Pages

Saturday, July 2, 2011

Sirat: Titian Atau Jalan?

Gambaran Datuk Hj. Abu Hassan Din

Gambaran penulis menurut pandangan ulama Ahlus Sunnah


Atas permintaan berkali-kali oleh setengah sahabat berkenaan pandangan YB Datuk Hj Abu Hasan Din al-Hafiz berhubung isu Sirat, maka saya cuba tuliskan perbahasan ini seringkas yang mungkin tanpa teks-teks hadis penuh kerana kesuntukan masa. Walaupun ia barangkali sudah banyak diulas oleh tuan-tuan guru dan ustaz-ustaz yang lebih alim.

Ringkasan isunya, Datuk Abu Hassan telah membuat kajian mengenai Sirat dan menyatakan bahawa Sirat itu adalah jalan atau laluan manusia menuju ke Mahsyar, bukannya Jambatan atau Titian sebagaimana yang sudah masyhur disebut-sebut selama ini. Jadi makna sirat yang dibawahnya terdapat neraka adalah tidak tepat, tetapi ia adalah simbolik yang menunjukkan betapa seksanya manusia hendak menuju ke Mahsyar.

Jadi, beliau tidak menafikan adanya Sirat seperti yang disalah anggap oleh sesetengah orang. Beliau cuma cuba menerangkan sifat sebenar Sirat itu menurut dalil-dalil yang lebih kukuh serta menolak dalil-dalil yang kurang kuat menurutnya.

Ini berbeza dengan pandangan Muktazilah yang menolak sama sekali adanya Sirat secara hakiki. Menurut mereka perkataan Sirat itu adalah majazi yang bermakna agama Islam. Inilah juga yang dipilih oleh Sayyid Hasan al-Saqqaf dalam kitabnya Sahih Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah. Pandangan Muktazilah ini bertentangan dengan pandangan seluruh ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menyabitkan wujudnya Sirat secara hakiki.

Ringkasan akidah majoriti Ahlus Sunnah wal Jamaah terhadap Sirat ialah suatu jambatan di atas matn (puncak) neraka Jahannam yang akan dilalui di atasnya oleh seluruh manusia. Kedudukannya terletak selepas hisab dan mahkamah Allah. Yakni selepas mahsyar, bukan sebelum mahsyar sepertimana pandangan Datuk Abu Hassan. Setelah mereka diadili, maka orang kafir dan orang yang berdosa ketika melalui Sirat akan jatuh ke dalam neraka. Kemudian mereka dibawa ke peringkat neraka yang layak menurut kesalahannya, ini kerana neraka ada beberapa peringkat. Peringkat yang paling dahsyat adalah neraka yang paling bawah sekali. Selepas Sirat pula, ada jambatan menuju ke syurga. Di situ, orang-orang yang beriman diqisaskan berdasarkan kesalahan antara sesama manusia ketika di dunia.


Jalan Atau Jambatan?

Disebut oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman Hasan Habannakah al-Maydani dalam kitabnya al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha (h. 659) tentang Sirat: iaitu suatu jalan di atas matn (puncak) Jahannam yang akan dilalui oleh manusia, yang mukmin dan kafir. Beliau juga menukilkan dari al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim: Sesungguhnya para salaf telah berijmak atas menyabitkan Sirat, iaitu suatu jambatan di atas matn (puncak) Jahannam yang akan dilalui di atasnya oleh manusia seluruhnya. Orang-orang mukmin akan selamat menurut hal keadaan mereka dan yang selain mereka pula akan jatuh di dalamnya.

Meskipun Syeikh ‘Abd al-Rahman tidak mengulas panjang tentang Sirat, namun ada perbezaan antara takrif beliau dengan takrif Imam al-Nawawi, sama ada beliau sedari ataupun tidak. Takrif beliau: “suatu jalan … yang akan dilalui oleh manusia”, adalah takrif yang hampir dengan maksud Datuk Abu Hassan tanpa ibarat “di atas matn (puncak) Jahannam”.

Manakala takrif Imam al-Nawawi: “suatu jambatan di atas matn (puncak) Jahannam yang akan dilalui di atasnya oleh manusia seluruhnya” adalah takrif majoriti ulama Ahlus Sunnah.

Sirat Ialah Jambatan Jahannam

Hakikat Sirat sebagai jambatan Jahannam (جسر جهنم) adalah berdasarkan banyak hadis-hadis yang menyebutkan demikian. Kalimah (جسر جهنم) ini diriwayatkan dari ramai sahabat RA, meskipun matan-matan hadisnya berbeza-beza, di antara sahih dan daif. Antara mereka ialah;

  1. Abu Hurairah (al-Bukhari: 6088/6573),
  2. Abu Said al-Khudri (Muslim: 269, al-Hakim: 8737),
  3. Jabir bin ‘Abdullah (Muslim: 278)
  4. ‘Abdullah bin Salam (al-Hakim: 8698, Syu’ab al-Iman: 360)
  5. Huzaifah (Ithaf al-Khayarah: 3523)
  6. Bisyr bin ‘Asim (al-Tabarani: 1219, Ithaf al-Khayarah: 4906)
  7. Abu Zar (al-Hakim: 8802, Ithaf al-Khayarah: 7271)
  8. ‘A’isyah (al-Tirmizi: 3164, al-Hakim: 3630)
  9. Abu Umamah al-Bahili (al-Tabarani dalam al-Awsat: 5976)
  10. Mu‘az bin Anas (Abu Dawud: 4239, al-Tabarani: 433),
  11. ‘Abdullah bin Mas‘ud (al-Hakim: 3424)
  12. Anas bin Malik (Syu’ab al-Iman: 360).
  13. Abu al-Darda’ mawquf (‘Abd al-Razzaq: 6740)
  14. Abu Musa al-Asy‘ari mawquf (Syu’ab al-Iman: 10186).

Bilangan ini boleh dikatakan sebagai bilangan mutawatir menurut Imam al-Suyuti kerana lebih dari 10 orang sahabat yang meriwayatkannya. Justeru, ibarat (جسر جهنم) ini telah diikuti oleh majoriti ulama Islam dan menerimanya secara hakiki, bukan majazi. Antaranya, Imam Al-Bukhari di dalam kitab Sahihnya telah memberi judul bab (الصراط جسر جهنم), iaitu Sirat ialah jambatan Jahannam.

Antara matannya, dari riwayat Abu Hurairah (6088):

وَيُضْرَبُ جِسْرُ جَهَنَّمَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ يُجِيزُ

"... Dan diletakkan (direntang) jambatan Jahannam, Rasulullah SAW bersabda: Akulah orang yang mula-mula akan melintasinya ...".

Imam al-Bukhari juga meriwayatkan hadis lain Abu Hurairah (764):

فَيَدْعُوهُمْ فَيُضْرَبُ الصِّرَاطُ بَيْنَ ظَهْرَانَيْ جَهَنَّمَ فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ يَجُوزُ مِنْ الرُّسُلِ بِأُمَّتِهِ

“… Allah kemudian memanggil mereka, lalu dibentangkanlah Sirat di atas neraka Jahannam. Maka akulah orang pertama yang akan melewatinya dari kalangan para rasul bersama umatnya ...”.


Ratusan ulama, barangkali ribuan ulama yang telah mensyarahkan Sahih al-Bukhari atau mengajarkannya pasti telah mengiyakan takrif al-Bukhari ini. Kata al-Halimi tentang Sirat, seperti yang dinukilkan oleh al-Bayhaqi: “Iaitu jambatan Jahannam, penjelasannya; bahawa syurga itu di atas, sebagaimana Jahannam itu di bawah, jikalau tidak demikian, nescaya orang yang memasukinya tidak perlu kepada jambatan”. (Syu’ab al-Iman: 360)

Justeru, untuk menolak pengertian Sirat itu sebagai jambatan atau titian neraka Jahannam sepertimana zahir riwayat-riwayat di atas, dan memaknakannya sebagai suatu simbolik, atau kembali kepada makna bahasa, bukanlah suatu yang mudah kerana kekukuhan dalil-dalil yang membuktikannya bermakna demikian.

Banyak nas yang mengisyaratkan bahawa syurga itu memiliki beberapa peringkat, dan yang paling mulia ialah peringkat yang paling atas. Dan neraka juga mempunyai beberapa peringkat, dan yang paling dahsyat ialah peringkat yang paling bawah. Justeru, wajarlah Sirat itu berada antara dua kedudukan ini, di antara sifat ketinggian dan kerendahan. [Lihat gambarajah perbandingan]

Sirat Itu Lebih Halus Dari Rambut Dan Lebih Tajam Dari Pedang

Adapun jambatan itu lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang (أَدَقُّ مِنْ الشَّعْرَةِ وَأَحَدُّ مِنْ السَّيْفِ), atau sebahagian maknanya yang hampir sama, ia diriwayatkan oleh:

1- Abu Sa‘id al-Khudri secara balagh (Muslim: 269/183, Ibn Hibban: 7377). Namun, ulama menyatakan bahawa ia mempunyai hukum marfu’ kerana tidak mungkin ianya diucapkan menurut akal fikirannya sendiri. Meskipun wujud kebarangkalian yang lain.

2- Anas bin Malik dengan isnad da’if, menurut al-Bayhaqi.

3- ‘Abdullah bin Mas‘ud (al-Hakim: 3424) dengan lafaz: (كحد السيف).

4- ‘A’isyah (Ahmad 6/110).

5- Abu Hurairah (Abu Ya‘la dan Ibn Mani‘) dengan lafaz: (كحد السيف), dan (Ishaq bin Rahuyah dan al-Tabarani) dengan lafaz: (كدقة الشعر وكحدة الشفرات).

6- Salman al-Farisi (al-Hakim: 8739) dengan lafaz: (مثل حد الموسى).

7- Abu Umamah al-Bahili (al-Tabarani: 7890) dengan lafaz: (مثل حد الموسى).

8- ‘Ubaid bin ‘Umair secara mursal (Ibn al-Mubarak dan Ibn Abi al-Dunya) dengan lafaz: (مثل حد السيف).

9- Sa‘id bin Abi Hilal secara balagh (Ibn Mandah)

10- al-Fudhail bin ‘Iyadh secara balagh dengan sanad mu’dal (Ibn ‘Asakir).

Imam al-Bayhaqi menyatakan bahawa ibarat ini tidak ditemukan dalam riwayat-riwayat yang sahih. Mungkin ia bermaksud ibarat dengan isim tafdhil tersebut kerana gurunya, al-Hakim (3424) ada meriwayatkan seumpama maknanya tetapi dengan lafaz (كحد السيف), yakni seperti ketajaman pedang, dari ‘Abdullah bin Mas’ud, dan katanya: Sahih, serta disepakati oleh al-Zahabi. Dan dengan lafaz (مثل حد الموسى), yakni seperti ketajaman pisau cukur, dari Salman al-Farisi, dan katanya: Sahih menurut syarat Muslim. Riwayat-riwayat ini dan lain-lainnya dapat saling kuat menguatkan.

Imam al-Nawawi telah menyebut dalam Syarah Sahih Muslim (3/20) bahawa ia adalah pandangan golongan Mutakallimun dari kalangan ulama-ulama Syafi’iyyah dan juga selain mereka dari kalangan para Salaf. Teks penuhnya:

وأصحابنا المتكلمون وغيرهم من السلف يقولون ان الصراط أدق من الشعرة وأحد من السيف كما ذكره أبو سعيد الخدرى رضى الله عنه

Menurut Imam al-Ghazali (w. 505H), ia bukannya suatu yang mustahil bagi qudrat Allah SWT. (al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, hal. 240)

Al-Bayhaqi membawakan kata-kata al-Halimi yang membawa maksud bahawa “lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang” itu adalah tamsilan (kinayah, simbolik) terhadap senang dan susah bagi melintasi Sirat serta kepatuhan para malaikat dalam menjalankan tugas mereka. Demikian juga pendapat ‘Izzuddin bin ‘Abd al-Salam, al-Qarafi dan Badruddin al-Zarkasyi, sepertimana yang disebut oleh Syeikh Ibrahim al-Bajuri dalam Syarh Jawharah al-Tawhid (hal. 326) tanpa sebarang komentar terhadapnya.

Pandangan Ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Kewujudan Sirat adalah akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah secara ijmak, namun tidak semua membahaskannya secara detail. Ramai ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang membincangkan tentang Sirat mentakrifkan Sirat sebagai:

جسر ممدود على متن جهنم يرده الخلق كافة أدق من الشعرة وأحد من السيف

“Sebuah jambatan yang terbentang di atas perut neraka Jahannam, yang akan dilalui oleh seluruh makhluk, ia lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang”.

Antara yang menyebutkannya demikian, atau yang seumpama demikian, di dalam karya-karya mereka ialah:

- Imam Abu Hamid al-Ghazali (w. 505H) dalam Qawa‘id al-‘Aqa’id, (hal. 66) dan al-Iqtisad fi al-I‘tiqad ( hal. 240).

Akidah al-Ghazali ini diterima oleh ramai ulama Islam, seperti Imam Ibn ‘Asakir al-Dimasyqi dalam Tabyin Kazib al-Muftari fi Ma Nusiba ila al-Imam Abi al-Hasan al-Asy‘ari, (hal. 305), Syeikh Ahmad bin Zarruq al-Fasi (w. 899H) dalam Syarh ‘Aqidah al-Imam al-Ghazali (hal. 146), al-‘Allamah Muhammad Murtadha al-Zabidi (w. 1205H) dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, dan lain-lain.

- Al-‘Allamah Ahmad bin Muhammad al-Ghaznawi al-Hanafi (w. 593H) dalam kitab Usul al-Din (hal. 238-239)

- Al-‘Allamah Sa‘d al-Din Mas’ud bin ‘Umar al-Taftazani (w. 791H) dalam Syarh al-Maqasid fi ‘Ilm al-Kalam, (j.2, hal. 223) dan Syarh al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah (hal. 168).

- Syeikh ‘Abd al-Salam bin Ibrahim al-Laqani (w. 1078H) dalam Ithaf al-Murid bi Jawharah al-Tawhid (hal. 235).

- Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Sawi al-Maliki dalam Syarh Jawharah al-Tawhid (hal. 277).

- Mulla ‘Ali al-Qari (w. 1014H) dalam Syarh Dhaw’ al-Ma‘ali ‘ala Manzumah Bad’ al-Amali (hal. 167).

- Syeikh Muhammad al-Makki ibn ‘Azzuz (w. 1334H) dalam al-‘Aqidah al-Islamiyyah (hal. 330), namun dengan lafaz (جسر رقيق على جهنم), yakni suatu jambatan yang halus di atas Jahannam.

Ada ulama yang mentakrifkan Sirat sepertimana di atas , tetapi tanpa menggandingkan di dalam takrifnya sifat “lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang”. Antara mereka ialah:

- Imam al-Haramain al-Juwaini (w. 478H) dalam kitab al-Irsyad ila Qawati‘ al-Adillah fi Usul al-I‘tiqad (hal. 379).

- Syeikh Ahmad bin Abdul Halim Ibn Taimiyyah (w. 728H) dalam al-'Aqidah al-Wasitiyyah (hal. 33).

- Syeikh Ibrahim al-Bajuri dalam Syarh Jawharah al-Tawhid (hal. 325).

- Syeikh ‘Ali bin Muhammad al-Tamimi al-Safaqisi (masih hidup tahun 1118H) dalam Taqrib al-Ba‘id ila Jawharah al-Tawhid.

Dan lain-lain.

Kesimpulan

Kewujudan Sirat adalah akidah ulama Ahlus Sunnah secara ijmak. Adapun Sirat sebagai jambatan Jahannam (جسر جهنم) adalah menurut pegangan majoriti ulama Ahlus Sunnah [Mohon sesiapa yang menemuinya sebagai ijmak memberitahu kepada al-faqir penulis ini]. Namun, riwayat-riwayat berkaitan sifat Sirat yang menyebut ‘lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang’ adalah tidak diterima zahirnya secara sepakat di sisi mereka, di samping kedaifan sebahagian jalan-jalan riwayatnya. Justeru, kemungkinan ada kelonggaran di situ sepertimana takwilan sebahagian ulama Ahlus Sunnah di atas. Maka pandangan Datuk Abu Hassan khusus terhadap sifat Sirat ini ada keuzurannya. Mudah-mudahan kita berasa lebih takut terhadap hari yang maha dahsyat itu dan sentiasa berdamping dengan Allah SWT bagi mengharapkan perlindungan-Nya. Mohon diberi petunjuk.

Wallahu a‘lam.


Rujukan Tambahan:

- Ustaz Aizam Mas'ud, mufakkir-islami.blogspot.com.

- Masjid al-Mukhlisin, I & II.


No comments: