Friday, April 20, 2012

Dr. Zulkifli al-Bakri dan Kitab Bahjah al-Nufus


Apabila menyebut nama kitab Bahjah al-Nufus hanya ada satu sahaja kitab yang masyhur diketahui umum iaitu kitab karangan Imam Ibn Abi Jamrah yang mensyarahkan hadis-hadis dari kitab Sahih al-Bukhari. Itu yang disangkakan apabila menerima jemputan dari Ustaz Shuhadak untuk menghadiri diskusi kitab Bahjah al-Nufus oleh al-Fadhil Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di Seremban semalam.



Rupa-rupanya, kitab Bahjah al-Nufus itu bukanlah syarah bagi hadis-hadis Sahih al-Bukhari, tetapi ialah ’syarah’ kepada sebuah kitab Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari (w. 709H). Kitab Bahjah al-Nufus ini adalah kitab terjemahan dan ’syarah’ dalam bahasa Melayu hasil buah tangan al-Fadhil Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sendiri. Ia diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan pada tahun 2007.



Terima kasih kepada Jabatan Mufti kerana menganjurkan diskusi tersebut dan mengedarkan kitab berkenaan secara percuma kepada para peserta yang tidak kurang dari 200 orang.



Selain kitab al-Hikam, Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari memiliki sebuah lagi kitab yang tidak kurang tandingannya dengan kitab al-Hikam, iaitu kitab Taj al-‘Arus al-Hawi Li Tahzib al-Nufus yang bererti ”Mahkota Pengantin Yang Mengandungi Pedoman Untuk Mendidik Jiwa”. Kitab ini sebenarnya tidak kurang juga popularnya dan tersebar luas ke serata pelosok dunia Islam. Namun, kandungannya lebih ringan sedikit, di samping banyak memuatkan kata-kata tiga tokoh kerohanian besar, iaitu gurunya Syeikh Abu al-‘Abbas al-Mursi (w. 686H), guru kepada gurunya, Imam Abu al-Hasan al-Syazili (w. 656H) dan seorang gurunya yang dikatakan salah seorang daripada tujuh wali abdal, Syeikh Makin al-Din al-Asmar.



Kitab inilah yang disyarah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dengan ’syarah’ yang begitu baik. ’Syarah’ tersebut lebih mirip kepada nota-nota kaki yang panjang. Namun, dalam diskusi tersebut beliau hanya sempat membacakan 1/3 daripada teks kitab sahaja. Dan majlis berakhir pada waktu zohor.



Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari memulakan kitab ini dengan gesaan supaya manusia segera bertaubat kepada Allah SWT, seterusnya menghuraikan kesan-kesan zahir dan batin akibat perbuatan maksiat, mengajak manusia supaya segera mencari bekalan untuk bertemu Allah SWT dan juga menghuraikan perkara-perkara yang dapat mengotorkan hati dan perkara-perkara yang dapat menjadi penggilapnya. Ringkasnya, ia banyak menyentuh tentang panduan-panduan untuk membersih dan menyucikan jiwa agar menjadi hamba Allah yang diredhai-Nya.



Sebelum ini, penulis pernah menelaah kitab Taj al-‘Arus tersebut dan mendapati susunan bahasa dan maknanya sangat menarik. Bahkan banyak frasa-frasa ayatnya yang mampu menjadi kata-kata hikmah yang berdiri secara sendiri. Sebagai misalan, diberikan di bawah sebahagian daripada kata-kata hikmah tersebut yang dipetik daripada berbagai bahagian kitab Taj al-‘Arus berkenaan.



Kata Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari:
من تاب ظفِر، ومن لم يتب خسِر.
Terjemahan: Siapa yang bertaubat menang, dan siapa yang tidak bertaubat kecundang”.



كثير من أنفق الدنانير والدراهم، ولكن من أنفق الدمع قليل.
Terjemahan: Ramai yang menafkahkan dinar dan dirham, tapi yang menafkahkan air mata sedikit”.



كفى بك جهلاً أن يعاملك مولاك بالوفاء، وأنت تعامله بالجفاء.
Terjemahan: Memadai kamu dikira sebagai jahil bila Tuanmu melayanmu dengan sempurna, namun kamu melayanNya dengan sambil lewa”.



طهِّر قلبك من العيب، يفتحْ لك باب الغيب.
Terjemahan: “Sucikan hatimu dari aib, akan dibuka untukmu pintu ghaib”.



ما أكثرَ تودُّدَك للخلق، وما أقلَّ تودُّدَك للحق.
Terjemahan: Alangkah banyaknya kasih sayangmu kepada makhluk, dan alangkah sedikitnya kasih sayangmu kepada al-Haq (Allah)”.



قيمتك قيمةُ ما أنت مشغول به.
Terjemahan: Nilai dirimu adalah menurut nilai apa yang kamu disibukkan dengannya”.



لا تعتقدْ أن الناس فاتهم العلمُ، بل فاتهم التوفيقُ أكثرَ من العلم.
Terjemahan: Jangan kamu percaya bahawa manusia kekurangan ilmu, bahkan mereka kekurangan taufik lebih banyak dari ilmu”.



ليس التائهُ من تاه في البرية، بل التائهُ من تاه عن سبيل الهدى.
Terjemahan: Bukanlah orang yang sesat ialah orang yang sesat di daratan, bahkan orang yang sesat ialah orang yang sesat dari jalan hidayah”.



من أراد الجمع على الله، فعليه بقيام أوامر الله.
Terjemahan: Siapa yang ingin bertemu dengan Allah, maka hendaklah ia melaksanakan perintah-perintah Allah”.



من أراد النهايات، فعليه بتصحيح البدايات.
Terjemahan: Siapa yang ingin mencapai puncak, maka hendaklah ia memperbetulkan langkah permulaan”.



من لم يترك المحرمات لم ينفعه القيامُ بالواجبات، من لم يحتمِ لم ينفعه الدواء.
Terjemahan: Siapa yang tidak meninggalkan perkara-perkara haram, tidak memberi manfaat baginya menunaikan perkara-perkara wajib. Siapa yang tidak berpantang, tidak memberi manfaat baginya ubat”.



ما خرّب القلوبَ إلاَّ قلة الخوف.
Terjemahan: “Tidak ada yang merosakkan hati-hati manusia itu melainkan kerana sedikitnya rasa takut”.

3 comments:

arrajirahmatarabbih said...

Assalamu'alaikum ustaz,

boleh dapatkan kitab ni kat mane?

Abdul Muhaimin Mohd Yusri said...

Assalamualaikum. dimana boleh dapat kitab ni.

Blog al-Faqir Ila Rabbih Ta'ala said...

Hanya di Jabatan Mufti Negeri Sembilan..