Pages

Thursday, July 21, 2011

Lagi Hadis Larang Demonstrasi?


Kebetulan saya terbaca suatu kenyataan dalam buku Mutabaqah al-Ikhtira‘at al-‘Asriyyah li ma Akhbara bihi Sayyid al-Bariyyah (hlm. 86) karangan al-Hafiz Sayyid Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari (w. 1380H). Beliau menyatakan bahawa antara perkara yang dicedok dari orang Inggeris/Barat kuffar ialah demonstrasi di jalanan dengan berteriak dan mengangkat suara menuntut hak seraya percaya bahawa itu adalah suatu peperangan dan jihad. Rupa-rupanya sebelum ulama Saudi mengharamkan demonstrasi, sudah ada pandangan yang sebegitu dari kalangan ulama dahulu.

Bagaimana pula kekuatan dalilnya?

Sayyid Ahmad membawakan dalilnya dari riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (19/243, no. 545).

حدثنا أبو شعيب الحراني ثنا يحيى بن عبد الله البابلتي ثنا الأوزاعي ثنا محمد بن خنزابة حدثني عروة بن محمد السعدي عن أبيه محمد بن عطية عن أبيه: عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : (( ثَلاَث إذا رَأيْتَهُنَّ فَعِنْدَ ذَلِكَ تَقُومُ السَّاعَةُ: إخرابُ العامِرِ وَعِمار الخَرابِ، وأنْ يَكُونَ الغزو نداء، وأنْ يَتَمَرَّسَ الرَّجُلُ بأَمانَتهِ تَمَرُّسَ البَعِيرِ بالشَّجَرَةِ )).

Terjemahan matan sahaja:

“Tiga perkara jika kamu melihatnya maka ketika itu akan berlaku kiamat; iaitu [1] binaan yang makmur diruntuhkan dan binaan yang runtuh pula dimakmurkan, [2] peperangan hanya berbentuk teriakan, dan [3] seorang lelaki bermain-main dengan amanahnya sebagaimana seekor unta bermain-main dengan sebatang pokok”.

Sayyid Ahmad telah berdalilkan lafaz “[2] peperangan hanya berbentuk teriakan” sebagai isyarat kepada aksi-aksi demonstrasi. Bagaimanapun, beliau tidak menyebutkan darjatnya, dan ini di luar adat kebiasaan beliau. Sedangkan hadis tersebut adalah daif disebabkan dua orang perawi yang daif pada sanadnya, iaitu Yahya bin ‘Abdullah al-Babaluti dan Muhammad bin Khirasyah. Namun, Sayyid Ahmad menulis Muhammad bin Khinzabah (خنزابة), bukan Muhammad bin Khirasyah (خراشة) sepertimana yang ada dalam sumber asal dan juga sumber-sumber lainnya.

Ramai pengkritik rijal seperti Abu Hatim, Abu Zur‘ah, Ibn Hibban, Ibn ‘Adi, al-Zahabi dan Ibn Hajar menyatakan bahwa Yahya bin ‘Abdullah al-Babaluti adalah daif. (Taqrib al-Tahzib oleh Ibn Hajar). Manakala Muhammad bin Khirasyah adalah seorang syeikh yang tidak dikenali. (lihat Mizan al-I‘tidal oleh al-Zahabi dan Lisan al-Mizan oleh Ibn Hajar).

Walaupun Ibn Hibban merekodkannya di dalam kitab al-Thiqat (15026), namun perawi yang tidak ada jarh atau ta‘dil ini belum dapat dibuktikan sebagai thiqah di sisi para pengkritik rijal yang lain. Sebab itu al-Zahabi merekodkannya dalam kalangan para perawi daif di dalam kitab al-Mughni fi al-Du‘afa’ (5471). Menurut al-Zahabi dalam Mizan al-I‘tidal pula (7484): Seorang syeikh, tidak dikenali, al-Awza‘i memberitakan darinya suatu khabar yang terdapat padanya sesuatu (keraguan).

Komentar-Komentar Lain Terhadap Hadis

Selain kedaifan sanad hadis, terdapat beberapa perkara yang menambahkan lagi kelemahannya. Di dalam kitab al-Mu‘jam al-Kabir yang bercetak, perawi tertinggi hadis ini ialah (عروة بن محمد السعدي عن أبيه ) bukan (عروة بن محمد السعدي عن أبيه محمد بن عطية عن أبيه). Manakala lafaz yang dijadikan sebagai dalil itu ditulis begini (وأن يكون الغزو رفدا), bukan (وأنْ يَكُونَ الغزو نداء).

Maksud (وأن يكون الغزو رِفْدًا) ialah “peperangan itu menjadi habuan”, di mana orang berperang untuk mendapatkan harta rampasan. Hadis dengan lafaz inilah juga yang dimuatkan oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Kabir, yang diriwayatkan oleh al-Ramahurmuzi dalam al-Amthal (92), al-Tabarani (545), Abu Nu‘aim dalam Ma‘rifah al-Sahabah (647) dari (عروة بن محمد السعدى عن أبيه عن جده). Kata al-Suyuti: Terdapat padanya Yahya bin ‘Abdullah al-Babaluti, daif. Demikian juga kata al-Haythami (7/330).

Ibn ‘Asakir di dalam Tarikh Dimasyq (52/394, 6311) meriwayatkan hadis Muhammad bin Khirasyah ini dengan dua lagi lafaz yang berlainan.

Lafaz pertama: (وأن يكون الغزو فداء) yakni “peperangan itu menjadi sebagai tebusan”. Dalam lafaz lain (ويفتدي الرجل من جهاده) yakni “seseorang lelaki itu menebus diri dari jihadnya” yakni kerana tidak mahu berperang. Demikian teks-teksnya:

- قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن من أشراط الساعة أن يخرب العامر ويعمر الخراب، ويفتدي الرجل من جهاده، ويتمرس الرجل بامانته تمرس البعير بالشجرة.

- عن عروة عن أبيه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن من أشراط الساعة أن يعمر الخراب ويخرب العمران، وأن يكون الغزو فداء، وأن يتمرس الرجل بأمانته كما يتمرس البعير بالشجرة.

Hadis ini juga dimuatkan oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Kabir (1772).

Lafaz kedua: (وأن يكون المعروف منكرا وأن يكون المنكر معروفا) yakni “perbuatan makruf menjadi mungkar dan perbuatan mungkar menjadi makruf”. Demikian teksnya:

(( ثَلاَثَةٌ إذا رَأيْتَهُنَّ فَعِنْدَ ذَلِكَ تَقُومُ السَّاعَةُ خَرابُ العامِرِ وَعِمارَةُ الخَرابِ، وأنْ يَكُونَ المَعْرُوفُ مُنْكَراً وأن يكون المُنْكَرُ مَعْرُوفاً، وأنْ يَتَمَرَّسَ الرَّجُلُ بالأَمانَةِ تَمَرُّسَ البَعِيرِ بالشَّجَرَةِ )). [أخرجه ابن عساكر من طريق ابن منده (52/394) عن عروة بن محمد بن عطية عن أبيه].

Hadis ini juga dimuatkan oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Kabir. Ia turut dimuatkan oleh Al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir (3491). Menurutnya, diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir dari Muhammad bin ‘Atiyyah al-Sa‘di, dan mengisyaratkannya sebagai daif. Dan Muhammad bin ‘Atiyyah al-Sa‘di ini bukan dari kalangan sahabat RA, maka riwayatnya adalah mursal.

Kesimpulan

Di samping kedaifan sanad hadis, juga berlaku kecelaruan pada lafaz hadis seperti yang telah kita saksikan. Berdasarkan sumber-sumber rujukan tersebut tiada di dalam riwayat-riwayat hadis itu lafaz sepertimana yang dibawakan oleh Sayyid Ahmad iaitu lafaz: “peperangan hanya berbentuk teriakan” (وأنْ يَكُونَ الغزو نداء). Tetapi yang ada ialah peperangan itu menjadi habuan” (وأن يكون الغزو رِفْدًا), “peperangan itu menjadi sebagai tebusan” (وأن يكون الغزو فداء) dan “perbuatan makruf menjadi mungkar dan perbuatan mungkar menjadi makruf” (وأن يكون المعروف منكرا وأن يكون المنكر معروفا). Ini menunjukkan berlaku perbezaan riwayat atau nuskhah yang menjadikan lafaz ini mudhtarib (bercelaru).

Kecelaruan juga berlaku pada nama perawi tertinggi bagi hadis ini, sama ada Muhammad bin ‘Atiyyah atau bapanya ‘Atiyyah. Di mana banyak sumber yang menyebut (عروة بن محمد بن عطية السعدي عن أبيه), dan menurut Ibn ‘Asakir ialah (محمد بن عروة بن عطية السعدي), maka ianya adalah mursal. Manakala menurut beberapa sumber seperti yang direkod oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Kabir dan juga Sayyid Ahmad ialah (عروة بن محمد السعدي عن أبيه محمد بن عطية عن أبيه) atau (عروة بن محمد بن عطية السعدى عن أبيه عن جده).

Justeru, kenyataan Sayyid Ahmad dalam mengecam dan melarang aksi demonstrasi ini tidak disandarkan kepada sebarang hujah yang kuat. Semoga Allah SWT merahmati dan meninggikan darjat beliau.

Wallahu a‘lam.


1 comment:

ManaratulHuda said...

Lagipun tanda-tanda kiamat ini tidak semuanya bermakna larangan atau celaan. Ia hanya makluman dan bukti kenabian .