Pages

Saturday, May 7, 2011

Lindungi Kami Dari Ruwaibidhah…


Orang yang punya iman mantap walaupun sedikit di hatinya, pasti berharap agar isu-isu lucah dan kotor yang ‘dilandakan’ atau 'dipaksakan' kepada seluruh rakyat Malaysia pada masa ini dapat dihentikan, dan hanya akan dibicarakan secara tertutup dan bukan disebarkan secara meluas sepertimana yang berlaku sekarang. Namun, itu tidak berlaku. Malah isu-isu sebegitu terus mendapat tempat dan laris dijaja kepada seluruh rakyat jelata.

Sehingga yang tua, muda, besar, kecil, lelaki, perempuan, abang, adik, kakak, bodoh, pandai, kesemuanya telah dipengaruh untuk bercakap dan berbicara tentangnya. Semuanya didorong antara sedar atau tidak untuk memberi fokus kepada isu-isu tersebut. Hinggakan anak-anak muda yang tidak tahu apa-apa, sudah tahu. Anak-anak muda yang memang sudah rosak, berasa semakin berani.

Kelucahan bukan lagi satu isu yang perlu diselindung balik tabir. Biarkan anak-anak muda dengan kelucahan dan porno yang begitu senang diakses di mana-mana. Isu anak luar nikah hanya kecil. Isu buang bayi hanya kecil. Isu seks bebas hanya kecil. Apa yang besar ialah isu kepentingan dan survival, walau melanggar batas hukum sekalipun.

Benar atau salah itu kemudian. Dosa dan pahala juga kemudian. Apa yang diutamakan ialah kepentingan peribadi dan kuasa, walaupun tahu ia mampu menghancur dan merosakkan pemikiran seluruh masyarakat sendiri. Memang malang masyarakat yang dikuasai oleh golongan yang rendah kesedaran agama dan imannya. Kesemuanya diheret sama, tidak kira sedar ataupun tidak. Barangkali yang tidak sedar atau tiada kesedaran itu lebih ramai, kerana yang ’berseronok’ dengannya itu bukan sedikit. Walhal ia adalah suatu ’penyakit’.

Dalam sebuah riwayat hadis daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar RasuIullah SAW bersabda: "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang telah menimpa umat-umat terdahulu". Sahabat bertanya: "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi SAW menjawab: "Penyakit-penyakit itu ialah terlalu berseronok hingga lupa, terlalu mewah, menghimpun harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, saling memusuhi, serta berhasad dengki sehingga terjadi zalim menzalim". (Hadis riwayat al-Hakim, kata beliau: Sahih sanadnya)

Inilah yang meruntun di dalam hati orang-orang yang punya maruah iman. Bukan atas nama politik atau apa-apa kepentingan tertentu, tetapi atas nama agama yang tercinta. Orang-orang yang seperti ini tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk merubah situasi yang ’dilandakan’. Mereka hanya mampu berdoa dan berharap. Berusaha dengan jiwa yang duka menurut kemampuan yang ada. Tidak ada sebarang kepentingan kecuali kepentingan Allah dan Rasul-Nya, serta kasihan terhadap nasib masyarakat.

Inilah apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dan ia pasti akan berlaku. Bahkan sudah banyak khabar baginda yang nyata dan benar-benar berlaku. Juga amat sinonim dengan situasi kita pada masa sekarang ini. Diriwayatkan:

عَن أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ. قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ. [أخرجه أحمد (2/291، رقم 7899)، وابن ماجه (2/1339، رقم 4036) قال البوصيرى (4/191): هذا إسناد فيه مقال، والحاكم (4/512، رقم 8439) وقال : صحيح الإسناد]

Terjemahan:

Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata: Rasulullah sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu helah, yang mana pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Pengkhianat akan diberi memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap ialah golongan Ruwaibidhah”.

Ada sahabat bertanya: “Apakah dia Ruwaibidhah itu?” Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab: “Orang lelaki hina yang memegang urusan orang ramai”. (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim, kata beliau: Sahih sanadnya)

Al-‘Allamah Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam mengulas hadis di atas: Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung dan dibesar-besarkan. Orang yang benar tidak diberikan peluang untuk bercakap. Yang berpeluang bercakap hanyalah peribadi-peribadi yang hina dan sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat. (Lihat: 40 Hadis Tentang Peristiwa Akhir Zaman – Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam, hlm. 57)

Inilah adalah antara hadis mengenai senario politik di akhir zaman. Orang Ruwaibidhah yang dinyatakan oleh Nabi SAW ini memang sering muncul dalam berbagai zaman, tempat dan juga bangsa. Takrifan yang diberikan oleh Nabi SAW iaitu: “Orang lelaki hina yang memegang urusan orang ramai” begitu tepat dengan apa yang telah berlaku sepanjang sejarah sehinggalah ke hari ini. Makna ‘lelaki hina’ di sini bukanlah seorang yang bodoh, miskin dan daif, kerana ia tidak sesuai dengan gambaran ‘memegang urusan orang ramai’.

Perlu diingat, dalam hadis-hadis Nabi SAW yang diucapkan oleh baginda ia sentiasa berkaitan tentang agama dan ajarannya. Maka maksud ‘lelaki hina’ di sini adalah orang yang kurang dari segi agamanya, rendah moral dan imannya serta kosong rohaninya, walaupun ia seorang yang cerdik, kaya raya dan berkuasa. Maka setinggi mana pun darjat dan pangkatnya, jika ia bersifat demikian dan membawa kerosakan kepada umat masyarakat khususnya kerosakan moral, akhlak dan agamanya, maka dia adalah ‘lelaki hina’ tersebut.

Perlu juga disebutkan, bahawa orang jenis ini bukan sahaja wujud di peringkat kampung, tetapi juga di peringkat bandar, daerah, negeri, malah negara sekalipun. Kenapa tidak hina dan keji? Sedang ia telah menentang syariat dan menjadikan sistem hidup masyarakat berada di tangannya, yang mampu dimanipulasi dengan sesuka hati hinggakan “...orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Pengkhianat akan diberi memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat”. Maka sama ada kita sedar atau tidak, politik sudah menjadi ‘TUHAN’.

Justeru, kembalilah kepada pimpinan Sang Utusan, Rasulullah SAW. Jadikan kalamnya sebagai azimat dan pedoman agar kita dapat menghindar dari apa dibimbangi olehnya. Setiap kita perlu merasa bahawa dirinya mempunyai Tuhan yang sentiasa melihatnya dan akan menghitung semua amalannya. Semoga kita dilindungi Allah SWT dari keburukan orang-orang Ruwaibidhah.

No comments: