Hakikat dakwah yang sebenar ialah dakwah ila Allah, yakni dakwah kepada Allah SWT. Konsep, sasaran dan medium dakwah adalah amat luas. Dakwah dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu;
- Dakwah dengan hati/qalbu.
- Dakwah dengan lidah/lisan.
- Dakwah dengan pena/penulisan.
- Dakwah dengan akhlak dan tingkah laku.
- Dakwah dengan situasi/ isu dan peristiwa.
- Dakwah dengan ‘mata pedang’/senjata.
Dakwah no. 4 dan 5 di atas disebut sebagai dakwah bi al-hal. Jenis dakwah inilah yang bersesuaian dikait dengan majlis-majlis sambutan haul atau mawlid yang akan dibicarakan dalam tulisan ini. Meskipun pengisian dalam program haul atau mawlid tersebut adakalanya merangkumi jenis dakwah no. 1, 2 dan 3 di atas sekaligus.
Salah Satu Medium Berkesan
Haul ialah memperingati kewafatan seseorang, manakala mawlid adalah memperingati kelahiran seseorang. Majlis sambutan haul atau mawlid biasanya diadakan bagi seseorang tokoh besar tertentu yang meninggalkan jasa dan sumbangan besar kepada umat Islam. Sambutan haul atau mawlid adalah antara medium-medium yang diadakan bagi menghimpunkan masyarakat dalam majlis-majlis islamik tertentu, ia sepertimana sambutan-sambutan Mawlidur Rasul, Ma’al Hijrah, Isra’ dan Mi’raj, dan sebagainya. Semua sambutan-sambutan ini adalah dari buah pemikiran ahli-ahli fikir Islam sendiri bagi mengajak masyarakat mengenang peristiwa-peristiwa islamik tersebut serta mengambil iktibar daripadanya. Tiada timbul soal mengadakan bidaah yang dilarang oleh agama kerana tidak ada nas yang jelas melarang dari mengadakan majlis-majlis seumpama itu. Maka secara umumnya ia merujuk kepada hukum asal, iaitu harus.
Ingin saya petikkan di sini pandangan Dr. ’Ali ’Abdul ’Aziz Suyyur dalam kitabnya al-Farq Bayn al-Bid’ah wa al-Ikhtilaf al-Fiqhi wa Atharuhuma ’ala al-Din wa al-Mujtama’ (hlm. 527), kata beliau; ”Orang yang menyambut mawlid tidak hanya semata-mata menyambut mawlid, bahkan ia juga menyambut munasabah-munasabah islamik yang lain. Kami percaya bahawa sambutan-sambutan yang diadakan bersempena munasabah-munasabah islamik yang bersifat sejarah ini seperti Mawlidur Rasul, Isra’ dan Mi’raj, Fath Makkah, Perang Badr dan sebagainya adalah semata-mata medium-medium dakwah dan pengeksploitasian terhadap suatu bentuk muktamad dalam bidang pentarbiyahan, pengajaran dan bimbingan. Ia dikenali sebagai pentarbiyahan melalui peristiwa dan realiti semasa. Mereka yang menganjurkannya pun tidak benar-benar menjaga perlaksanaan sambutannya pada hari yang jelas menurut mereka bahawa peristiwa berkenaan berlaku pada hari tersebut, bahkan adakalanya dibuat sehari atau dua hari sebelum itu, atau sehari atau dua hari sesudah itu, atau lebih lagi berdasarkan kelapangan orang ramai dan dapat mengumpulkan bilangan majoriti orang ramai yang paling besar untuk mendengar zikir dan ceramah. Malahan jika ditambah kepada sambutan-sambutan ini sebahagian ibadah seperti berselawat ke atas Nabi SAW, atau lain-lain zikir, maka yang demkkian itu tidak menjadikannya termasuk dalam bidaah yang dicela”.
Suatu 'Trend' dan Hakikat Istimewa
Semacam suatu 'trend' dari sudut kecenderungan dalam mengadakan majlis-majlis sambutan ini, di mana sesetengah tempat seperti Mesir cenderung mengadakan majlis-majlis sambutan mawlid, dan sambutan Mawlid al-Badawi di Mesir adalah antara sambutan mawlid terbesar yang dihadiri oleh jutaan orang. Manakala sesetengah tempat seperti Yaman dan Nusantara lebih cenderung mengadakan majlis-majlis sambutan haul, dan sambutan Haul al-Haddad adalah antara sambutan haul terbesar yang dihadiri oleh puluhan ribu orang.
Apa yang menarik perhatian, majlis-majlis sambutan seperti ini adalah sempena tokoh-tokoh besar dalam bidang kesufian dan kerohanian, tidak ada sambutan seumpama demikian diadakan bagi tokoh-tokoh besar dalam bidang-bidang lain seperti tafsir, hadith, fiqh, usul, akidah dan sebagainya. Ini barangkali menjadi salah satu justifikasi bagi pandangan sesetengah ahli sufi yang menyatakan tentang kewujudan dawlah @ hukumah batiniyyah atau 'negara rohani' yang akan terus kekal berkembang dan berterusan hingga ke hari kiamat kelak. Hal ini samasekali tidak menidakkan sumbangan tokoh-tokoh besar dalam bidang-bidang lain yang telah diakui jasa-jasa mereka dalam memelihara zahir syariat Islam. Malah sesetengah mereka adalah murid kepada tokoh sufi yang masyhur. Bahkan sesetengah tokoh sufi tersebut juga adalah tokoh dalam bidang-bidang disiplin Islam yang lain.
Oleh kerana majlis-majlis sambutan ini berteraskan tokoh islamik, maka wajar ia dihadiri oleh ramai para ulama, para ilmuwan dan orang-orang soleh. Situasi ini menarik satu hakikat yang disepakati, iaitu peri pentingnya berdamping dan bersahabat dengan orang-orang yang baik dan soleh. Amat banyak faedah rohani dan manfaat batini yang dapat diperolehi oleh mereka yang menghadiri majlis-majlis perhimpunan bersama orang-orang yang soleh ini. Ia mampu memimpin tangan seseorang mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengabdikan diri kepada-Nya. Atau sekurang-kurangnya mendapat rahmat dan barakah daripada majlis-majlis tersebut.
Kalimat Imam al-Haddad
Di dalam kitab al-Fusul al-‘Ilmiyyah karya Imam al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad, pada fasal 32 ada menyebut tentang bergaul dengan orang-orang agama dan orang-orang soleh ini, kata beliau:
صحبة أهل الدين وأهل الخير من العلماء ، وعباد الله الصالحين ومخالطتهم ومجالستهم محبوبة ومرغب فيها ، وفيها منافع وفوائد عاجلة وآجلة ، وردت بها وفيها الأخبار والآثار الكثيرة ، ولكن الناس في طلب ذلك والحرص عليه ، والرغبة فيه على نيات ومقاصد ومطالب شتى ، أعلاهم وأولاهم في ذلك من يصحبهم ويخالطهم ليعلم من علومهم ، ويتأدب بآدابهم ، ويشاهد من أخلاقهم الحسنة ، وصفاتهم المحمودة ، وأعمالهم الصالحة وأقوالهم الطيبة ، ما يقتدي بهم فيها، ويطالب نفسه ، بالاتصاف والتخلق به والعمل به ، وليس له هم ولا قصد إلا ذلك ، ولا سعي إلا له ، ولا حرص إلا عليه .
“Mendampingi ahli agama dan ahli kebajikan dari kalangan ulama, serta hamba-hamba Allah yang soleh, bergaul dan duduk bersama mereka adalah sesuatu yang disukai dan digalakkan. Ia mengandungi banyak manfaat dan faedah baik di dunia mahupun di akhirat. Terdapat banyak hadith dan athar mengenainya. Akan tetapi manusia dalam mencari, menunggu-nunggu dan menginginkannya itu di atas berbagai-bagai niat, qasad dan tujuan. Mereka yang paling tinggi dan utama ialah orang yang berdamping dan bergaul dengan mereka untuk belajar dari ilmu-ilmu mereka, beradab dengan adab-adab mereka, menyaksikan akhlaq mereka yang mulia dan sifat mereka yang terpuji, amalan-amalan mereka yang soleh dan juga perkataan-perkataan mereka yang baik yang dapat dicontohi. Dan ia cuba berusaha pula untuk mencontohi sifat-sifat tersebut, berakhlaq dan beramal dengannya. Tiada baginya sebarang niat dan tujuan selain dari itu. Tiada ia usaha bersungguh-sungguh selain kerananya, dan tiada ia sentiasa berharap selain terhadapnya”.
ومنهم من يصحبهم ويخالطهم محبة لهم ، ولما هم عليه من إيثار دين الله، وإقامة أمره، والإشتغال بطاعته ، والعمل بما يقرب منه ويزلف لديه ، من العلوم النافعة ، والأخلاق الحسنة، والأعمال الصالحة ، فهو يحبهم لذلك ، ويرغب في مخالطتهم ، ويتشبه بهم ، ويطالب نفسه في أن تعمل وتتخلق بما يساعده عليه الفراغ ويتيسر له من ذلك ، وما لم يتيسر له منه فهو يتأسف على فوته ، ويود أن لو وفق له وتمكن منه ، وفي مثله يقال : (المرء مع من أحب) ، (ومن تشبه بقوم فهو منهم).
”Di antara mereka, ada yang bersahabat, dan bergaul dengan mereka disebabkan rasa kecintaan terhadap mereka dan juga pendirian mereka dalam mengutamakan agama Allah, menegakkan perintah-Nya, menyibukkan diri dalam mentaati-Nya, dan beramal dengan perkara yang mendekatkan diri kepada-Nya yang berupa ilmu-ilmu yang bermanfaat, akhlaq yang baik dan amal-amal yang soleh. Ia mencintai mereka itu semata-mata kerana perkara tersebut, dan ia ingin selalu bergaul dengan mereka dan menyerupai mereka, serta menuntut dirinya untuk beramal dan berakhlaq seperti itu sekadar yang mampu dan mudah dilakukannya. Adapun yang tidak dapat dikerjakannya maka ia berasa menyesal atas kekurangannya itu dan sangat berharap jikalau diberi taufiq dan kemampuan terhadapnya. Orang seumpama ini yang disebut dalam hadis: ’Seseorang itu bersama siapa yang dicintainya’, dan ’Barangsiapa yang menyerupai dengan sesuatu kaum maka ia termasuk dari kalangan mereka”.
ومنهم من يصحبهم ويخالطهم لتناله بركتهم ، وصالح دعواتهم ، من غير أن تكون له نية ولا عزيمة في الاقتداء بهم والتشبه بسيرهم ، فذلك لا يخلو من بركة وخير ، وهو داخل تحت عموم ما ورد في الحديث القدسي : (هم القوم لا يشقى بهم جليسهم) حتى إن الذي يجالسهم ليتحصن بيمن مجالستهم وبركتها من الظالمين والمعتدين ، من شياطين الإنس والجن ، لا يخيب ولا يحرم من بركتهم ، وإنما يحرم ويخيب من تكون نيته في صحبتهم والاختلاط بهم أن يعرف بذلك بين الناس ، فيتوصل به إلى شيء من الأمور المحظورة المحرمة في الشرع على توهم منه .
”Di antara mereka lagi, ada yang bersahabat, dan bergaul dengan mereka untuk mendapatkan barakah dan doa-doa soleh mereka, tanpa mempunyai sebarang niat atau tujuan untuk mencontohi akhlaq mereka atau meniru perjalanan hidup mereka. Perbuatan sedemikian juga tidak luput dari mendapat keberkatan dan kebaikan. Ia termasuk dalam maksud umum sepotong hadis qudsi: ”Mereka itulah kaum yang tidak akan rugi seorangpun yang duduk bersama dengan mereka”. Hinggakan orang yang duduk bersama mereka itu dapat membentengi dirinya dengan keberkatan majlis mereka dari orang-orang yang zalim dan para pelampau, dari kalangan syaitan-syaitan bangsa manusia dan juga jin. Ia tidak akan rugi dan terhalang dari keberkatan mereka. Akan tetapi yang rugi dan terhalang ialah orang yang nawaitunya berdamping dan bergaul dengan mereka itu ialah agar tingkahlakunya diketahui orang. Maka dengan cara begitu ia dapat mencapai sesuatu perkara daripada perkara-perkara yang ditegah lagi haram di sisi syariat berdasarkan sangkaannya...”.
Masalah-masalah Sampingan
Pengisian majlis-majlis haul atau mawlid secara umumnya adalah berbentuk kerohanian seperti bacaan al-Quran, zikir, selawat, qasidah, dan ceramah agama, dan juga ada dilaksanakan dalam bentuk ilmiah seperti talaqqi kitab, periwayatan hadith, pembacaan sejarah, karya tokoh dan pengijazahan sanad. Adapun masalah-masalah sampingan yang dilihat bercanggah dengan syarak yang mengiringi majlis-majlis tersebut sekiranya ada, seperti percampuran lelaki dan perempuan, tarian, mendedahkan aurat atau lain-lain kemungkaran, maka ini tidak menunjukkan keharaman asal majlis-majlis berkenaan. Secara teknikal, ia adalah masalah-masalah sampingan yang dapat diatasi terutamanya oleh pihak penganjur dengan memberi peringatan, tunjuk ajar atau nasihat kepada mereka yang jahil mengenainya.
Adakalanya tema haul atau mawlid itu wajar ditukar agar orang-orang jahil tidak melihat ianya sebagai suatu ritual pemujaan dan pendewaan individu. Misalnya, tema Yaqin, atau Islah, atau Mujahadah dan sebagainya di'highlight'kan di sebalik sambutan haul atau mawlid seseorang tokoh itu. Atau ianya dianjurkan di bawah nama ijtimak atau perhimpunan agung di mana semua masyarakat dijemput hadir. Penambahbaikan memang sentiasa diperlukan agar objektif yang dirancangkan iaitu mendekatkan masyarakat kepada agama dapat dicapai dengan jaya. Kebijaksanaan sebegini perlu agar dapat memberi kesan-kesan positif serta dapat menarik hidayah, barakah dan rahmat daripada Allah SWT. Keikhlasan individu-individu yang bertanggungjawab di sebalik majlis-majlis dakwah ini wajar diberi penghormatan dan penghargaan oleh kita, walaupun Allah SWT yang sebaik-baik memberi balasan kepada mereka.
Penutup
Demikian sedikit lontaran dalam membicarakan tentang majlis sambutan haul atau mawlid ini. Secara jelasnya ia dapat menjadi salah satu cara mengeksploitasi situasi dan munasabah tertentu dalam menyeru masyarakat kembali kepada pegangan agama yang benar. Ia adalah sambutan yang wajar diteruskan sebagaimana juga perlunya kita membanyakkan majlis-majlis kerohanian seumpama demikian yang bertemakan ilmu dan zikir yang dapat mengumpulkan masyarakat dan mendekatkannya kepada Allah SWT. Ringkasnya, haul atau mawlid adalah berpotensi sebagai salah satu wadah pentarbiyahan yang wajar diberikan perhatian. Wallahu a’lam.