Hadis Larang Demonstrasi?
Setelah saya menulis entri lepas, baru saya menemukan sumber hadis tersebut berdasarkan teks khutbah yang dibacakan (klik, lihat khutbah 1hb. Julai 2011). Juga rupanya ada sedikit polemik mengenainya pada tahun 2009 antara Mufti Wilayah (klik) dan penulis blog al-Bakistani (klik).
Riwayat Huzaifah RA
Hadis tersebut dipetik dari Musnad al-Bazzar (2847-2848), iaitu;
عَنْ حُذَيْفَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ، قَالَ : مَا مِنْ قَوْمٍ مَشَوْا إِلَى سُلْطَانِ اللهِ لِيَذِلُّوهُ إِلاَّ أَذَلَّهُمُ اللَّهُ قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ.
Terjemahan: Dari Huzaifah RA dari Nabi SAW sabdanya: “Tidaklah suatu kaum itu berjalan menuju kepada sultan Allah untuk menghinanya melainkan Allah akan menghinakan mereka sebelum hari kiamat”.
Menurut al-Haythami dalam Majma‘ al-Zawa’id (9089): Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar dan para perawinya adalah para perawi al-Sahih kecuali Kathir bin Abi Kathir al-Taymi dan beliau adalah thiqah.
Lafaznya dalam riwayat al-Daylami:
أول فرقة تسير إلى سلطان الله فى الأرض لتذله يذلهم الله قبل يوم القيامة. [الديلمى عن حذيفة أخرجه أيضًا : المحاملى (1/310 ، رقم 327)، الجامع الكبير: 9624].
Terjemahan: “Kumpulan pertama yang berjalan menuju kepada sultan Allah di atas muka bumi untuk menghinanya, Allah akan menghinakan mereka sebelum hari kiamat”.
Namun ‘Abd al-Razzaq meriwayatkan dalam Musannafnya secara mawquf dari kata-kata Huzaifah RA (20715):
عن معمر عن أبي إسحاق عن زيد بن أثيع عن حذيفة قال: ما مشى قوم إلى سلطان الله في الأرض ليذلوه إلا أذلهم الله قبل أن يموتوا.
Terjemahan: Dari Huzaifah RA katanya: “Tidaklah suatu kaum itu berjalan menuju kepada sultan Allah di atas muka bumi untuk menghinanya melainkan Allah akan menghinakan mereka sebelum mereka mati”.
Riwayat Ibn ‘Abbas RA
Hadis yang hampir serupa diriwayatkan dari Ibn ‘Abbas RA;
عن ابن عباس رضي الله عنه قال : قال رسول الله صَلى الله عَلَيه وسَلَّم: من مشى إلى سلطان الله في الأرض ليذله أذل الله رقبته يوم القيامة مع ما دخر له من العذاب وسلطان الله كتاب الله عز وجل وسنة نبيه صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم.
Terjemahan: Dari Ibn ‘Abbas RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang berjalan menuju kepada sultan Allah di atas muka bumi untuk menghinanya, Allah akan menghinakan tengkuknya pada hari kiamat, di samping azab yang disimpankan untuknya. Dan sultan Allah itu ialah Kitab Allah ‘azza wa jalla dan sunah Nabi-Nya SAW”.
Menurut al-Busiri dalam Ithaf al-Khirah al-Maharah (7163): Diriwayatkan oleh Musaddad dengan sanad daif, kerana kedaifan Husain bin Qais yang dikenali dengan Hanasy ( seorang yang matruk hadisnya).
Dalam riwayat ini ada penjelasan bagi makna ‘sultan Allah’ iaitu Kitab Allah ‘azza wa jalla dan sunah Nabi-Nya SAW. Dalam lafaz al-Tabarani dalam al-Kabir (11534) hanya hingga: (مع ما يدخر له في الآخرة). Menurut al-Haythami dalam Majma‘ al-Zawa’id (785): Padanya terdapat Husain bin Qais, Abu ‘Ali al-Rahbi, yang didaifkan oleh al-Bukhari, Ahmad dan lain-lain ahli hadis.
Disebut dalam riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir (11216), al-Bayhaqi, al-Khatib, dan Ibn ‘Asakir dengan sanad daif dalam sebuah hadis yang panjang, di antaranya teksnya:
ومن مشى إلى سلطان الله فى الأرض ليذله أذل الله رقبته مع ما يدخر له من الخزي يوم القيامة وسلطان الله فى الأرض كتاب الله وسنة نبيه [الجامع الكبير: 21314]
Terjemahan: “… Barangsiapa yang berjalan menuju kepada sultan Allah di atas muka bumi untuk menghinanya, Allah akan menghinakan tengkuknya, di samping kehinaan yang disimpankan untuknya pada hari kiamat. Dan sultan Allah di atas muka bumi itu ialah Kitab Allah dan sunah Nabi-Nya SAW”.
Menurut al-Haythami dalam Majma‘ al-Zawa’id (5/212): Padanya terdapat Abu Muhammad al-Jazari, iaitu Hamzah al-Nasibi, dan aku tidak mengenalinya, dan baki para perawinya adalah para perawi al-Sahih. Menurut al-Khatib: Ibrahim bin Ziyad dalam hadisnya ada sifat munkar. Kata Yahya bin Ma‘in: Aku tidak mengenalinya. (al-‘Ilal al-Mutanahiyah oleh Ibn al-Jawzi, 1272)
Riwayat Abu Bakrah RA
Antara riwayat yang dapat menyokong makna hadis-hadis di atas ialah riwayat Abu Bakrah RA:
مَنْ أَهَانَ سُلْطَانَ اللَّهِ فِي الْأَرْضِ أَهَانَهُ اللَّهُ
Terjemahan: “Barangsiapa yang menghina sultan Allah di atas muka bumi, Allah akan menghinakannya”.
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi (2224) dan katanya: Hadis hasan gharib. Juga diriwayatkan oleh al-Tayalisi (887) dan al-Bazzar (3670).
Sedikit Komentar
Dalam khutbah Jumaat itu, hadis Huzaifah RA yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar berkenaan diterjemahkan begini: “Mana-mana kumpulan berarak menuju ke arah pemerintah untuk menghinanya, maka Allah akan menghinanya sebelum hari kiamat”.
Sedangkan menurut teks asal sewajarnya diterjemah begini: “Tidaklah suatu kaum itu berjalan menuju kepada sultan Allah untuk menghinanya melainkan Allah akan menghinakan mereka sebelum hari kiamat”.
Perkataan berjalan adalah lebih umum berbanding perkataan berarak, kerana berjalan boleh membawa makna berarak seperti demonstrasi dan juga berangkat untuk memerangi atau memberontak. Makna ‘berangkat untuk memerangi atau memberontak’ itu lebih bersesuaian dengan maksud hadis-hadis lain yang seumpamanya berkaitan mentaati pemimpin. Ini dikuatkan lagi dengan kata ‘untuk menghinanya’. Sedangkan demonstrasi aman tidak mengandungi ciri-ciri berkenaan. Apakah sekadar demonstrasi aman bagi menuntut kebenaran atau mengemukakan pandangan akan diancam dengan balasan yang dahsyat oleh Allah SWT seperti dalam hadis tersebut? Tentunya ini agak tidak munasabah.
Seperkara lagi, perkataan sultan Allah pula sewajarnya dikekalkan dan tidak diterjemahkan pemerintah, kerana sultan Allah itu merujuk kepada sesuatu yang khusus berbanding pemerintah. Dalam hadis-hadis berkaitan politik dan kepemimpinan, kebanyakannya menggunakan perkataan amir, umara’, imam, a’immah, dan sultan sahaja. Tetapi dalam hadis-hadis di atas menggunakan kalimah ‘sultan Allah’. Kenapa?
Dalam riwayat Ibn ‘Abbas RA dijelaskan makna bagi ‘sultan Allah’ iaitu Kitab Allah SWT dan sunah Nabi-Nya SAW. Menghina al-Quran dan hadis adalah memang suatu perbuatan yang dapat membawa kepada azab yang berat. Juga ia dapat dimaksudkan sebagai pemerintah yang menjalankan hukum Allah Taala dan Rasul-Nya, sepertimana Khulafa’ Rasyidin, dan khalifah-khalifah Islam yang adil dahulu. Kerana kalimah ‘sultan Allah’ itu sinonim dengan kalimah 'khalifah Allah'.
Adakah pemerintah negara-negara Islam kini sedemikian? Dan adakah negara-negara Islam kini mempunyai pusat khilafah yang benar-benar dapat dianggap sebagai ‘sultan Allah’? Ini sekadar persoalan sahaja.
Justeru, menggunakan hadis ini untuk melarang demonstrasi aman adalah tidak tepat. Tulisan saya dalam entri yang lepas sudah mencukupi bagi menerangkan pandangan dalam isu ini.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment