Dalam tulisan Dr. Asri pada dua ahad yang lalu telah memetik kata-kata Prof. Hamka yang mengkritik Mufti Johor. Dalam tulisan yang sama Hamka turut menkritik Syeikh al-Nabhani, seorang tokoh ulama sufi yang terkenal di Lubnan. Maka saya merasakan perlu untuk menjelaskan kedudukan Syeikh al-Qadi Yusuf bin Ismail an-Nabhani (1849 - 1932) agar sahsiah beliau tidak terus dipandang rendah oleh mereka yang jahil tentang diri sufi besar ini. Meskipun yang membenci dan memusuhinya sebagai juara tasawuf tetap memandangnya dengan cemuh dan jelik.
Kata Prof. Hamka: "Bersama dengan penghinaan kepada Wahhabi, diperbuat pula buku-buku yang memburukkan as-Sayyid Jamaluddin al-Afghani, dan as-Syeikh Muhammad Abduh, dan al-Sayyid Rasyid Ridha. Yang sangat bersemangat membuat buku demikian ialah al-Syeikh Yusuf bin Ismail al-Nabahani yang menjadi kadi di mahkamah Beirut dalam kerajaan Turki. Bukunya Shawahidul Haq penuh dengan kata-kata yang penuh dengan fitnah dan penghinaan. kitab-kitab seperti inilah yang sampai ke tangan kaum tua. Oleh kerana mereka biasa dengan taklid tidaklah mereka mahu membaca pula kitab-kitab lain yang menerangkan pokok-pokok pendirian yang sebenar daripada orang yang dihina dan dicela itu. Syeikh Yusuf al-Nabahani menyatakan bahawa as-Sayyid Jamaluddin dan Syeikh Muhammad Abduh tatkala mati terjulur lidah, maka lekatlah kata-kata ini pada seluruh pembaca kitabnya. Syeikh Nabhani tidak sanggup menerangkan apakah kesalahan beliau itu, melainkan membuat fitnah yang tidak-tidak".
''Sampai as-Sayyid Rasyid Ridha dikatakan sama dengan Abu Jahal. Sehingga orang yang otaknya telah beku dan fikirannya tidak jalan, telah percaya kepada fitnah yang dibawa oleh al-Nabhani itu. Oleh kerana ulama yang mula-mula melepaskan tauhid Islam yang suci daripada khurafat dan bidaah mutasawwifin ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dan muridnya Ibnu Qayyim maka beliau-beliau ini pun tidak pula lepas daripada serangan. Segala kata yang bukan-bukan pula yang diperbuat atas diri beliau-beliau itu. Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan berpecah-belah umat Islam, berkaum tua berkaum muda". (Prof. Hamka, Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, m.s 76). (Petikan
Utusan Online)
Ulasan
Syeikh al-Nabhani hidup sezaman dengan tokoh-tokoh aliran Salafiyyah dan islah/tajdid yang terkenal iaitu Muhammad ’Abduh (m. 1323H), dan muridnya Muhammad Rasyid Ridha (m. 1354H) di Mesir, Mahmud Syukri al-Alusi (m. 1342H) di Iraq, ’Abdullah bin Idris al-Sanusi al-Fasi (m. 1350H) di Maghribi, serta Syamsul Haq Muhammad al-’Azimabadi (m. 1329H) di India. Mereka ini banyak menerima kritikan dan tentangan dari ulama-ulama aliran tradisional yang merupakan majoriti ulama Islam pada masa itu. Justeru, adakalanya situasi agak tegang antara dua buah aliran ini dan adakalanya agak kendur. Malah Syeikh al-Nabhani sendiri pernah menerima Syeikh ’Abdullah al-Sanusi bertamu dan bermalam di rumahnya, serta meriwayatkan sanad daripada beliau. (Sa’adah al-Darain, h. 483)
Syeikh al-Nabhani merupakan seorang ulama yang agak keras dan tegas terhadap lawannya terutama dalam mempertahankan pegangan dan prinsipnya serta aliran tradisional. Dalam beberapa tulisannya beliau mengkritik Jamaluddin al-Afghani, Muhammad ’Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha dengan amat tajam dan mungkin keterlaluan seperti dalam al-Ra’iyyah al-Sughra fi Zamm al-Bid’ah wa Ahliha wa Madhi al-Sunnah al-Gharra’. Maka tidak hairan jika beliau turut dikritik semula oleh pendokong-pendokong aliran lawannya. Antaranya dalam kitab (غاية/نيل الأماني في الرد على النبهاني) dan (الآية المبرى على ضلالة في الرائية الصغرى) oleh Mahmud Syukri al-Alusi serta kitab (الداهية الكبرى على الرائية الكبرى) oleh seorang pengkritik lain. (lihat juga kisah lanjut dalam tulisan Syeikh Ibrahim ‘Atwah ‘Awadh dalam mukadimah Jami’ Karamat al-Awliya’, j. 1, h. 7).
Malah muridnya, Syeikh ’Abdul Hafiz al-Fasi selain menyanjung, turut mengkritik gurunya itu dalam Mu’jam al-Syuyukh (h. 254-255). Namun tidak bermakna kritikan itu dapat diterima bulat-bulat kerana para pengkaji yang meneliti tulisan-tulisan Muhammad ’Abduh dan Rasyid Ridha turut mendapati kritikan al-Nabhani itu ada alasannya meskipun agak melampaui had. Ini kerana kecenderungan pemikiran mereka kepada metode aliran 'aqlaniyyah (rasional akal) yang dipelopor oleh Muktazilah sehingga didapati dalam tulisan-tulisan mereka menolak hadith-hadith yang sahih, malah terdapat juga tafsiran ayat al-Quran yang pelik. Walau bagaimanapun, dikatakan Syeikh Rasyid Ridha kemudian menumpukan minatnya terhadap bidang hadith di akhir hayat beliau.
Mengkritik Jamaluddin al-Afghani, Muhammad ’Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha bukan bermakna akan rosak akidah seseorang itu secara sepenuhnya. Dengan meletakkan mereka di zon kebal kritikan adalah suatu yang tidak rasional. Apatah lagi jika situasi pada masa itu tidak sepertimana sekarang dalam mendapatkan maklumat. Penyertaan mereka dalam pertubuhan Freemason dan berbaik serta bersikap lunak dengan Barat/Inggeris mungkin antara penyebab yang mendorong kritikan terhadap mereka. Malah bukan sahaja al-Nabhani, bahkan ramai ulama-ulama tradisional yang bangkit mengecam mereka atas rasa keghairahan demi mempertahankan Islam. Antara yang kuat menentang aliran ini juga ialah Dr. Muhammad Muhammad Husain pemikir Mesir yang popular pada suatu masa dulu. (lihat dalam buku Dr. Muhammad Muhammad Husain: Buhuthuhu wa Mawaqifuhu, 1987).
Bagaimanapun kemudiannya mereka menyedari akan bahaya pertubuhan Freemason tersebut. Isu-isu seperti ini tentunya memberi peluang kepada musuh mereka menabur fitnah. Tidak mustahil jika apa yang disebut oleh Syeikh al-Nabhani hanyalah khabar-khabar yang disampaikan oleh mereka yang menentang gerakan islah Muhammad 'Abduh. Dengan tidak dapat dinafikan kekurangan Syeikh al-Nabhani dari sudut kekritisan terhadap maklumat-maklumat yang diterima, yang dapat dilihat dalam tulisan-tulisan beliau.
Seperkara lagi, menonjolkan mereka semata-mata sebagai berjasa terhadap Islam adalah suatu yang tidak adil kerana pada masa itu amat ramai ulama besar lain yang sezaman dengan mereka yang juga hidup demi berkhidmat kepada agama. Antaranya di Hijjaz, Falih bin Muhammad al-Zahiri (m. 1328H), ’Abbas bin ’Abdul ’Aziz al-Maliki (m. 1353H), Muhammad Mahfuz al-Tarmasi (m. 1338H), Muhaddith al-Haramain ’Umar Hamdan al-Mahrisi (m. 1368H), Mufti Syafi'iyyah di Mekah, 'Abdullah al-Zawawi (m. 1343H) dan lain-lain.
Di Syam, Jamaluddin al-Qasimi (m. 1332H), Mahmud Rasyid al-‘Attar (m. 1362H), Tahir bin Salih al-Jaza’iri (m. 1338H), al-Muhaddith al-Akbar Badruddin al-Hasani (m. 1354H), Syeikh Muhammad al-Zarqa (m. 1343H), Syeikh ’Isa al-Bayanuni (m. 1362H), Syeikh Abul Khair Ibn 'Abidin (m. 1343H) dan lain-lain. Di Maghribi, Syeikh Ja'far bin Idris al-Kattani (m. 1323H), Syeikh Muhammad bin Ja’far al-Kattani (m. 1345H), yang mempunyai hubungan persahabatan yang baik dengan al-Nabhani, al-Muhaddith Muhammad Habibullah al-Syanqiti (m. 1363H) dan lain-lain.
Di Mesir, Syeikhul-Azhar Salim al-Bisyri al-Maliki (m. 1335H), Mufti Mesir Muhammad Bakhit al-Muti’i (m. 1354H), Syeikh Yusuf al-Dujwi (m. 1365H), Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf (m. 1355H), Syeikhul Azhar Hasunah al-Nawawi (m. 1343H), Syeikh 'Abdul Majid al-Syarnobi (m. 1327H) dan lain-lain, termasuk Gerakan Ikhwan pimpinan Imam Hasan al-Banna. Di Yaman, Musnid Hadhramaut al-Habib Muhammad bin Salim al-Sari al-Ba’alawi (m. 1346H) dan ulama-ulama al-Ba’alawi di Tarim. Di India, Hakim al-Ummah Asyraf ’Ali al-Tahanuwi (m. 1362H), ‘Abdul Sattar al-Dihlawi (m. 1355H), Muhammad ’Abdul Baqi al-Laknawi (m. 1364H) dan ramai lagi, termasuk Gerakan Tabligh pimpinan Mawlana Muhammad Ilyas al-Kandihlawi.
Selain itu, ramai ulama yang meriwayatkan sanad daripada al-Nabhani antaranya, Syeikh ’Abdul Hayy bin ’Abdul Kabir al-Kattani (m. 1382H), Syeikh ’Abdul Hafiz al-Fasi (m. 1383H), Muhaddith Halab Muhammad Raghib al-Tabbakh, Syeikh Makki al-Kattani, Syeikh ’Alawi bin ’Abbas al-Maliki, dan al-Hafiz Ahmad al-Siddiq al-Ghumari (m. 1380H). Hubungan ‘Abdul Hayy al-Kattani dengan Syeikh al-Nabhani amat erat hingga beliau telah menyusun sebuah kitab sanad dengan judul (الاسعاف بالاسعاد الرباني في إجازة الشيخ يوسف النبهاني) pada tahun 1322H. Beliau menggelarkan gurunya itu sebagai Busiri al-‘Asr. (Fihris al-Faharis, j. 1, h. 185). Al-Nabhani juga banyak memuji dan menyanjung beliau sepertimana yang dapat dilihat dalam Jami’ Karamat al-Awliya’ (j. 1, h. 378-380).
Mungkin perkara-perkara ini tidak disedari oleh Prof. Hamka yang hidup sejak kecil sehingga beliau meninggal dunia di dalam kelompok Muhammadiyyah yang mendokong aliran Salafiyyah ala Muhammad 'Abduh tersebut. Dikhuatiri beliau hanya membaca dan menelaah bahan-bahan dari satu pihak sahaja tanpa membuat penelitian yang menyeluruh. Atau itulah pandangannya mewakili barisan islah Indonesia untuk bersama aliran Salafiyyah yang lain dalam mengkritik al-Nabhani. Misalnya kitab beliau Shawahidul Haq menerima pujian ramai ulama besar (aliran tradisional) yang dapat dilihat pada bahagian awal kitab, termasuk daripada dua orang bergelar Syeikhul Azhar, iaitu Syeikh 'Abdul Rahman al-Syirbini dan Syeikh 'Ali bin Muhammad al-Bablawi, serta Muhaddith Maghrib 'Abdul Hayy al-Kattani (rujuk sini).
Beliau hanyalah satu mata rantai dari sekian banyak mata rantai dari kalangan ulama yang mengkritik Ibn Taimiyyah dalam masalah tawassul dan ziarah di abad ke-14 Hijrah, selain Imam Muhammad Zahid al-Kawthari (m. 1371H), al-Hafiz Ahmad al-Ghumari, Syeikh 'Abdul Hayy al-Kattani, Syeikh Yusuf al-Dujwi, Muhammad al-'Arabi al-Tabbani (m. 1390H) dan lain-lain yang disepakati juga oleh ramai ulama-ulama di Mesir, Maghribi, Yaman, India, Nusantara dan lain-lain. Termasuk Mufti Johor yang dikritik oleh Hamka. Justeru, apakah Ibn Taymiyyah langsung tidak boleh dikritik?? Atau pendapatnya mesti betul?? Namun hakikatnya al-Nabhani tetap wujud dan hidup dengan puluhan karyanya yang penuh dengan sensitifiti dalam mempertahankan Islam, jiwa kerohanian serta kecintaan yang dalam terhadap Rasulullah SAW. (lihat ulasan Syeikhuna 'Isam Anas al-Zaftawi di sini).
Seruan "tajdid" dan "islah" jika difokuskan kepada pembaharuan ilmu dan kefahaman adalah suatu perkara yang sangat nisbi sehingga mampu mencetuskan konflik yang serius. Alangkah baiknya jika pendokong-pendokong "tajdid" atau "islah" ini memberi fokus kepada pembaharuan iman dan amal, yang mana umat Islam pada masa ini yang sedang mengalami masalah sosial yang kronik amat memerlukannya. Bukan dengan menambahkan kekalutan dan kecelaruan pemikiran umat. Wallahu a'lam.
رحمهم الله جميعا وجمعهم وإيانا في فسيح الجنان
************************
ِAntara kitab-kitab Syeikh al-Nabhani yang boleh dimuat-turun:
1.
Wasail al-Wushul ila Syamail al-Rasul (SAW) 2.
Muntakhab al-Shahihain min Kalami Sayyid al-Kaunain (SAW) 3.
al-Ahadits al-Arbain fi Wujubi Tha'ati Amir al-Mu'minin 4.
Jami' Karamat al-Auliya' 5.
Jami'u al-Tsana' 'ala Allah 6.
al-Dalalat al-Wadhihat 'ala al-Dalail al-Khairat 7.
al-Arba'in Arba'in min Ahaditsi Sayyid al-Mursalin SAW 8.
Kitab al-Istighatsah al-Kubra bi Asma'iLLah al-Husna 9.
Ahsanu al-Wasail fi Nadhm Asmaa' al-Nabiy al-Kamil 10.
Sabil al-Najah fi al-Hubb fiLLah wa al-Bugdh fiLLah
Pautan-pautan lain:
1. Wikipedia (english).
2. al-Hiwar al-Islami.
3. Mu'assasah Palestine.
4. Rawdh al-Rayyahin.