Pages

Friday, April 16, 2010

Rektor Baru Universiti al-Azhar


Walaupun sudah lama meninggalkan bumi Mesir, namun hati-hati mereka yang pernah duduk di sana pasti sukar untuk melupakannya. Pasti sekali-sekala akan menjenguk juga di internet melihat tentang berita-berita terbaru mengenai perkembangan yang berlaku di sana, khususnya berhubung tentang al-Azhar, ulama-ulamanya dan fatwa-fatwa mereka.

Setelah kewafatan Syeikh Tantawi, Syeikh Ahmad Tayyib yang memegang jawatan rektor al-Azhar telah diangkat naik sebagai Syeikhul Azhar. Syeikh Tayyib dikenali sebagai antara ulama berkot dan bertali leher. Maka jawatan rektor al-Azhar menjadi kosong sehinggalah baru-baru ini, Dr. Abdullah al-Husaini dilantik untuk mengisi jawatan berkenaan. Beliau juga termasuk antara ulama berkot dan bertali leher. Nampaknya ada kemungkinan dan tidak mustahil jika suatu hari nanti al-Azhar akan hilang identitinya yang terkenal dengan ulama-ulama yang berjubah dengan serban berketayap merahnya. Apa yang dikhuatirkan, campur tangan politik ini mampu mencorak hala tuju sesuatu institusi demi kepentingan sesuatu pihak tertentu sahaja, dan bukan lagi bebas untuk bersuara melaungkan kebenaran. والله المستعان

Dr. Abdullah al-Husaini sebelum ini adalah timbalan rektor al-Azhar, bahagian hal-ehwal pendidikan dan pelajar. Berkelahiran tahun 1946 dan beliau berkelulusan Ph.D. dalam bidang Bahasa Arab. Antara karya dan buku susunannya ialah: Tazkir al-Mu'annath Bayna al-Qiyas wa al-Sama', Tahqiq al-Makhtutat wa Qawa'iduhu wa Khatawatuhu, tahkik Syarh Alfiyyah Ibn Malik oleh al-Syatibi dan lain-lain.

Jawatan penting agama tertinggi di Mesir selain Syeikhul Azhar, Mufti Negara, dan Rektor Universiti al-Azhar ialah jawatan Syeikh Masyayikh al-Turuq al-Sufiyyah (Pengerusi Syeikh-Syeikh Tariqat Sufi). Perlantikan terbaru diberikan kepada Syeikh 'Abdul Hadi Ahmad 'Abdul Hadi al-Qasbi.


Rujukan:
- al-Dustur.
- Akhbar Misr.


No comments: