Monday, January 31, 2011
Revolusi Rakyat Mesir: Harga Yang Perlu Dibayar..
Sunday, January 30, 2011
Kebangkitan Mesir, Ketakutan Israel
Negara-negara Islam kini amat memerlukan pemimpin yang berijwa Islam tulen yang sanggup berjuang demi agamanya.
Syeikh al-Qaradawi Seru Mubarak Undur
Syeikh al-Qaradawi Seru Mubarak Lepas Jawatan
Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Syeikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan pergi secara paksaan. Beliau perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali. Syeikh Yusuf al-Qaradawi menggambarkan sistem pemerintahan Mesir sebagai tidak mengerti dan tidak berfikir. Ianya buta tidak melihat, tuli tidak mendengar, serta bodoh tidak memahami.
Al-Qardhawi menyeru Mubarak melalui al-Jazeera katanya, "Undurlah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir". Beliau meminta Mubarak agar merasa belas kasihan terhadap dirinya sendiri serta ahli keluarganya. Kuasa kerajaan itu jika dianggap sebagai peluang keemasan maka cukuplah tempoh tiga puluh tahun itu, dan jika dianggap sebagai hukuman denda pula, maka cukuplah juga tempoh tiga puluh tahun itu.
Al-Qaradhawi menyarankan Mubarak agar melepaskan kepimpinan serta meninggalkan Mesir yang sudah kerugian dan kehilangan wang berbilion-bilion. "Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak". Beliau menambah bahawa puluhan pemuda telah gugur dalam tempoh satu hari dalam menuntut hak mereka, "Tapi kamu dan askar kamu pula telah membalas mereka dengan peluru hidup."
Al-Qaradawi menambah, "Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki", untuk diadili dan dibicara sesudah itu oleh mahkamah awam dan bukannya oleh mahkamah tentera, "yang kamu bina untuk mendakwa pihak lawanmu, lalu kamu menghukum mereka dengan hukuman yang zalim", di bawah undang-undang darurat, dan sesungguhnya "bagi orang zalim itu ada kesudahnnya, dan tidak ada seorang pun yang mampu untuk melawan sejarah. "
Syeikh al-Qaradawi menganggap bahawa Mubarak tidak memahami mesej dari rakyat, malah keluar dengan ucapan yang menunjukkan bahawa ia tidak merasakan apa yang terjadi. Dia berada "dalam dunia yang bukan dunia kita, tidak merasa kelaparan orang yang lapar, atau kesakitan orang yang terluka," dan mempersoalkan pula faedah untuk membubarkan kerajaan, sementara ia tidak mengatakan apa yang seharusnya dikatakan iaitu membubarkan Dewan Syura dan Dewan Rakyat serta menghapuskan undang-undang darurat.
Rakyat dan Tentera
Dalam ucapannya, al-Qaradhawi mengalu-alukan rakyat Mesir atas kebangkitan mereka melawan situasi korup yang telah banyak mereka bersabar terhadapnya, seperti kesabaran mereka melihat ramai orang mengaut kekayaan negara serta menikmati keuntungannya, sedangkan mereka tidak mampu mencari makanan harian mereka.
Beliau menggambarkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai pemberontakan secara aman, tidak ada kayu mahupun senjata, bagi menuntut kehidupan yang lebih baik serta rezeki yang halal, akan tetapi mereka dikejutkan pula dengan peluru hidup dari pihak pengawal keamanan, menyebabkan puluhan orang terbunuh.
Beliau menekankan bahawa para penunjuk perasaan yang sebenar tidak bertanggungjawab menyertai sebarang kes pencurian dan penjarahan. Beliau menasihati mereka, "Janganlah kamu sekali-kali memanjangkan tangan pada mana-mana harta milik institusi awam ataupun swasta, kerana itu adalah haram."
Beliau turut menyatakan rasa bangga dan hormat terhadap tentera Mesir serta menyeru mereka untuk melindungi negara Mesir di masa mendatang tanpa campur tangan dalam hal pemerintahan. Beliau menuntut pihak tentera agar menyerahkan hal kuasa pemerintahan kepada rakyat dan pemilihan presiden dibuat sesuai dengan dasar-dasar syura dan juga demokrasi.
Sumber: al-Jazeera.
Ulasan:
Kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir menuntut sistem pemerintahan yang lebih bersih dan adil patut dijadikan iktibar oleh pemimpin-pemimpin dunia Arab dan juga dunia Islam secara umum..
Allahu Akbar..
Friday, January 28, 2011
"Cari Arah Kiblat Guna Google Earth"
Saturday, January 22, 2011
Mengenang Syeikh Khalil al-Khatib dan Muridnya Syeikh 'Abd al-Salam رحمهما الله
Wednesday, January 19, 2011
Kadar Suara Dalam Ibadah
Respon terhadap artikel: Benarkan hanya azan di pembesar suara, dalam malaysiakini.com, 15 Jan. 2011.
Isu Pembesar Suara
Isunya adalah tentang bacaan-bacaan - selain azan - yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai, yang kononnya telah mengelirukan orang bukan Islam sehingga mereka menyangka ia azan. Objektif penulisnya barangkali ialah untuk menjaga hati orang bukan Islam dan agar agama Islam tidak dipandang serong oleh mereka. Namun huraian, penghujahan dan konklusi yang diketengahkan olehnya memerlukan kepada sedikit penilaian semula. Alat pembesar suara sudah tentu tidak wujud pada zaman Nabi SAW, namun apa yang ditinggalkan oleh baginda kepada kita ialah hukum mengangkat dan merendahkan suara, yang akan dibincangkan dalam artikel ini.
Antara ‘penyakit’ sesetengah ahli ilmu ialah terburu-buru dalam mengeluarkan hukum atau fatwa tanpa melihat terlebih dahulu dengan teliti dan mendalam terhadap masalah yang dibahaskan. Hanya mengguna pakai sebuah dalil sahaja tanpa melihat dalil-dalil yang lain atau meninggalkan dalil-dalil yang lain, maka terus diputuskan hukum atau fatwa darinya. Kebelakangan, perkara sebegini semakin kerap berlaku baik di kaca tv, radio, akhbar, internet, masjid, dan lain-lain.
Dalil-Dalil Larangan dan Ulasannya
Saya tidak akan mengupas atau mengulas satu persatu isi kandungan artikel tersebut kerana ia akan mengambil ruang yang panjang. Apa yang akan kita bincangkan di sini ialah dari sudut pendalilan yang diguna pakai iaitu tentang kadar suara dalam melaksanakan ibadah, seumpama solat, membaca al-Quran, zikir, doa, azan dan sebagainya.
Antara hujah yang dibangkitkan oleh mereka yang melarang dari mengangkat suara dalam beribadah ialah hadis sahih riwayat Abu Dawud dalam Sunannya (no. 1135):
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الخدري قَالَ: اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ فَكَشَفَ السِّتْرَ وَقَالَ: أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ أَوْ قَالَ: فِي الصَّلَاةِ. وفي مسند أحمد (رقم 11461) ومصنف عبد الرزاق (رقم 4216): وَهُوَ فِي قُبَّةٍ لَهُ فَكَشَفَ السُّتُورَ.
Terjemahan:
Dari Abu Sa'id al-Khudri katanya: “Pernah Nabi Muhammad SAW beriktikaf dalam masjid, lalu baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran atau solat) lalu baginda mengangkat tirai dan bersabda: “Ketahui sesungguhnya setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan sebahagian kamu mengangkat suara melebihi sebahagian yang lain dalam bacaan, atau sabdanya: dalam solat”. Dalam riwayat Musnad Ahmad dan Musannaf ’Abd al-Razzaq ditambah: ”Sedangkan ketika itu baginda berada di qubbah (tempat ibadah) baginda, lalu baginda pun menyingkap tirai-tirai...”.
Hadis ini perlu diteliti dari pelbagai aspek. Selain tekstual hadis perlu juga dilihat dari sudut kontekstual hadis. Perlu juga ditinjau dengan membuat komparatif dengan nas-nas lain, serta situasi ‘urf. Demikian kaedah yang perlu dipraktikkan bagi mengeluarkan sebuah hukum atau fatwa, tidak semata-mata berpegang kepada sebuah teks yang terhad. Adakalanya teks yang terhad hanya mampu menghasilkan pedoman dan panduan semata-mata, tetapi belum dapat membentuk sebuah hukum yang releven dan fatwa yang autentik.
Tanda-tanda pada zahir hadis tersebut seperti sedang beriktikaf, bermunajat, dan kadar suara yang mengganggu menunjukkan bahawa situasi pada masa itu ialah waktu malam yang bersuasana sunyi dan hening. Penulis berpendapat, agak jauh untuk dikatakan hadis tersebut diucapkan pada waktu siang kerana suasananya agak berlainan dan kadar suara biasanya tidak begitu mengganggu. Siang adalah masa berkerja dan malam adalah masa beristirehat, maka amat sesuailah pada masa itu dielakkan sebarang gangguan dan amat tepatlah teguran Nabi SAW kepada para sahabatnya itu. Justeru menggunakan hadis ini bagi mengeluarkan hukum umum tanpa ada sebarang pengecualian atau perbezaan perlulah diteliti semula.
Realiti yang berlaku pasa masa kini, penggunaan pembesar suara biasanya selesai pada atau selepas waktu isyak, atau lebih sedikit jika ada penceramah yang melanjutkan celotehnya, dan bermula semula pada waktu pagi sebelum atau pada waktu fajar. Justeru, tidak berlaku sebarang gangguan pembesar suara antara waktu isyak sehingga subuh. Bagaimana situasi sedemikian dapat dikiaskan dengan hadis di atas yang barangkali ditujukan pada waktu dua pertiga malam, atau separuh malam ataupun sepertiga malam.
Manakala hadis yang berbunyi:
عن أَبِي مُوسى الأَشْعَرِيِّ رضي الله عنه، قَالَ: لَمَّا غَزَا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم خَيْبَرَ، أَوْ قَالَ: لَمَّا تَوَجَّهَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم، أَشْرَفَ النَّاسُ عَلَى وَادٍ فَرَفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ بِالتَّكْبِيرِ: اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ لاَ إِله إِلاَّ اللهُ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِنَّكُمْ لاَ تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًا إِنَّكُمْ تَدْعُونَ سَمِيعًا قَرِيبًا، وَهُوَ مَعَكُمْ... (أخرجه البخاري ومسلم)
Terjemahan:
Dari Abu Musa al-Asy’ari RA katanya: Ketika Rasulullah SAW memerangi Khaybar, atau katanya: Ketika Rasulullah SAW menuju kepadanya, orang-orang telah melihat sebuah wadi, lalu mereka mengangkat suara mereka bertakbir; Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha illa Allah… Maka sabda Rasulullah SAW: Kasihanilah diri kamu sekalian, sesungguhnya kamu tidak menyeru yang tuli mahupun yang ghaib, sesungguhnya kamu menyeru Yang Maha Mendengar lagi Dekat, dan Dia bersama kamu sekalian...”.
Zahir hadis ini menunjukkan bahawa teguran tersebut adalah disebabkan kadar suara yang berlebih-lebihan dan melampaui had dalam mengeras dan meninggikannya. Nabi SAW sentiasa membimbing umatnya kepada sikap bersederhana, maka amat wajar baginda memberi teguran tersebut.
Kata Imam al-Nawawi: Maknanya ialah kasihanilah diri kamu dan rendahkanlah suara kamu. Perbuatan mengangkat suara biasanya dilakukan orang kerana jauhnya orang yang diajak bicara agar ia mendengarnya, sedangkan kamu menyeru Allah Taala dan Dia bukanlah pekak mahupun ghaib, bahkan Dia Maha Mendengar lagi Dekat, dan Dia bersama kamu dengan ilmu dan liputan pengetahuan-Nya. Maka pada hadis ini terdapat galakan agar merendahkan suara ketika berzikir jika keperluan tidak mendesak untuk mengangkatnya. Sekiranya suara direndahkan, itu lebih beradab dalam memuliakan dan mengagungkan-Nya. Manakala jika keperluan perlu untuk mengangkatnya, barulah diangkat sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis (seperti talbiah dan sebagainya).
Dalam hadis yang lain:
عن عقبة بن عامر، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((الجاهر بالقرآن كالجاهر بالصدقة. والمسر بالقرآن كالمسر بالصدقة)). رواه الترمذي، وأبوداود، والنسائي. وقال الترمذي: هذا حديث حسن غريب.
Terjemahan:
Dari ’Uqbah bin ’Amir katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang membaca kuat dengan al-Quran seperti orang yang berterang-terangan dalam bersedekah. Dan orang yang membaca perlahan dengan al-Quran pula seperti orang yang bersembunyi-sembunyi dalam bersedekah”.
Makna hadis ini menunjukkan kepada keutamaan (keafdalan) dalam membaca al-Quran dan bukannya menunjukkan kepada larangan meninggikan suara. Sedangkan Nabi SAW pernah memerintahkan Abu Bakar al-Siddiq RA agar meninggikan suara:
عن أبي قتادة - رضي الله عنه - أن النبيَّ -صلى الله عليه وسلم- قال لأبي بكر : «مررتُ بك وأنت تقرأُ، وأنت تخفض من صوتك؟» فقال : إني أسمعتُ من ناجيتُ ، قال : ارْفعْ قليلا ، وقال لعمر : مررت بك وأنت تقرأُ ، وأنت ترفع من صوتك؟ قال : «إني أُوقِظُ الوَسنان ، وأطردُ الشيطان، قال : اخفِض قليلا». وفي رواية: «يا أبا بكر ، ارْفع من صوتك شيئا ، وقال لعمر : اخفِضْ من صوتك شيئا». رواه الترمذي وأبو داود بإسناد صحيح.
Terjemahan:
Dari Abu Qatadah RA bahawa Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar RA: Aku telah melintasi kamu ketika kamu sedang membaca, dan kamu merendahkan suara. Jawab beliau: Sesungguhnya aku hanya memperdengarkan kepada Siapa yang aku bermunajat kepada-Nya. Balas baginda: Angkatlah sedikit (suaramu). Dan baginda juga bersabda kepada ’Umar RA: Aku telah melintasi kamu ketika kamu sedang membaca, dan kamu mengangkatkan suara. Jawab beliau: Sesungguhnya aku ingin membangkitkan orang yang mengantuk dan mengusir syaitan. Balas baginda: Rendahkan sedikit (suaramu). Dalam riwayat lain: ”Wahai Abu Bakar, angkatlah suaramu sedikit, dan baginda bersabda kepada ’Umar: Rendahkanlah suaramu sedikit”.
Di sini, Nabi SAW menyuruh mengangkat suara jika ianya terlalu perlahan atau tidak dapat dimanfaatkan oleh orang lain, dan melarang mengangkatkan suara jika ianya melebihi had, atau kerana ia dapat menimbulkan sifat riyak dan ujub yang ditegah oleh syarak. Secara mafhumnya, baginda mengajarkan bahawa bersederhana itulah yang lebih utama.
Selain hadis Abu Bakar RA tersebut terdapat beberapa hadis lain yang membenarkan mengangkat suara seperti;
حديث أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: لَمْ يَأْذَنِ اللهُ لِشَيْءٍ مَا أَذِنَ لِلنَّبِيِّ أَنْ يَتَغَنَّى بِالْقُرَآنِ يَجْهَرُ بِهِ. (رواه البخاري ومسلم وغيرهما)
Terjemahan:
Dari Abu Hurairah RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: Allah tidak mengizinkan (meredhai) bagi sesuatu, apa yang telah diizinkan kepada Nabi agar berlagu dengan al-Quran, serta mengangkat suara dengannya”.
Kata Imam al-Nawawi dalam kitab al-Azkar berkenaan dalil-dalil yang zahirnya saling bercanggahan ini: Pengharmonian antara kedua-duanya ialah bahawa suara perlahan itu lebih jauh dari sifat riyak, dan ianya adalah afdal bagi orang yang takutkan demikian. Jika tidak takut riyak pula, maka suara kuat itu lebih afdal dengan syarat tidak menyakiti orang lain seperti orang yang bersolat, tidur dan sebagainya. Maksudnya suara perlahan itu lebih afdal jika takutkan riyak atau menyakiti orang yang bersolat atau tidur dengan suara kuatnya. Suara kuat pula afdal dalam hal yang selain itu kerana amalan tersebut lebih besar, dan manfaatnya dapat dikongsi oleh orang lain sama ada dengan mendengar (dan banyak dalil menunjukkan ianya sebagai ibadah), belajar, mengikut, insaf atau ianya sebagai syiar agama. Ia juga dapat mengetuk hati si-pembaca, menumpukan perhatiannya untuk berfikir dan memfokuskan pendengarannya sendiri. Ia juga dapat menghalang rasa mengantuk, menambah rasa cergas, membangunkan orang lain yang tidur dan lalai serta menyegarkannya. Maka bila hadir salah satu niat-niat ini, maka suara kuat itu adalah lebih afdal.
Ada diriwayatkan oleh al-Daylami dalam Musnad al-Firdaus dari Ibn ’Umar secara marfu’:
السر أفضل من العلانية والعلانية أفضل لمن أراد الإقتداء به
Terjemahan: “Cara sembunyi itu lebih afdal dari cara terang-terangan, dan cara terang-terangan pula lebih afdal bagi orang yang mahu agar dicontohi”.
Maka kesimpulannya, tinggi atau rendah suara itu semua adalah bergantung kepada situasi, suasana, tuntutan dan juga keadaan. Selain perlu menitikberatkan kesederhanaan dalam semua aspek.
Sila rujuk dengan lebih lanjut tentang mengangkat suara dalam ibadah kepada kitab Sibahah al-Fikr fi al-Jahr bi al-Zikr oleh Imam ‘Abd al-Hayy al-Laknawi (w. 1304H), tahkik Syeikh ‘Abd al-Fattah Abu Ghuddah, dan kitab Natijah al-Fikr fi al-Jahr bi al-Zikr oleh Imam al-Suyuti (w. 911H). Namun menurut Syeikh Abu Ghuddah, kitab Imam al-Laknawi lebih detail dan lengkap perbahasannya.
Menangani Isu Sebenar
Isu sebenarnya bukan masalah penyalahgunaan pembesar suara, atau benarkan hanya azan sahaja di pembesar suara, tetapi adalah masalah kefahaman orang (terutama AJK masjid/surau) terhadap situasi yang mereka duduki. Kita ada pelbagai situasi, ada masjid yang jauh dari kawasan perumahan dan ada yang dekat, malah sebahagiannya berhimpit-himpit dengan rumah orang atau kedai. Ada masjid yang berdekatan dengan pusat maksiat. Ada masjid yang berdekatan dengan hospital. Ada masjid yang berada di kawasan yang majoritinya bukan Islam. Ada masjid bandar, dan ada masjid kampung. Ada masjid yang penduduk sekitarnya bersatu hati, dan ada masjid yang penduduk sekitarnya berbalah sesama sendiri. Suasana bandar yang sibuk pastinya berbeza dengan suasana kampung yang lebih tenang.
Peralatan pembesar suara juga perlu diambil kira. Ada pembesar suara yang mahal dan mengeluarkan suara yang enak dan merdu. Ada pembesar suara yang murah dan mengeluarkan suara yang ’serak’ dan berdesing sekali-sekala. Begitu juga hal dengan tugas bilal, ada bilal yang bersuara merdu dan sedap didengar, dan ada bilal yang bersuara kurang lemak merdu. Ada bilal yang melaungkan (atau memasang kaset) bacaan al-Quran atau zikir setiap lima waktu sebelum azan, dan ada bilal yang melaungkan (atau memasang kaset) bacaan al-Quran atau zikir pada waktu tertentu sahaja sebelum azan seperti waktu subuh dan maghrib misalnya. Dan sebagainya lagi.
Bayangkan sekiranya masjid tersebut terletak di kawasan yang majoritinya bukan Islam, atau sangat berhampiran dengan hospital, dan alat pembesar suaranya pula sering ’terbatuk-batuk’, dipasang pula alunan bacaan al-Quran atau zikir setiap lima waktu sebelum azan dan bilalnya pula bersuara ’serak-serak basah’. Apakah agaknya reaksi dan pendapat anda, jika dibandingkan dengan masjid yang terletak di kampung yang penduduknya sekitarnya bersatu hati dan sudah biasa dengan alunan bacaan al-Quran atau zikir pada waktu sebelum subuh dan maghrib, manakala bilalnya pula bersuara lemak merdu. Apakah sama situasinya?
Bagaimana pula sekiranya masjid tersebut berhampiran dengan pusat maksiat yang pengunjungnya tidak pernah menjejakkan kaki ke masjid. Apakah tidak rugi jika semua ceramah-ceramah yang dijalankan di masjid itu hanya untuk orang di dalam masjid sahaja dan suara tidak keluar melebihi pintunya? Semuanya ini perlu diambil kira, bukannya mengeluarkan hukum secara pukul rata.
Iktibar Dengan Situasi
Abu Dawud meriwayatkan dalam Sunannya dari Ghudhaif bin al-Harith, beliau pernah bertanya kepada ’A’isyah RA antaranya:
أَرَأَيْتِ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَجْهَرُ بِالْقُرْآنِ أَمْ يَخْفُتُ بِهِ؟ قَالَتْ: رُبَّمَا جَهَرَ بِهِ وَرُبَّمَا خَفَتَ. قُلْتُ اللَّهُ أَكْبَرُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَ فِي الْأَمْرِ سَعَةً. رواه أبو داود بإسناد صحيح.
Terjemahan:
Adakah puan pernah melihat Rasulullah SAW mengangkat suara dengan al-Quran ataupun memperlahankannya? Jawab beliau: Adakalanya baginda mengangkat suara dengannya dan adakalanya baginda memperlahankannya. Aku berkata: Allahu akbar, segala puji bagi Allah yang telah menjadikan dalam urusan (agama) ini keluasan.
Kata al-‘Allamah Badr al-Din al-‘Aini (w. 855H) mengulas hadis di atas: Sabit pilihan bagi si-pembaca (al-Quran atau zikir) sama ada antara mengangkat suara dengannya dan juga memperlahankannya. Diperkatakan, mengangkat suara lebih afdal. Juga diperkatakan, memperlahankan suara lebih afdal. Namun yang benar ialah; ianya terikat menurut iktibar dari segi masa si-pembaca, kedudukannya dan juga situasinya. Maka hendaklah dipelihara mengangkat suara dan memperlahankan suara berdasarkan iktibar tersebut.
Kata-kata Ghudhaif bin al-Harith RA: ”Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan dalam urusan (agama) ini keluasan”, wajar direnung dan diambil iktibar. Perbezaan ‘urf dan situasi kerana peredaran zaman perlu juga diambil kira. Apa yang penting, bukan hukum menggunakan pembesar suara yang sudah menjadi ‘urf pada masa kini, tetapi adalah kefahaman orang (terutama AJK masjid/surau serta para pengunjung masjid/surau juga) terhadap situasi yang mereka duduki. Dan perbincangan ini secara umum meliputi situasi dalam dan juga luar masjid. Persoalannya, bagaimanakah harus mereka mengendalikannya? Jika penulis artikel tersebut menyemak semula masalah ini dan memikirkan semua faktor-faktor yang dijelaskan, pasti dia akan memperbetulkan semula kenyataannya atau menambah apa-apa kenyataan yang wajar dan lebih diterima. Mengeluarkan sesuatu kenyataan atau hukum secara terburu-buru bukanlah suatu tindakan yang bijak.
Monday, January 10, 2011
Kedudukan Hadis Talqin Zikir Ahli Sufi (1)
نحمده ونصلي ونسلم على رسوله الكريم
Talqin zikir secara umum terdapat dalam beberapa hadis yang sebahagiannya adalah sabit. Namun, yang menjadi fokus perbahasan di sini ialah talqin zikir secara khusus, iaitu hadis yang menyatakan kaifiat talqin zikir (لا إله إلا الله) dengan memejamkan mata, yang diriwayatkan oleh Saidina ’Ali RA dari Rasulullah SAW. Hadis inilah yang paling masyhur digunakan sebagai sandaran dalam mentalqinkan zikir di kalangan ahli sufi. Dalam satu versi ‘riwayat’ pula, lafaz talqin zikir ialah (الله، الله) dengan memejamkan mata. Analisis tentang darjat hadis ini tidaklah semudah yang diduga pada zahirnya, kerana hakikatnya ia telah menjadi suatu yang eksklusif di sisi para ahli sufi.
Pada mulanya, ada seorang sahabat yang sedang menyiapkan tesisnya bertanya tentang hadis Nabi SAW :
قال رسول الله صل الله عليه وسلم لسيدنا علي كرم الله وجهه: يا عليّ، أغمض عينيك وألصق شفتيك وأعل لسانك وقل: الله الله.
Rasulullah SAW bersabda kepada Saidina ‘Ali bin Abi Thalib karamallahu wajhah: ”Ya ’Ali, pejamkan kedua matamu, tempelkan/rapatkan kedua bibirmu dan naikkan lidahmu, dan katakanlah: Allah, Allah”.
Di manakah sumber asal hadis ini? Ada dikatakan ia diriwayatkan oleh al-Tabarani dan al-Baihaqi, namun setelah puas dicari tidak diketemukan juga sumber asalnya baik dalam al-Tabarani mahupun al-Baihaqi. Oleh kerana saya yang cetek ilmu ini mendengar ia riwayat al-Tabarani dan al-Baihaqi, maka saya kata ia pasti ada dalam kitab-kitab berkenaan. Pasti ada dalam al-Maktabah al-Syamilah!
Namun setelah dicuba dengan berbagai-bagai teknik dan melalui hampir 800 buah kitab, hadis tersebut masih juga tidak ditemukan. Bahkan juga setelah melalui lebih dari 1600 kitab! Saya mula hairan. Sahabat tersebut berkata, bolehjadi ada pada versi-versi al-Tabarani atau al-Baihaqi yang tidak sampai kepada kita sepertimana halnya dengan hadis Nur Muhammad riwayat ’Abd al-Razzaq! Saya membalas, mungkin. Namun, sejauh pengetahuan saya yang cetek tentang sejarah pembukuan kitab-kitab hadis tidak berlaku isu berhubung versi-versi al-Tabarani dan al-Baihaqi, kecuali karya-karya yang tidak sampai kepada kita.
Konsep pengukuhan fakta ilmiah juga tidak menerima teori kemungkinan sebagai suatu hujah dan pembuktian yang autentik. Ia hanya sebagai suatu adab dalam penilaian akhir sesuatu fakta ilmiah, kerana yang maha mengetahui ialah Allah SWT. Kemungkinan juga semua hadis yang kekal wujud hingga ke hari ini adalah atas kehendak Allah agar ianya kekal sebagai jalan syariat Nabi-Nya, manakala hadis-hadis yang tidak sampai kepada kita pada hari ini adalah atas kehendak Allah jua agar ianya tidak kekal kerana hikmah tertentu dari-Nya.
Maka teori kemungkinan seperti pembuangan tentera Tartar kitab-kitab ulama Islam ke dalam Sungai Dajlah sehingga hitam airya kerana tinta dakwat, tidak menjadi dalil yang kuat. Maka setelah ratusan kitab hadis yang telah dicetak, mungkin ribuan, yang ada di kutubkhanah umat Islam pada hari ini, dan jika sesuatu hadis yang dicari itu tetap tidak ditemukan walaupun di dalam kitab-kitab hadis daif dan mawdu’ sekalipun, maka zahirnya secara ilmiah, besar kemungkinan hadis tersebut adalah hadis yang tidak bersumber dan palsu. Atas alasan ini antara lainnya, sebahagian ulama seperti al-Hafiz ’Abdullah al-Ghumari, Syeikh ’Abdullah al-Harari al-Habsyi dan lain-lain menghukum hadis Nur Muhammad sebagai palsu.
Hadis di awal tadi disebut oleh Prof. Dr. Kadirun Yahya dalam Capita Selecta Tentang Agama, Metafisika, Ilmu Eksakta, Jilid III, tahun 1985. Katanya (link):
Hadits Nabi SAW. :
قال رسول الله صل الله عليه وسلم لسيدنا علي كرم الله وجهه: يا علي أغمض عينيك وألصق شفتيك وأعل لسانك وقل الله الله.
Rasulullah SAW. bersabda kepada Saidina ’Ali bin Abi Thalib karramallahu wajhah: "Ya ’Ali, pejamkan kedua matamu, tempelkan/rapatkan kedua bibirmu dan naikkan lidahmu, dan katakanlah Allah, Allah” (HR. Thabrani dan Baihaqi).
Kemudian beliau membawakan hadis yang lebih masyhur mengenai talqin zikir di kalangan ahli sufi. Kata beliau:
Di lain keadaan Rasulullah bersabda :
عن علي كرم الله وجهه قلت: يا رسول الله، أي الطريقة أقرب إلى الله وأسهلها على عباد الله وأفضلها عند الله تعالى؟ فقال: يا علي، عليك بدوام ذكر الله. فقال علي: كل الناس يذكرون الله. فقال صلى الله عليه وسلم: يا علي لا تقوم الساعة حتى لا يبقى على وجه الأرض من يقول الله الله. فقال علي: كيف أذكر يا رسول الله؟ فقال صلى الله عليه وسلم: غمض عينيك واسمع مني ثلاث مرات، ثم قل مثلها وأنا أسمع. فقال صلى الله عليه وسلم: لا اله الا الله، ثلا ث مرات مغمضا عينه، ثم قالها علي كذالك.
Dari ’Ali karamallahu wajhah: Aku katakan: Ya Rasulullah, manakah jalan thariqat yang sedekat-dekatnya kepada Allah dan semudah-mudahnya atas hamba Allah dan semulia-mulianya di sisi Allah?
Maka Sabda Rasulullah SAW.: "Ya Ali, penting atas kamu berkekalan/senantiasa berzikir kepada Allah". Berkatalah Ali: Tiap orang berdizikir pada Allah. Maka Rasulullah SAW. bersabda: "Ya Ali, tidak ada terjadi kiamat sehingga tiada lagi tinggal di atas permukaan bumi ini, orang yang mengucapkan Allah, Allah. Maka sahut Ali kepada Rasulullah SAW: Bagaimana caranya aku berzikir ya Rasulullah? Maka Sabda Rasulullah SAW: "Pejamkan kedua matamu dan dengarkanlah dari saya ucapan tiga kali. Kemudian ucapkanlah seperti itu dan aku akan dengarkan”.
Maka sejenak Rasulullah SAW mengucapkan: ”Laa ilaaha illallah”, tiga kali sedang kedua matanya tertutup. Kemudian Ali pun mengucapkan kalimat laa ilaaha illallaah seperti demikian. (HR.Thabrani dan Baihaqi)
Ajaran tersebut kemudian Sayyidina Ali ajarkan pula kepada Hasan Basri dan dari Hasan Basri diajarkan kepada al-Habib al-Ajamy, dari al-Habib diajarkan kepada Daud Atha’iy, dari Daud diajarkan kepada al-Makruf Al Karakhi dan dari al-Makruf ke pada As Sari, dan kemudian dari As Sari kepada al-Junaid.
Hadis kedua ini yang lebih masyhur berbanding hadis di awal tadi turut disandarkan kepada al-Tabarani dan al-Baihaqi! Dalam kitab Uraian Kaifiat Thariqat an-Naqsyabandiyyah al-Waaliyyah, dalam Siri Kapita Selekta Kebatinan Islam 4, hlm. 15, turut disebut hadis pertama di atas tadi secara isyarat sahaja, dengan disandarkan kepada al-Tabarani dan al-Baihaqi juga, tetapi dengan penambahan hukum hadis sebagai bersanad sahih. Teksnya:
Tentang memejamkan dua mata adalah berdasarkan anjuran Rasulullah SAW yang telah menyuruh Saidina ’Ali karramallahu wajhahu ketika baginda mengajarkan jalan dzikir padanya. Nabi bersabda:
يا علي غمض عينيك
”Wahai ’Ali, pejamkanlah kedua matamu..” (HR.Tabrany dan al-Baihaqy dengan sanad yang muttashil lagi sahih).
Namun, sehingga kini setakat pengetahuan saya yang cetek ini, saya belum melihat ulama-ulama hadis dan isnad yang menyandarkan hadis ini kepada al-Tabarani dan al-Baihaqi! Penjelasannya adalah sepertimana berikut;
Kedudukan Hadis
Ramai ulama yang memuatkan hadis ini tanpa menyebut sumber asalnya, seperti Ibn ’Ajibah (w. 1224H) yang memuatkan hadis ini di dalam kitabnya (إيقاظ الهمم شرح متن الحكم) hlm. 61, tanpa menyandarkan kepada mana-mana sumber. Kata beliau (dengan perbandingan serta tambahan dari versi lain dalam petak kurungan):
وعن علي كرم الله وجهه قلت: يا رسول الله أي الطرق أقرب [دلني على أقرب الطرق] إلى الله وأسهلها على عباد الله وأفضلها عند الله تعالى؟ فقال: يا علي عليك بمداومة ذكر الله. فقال علي: كل الناس يذكرون الله. فقال صلى الله عليه وسلم: يا علي لا تقوم الساعة حتى لا يبقي على وجه الأرض من يقول الله الله. فقال له علي: كيف أذكر يا رسول الله؟ فقال له صلى الله عليه وسلم: غمض عينيك وأسمع مني ثلاث مرات ثم قل مثلها وأنا أسمع. فقال صلى الله عليه وسلم: لا إله إلا الله ثلاث مرات مغمضاً عينيه [رافعاً صوته وعلي يسمع]، ثم قالها علي كذلك، [ثم قال علي: لا إله إلا الله ثلاث مرات مغمضاً عينيه رافعاً صوته والنبي صلى الله عليه وسلم يسمع]. ثم لقنها علي للحسن البصري ثم الحسن لحبيب العجمي ثم حبيب لداوود الطائي ثم داوود لمعروف الكرخي ثم معروف للسري ثم السري للجنيد، ثم انتقلت إلي أرباب التربية.
Malah Ibn ‘Ajibah juga tidak menyebutkan hadis ini sebagai matan kepada salah satu sanad tariqat yang diriwayatkannya yang bersambung secara masyhur melalui Imam al-Junaid di dalam kitab autobiografinya al-Fahrasah.
Melihat kepada banyaknya kitab yang memuatkan hadis ini, sehingga ada orang yang menyangka ianya sebagai sahih lagi sabit dan dapat dijadikan hujah yang kuat, maka perlulah dibuat revisi dan semakan semula terhadap kedudukan sebenarnya. Apakah sangkaan tersebut punya asas sandarannya ataupun tidak?
Sanad Riwayat Syeikh Yusuf al-Kurani (w. 768H)
Tidak sedikit ulama hadis dan isnad menyebut bahawa hadis tersebut diriwayatkan oleh Syeikh Yusuf bin ’Abdullah al-Kurani (w. 768H) dalam kitabnya (ريحان القلوب في الوصل إلى المحبوب). Namun, anak murid beliau, Syeikh Isma’il bin ‘Abd al-Latif al-Jawhari al-Misri (mungkin masih hidup tahun 800H?) meskipun menyebut sanad gurunya itu di dalam risalah (سلسلة النسبة المتواترة بين المريدين في لبس الخرقة المباركة وأخذ العهد والتلقين), hlm. 104, tetapi tidak pula menyebut matan hadis bagi sanad berkenaan. Malah sanad tersebut hanya dinyatakan sebagai sanad suhbah (perdampingan) sahaja.
Ringkasan urutan sanadnya adalah demikian;
- جمال الدين يوسف بن عبد الله بن عمر الكوراني
- نجم الدين محمود الأصفهاني (ح)
- جمال الدين يوسف الكوراني
- بدر الدين حسن الشمشيري
- بدر الدين الطوسي ونجم الدين محمود الأصفهاني
- نور الدين النطنـزي
- نجيب الدين علي بن برغوش الشيرازي
- شهاب الدين أبي حفص عمر السهروردي
- عمه أبي نجيب عبد القاهر السهروردي
- عمه وجيه الدين عمر السهروردي
- أخي فرج الزنجاني
- أبي العباس النهاوندي
- أبي عبد الله محمد بن خفيف الشيرازي
- أبي محمد رويم (ح)
- وجيه الدين عمر السهروردي
- والده محمد بن عبد الله المعروف بعمويه السهروردي
- أحمد الأسود الدينوري
- ممشاد الدينوري وأبي محمد رويم
- الجنيد وهو صحب
- خاله سري السقطي وهو صحب
- معروف الكرخي وهو صحب
- داود الطائي وهو صحب
- حبيب العجمي وهو صحب
- حسن البصري وهو صحب
- علي بن أبي طالب وهو صحب
- رسول الله r
Jalur sanad yang sama di atas diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Suyuti (w. 911H) dalam (سند لبس الخرقة والتلقين والصحبة) hlm. 194, juga tanpa menyatakan matan hadis, tetapi beliau menyatakannya secara jelas sebagai sanad talqin zikir. Beliau menerimanya dari dua orang guru, iaitu:
1. Pertama;
- كمال الدين ابن إمام الكاملية
- جماعة منهم: محب الدين محمد بن عمر السعودي
- تاج الدين محمد
- والده يوسف العجمي وهو جمال الدين يوسف بن عبد الله بن عمر الكوراني بسنده وهو نفس السند السابق
2. Kedua;
- شمس الدين محمد بن عبد الدائم
- خاله مدين بن أحمد
- نور الدين علي صاحب الديك (ح)
- مدين بن أحمد
- شهاب الدين أبي العباس أحمد الزاهد
- حسن بن عمر الشبريسي ونور الدين علي صاحب الديك
- يوسف العجمي وهو جمال الدين يوسف بن عبد الله بن عمر الكوراني بسنده إلخ
Sanad dan matan hadis talqin zikir ini juga dimuatkan oleh Syeikh Mahfuz al-Tarmasi (w. 1338H) dalam Kifayah al-Mustafid li ma ‘
- السيد أبي بكر شطا
- السيد أحمد زيني دحلان
- عثمان بن حسن الدمياطي
- محمد بن علي الشنواني وعبد الله بن حجازي الشرقاوي (ح)
- محمد بن علي الشنواني
- محمود بن أبي يزيد الكردي الكوراني
- محمد بن سالم الحفني
- مصطفى البكري
- عبد اللطيف الحلبي
- مصطفى أفندي الأدرنوي
- علي قره باش
- إسماعيل الجورومي
- عمر الفؤادي
- محيي الدين القسطموني
- شعبان القسطموني
- خير الدين الوقادي
- جلبي سلطان الأفندي الشهير بجمال الحلوتي
- محمد بن بهاء الدين الشيرواني ويقال الأزنجاني
- جلال الدين يحيى الباكوري
- صدر الدين الجياني
- عز الدين الشرواني
- محمد اميرام الخلوتي
- عمر الخلوتي
- أخي محمد الخلواني الشرواني
- إبراهيم الزاهد الكيلاني
- جمال الدين التبريزي المعروف بابن الصيدلاني
- محمد بن محمود العتيقي الشيرازي
- أبي الغنائم محمد بن الفضل النجاشي
- محمد بن أحمد الأبهري
- أبي نجيب عبد القاهر السهروردي
- عمر البكري (لعله هو: شهاب الدين عمر السهروردي، تلميذ أبي النجيب، وليس شيخه)
- وجيه الدين القاضي (لعله هو: وجيه الدين عمر السهروردي)
- محمد البكري (لعله هو: محمد بن عبد الله المعروف بعمويه)
- أحمد الأسود الدينوري
- ممشاد الدينوري
- الجنيد بسنده إلخ.
Sanad Syeikh Abu Bakr Syata ini menunjukkan Syeikh Yusuf bin ‘Abdullah al-Kurani tidak bersendirian dalam meriwayatkan sanad dari Imam al-Junaid. Meskipun ada sikit perbezaan rantaian sanad antara Abu al-Najib al-Suhrawardi dan Imam al-Junaid, terutama penambahan nama ‘Umar al-Bakri. Kata Syeikh Yasin al-Fadani; Demikian disebutkan dalam Thabat al-Syinwani (w. 1233H). Manakala dalam kitab Hasr al-Syarid oleh al-‘Allamah Muhammad ‘Abid al-Sindi (w. 1257H) dinyatakan sama sepertimana sanad Syeikh Yusuf al-Kurani, iaitu;
- أبي النجيب عبد القاهر السهروردي
- عمه وجيه الدين عمر السهروردي
- أبيه محمد عمويه بن عبد الله بن سعد السهروردي
- أحمد الأسود الدينوري
- ممشاد الدينوري
- الجنيد بسنده إلخ.
Manakala dalam Thabat ‘Abd al-Hadi al-Madrasi pula barangkali terdapat sedikit kekeliruan ejaan, iaitu disebutkan;
- أبي النجيب السهروردي
- وجيه الدين عبد القاهر السهروردي (لعل الصواب: عمر، لأن عبد القاهر اسم لأبي النجيب)
- أبي محمد بن عبد الله (لعل الصواب: أبيه محمد بن عبد الله المعروف بعمويه)
- أحمد الدينوري
- ممشاد الدينوري
- الجنيد بسنده إلخ.
Maka sanad kitab Hasr al-Syarid oleh al-‘Allamah al-Sindi lebih bertepatan dengan sanad Syeikh Yusuf al-Kurani yang dinyatakan di atas, berbanding dengan Thabat al-Syinwani yang dibawa oleh Syeikh Mahfuz al-Tarmasi, dan juga Thabat ‘Abd al-Hadi al-Madrasi berhubung rantaian sanad antara Abu al-Najib al-Suhrawardi dan Imam al-Junaid.
Syeikh al-Syinwani juga meriwayatkan dalam Thabatnya berjudul (الدرر السنية) dengan sanad yang lain dari jalan sanad Syeikh Mahfuz al-Tarmasi di atas, tetapi bertemu pada Abu al-Najib al-Suhrawardi, iaitu melalui jalur sanad Syeikh Yusuf al-Kurani yang masyhur dalam (ريحان القلوب في التوصل إلى المحبوب). Urutannya ialah ;
- عيسى البراوي
- محمد الدفري
- سالم البصري
- أبيه عبد الله البصري
- علي الشبراملسي
- علي الأجهوري
- علي بن أحمد المطوعي الحمصاني
- سليمان الخضيري
- مدين الأشموني
- خاله مدين الكبير
- أحمد الزاهد الغاوي
- حسن الشمشيري
- يوسف بن عبد الله الكوراني
- نجم الدين محمود الأصفهاني
- النور عبد الصمد (وهو نور الدين النطنزي)
- النجيب الشيرازي (وهو نجيب الدين علي بن برغوش الشيرازي)
- الشهاب عمر بن محمد بن عبد الله السهروردي
- عمه أبي نجيب عبد القاهر السهروردي بسنده إلخ.