Pages

Tuesday, December 12, 2017

Sunan as-Syafi‘i

Karya Asli Imam as-Syafii! رحمه الله تعالى


1. Ramai penulis yang membincangkan tentang kitab hadis susunan imam mazhab fiqh yang empat hanya menyebut Imam Malik dan Imam Ahmad sahaja yang ada menyusun kitab hadis, iaitu Imam Malik (w. 179H) menyusun kitab al-Muwatta’ dan Imam Ahmad (w. 241H) menyusun kitab al-Musnad. Manakala Imam Abu Hanifah (w. 150H) dan Imam as-Syafi‘i (w. 204H) disebut tidak menyusun sebarang kitab hadis. Adapun kitab Musnad Abu Hanifah dan Musnad as-Syafii kedua2nya dihimpun dan disusun oleh ulama lain yg datang kemudian. Manakala kitab Musnad yang masyhur dinisbahkan kepada Imam as-Syafi‘i adalah disusun oleh Abu al-‘Abbas Muhammad bin Ya‘qub bin Yusuf al-Asom (w. 346H).   

2. Berdasarkan kajian Syeikh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir serta penelitian terhadap dalil dan hujah yang dikemukakan oleh beliau, dapat dinyatakan bahawa Imam as-Syafi‘i sebenarnya juga mempunyai kitab hadis yang disusun oleh beliau sendiri, iaitu kitab as-Sunan. Ia merupakan sebuah kitab hadis yang lain daripada kitab Musnad yg dinisbahkan kepadanya, meskipun ada sebahagian orang yg terkeliru dan menganggap kedua2nya sebagai kitab yang sama.      

3. Menurut Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir, bilangan hadis2 kitab as-Sunan ini adalah sebanyak 666 buah hadis. Meskipun saiznya agak kecil, namun faedahnya amat besar sekali. Antaranya ialah sanad-sanadnya agak tinggi dan kebanyakan hadis-hadisnya pula adalah sahih. Menurut beliau, kitab Sunan as-Syafii yang sampai kepada kita pada hari ini adalah salah satu daripada enam buah kitab hadis yang disusun oleh Imam as-Syafi‘i dengan judul “as-Sunan” (1/13).

4. Ada sebahagian ilmuwan yang mendakwa bhw kitab Sunan as-Syafii ini sebenarnya adalah susunan Imam Abu Ja‘far Ahmad bin Muhammad bin Salamah al-Tahawi al-Hanafi (239 – 321H), bukannya susunan Imam as-Syafii sendiri. Namun, pendapat ini agak lemah kerana bertentangan dengan banyak bukti. Antaranya (spt dalam mukadimah Sunan as-Syafii oleh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir);

i.                    Di awal kesemua manuskrip kitab jelas menyebut, Imam at-Tahawi mendengar kitab Sunan as-Syafii ini daripada bapa saudaranya, Imam al-Muzani yang merupakan murid Imam as-Syafi‘i. Dicatatkan, at-Tahawi mendengarnya daripada Imam al-Muzani pada tahun 252 H melalui pembacaan beliau kepadanya atau bersama murid2 yg lain (قراءة منه علينا). Jelas bahawa pada masa ini, at-Tahawi masih remaja lagi dalam usia sekitar 13 @ 14 tahun. Ini membuktikan bahawa Imam at-Tahawi hanya sebagai perawi kitab sahaja, bukannya pengarang kitab dengan usia yg semuda itu. Malah, banyak tempat di dalam kitab as-Sunan ini yg mengisyaratkan demikian.    
ii.                  Dalam setengah manuskrip, ada disebutkan Imam al-Muzani mendengarnya daripada Imam as-Syafi‘i secara imla’ (penuturan) daripada dirinya sendiri kepada beliau atau bersama murid2 yg lain (إملاء منه علينا) (1/14). Ini juga membuktikan bahawa Imam al-Muzani hanya sebagai perawi kitab sahaja, bukannya pengarang kitab.
iii.                Ada terdapat di dalam manuskrip-manuskrip as-Sunan ini, ulasan2 daripada Imam at-Tahawi dan sebilangan hadis yang ditambah oleh beliau sebagai nota tepi atau nota kaki sahaja. Namun, sebahagian penyalin manuskrip telah memasukkan sebahagian ulasan2 Imam at-Tahawi  itu ke dalam isi kandungan kitab, manakala sebahagiannya masih kekal sebagai nota tepi atau nota kaki. (1/14-15)  
iv.                Banyak fakta yg menunjukkan wujud periwayatan kitab as-Sunan ini oleh murid-murid Imam as-Syafi‘i, spt Qahzam bin ‘Abdullah bin Qahzam al-Aswani, Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abd al-Hakam, Harmalah bin Yahya at-Tajibi, Abu Ibrahim Isma‘il bin Yahya al-Muzani, al-Hasan bin Muhammad bin as-Sabbah az-Za‘farani, ar-Rabi‘ bin Sulaiman dll. (1/16-17)
v.                  Imam al-Baihaqi di dalam kitabnya Manaqib as-Syafii menyebut secara jelas bahawa Imam as-Syafi‘i ada mempunyai kitab as-Sunan.
vi.                Ibn Yunus pula menyebut di dalam kitabnya Tarikh Misr bahawa Imam at-Tahawi telah mendengar kitab as-Sunan daripada pakciknya, Abu Ibrahim Isma‘il al-Muzani, yang diriwayatkannya daripada Imam as-Syafi‘i. (1/18)
vii.              Al-Hafiz Ibn Hajar merekodkan di dalam kitabnya (المعجم المفهرس) dua buah versi kitab Sunan as-Syafii, iaitu riwayat al-Muzani daripada as-Syafi‘i dan riwayat Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abd al-Hakam daripada as-Syafi‘i.  
viii.            Al-Hafiz Ibn Kathir di dalam Tabaqat as-Syafiiyyahnya turut menyebut ada meriwayatkan kitab Sunan as-Syafii ini. Beliau menyebutnya sebagai as-Sunan as-Saghir. (1/19)
ix.                Syeikh Muhammad bin Ja‘far al-Kattani (w. 1345H) turut merekodkannya di dalam kitab (الرسالة المستطرفة لبيان مشهور كتب السنة المشرفة), kata beliau: “Sunan al-Imam as-Syafii; diriwayatkan oleh Abu Ibrahim Isma‘il bin Yahya al-Muzani, kemudian diriwayatkan oleh Abu Ja‘far Ahmad bin Muhammad bin Salamah al-Tahawi, di dalam satu jilid.” 
x.                  Al-Hafiz as-Suyuti dalam Husn al-Muhadharah menyatakan bahawa antara kitab-kitab edisi baru yang disusun oleh Imam as-Syafi‘i ketika di Mesir ialah kitab as-Sunan.
xi.                Kesemua lafaz periwayatan kitab yang termaktub pada manuskrip jelas menyebutkan judulnya sebagai Sunan as-Syafii, dan tiada yang menyebutnya sebagai Sunan at-Tahawi atau seumpamanya. (1/24)  

5. Menurut Syeikh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir, tidak ada di dalam kitab as-Sunan ini satu hadis pun yang tidak diamalkan atau ia daif yang tidak ada sebarang penguat mahu pun penyokong baginya, bahkan kesemuanya - kecuali yang telah diterangkan ilatnya dan wahamnya oleh Imam as-Syafi‘i – adalah sahih secara zatnya atau pun sahih/sabit melalui riwayat2 sokongannya. (1/40)

6. Berbeza dengan Musnad as-Syafii, kitab Sunan as-Syafii ini kurang disyarah dan diberi perhatian oleh ulama terdahulu. Usaha menggabungkan hadis2 al-Musnad dan as-Sunan ini pernah dilakukan oleh Syeikh Ahmad bin ‘Abd al-Rahman al-Banna as-Sa‘ati, bapa Syeikh Hasan al-Banna. Karyanya itu diberi judul: (بدائع المنن في جمع وترتيب مسند الشافعي والسنن). Beliau juga menyertakannya dengan syarah ringkas yg diberi judul: (القول الحسن شرح بدائع المنن).       

7. Perlu ditegaskan juga bahawa bukan di dalam kedua2 kitab ini sahaja hadis2 yg diriwayatkan oleh Imam as-Syafi‘i. Dr. Rif‘at Fauzi ‘Abd al-Muttalib telah berusaha menghimpunkan kesemua riwayat Imam as-Syafi‘i drpd berbagai sumber rujukan seperti kitab al-Umm dan lain-lain. Beliau mendapati jumlah hadis dan athar yang diriwayatkan oleh Imam as-Syafi‘i menurut semakannya berjumlah sebanyak 4,663 buah! Kesemua atau kebanyakannya di dalam bab hukum hakam. Jumlah ini boleh dikatakan setanding dengan jumlah riwayat yg terkandung di dalam kitab-kitab Sunan yg lain.

8. Sekurang2nya kini terdapat dua buah versi cetakan kitab Sunan as-Syafii, iaitu cetakan yg ditahkik oleh Dr. ‘Abd al-Mu‘ti Amin Qal‘aji dengan judul: as-Sunan al-Ma’thurah pada tahun 1986 dan cetakan yg lebih teliti ditahkik oleh Syeikh Dr. Khalil Ibrahim Mulla Khatir dengan judul: as-Sunan pada tahun 1989. Justeru, diharapkan para penulis selepas ini, tidak hanya menyebut kitab al-Muwatta’ sebagai karya Imam Malik dan kitab al-Musnad sebagai karya Imam Ahmad sahaja, bagi kitab hadis yg disusun oleh imam mujtahid yang empat, tetapi turut menyatakan: kitab as-Sunan sebagai karya Imam as-Syafi‘i!      

Wallahu a‘lam.  


No comments: