Tuesday, October 13, 2009

Nabi Berbekam Kerana Racun

Soalan :

USTAZ, NAK MINTAK TOLONG... ADA SATU HADITH:

Dari Ka`b bin Malik bahawa ada seorang perempuan Yahudi menghadiahkan seekor kambing bakar kepada Nabi SAW di Khaibar. Baginda pun bertanya, "Apakah ini ?" Wanita itu menjawab, "Hadiah". Wanita itu berhati-hati jangan sampai menyatakannya sedekah sehingga baginda tidak mahu memakannya sama sekali. Tidak lama kemudian, Nabi SAW makan dan para sahabat pun makan. Tiba-tiba baginda bersabda, "Hentikan", kemudian baginda bertanya kepada wanita itu, "Apakah kamu telah meracuni kambing ini ?” Wanita itu menjawab, "Ya". Baginda bertanya, "Mengapa ?" Wanita itu menjawab, "Aku ingin sekiranya kamu pendusta, orang-orang akan segera boleh berehat dari kedustaan kamu, tetapi jika kamu seorang Nabi, maka itu tidak akan berbahaya bagi kamu”. Maka Nabi SAW pun berbekam pada kawasan tengkuk dengan 3 bekaman serta memerintahkan para sahabat supaya berbekam. Maka mereka pun berbekam.

SAYA PERNAH DENGAR, TAPI TANG BERBEKAM TU TAK PENAH DENGAR. (?)

Jawapan :

Asal hadith di atas ada di dalam Sahih al-Bukhari (Kitab al-Jizyah, no. 2933, al-Tibb, no. 5332 dan al-Maghazi, no. 3918) dan juga Sahih Muslim (Kitab al-Salam, Bab al-Sam, no. 4060). Adapun riwayat tambahan yang menyebut, Nabi SAW berbekam, diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf beliau, daripada Ma’mar, daripada al-Zuhri, daripada Ubay bin Ka’b, sepertimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari. Lafaznya; (فَاحْتَجَمَ عَلَى الْكَاهِل), “Lalu baginda berbekam di atas bahagian tengkuk”. Dalam riwayat lain pula juga oleh ‘Abd al-Razzaq, daripada Ma’mar, daripada al-Zuhri, daripada ‘Abd al-Rahman bin Ka’b bin Malik dinyatakan bilangan bekam sebanyak 3 kali serta menyuruh sahabatnya berbekam, sepertimana yang disebut oleh Ibn al-Qayyim dalam kitab Zad al-Ma’ad (j. 4, h. 111-112). Lafaznya; (فاحتجم النبي ثلاثة على الكاهل وأمر أصحابه فاحتجموا فمات بعضهم), “Lalu Nabi SAW berbekam tiga kali di atas bahagian tengkuk, serta memerintahkan para sahabatnya supaya berbekam. Maka mereka pun berbekam. Lalu ada sebahagian mereka yang mati”.

Sebahagian riwayat menyebut hanya Bisyr bin al-Bara’ sahaja yang mati disebabkan oleh racun berkenaan. Ada berbagai riwayat berkaitan kisah berkenaan yang jika dikumpulkan dapat menjadi sebuah kisah yang lebih panjang dari hadith di atas. Antaranya; wanita tersebut adalah wakil yang diutuskan oleh komplot Yahudi, mukjizat yang berlaku apabila daging tersebut berkata-kata, nama sebenar wanita Yahudi tersebut, wanita tersebut kemudian memeluk Islam, namun dihukum qisas apabila Bisyr meninggal dunia dan sebagainya.

Pautan-pautan yang berkaitan kisah ini.

1. Islamweb.

2. Islamport.

3. Rasoulallah.

4. Sirah.al-islam.

5. Alroqya.

1 comment:

Anonymous said...

syukran ustaz