Pages

Wednesday, March 18, 2020

Sunat Membalikkan Tangan Ketika Doa Tolak Bala?

 Image result for virus corona 2019



Disunatkan semasa kita berdoa kepada Allah SWT untuk berlindung daripada bala dan seumpamanya agar membalikkan kedua-dua tangan dengan menjadikan belakang kedua telapak tangan ke arah langit. Meskipun, ada sebahagian ulama seperti Syekh Ibn Taimiyyah berpendapat tidak perlu membalikkan tangan sewaktu berdoa sedemikian. Namun, sebahagian ulama lain seperti sebilangan ulama Syafii berpendapat membalikkan tangan semasa demikian adalah termasuk sunnah.

Ini berdasarkan beberapa hadis yang menunjukkan bahawa kita dianjurkan supaya membalikkan tangan semasa berdoa untuk menolak bala. Antaranya:

[i] Hadis doa istisqa’:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ((أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَسْقَى، فَأَشَارَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاءِ)) .رواه مسلم (895)
Terjemahan: Daripada Anas bin Malik RA berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW pernah berdoa meminta hujan, lalu baginda mengisyaratkan dengan belakang kedua tapak tangannya ke langit”. (HR Muslim)  

Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim mengulas:
قال جماعة من أصحابنا وغيرهم: السنة في كل دعاء لرفع بلاء كالقحط ونحوه أن يرفع يديه ويجعل ظهر كفيه إلى السماء، وإذا دعا لسؤال شيء وتحصيله جعل بطن كفيه إلى السماء، احتجوا بهذا الحديث. انتهى.
Terjemahan: “Menurut sekumpulan daripada sahabat kami (ulama Syafii) dan lain-lain: Sunnah pada setiap kali berdoa untuk menolak bala seperti kemarau dan sebagainya, ia mengangkat kedua tangannya dan menjadikan belakang kedua telapak tangannya ke langit, namun apabila ia berdoa untuk meminta dan mendapatkan sesuatu (bukan menolak bala) ia menjadikan perut kedua telapak tangannya ke langit. Mereka berhujah dengan hadis ini.”

[ii] Dalam satu hadis riwayat Ahmad di dalam Musnad beliau, perkara ini jelas disebutkan seperti berikut;
روي عن خلاد بن السائب الأنصاري، ((أن النبي صلي الله عليه وسلم كان إذا سأل جعل باطن كفيه إليه، وإذا استعاذ جعل ظهرهما إليه)). رواه أحمد بسند فيه مقال.
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Khallad bin al-Sa’ib al-Ansari RA berkata: Sesungguhnya Nabi SAW apabila memohon kepada Allah, baginda menjadikan perut kedua tapak tangannya ke arahnya (menadah tangan) dan apabila memohon perlindungan pula baginda menjadikan belakang kedua tapak tangannya ke arahnya. (HR Ahmad. Kata al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id: “Diriwayatkan oleh Ahmad secara mursal dan isnadnya hasan”, meskipun pada sanadnya terdapat Ibn Lahi‘ah, perawi yang masyhur dipertikaikan)

[iii] Dalil secara istinbat daripada hadis berikut;

عَنْ مَالِكِ بْنِ يَسَارٍ السَّكُونِيِّ رضي الله عنه، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ((إِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ، وَلَا تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا)). رواه أبو داود (1486) بسند صحيح. قلت: فقوله: (وَلَا تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا) أي لكون ظهورها للتعوّذ به تعالى، وأما السؤال فيكون ببطونها.  
Terjemahan: Daripada Malik bin Yasar as-Sakuni RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu memohon kepada Allah, maka mohonlah kepadaNya dengan perut kedua tapak tangan kamu (menadah tangan) dan janganlah kamu mohon kepadaNya dengan belakang kedua tapak tangan kamu”. (HR Abu Dawud dengan sanad yang sahih)

Maknanya, ungkapan: “…janganlah kamu mohon kepadaNya dengan belakang kedua tapak tangan kamu” kerana belakang kedua tapak tangan itu adalah khas untuk memohon perlindungan dengan Allah SWT daripada bala dan seumpamanya. Adapun untuk meminta sesuatu kepada Allah SWT, maka adalah dengan cara menadahkan kedua tapak tangan.   

Perkara ini adalah sunat sahaja menurut sebahagian ulama. Jika ada yang tidak melakukannya pun tidak menjadi masalah. Kerana dalam kalangan ulama Salaf juga sudah terjadi keragaman pandangan mengenainya. Yang menjadi masalah ialah apabila ada pihak yang mempertikaikan tanpa ilmu orang yang melakukannya.  

Wallahu a‘lam.

*Tambahan:



No comments: