Wanita dan Periwayatan Hadis
Oleh kerana tak berapa ramai penyertaan kaum wanita dalam
majlis daurah periwayatan hadis ni, maka suka saya nak berkongsi di sini tentang
penglibatan kaum wanita dalam bidang periwayatan hadis di kalangan alim ulama kita
terdahulu. Moga-moga dapat memberi sedikit motivasi kepada kaum wanita untuk
bersama-sama mengikuti majlis-majlis periwayatan hadis (kalau tak @ belum
disibukkan oleh suami dan anak).
Yang konsisten mengikuti tu, saya ucapkan syabas!..
Meskipun penglibatan dalam bidang periwayatan hadis ini
kebanyakannya dimonopoli oleh orang lelaki kerana tradisi dan naturenya
begitu. Namun, tidak bermakna seolah-olah ada sekatan khusus bagi kaum wanita dari
melibatkan diri.
Perlu diingat, antara tujuh perawi hadis yang paling banyak
meriwayatkan hadis di kalangan sahabat Nabi SAW ialah Umm al-Mu’minin Sayyidatuna
‘A’isyah RA. Beliau telah mempelajari banyak ilmu dari baginda SAW. Dan sesudah
baginda wafat, beliau tidak lokek untuk meriwayatkan hadis-hadis Nabi SAW
kepada orang yang datang kepadanya menuntut ilmu. Maka, banyak ilmu yang ditimba
oleh para sahabat dan para tabiin daripada beliau.
Jika kita
menelusuri sejarah imam-imam terkenal dahulu, kita akan dapati bahawa bukan
semua guru-guru mereka adalah lelaki. Selain kaum lelaki, ramai di antara mereka
turut meriwayatkan hadis atau menimba ilmu dari kaum wanita juga. Misalnya,
Imam al-Syafi‘i, antara guru beliau ialah Sayyidah Nafisah, tokoh wanita
Ahlul Bait yang masyhur makamnya di Mesir. Beliau menghafaz al-Quran dan banyak
meriwayatkan hadis-hadis.
Al-Khatib
al-Baghdadi, pengarang Tarikh Baghdad dan alim hadis tersohor, telah meriwayatkan
kitab Sahih al-Bukhari dari gurunya, Syeikhah Karimah binti Ahmad al-Marwaziyyah,
di mana beliau telah membaca Sahih al-Bukhari di hadapannya selama lima
hari sahaja di Makkah. Iaitu suatu tempoh yang jarang dapat dilakukan melainkan
dengan aturan waktu yang benar-benar ketat dan padat!
Bukan saja al-Khatib al-Baghdadi, bahkan ramai ahli hadis di zamannya yang datang berpusu-pusu kepada Syeikhah Karimah kerana ingin meriwayatkan Sahih al-Bukhari dari beliau. Syeikhah Karimah meninggal dunia dalam usia kira-kira 100 tahun dan tidak pernah berkahwin!
Bukan saja al-Khatib al-Baghdadi, bahkan ramai ahli hadis di zamannya yang datang berpusu-pusu kepada Syeikhah Karimah kerana ingin meriwayatkan Sahih al-Bukhari dari beliau. Syeikhah Karimah meninggal dunia dalam usia kira-kira 100 tahun dan tidak pernah berkahwin!
Al-Hafiz Abu ‘Amr
Muslim al-Azdi telah meriwayatkan hadis dari 70 orang wanita. Begitu juga al-Hafiz Abu al-Walid Hisyam
al-Bahili. Manakala al-Hafiz Abu ‘Abdillah Muhammad Ibn al-Najjar pula telah
merekodkan seramai 400 orang wanita dalam senarai guru-gurunya!
Antara tokoh
wanita dalam bidang periwayatan hadis ialah Syuhdah binti Abi Nasr Ahmad
al-Ibriyyah (w. 549H). Oleh kerana beliau banyak meriwayatkan hadis, maka
ramailah orang di zamannya yang datang untuk mendengar hadis daripada beliau
pula.
Syeikhah
Maryam binti ‘Abd
al-Rahman (w. 758H) antara tokoh-tokoh wanita yang alim dengan hadis
sehinggakan al-Hafiz Ibn Hajar, pengarang Fath al-Bari, telah
menghimpunkan di dalam sebuah kitab seramai 283 orang guru beliau, sama ada
lelaki dan wanita yang ada meriwayatkan hadis yang diberi judul: Mu‘jam
al-Syaykhah Maryam.
Perlu
diperhatikan, bahawa mereka ini bukan saja mendengar sebutir dua hadis lalu meriwayatkannya.
Tetapi sebutir dua kitab hadis yang mengandungi ribuan, malah puluhan ribu buah
hadis di dalamnya. Cuba lihat misalnya;
‘Atikah binti Abi al-‘Ala’ al-Hasan al-‘Attar (w. 609H) meriwayatkan kitab Sunan Abi
Dawud yang mengandungi kira-kira 5,274 buah hadis dan kitab Makarim al-Akhlaq
oleh Ibn Lal.
‘Afifah binti
Ahmad al-Asbahaniyyah (w.
606H) meriwayatkan al-Mu‘jam al-Kabir dan al-Mu‘jam al-Saghir
kedua-duanya oleh al-Tabarani serta kitab al-Fitan oleh Nu‘aym bin
Hammad. Kitab-kitab ini semua didengari dari Syeikhah Fatimah binti
‘Abdullah al-Juzadaniyyah. Perlu diketahui, kitab al-Mu‘jam al-Kabir
dikatakan mengandungi lebih kurang 60,000 buah hadis!
Zaynab bin Abd
al-Rahman (w. 615H)
meriwayatkan Sahih al-Bukhari yang mengandungi kira-kira 7,397 buah
hadis dan menerima ijazah sanad dari ramai orang syeikh.
Dan sebagainya. Sangat
ramai untuk disenaraikan kesemua mereka.
Bagi merakamkan
peranan dan sumbangan wanita dalam bidang periwayatan hadis ini, beberapa buah
buku telah disusun oleh para sarjana kini. Antaranya;
1- جهود المرأة في رواية الحديث القرن الثامن
الهجريoleh Dr. Ṣāliḥ Yūsuf Maʻtūq, khusus tentang sumbangan wanita dalam periwayatan
hadis di kurun ke-8 hijrah.
2- صفحات مشرقة
من عناية المرأة بصحيح الإمام البخاري oleh Dr. Muhammad
bin ‘Azzuz, khusus tentang perhatian wanita terhadap kitab Sahih al-Bukhari.
3- جهود المرأة الدمشقية في رواية الحديث الشريف juga oleh Dr. Muhammad bin ‘Azzuz, khusus tentang sumbangan wanita kota Dimasyq dalam
periwayatan hadis.
4- دور المرأة في خدمة الحديث في القرون الثلاثة الأولى oleh Amal Qirdasy binti al-Husayn, tentang peranan wanita dalam periwayatan
hadis di tiga kurun pertama hijrah.
5- Dan lain-lain.
Prof. Dr. Muhammad Akram al-Nadwi pula telah berjaya
merekodkan seramai lebih 8,000 biografi perawi wanita di dalam kitabnya al-Wafa’
bi Asma’ al-Nisa’ yang setebal 40 jilid!
Justeru, anda di mana?..