Teks khabar:
مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ
Perbincangan khabar ini akan disentuh dari dua sudut; Pertama, tentang kedudukan asalnya. Kedua, tentang maksudnya.
i. Kedudukan Asalnya
Dalam berbagai sumber, kata-kata ini telah disandarkan kepada:
1- Baginda Nabi SAW. Banyak kitab-kitab tasawuf yang menyandarkan kata-kata ini kepada baginda SAW. Antaranya Imam al-Ghazali (w. 505H) dalam kitab (كيمياء السعادة). Al-Syeikh al-Akbar Ibn ‘Arabi menyatakan bahawa ianya sahih dari baginda SAW secara kasyaf.
2- Sayyiduna ‘Ali bin Abi Talib RA. Ini disebut oleh Abu Bakr Rasyid al-Din Muhammad bin Muhammad bin ‘Abd al-Jalil al-‘Umari yang masyhur dengan panggilan al-Watwat (w. 573@ 578H) dalam kitabnya (مطلوب كل طالب من كلام علي بن أبي طالب). Kitab ini masih berbentuk manuskrip, seperti yang dinukilkan dalam kitab (سيرة أمير المؤمنين علي بن أبي طالب - رضي الله عنه) oleh ‘Ali Muhammad Muhammad al-Salabi (2005).
3- Yahya bin Mu‘az al-Razi (w. 258H). Ramai ulama hadis seperti al-Hafiz al-Sam‘ani, al-Hafiz al-Sakhawi, al-Hafiz al-Suyuti, al-‘Allamah al-Haytami dan lain-lain yang menyebut bahawa kata-kata ini adalah masyhur dari beliau.
4- Sahl bin ‘Abdullah al-Tustari (w. 283H). Al-Hafiz Abu Nu‘aim al-Asbahani (w. 430H) meriwayatkan dalam kitabnya (حلية الأولياء وطبقات الأصفياء) dengan sanadnya:
سمعت محمد بن الحسين بن موسى يقول: سمعت أبا بكر محمد بن عبدالله ابن شاذان يقول: سمعت بن سالم يقول: وسئل سهل بن عبدالله عن قوله: من عرف نفسه فقد عرف ربه، قال: من عرف نفسه لربه عرف ربه لنفسه.
* Zahirnya, imbuhan ‘nya’ pada lafaz (عن قوله) merujuk kepada diri beliau, bukan kepada baginda Nabi SAW.
5- Abu Sa‘id Ahmad bin ‘Isa al-Kharraz (w. 279@ 286H). Ini disebut oleh setengah ulama, seperti yang dinukilkan dalam kitab (أسنى المطالب في أحاديث مختلفة المراتب) oleh Syeikh Muhammad bin Darwisy al-Hut (no. 1435). Namun, lafaznya seperti yang diriwayatkan oleh Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami dengan sanadnya dalam Tabaqat al-Sufiyyah ialah:
ومن لم يعرف ما فى نفسه، كيف يعرفُ رَبَّه؟
Terjemahan: “Dan sesiapa yang tidak kenal apa yang ada pada dirinya, bagaimana pula dia dapat kenal Tuhannya?”
Kata Imam al-Zarkasyi (w. 794H) dalam (التذكرة في الأحاديث المشتهرة): “Menurut al-Nawawi: Tidak sabit. Kata Imam Abu al-Muzaffar Ibn al-Sam‘ani dalam (القواطع في الكلام على التحسين والتقبيح العقلي): Ini tidak sabit dari Nabi SAW, akan tetapi ia adalah suatu lafaz yang dihikayatkan dari Yahya bin Mu‘az al-Razi”.
Demikian juga pandangan al-Hafiz al-Sakhawi dalam (المقاصد الحسنة في بيان كثير من الأحاديث المشتهرة على الألسنة) no. 1149, dan al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haytami dalam (الفتاوى الحديثية).
Menurut Imam al-Suyuti (w. 911H) dalam (القول الأشبه في حديث من عرف نفسه فقد عرف ربه): “Hadis ini tidak sahih. Al-Nawawi pernah ditanya mengenainya di dalam kitab Fatawanya, maka jawab beliau: Ianya tidak sabit. Kata Ibn Taymiyyah: Mawdu‘. Menurut al-Zarkasyi dalam (التذكرة في الأحاديث المشتهرة): Ibn al-Sam‘ani menyebut bahawa ia adalah daripada kata-kata Yahya bin Mu‘az al-Razi”.
Syeikh Isma‘il bin Muhammad al-‘Ajluni (w. 1162H) di dalam (كشف الخفاء ومزيل الالباس عما اشتهر من الاحاديث على ألسنة الناس) no. 2532 menambah: “Kata Ibn al-Ghars (w. ?) selepas menukilkan dari al-Nawawi bahawa ianya tidak sabit, katanya: Tetapi kitab-kitab sufi dipenuhi dengannya. Mereka membawakannya dalam nada hadis, seperti Syeikh Muhyiddin Ibn ‘Arabi dan lain-lain. Katanya lagi: Guru kami Syeikh Hijjazi al-Wa‘iz (w. 1035H), pensyarah al-Jami‘ al-Saghir oleh al-Suyuti, menyebutkan kepada kami bahawa Syeikh Muhyiddin Ibn ‘Arabi itu tergolong dari kalangan para huffaz. Setengah ulama menyebut bahawa Syeikh Muhyiddin berkata: Hadis ini meskipun tidak sahih melalui jalan riwayat, namun ia sahih di sisi kami melalui jalan kasyaf. Al-Hafiz al-Suyuti mempunyai sebuah karya kecil mengenainya yang dinamakan (القول الأشبه في حديث من عرف نفسه فقد عرف ربه). Kata al-Najm [al-‘Allamah Najmuddin al-Ghazzi dalam kitab: إتقان ما يحسن من الأخبار الدائرة على الألسن]: Terdapat dalam kitab Adab al-Din wa al-Dunya oleh al-Mawardi (w. 450H); Dari ‘A’isyah bahawa Nabi SAW pernah ditanya: Siapakah orang yang paling kenal dengan Tuhannya? Jawab baginda: Orang yang paling kenal dengan dirinya”.
Bagaimanapun, hadis ‘A’isyah RA yang disebut oleh Imam al-Mawardi itu juga belum ditemukan sumber asalnya.
Syeikh Ahmad ibn ‘Ajibah al-Hasani (w. 1224H) telah memberikan ulasan yang cukup baik di dalam kitabnya (الفتوحات الإلهية في شرح المباحث الأصلية): “Peringatan: Telah masyhur di lidah ramai ahli sufi bahawa (من عرف نفسه عرف ربه) adalah hadis. Sedangkan ia bukan begitu. Akan tetapi ia adalah daripada kata-kata Yahya bin Mu‘az al-Razi, berdasarkan apa yang dinaskan oleh al-Hafiz Badr al-Din al-Zarkasyi dan al-Hafiz al-Suyuti dalam (الدرر المنتثرة في الأحاديث المشتهرة), katanya: Hadis (من عرف نفسه عرف ربه), menurut al-Nawawi: Tidak sabit. Dan kata al-Sam‘ani: Ia adalah daripada kata-kata Yahya bin Mu‘az al-Razi. Dan setiap seni ilmu itu wajar dirujukkan kepada pakar-pakarnya. Manakala ahli sufi pula, semoga Allah meredhai mereka, kerana sifat sangka baik mereka, sering bersifat longgar terhadap hadis-hadis. Demikianlah sepertimana yang disebut oleh Syeikh Sayyidi Muslim di dalam kitab beliau”.
Secara kesimpulan, para ulama hadis mengatakan bahawa ianya bukan hadis Nabi SAW. Maka, ia adalah sama ada kata-kata Sayyiduna ‘Ali bin Abi Talib RA, Yahya bin Mu‘az al-Razi, Sahl bin ‘Abdullah al-Tustari, ataupun Abu Sa‘id Ahmad bin ‘Isa al-Kharraz. Meskipun ramai ulama hadis yang menyatakan bahawa ia adalah kata-kata Yahya bin Mu‘az al-Razi. Namun, kata-kata yang penulis temukan sanadnya ialah kata-kata Sahl bin ‘Abdullah al-Tustari sahaja. Manakala bakinya, belum dapat dipastikan sumbernya yang asal. Mohon diberikan petunjuk...
ii. Maksudnya
Oleh kerana kata-kata ini mengandungi makna yang sahih, maka ianya telah menjadi popular di kalangan ulama tarbiah dan suluk. Allah SWT telah berfirman:
{وَفِي أَنْفُسِكُمْ أَفَلاَ تُبْصِرُونَ} [الذاريات:21]
Terjemahan: “Dan pada diri kamu sekalian, tidakkah kamu perhatikan?”
Menurut Imam al-Suyuti dalam (القول الأشبه في حديث من عرف نفسه فقد عرف ربه): “Kata al-Nawawi di dalam Fatawanya: Maknanya; sesiapa yang kenal dirinya dengan sifat daif, berhajat kepada Allah dan pengabdian kepada-Nya, dia akan kenal Tuhannya dengan sifat kuat, ketuhanan, kesempurnaan yang mutlak dan sifat-sifat yang tinggi. Kata Syeikh Tajuddin Ibn ‘Ata’illah dalam Lata’if al-Minan: Aku mendengar guru kami Abu al-‘Abbas al-Mursi berkata: Pada hadis ini terdapat dua takwilan; Pertamanya, iaitu sesiapa yang kenal dirinya dengan sifat hina, lemah dan fakir, dia akan kenal Allah dengan sifat megah, berkuasa dan kaya. Maka, yang awalnya mengenal diri, kemudian sesudahnya mengenal Allah pula. Keduanya, sesiapa yang mengenal dirinya, maka ia menunjukkan bahawa dia telah mengenal Allah sebelumnya. Maka, yang pertama adalah hal golongan salik (pejalan rohani), dan yang kedua pula adalah hal golongan majzub (penerima tarikan rohani)”.
Menurut al-Hafiz al-Sakhawi dalam (المقاصد الحسنة في بيان كثير من الأحاديث المشتهرة على الألسنة) no. 1149: “Dikatakan tentang takwilnya; Sesiapa yang kenal dirinya dengan sifat baharu, dia akan kenal Tuhannya dengan sifat qidam. Dan sesiapa yang kenal dirinya dengan sifat fana’, dia akan kenal Tuhannya dengan sifat baqa’”.
Kata al-‘Allamah al-Mulla ‘Ali al-Qari (w. 1014H) dalam (الأسرار المرفوعة في الأخبار الموضوعة) no. 506: “Maknanya adalah sabit.
{ ومَن يرغب عن ملّة إبراهيم إلاّ مَن سفه نفسه }
Terjemahan: “Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri” (al-Baqarah: 130), yakni tidak mengenal dirinya, di mana dia juga tidak mengenal Tuhannya”.
Wallahu a‘lam.
No comments:
Post a Comment