Pages

Saturday, April 21, 2012

Secebis Kisah Syeikh Makin al-Din al-Asmar

 

Menyentuh bicara kitab Taj al-‘Arus al-Hawi Li Tahzib al-Nufus karya Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari (w. 709H), ada seorang tokoh yang beberapa kali diulang namanya oleh Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari di dalam kitab berkenaan dan mungkin jarang didengari namanya, iaitu Syeikh Makin al-Din al-Asmar.

Beliau dianggap salah seorang daripada tujuh wali abdal (h. 9). Berikut adalah nukilan-nukilan yang berhubung kait dengan Syeikh Makin al-Din al-Asmar dalam kitab Taj al-‘Arus berkenaan.

Kata Syeikh Makin al-Din al-Asmar (h. 9):
“Pada permulaan perjalanan kerohanianku aku hanya berkerja menjahit dan mencari rezeki dengannya. Dan aku sering menghitung percakapanku pada waktu siang. Apabila tiba waktu petang aku akan menghisab diriku. Maka aku dapati percakapanku sedikit. Percakapan yang aku dapati mengandungi kebaikan, aku akan memuji Allah dan bersyukur ke atasnya. Dan percakapan yang aku dapati mengandungi selain dari itu, aku akan bertaubat kepada Allah dan beristighfar kepada-Nya”.
Demikianlah sehingga beliau menjadi wali abdal.

Pernah suatu hari, ada seorang tua di sisi beliau yang berusia kira-kira 90 tahun berkata kepadanya:
“Hai tuan, aku mengadu kepadamu banyaknya dosa yang dilakukan”.
Lalu balas beliau kepadanya:
“Ini sesuatu yang kami tak kenal. Aku tidak tahu bahawa aku pernah melakukan satu dosa sekalipun”. (h. 38)

Syeikh Makin al-Din al-Asmar pernah berkata (h. 40):
“Aku pernah bermimpi melihat seorang bidadari yang berkata:
Aku untukmu dan kamu untukku.
Lalu selama kira-kira dua atau tiga bulan kemudian aku tidak mampu mendengar kata-kata seorang makhluk pun melainkan aku akan termuntah, dek kerana kemanisan kata-kata bidadari itu”.

Kata Syeikh Makin al-Din al-Asmar (h. 75):
“Suatu ketika di Iskandariyyah aku pernah melihat satu ‘matahari’ telah terbit bersama-sama matahari yang ada, lalu aku berasa takjub dengan keadaan itu, lantas aku pun mendekatinya. Rupa-rupanya seorang pemuda yang baru tumbuh jambangnya. Cahayanya telah mengatasi cahaya matahari. Lalu aku pun memberi salam kepadanya, dan dia pun membalas salam tersebut.
Aku bertanya kepadanya:
Dari mana?
Jawab pemuda tersebut:
Saya telah bersolat subuh di Masjid al-Aqsa, di Baitul Maqdis, dan saya akan bersolat zohor di tempat kamu ini, dan solat asar di Makkah, serta solat maghrib di Madinah.
Lantas aku mempelawanya:
Jadilah tetamu saya?
Namun, balasnya:
Tiada kesempatan untuk itu.
Kemudian beliaupun mengucapkan salam perpisahan buatku dan beredar pergi”.

 Cerita Syeikh Makin al-Din al-Asmar (h. 81):
“Aku pernah melihat di Iskandariyyah seorang hamba bersama-sama dengan tuannya, dan di atas kedua-dua mereka terdapat satu ‘panji’ yang menyelubungi antara langit dan bumi.
Lalu aku berkata:
Oh, panji ini kepunyaan si-tuan ataupun si-hamba?
Lantas aku pun mengikuti mereka berdua, sehinggalah tuannya membelikan untuknya satu keperluan serta berpisah dengannya. Tatkala si-hamba beredar, panji tadi pun pergi bersamanya. Maka tahulah aku bahawa beliau adalah seorang wali daripada wali-wali Allah Taala. Lantas akupun pergi berjumpa dengan tuannya, dan aku berkata kepadanya:
Adakah engkau mahu menjualkan kepadaku hamba ini?
Lalu balasnya:
Mengapa?
Beliau terus mendesakku sehinggalah aku menceritakan kepada beliau keadaan sebenarnya. Lalu katanya:
Hai tuan, apa yang engkau minta itu, aku lebih utama berbuat begitu.
Dan beliau pun memerdekakannya. Hamba tersebut adalah seorang wali yang besar”.

Siapa Syeikh Makin al-Din al-Asmar?

Beliau adalah sahabat seperguruan wali hebat, Syeikh Abu al-‘Abbas al-Mursi (w. 686H), dan kedua-duanya merupakan guru kepada Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari. Nama sebenarnya ialah ‘Abdullah bin Mansur (w. 692H).

Beliau bukan sekadar tokoh sufi, bahkan tokoh dalam bidang ilmu qiraat. Beliau adalah seorang hafiz al-Quran dan pakar dalam qiraat tujuh dan digelar sebagai Syaykh al-Qurra’. Al-Hafiz al-Zahabi dalam kitab Tarikh al-Islam menggelarnya Muqri’ al-Iskandariyyah. Bahkan al-Hafiz al-Jazari dalam kitab Ghayah al-Nihayah fi Tabaqat al-Qurra’ menggelarnya Muqri’ al-Diyar al-Misriyyah. Beliau berumur panjang dan ramai yang mempelajari qiraat daripada beliau. Beliau juga seorang ahli hadis dan meriwayatkan hadis daripada murid-murid al-Hafiz al-Sillafi.

Guru besar beliau, Imam Abu al-Hasan al-Syazili (w. 656H) menyatakan beliau adalah salah seorang daripada tujuh wali abdal. Kisah-kisah beliau yang lain turut dirakamkan oleh Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari dalam karya agungnya; Lata’if al-Minan.

Perlu diingat, zaman kerohanian yang hebat ini merupakan zaman hidupnya Syeikh Ibn Taymiyyah. Beliau sendiri pada mulanya banyak menelaah karya-karya Syeikh Ibn ‘Arabi, terutama kitab al-Futuhat al-Makkiyyah.



No comments: