih.

  1. ‘Allamah Muhammad bin Khalaf bin Rajih al-Maqdisi (m. 618H). Beliau telah mendengar kitab Jami’ al-Tirmizi dan Sunan Abi Dawud dengan bacaan ‘Umar ibn Tabarzad dalam masa kurang daripada 10 hari.
  2. ‘Allamah Fadhl al-Rahman al-Hindi al-Naqsyabandi (m. 1313H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih al-Bukhari daripada Muhammad Ishaq al-Dihlawi dalam masa beberapa belas hari.

9. Membaca kitab dalam 11 buah majlis.

  1. al-Munla Abu Tahir Muhammad bin Ibrahim al-Kurani (m. 1145H). Beliau telah mempelajari kitab al-Muwatta’ daripada Abu al-Asrar al-‘Ujaymi dalam 11 buah majlis.

10. Membaca kitab dalam 12 buah majlis.

  1. ‘Allamah ‘Ali bin ‘Abdullah bin Ahmad al-‘Alawi al-Tawqadi (m. 1199H). Beliau telah mempelajari kitab Sahih al-Bukhari daripada Murtadha al-Zabidi dalam 12 buah majlis di rumahnya.

11. Membaca kitab dalam 14 buah majlis.

  1. ‘Allamah Ahmad bin ‘Abdullah Ibn al-Imam al-Jaza’iri (m. 666H). Beliau telah mendengar kitab Sahih al-Bukhari dengan bacaan Ibn Ruzibah al-Baghdadi dalam 14 buah majlis.

12. Membaca kitab dalam 15 buah majlis.

  1. ‘Allamah Taqiyyuddin Ahmad bin ‘Ali al-Maqrizi (m. 845H). Beliau telah mendengar kitab Sunan Ibn Majah dengan bacaan Abu al-‘Abbas al-Jawhari dalam 15 buah majlis.

13. Membaca kitab dalam masa sebulan.

  1. ‘Allamah al-Hasan bin Ahmad Ibn Habal al-Daqqaq al-Salihi (m. 779H). Beliau membaca kitab al-Mu’jam al-Kabir oleh al-Tabarani pada setiap bulan Ramadhan.
  2. ‘Allamah Muhammad ‘Abid al-Sindi (m. 1257H). Beliau telah membaca al-Kutub al-Sittah di al-Haram al-Nabawi (Masjid Nabawi, di Madinah) dalam masa sebulan secara riwayah (periwayatan), dan dalam masa 6 bulan pula secara dirayah (syarahan).
  3. ‘Allamah Muhammad bin ‘Ali al-Sanusi (m. 1076H). Beliau pernah membaca Sahih al-Bukhari dalam masa sebulan, Sahih Muslim dalam masa 25 hari, dan kitab al-Sunan dalam masa 20 hari.

14. Beberapa ulama mutaakhirin, seperti;

  1. ‘Allamah Muhammad bin ‘Abdul Kabir al-Kattani (m. 1327H), [syeikh Tariqat Kattaniyyah, disebut ‘al-Syahid’ kerana meninggal dunia setelah dirotan 500 kali oleh pihak sultan Maghribi demi mempertahankan kebenaran]. Beliau pernah mengkhatamkan Sahih al-Bukhari di Jami’ al-Qurawiyyin, kota Fez yang dihadiri oleh ribuan orang. Beliau duduk daripada selepas solat subuh dan tidak bangun melainkan hampir pada waktu zohor.
  2. ‘Allamah Jamaluddin al-Qasimi (m. 1332H). Beliau pernah memperdengarkan Sahih Muslim secara riwayah dan dirayah dalam masa 40 hari.
  3. ‘Allamah ‘Abdul Hayy al-Kattani (m. 1382H). Beliau pernah mengajarkan kitab Sahih al-Bukhari secara tahkik di Jami’ al-Qurawiyyin dalam 50 buah majlis.

No comments: