Friday, March 30, 2012

Kemangkatan Raja Ashman رحمه الله

Raja Ashman Ibni Sultan Azlan Shah merupakan khalifah Tariqat Naqsyabandiyyah ‘Aliyyah pimpinan Syeikh Muhammad Nazim al-Haqqani, Cyprus. Almarhum merupakan seorang kerabat diraja yang soleh, warak dan kuat beramal yang amat jarang ditemukan tolok bandingnya pada masa sekarang ini. Semoga Allah SWT mengampuni dan melimpahkan rahmat-Nya ke atas roh Almarhum.

----------------------------------------------

2012/03/30 - BH Online

KUALA KANGSAR: Kerabat diraja dan orang kenamaan, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menziarahi jenazah anakanda Sultan Perak, Datuk Seri Raja Ashman Shah Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini.

Raja Ashman, 54, mangkat di kediamannya di Kuala Lumpur awal hari ini akibat serangan asma.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Muda Perak Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara bersama-sama kesemua anggota keluarga diraja itu berada di Istana Iskandariah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir turut berada di ruang berkenaan.

Bacaan ayat suci al-Quran juga diperdengarkan oleh hadirin yang menziarahi jenazah Almarhum.

Perasaan hiba dan sayu menyelubungi suasana di istana berkenaan terutama balu baginda, Datin Seri Noraini Jane Kamarul Ariffin dan putera mereka, Datuk Ahmad Nazim Azlan Shah serta dua puteri, Raja Eminah Alliyah dan Raja Bainunisa Safia. Turut kelihatan ibu bapa dan keluarga Noraini Jane.

Orang awam tidak putus-putus menziarahi jenazah Almarhum sejak 11 pagi. Terdahulu, turut menziarahi ialah Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

- BERNAMA


No comments: