Pages

Thursday, December 16, 2010

Hadis Meluaskan Nafkah Kaum Keluarga Pada Hari 'Asyura'

Ada yang bertanya saya mengenai kedudukan hadis ini, walaupun ianya mungkin biasa didengar bagi sesetengah orang. Matan hadis yang akan kita bicarakan ini adalah berbunyi demikian:

حديث رسول الله -صلى الله عليه وسلم- : « من وسع على عياله فى يوم عاشوراء وسع الله عليه فى سنته كلها » وفي رواية: من وسَّعَ على عياله في النفقة يومَ عاشوراء ، وسَّعَ الله عليه سائر سَنَتِهِ. قال سفيان: إنا قد جربناه، فوجدناه كذلك.

Terjemahan hadis Rasulullah SAW:

"Barangsiapa yang meluaskan (belanja) kaum keluarganya pada hari 'Asyura', maka Allah akan melapangkannya pada tahun tersebut seluruhnya". Dalam satu riwayat: "Barangsiapa yang meluaskan nafkah kaum keluarganya pada hari 'Asyura', maka Allah akan melapangkannya sepanjang tahun tersebut". Kata Sufyan: Sesungguhnya kami telah mengujinya, lalu kami dapati ianya benar.

Hadis ini berdasarkan kajian didapati telah diriwayatkan oleh lima orang sahabat Nabi SAW, iaitu:

  1. Abu Sa’id al-Khudri RA: iaitu riwayat Ibn Abi al-Dunya dalam al-’Iyal (no. 385), al-Hakim al-Tirmizi (3/14), al-Tabarani dalam al-Awsat (no. 9302), dan al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 3794). Dalam sanadnya ada Muhammad bin Isma’il al-Ja’fari yang munkar al-hadith (al-Haythami, 3/189).
  2. Ibn Mas’ud RA: iaitu riwayat Ibn ’Adi (5/211), al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 3792), dan Ibn Hibban dalam al-Du’afa’ (3/97), serta al-Tabarani dalam al-Kabir (no. 10,007) dengan lafaz: (من وسع على عياله يوم عاشوراء لم يزل فى سعة سائر سنته), dan dalam sanadnya ada al-Haysam bin al-Syaddakh yang sangat daif (al-Haythami, 3/189).
  3. Jabir RA: iaitu riwayat al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 3791), kata beliau: Isnadnya daif. Juga diriwayatkan dalam al-Istizkar oleh Ibn ’Abd al-Barr dengan lafaz: (من وسع على نفسه وأهله يوم عاشوراء وسع الله عليه سائر سنته), dan al-Hafiz Ahmad al-Ghumari menyatakan bahawa perawi-perawi sanadnya adalah perawi-perawi al-Sahih.
  4. Abu Hurairah RA: iaitu riwayat Ibn ’Adi dan al-Bayhaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 3795).
  5. Ibn ’Umar RA: iaitu riwayat al-Daraqutni dalam al-Afrad dan al-Khatib al-Baghdadi dalam Ruwat Malik.

Dr. Muhammad Abu al-Laith al-Khairabadi dalam kitabnya al-Marwiyyat fi Fadl Laylah al-Nisf min Sya’ban wa al-Tawsi’ah ’ala al-’Iyal Yaum ’Asyura’ fi Mizan al-Naqd al-Hadithi (hlm. 115) merumuskan bahawa hadis ini berdasarkan jalan-jalan riwayatnya adalah hasan li-ghairih. Hukum beliau ini bersepakatan dengan ramai ulama hadis yang tidak menolak hadith ini seperti al-'Iraqi, al-Sakhawi, al-’Ajluni, al-Suyuti, al-Munawi, Ibn 'Arraq dan lain-lain. Sebelum Dr. Abu al-Laith, al-Hafiz al-'Allamah Sayyid Ahmad al-Ghumari رحمه الله sebenarnya telahpun membincangkan takhrij hadis ini secara detail dan menghukumnya sebagai sahih di dalam risalah beliau: (هدية الصغراء بتصحيح حديث التوسعة يوم عاشوراء).

Maka dapatlah kita ketahui sejauhmana ketepatan pendapat orang yang menolak hadis ini, lalu mengatakan pengamalannya sebagai bidaah dan ditegah berbuat demikian. Antaranya disebut oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Siyam : Taisir al-Fiqh fi Dhau' al-Quran wa al-Sunnah (cet. ke 3. Beirut : Mu’assasah al-Risalah, 2001. hlm. 142-154. terjemahan oleh Kamin, al-ahkam.net) :

“Tidak didatangkan apa2 perkara di dalam hari 'Asyura' melainkan berpuasa, dan terdapat beberapa orang melakukan perkara seperti berhias, mandi, memakai celak, membelanjakan keluarga, menjadikannya musim atau perayaan dengan menyembelih binatang sembelihan, dan manusia meluaskan lagi. Kesemua ini tidak ada asalnya di dalam agama Allah, tidak ada sebarang dalil yang sahih”.

Al-Qaradawi turut menukilkan dari Ibn al-Qayyim :

"Hadith2 mengenai penggunaan celak pada hari 'Asyura', mencantikkan diri, membelanja keluarga, bersolat, dan lain2 yang mempunyai fadhilat, tidak sahih apa2 mengenainya, dan tidak ada satu hadith pun, dan tidak datang dari Nabi saw apa-apa darinya, selain dari hadith2 puasanya, dan menganggapnya batil",... dan misalnya : "Barangsiapa yang melapangkan (berbelanja) ke atas keluarganya pada hari 'Asyura', Allah swt akan melapangkannya sepanjang tahun", maka berkata Imam Ahmad : Hadith ini tidak sah”. (al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha'if, Dar al-Qalam, Beirut, ditahqiq oleh Abu Ghuddah, ms 111-113).

Beliau juga menukilkan dari Syeikh Ibn Taimiyah:

“Diriwayatkan di dalam hadith maudhu' (palsu) bahawa Nabi saw sesunguhnya bersabda: "Barangsiapa yang melapangkan kaum keluarganya pada hari 'Asyura', maka Allah akan melapangkannya sepanjang tahun". Semua riwayat mengenai Nabi saw (di dalam hal ini) adalah dusta, akan tetapi diketahui akan riwayat Sufyan bin Uyainah dari Ibrahim bin Muhammad bin Muntasyir, dari ayahnya berkata : "Telah sampai kepadaku seseungguhnya; barangsiapa yang melapangkan ahli keluarganya pada hari 'Asyura', maka Allah akan melapangkannya sepanjang tahun". [Majmu' Fatawa, Ibn Taimiyah, 25/229,300].”

Pendapat al-Qaradawi yang disadur dari Ibn Taimiyah dan Ibn al-Qayyim dengan katanya: “Tidak didatangkan apa2 perkara di dalam hari 'Asyura' melainkan berpuasa”, adalah sesuatu yang perlu dilihat semula. Penulis makalah Sejarah Dan Keutamaan Puasa `Asyura yang menyenaraikan 26 bidaah hari ’Asyura’ juga mencatatkannya dalam bidaah ke-20 dalam menyanggah tulisan Al-`Allamah Sheikh Daud Al-Fatani rahimahullah dalam kitabnya Jam`ul Fawaid (hlm. 135). Padahal beliau sendiri membentangkan kedudukan hadis tersebut di sisi ulama hadis sama ada sabit ataupun tidak, katanya:

Di samping itu banyak riwayat yang menerangkan tentang fadhilat melebihkan perbelanjaan ke atas isi rumah ini, antaranya ialah : At-Tabarani, Al-Baihaqi dan Ibnu Abdil Barr rahimahumullah telah meriwayatkan dari Abu Sa`id al-Khudri radhiallaahu `anhu katanya : "Sesiapa yang meluaskan pemberian (yakni melebihkan perbelanjaan) kepada keluarganya pada hari 'Asyura`, maka ALLAH akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun itu." Para muhaddithin (ahli hadith) berbeza pendapat tentang darjat hadith ini, ada yang mensahihkannya dan ada yang mendha`ifkannya. Imam As-Suyuti rahimahullah dalam "ad-Durarul-Muntansyirah" menyatakan bahawa hadith ini sahih.


Syeikh Zainuddin al-Malibari rahimahullah dalam kitabnya "Irsyadul 'Ibad ila Sabilir Rasyad" berkata bahawa Sufyan Ath-Thauri rahimahullah menjelaskan : "Kami telah mengamalkan hadith ini selama 50 atau 60 tahun, dan ia benar-benar sedemikian (yakni terjadi seperti yang dinyatakan dalam hadith tersebut, iaitu ALLAH meluaskan rezeki setahun itu)". Kata Yahya bin Sa'id pula : "Kami telah amalkan ini, maka kami dapati benar-benar berlaku" .


Namun begitu Asy-Syaibaniy rahimahullah berkata : "Semua jalur perawi hadith-hadith ini lemah. Al-`Iraqi rahimahullah berkata : Sebahagian jalur dari Abu Hurairah disahihkan oleh Al-Hafidz Ibnu Nasir, jadi menurutnya ini hadith hasan, sedangkan Ibnul Jauzi rahimahullah menulisnya di dalam kumpulan hadith palsu. (Tamyizut-Tayyib minal Khabith, no. 1472, Tanbihul Ghafilin, 1/367).


Sementara itu Imam As-Suyuti rahimahullah dengan tegas mengatakan : "Telah diriwayatkan tentang keutamaan meluaskan nafkah sebuah hadith dhaif, boleh jadi sebabnya adalah berlebihan di dalam mengagungkan-nya, dari satu sudut untuk menandingi orang-orang Rafidhah (Syi'ah) kerana syaitan sangat bercita-cita untuk memalingkan manusia dari jalan lurus. Ia tidak peduli ke arah mana dari dua arah mereka akan berpaling, maka hendaklah para pelaku bid'ah menghindari bid'ah-bid'ah sama sekali." (Al-Amru Bil Ittiba', hal.88-89).


Ibnu Rajab rahimahullah berkata dalam kitabnya "Lata’iful Ma’arif" halaman 53 : Hadith anjuran memberikan belanja lebih dari hari-hari biasa, diriwayatkan dari banyak jalan namun tidak ada satupun yang sahih. Di antara ulama yang mengatakan demikian adalah Muhammad bin Abdullah bin Al-Hakam Al-Uqaili rahimahullah, beliau berkata : Hadith itu tidak dikenali.


Ketika menerangkan qaidah-qaidah untuk mengenal hadith palsu, Al-Hafidz Ibnul Qayyim rahimahullah dalam kitab Al-Manarul Munif halaman 113 berkata : Hadith-hadith tentang bercelak pada hari `Asyura, berhias, bersenang-senang, berpesta dan solat di hari ini dan fadhilat-fadhilat lain tidak ada satu pun yang sahih, tidak satu pun keterangan yang kuat dari Nabi sallallahu ’alaihi wa sallam selain hadith puasa. Adapun selainnya adalah batil seperti hadith : "Sesiapa yang meluaskan pemberian (yakni melebihkan perbelanjaan) kepada keluarganya pada hari 'Asyura`, maka ALLAH akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun itu." Imam Ahmad rahimahullah mengatakan ketika ditanya : "Hadith ini tidak ada asalnya, ia tidak bersanad kecuali apa yang diriwayatkan oleh Ibnu `Uyainah dari Ibnul Muntasir, dan dia adalah orang Kufah, dia meriwayatkan dari seorang yang tidak dikenali." (Al-Ibda', Ali Mahfudz, 150)

Maka berdasarkan pembentangan tersebut, beliau terus memilih hukum palsu bagi hadis tersebut dan menyenaraikan amalan tersebut sebagai bidaah! Padahal beliau telah melihat ulama yang menghukumnya sebagai sahih, hasan, daif dan juga mawdu’. Dan setiap satunya pula perlu diselidik dan dibincangkan. Perlu diingat, dalam membincangkan perkara-perkara yang diperselisihkan (khilafiyyah) sebegini kita tidak harus menghukumkan tarjih (pilihan) pihak lawan sebagai bidaah dan tarjih (pilihan) kita pula sebagai sunnah. Jika penentuan sunnah-bidaah ini dibenarkan dalam bentuk sebegini (proses pentarjihan), maka habislah unsur bidaah tersebar dalam semua mazhab-mazhab fiqh muktabar yang ada kerana antara pendapat-pendapat kesemua mazhab tersebut pasti tidak lari dari pendapat yang rajih (yang tepat) dan pendapat yang marjuh (yang kurang tepat) berdasarkan neraca fiqh muqaranah (perbandingan).

Justeru setelah melihat kepada semua jalan-jalan riwayat hadis di atas yang diriwayatkan oleh imam-imam hadis muktabar, mungkin dapat kita katakan keterangan-keterangan yang menolak hadis ini adalah kerana tidak melihat kesemua jalan-jalan riwayat tersebut dan menyelidikinya secara rapi. Jika tidak pasti mereka meyakini bahawa hadis ini ada asalnya yang dapat dijadikan pegangan. Kaedah dalam ilmu ulum al-hadith membenarkan natijah ini.

Wallahu a’lam.

5 comments:

Danial Farhan @ Humair said...

Salam.
Antara yg menyokong bahawa hadith ini ada sandarannya ialah al-Hafiz al-Mujtahid Sayyid Ahmad Siddiq al-Ghumari dlm risalah berkenaan hadith ini.
Ustaz, ana nak tanya, ada ke hadith ttg solat sunat hari Asyura'?

Blog al-Faqir Ila Rabbih Ta'ala said...

Allahu a'lam, sepanjang pengetahuan ana cuma puasa dan beri nafkah sahaja yang sabit.. Selagi tidak sabit maka kita tawaqqufkan sahaja.

Blog al-Faqir Ila Rabbih Ta'ala said...

Terima kasih kerana mengingatkan saya tentang risalah Sayyid Ahmad al-Ghumari. Saya dah rujuk kepada Koleksi Ghumariyyun saya dan menelaah risalah tersebut. Maka dapatlah saya tambahkan sedikit maklumat pada entri ini.

TQ

Anonymous said...

Salam,
Ustaz, saya ingin tahu, boleh ustaz jelaskan bila dan bagaimana konsep tarjih boleh digunapakai?

dan yang mana patut didahulukan, matabaat dan syawahid atau tarjih?

ummurifqah UUM

Blog al-Faqir Ila Rabbih Ta'ala said...

Bila dan bagaimana konsep tarjih boleh digunapakai?

* Tarjih berlaku dalam sebuah mazhab yang sama, dan juga berlaku antara mazhab-mazhab. Tarjih bergantung kepada kekuatan, kemampuan dan kemantapan ilmu pentarjih. Namun medan pentarjihan amat luas mencakupi bab akidah, fiqh, tafsir, sejarah, tasauf, usul, hadith, mustalah, falsafah, dsb. Kehebatan seorang pentarjih dalam suatu bidang, belum tentu sama hebat dengan pentarjihannya dalam bidang-bidang yang lain. Hampir tidak ada ulama yang perfect dalam semua bidang pada masa ini, bahkan semenjak berdekad-dekad dulu lagi. Semuanya saling perlu-memerlukan. Soal bila dan bagaimana boleh digunapakai, ia melibatkan berbagai sudut dengan pertimbangan berbagai kaedah. Permasalahan juga perlu dilihat sama ada ianya qat'i atau zanni, usul atau furu'.. Dalam masalah zanni dan furu' adakalanya medan pentarjihan menjadi umpama suatu medan yang amat luas tidak bertepi, berbeza dengan masalah qat'i dan usul yang tidak banyak pilihan, menjurus sama ada sunnah atau bidaah, hak atau batil. Kesemua ini turut berkaitan dalam soal praktisnya. Dalam perkara ini peranan pihak pemerintah adakalanya memainkan peranan penting dalam menjaga keharmonian masyarakat. Manakala ahli-ahli akademik boleh membahaskannya dalam ruang yang disediakan... selain perkara-perkara 'remeh-temeh', yang wajar diberikan ruang yang seluas-luasnya!!.
______________

Dan yang mana patut didahulukan, matabaat dan syawahid atau tarjih?

* Rasanya tidak ada pilihan di situ, mutabaat dan syawahid amat diperlukan sebelum sesuatu proses tarjih yang baik. Namun, adakalanya proses tersebut amat memerlukan unsur-unsur lain yang penting seperti ikhlas, doa, tawakkal, hemmah, takut Allah, istikharah dsb.

والله أعلم