Pages

Tuesday, August 30, 2011

Tuan Guru Haji Hashim Pasir Tumboh - rahimahullah...


Siang tadi ketika sedang sibuk beraya ke rumah saudara mara, ada sahabat yang menghantar SMS memberitahu bahawa Tuan Guru Haji Hashim Pondok Pasir Tumbuh telah meninggal dunia jam 1 tengahari tadi.

Inna lillahi wa inna ilahi raji'un...

Maka hilanglah seorang lagi alim rabbani yang telah banyak menghabiskan hayatnya dalam pengembangan ilmu pengetahuan dan juga tarbiyah. Berdasarkan sedikit carian di internet dan sekadar maklumat yang dapat dicapai, solat jenazah Almarhum Tuan Guru Haji Hashim telah diimami Tuan Guru Nik Abdul Aziz, turut serta Sultan Kelantan, Tengku Mahkota, para alim ulama, antaranya Dr. Uthman El-Muhammady. Ribuan orang hadir untuk solat jenazah.

Sedikit Biodata Almarhum


Nama : Tuan Guru Haji Hashim bin Haji Abu Bakar

Tempat lahir : Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah.

Tahun lahir : 1923M

Pendidikan :

- Belajar di Darul 'Ulum ad-Diniyyah, Mekah dari tahun 1936 hingga 1939.

- Belajar di Madrasah Irsyadiyyah Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Hj. Abdullah, Merbuk, Sungai Petani, Kedah pada tahun 1942.

- Belajar di pondok al-Marhum Tuan Guru Hj. Ghazali Batu 26, Bagan Datoh, Perak pada tahun 1940.

- Belajar di Pondok Lebai Idris Hitam, Kampung Air Hitam, Jitra, Kedah pada tahun 1944 selama 2 tahun.

- Pada tahun 1946 belajar di Pondok Bunut Payong dengan Tuan Guru Hj. Mustafa dan Tuan Guru Hj. Abdul Aziz bin Abu Bakar, pengasas Pondok Pasir Tumboh.


- Laman Web & Blog Pondok:

* www.al-bakriah.com.my

* albakriah.wordpress.com

- Rujuk juga untuk berita lebih lanjut: Blog Pondok Tauhid.


رحمه الله تعالى رحمة واسعة
ورضي عنه

Sunday, August 28, 2011

Mengenang Sasterawan Tukya... رحمة الله عليه


Rupa-rupanya sudah seminggu Sasterawan Tukya @ Azizi Hj. Abdullah meninggalkan kita. Mudah-mudahan sempena bulan pintu-pintu syurga dibuka, beliau memperolehi kerahmatan Allah SWT yang luas itu.

Sasterawan Tukya bukan saja novelis, beliau juga seorang blogger yang aktif sejak April 2006 hinggalah entri-entri terakhir pada April 2011 yang lalu. Pautan blognya ialah: http://aziziabdullah.blogspot.com/.

Blog ini mencatatkan pelbagai genta rasa, buah fikiran, hala tuju, minda dan pengalaman Sasterawan Tukya di tahun-tahun akhir hayatnya. Pengaruh perjuangan Islam nampak begitu meresap kuat dalam tulisan-tulisan beliau. Tintanya adakala santai dan datar, dan adakala tajam dan kritis.

Bersempena 'Idul Fitri yang bakal menjelang saya titipkan kad raya istimewa Tukya (bawah) pada 'Idul Fitri yang lalu, kerana ada pesanan yang tersurat dan tersirat di dalamnya.

Di bawah pula, saya sajikan sedikit perkongsian daripada blognya untuk dimanfaatkan. Iaitu antara luahan beliau ketika terlantar di katil hospital:

"...Saya menghabiskan bacaan buku ‘Ketika Alam Bertasbih’ tulisan Dr. Musa Al Khathib yang saya beli di Jakarta tempuh hari sangat memberi kesan. Saya terkedu, terencat rasa, sebak dan merasa diri sangat jauh takbur terhadap Tuhan apabila selama ini terabai dan lagho dengan Tasbih.

Sungguh amat hebat makhluk yang dijadikan Allah ini bertasbih sedangkan saya tidak menyedari sekian lama. Hebatnya dan dahsyatnya apabila alam bertasbih. Ia bukan saja bunyi guntur, kilau kilat petir, debur ombak dan gegar runtuh gunung, tetapi juga suara katak dan kicau burung dengan bahasanya adalah tasbih yang membesarkan Allah.

Ya Allah, saya sangat jauh dengan kesedaran ini. Hud-hud dengan Nabi Sulaiman, Semut yang khusus disebut dalam surah Al Naml sehingga kepada hymenoptera, vespiodea, formicidae, lalu bondongan burung-burung mampu meneduhkan Sulaiman dengan kepak mereka.

Bukankah hebat kebesaran Allah? Bunyi kepak itu pun adalah Tasbih. Ya Allah, demikian aku tersentak betapa hebat dan besarnya Tasbih; Subhanallah...

Tuhanku...sesungguhlah aku terlalu jauh lupa mentasbih kebesaranmu!

Bagi saya, catatan beliau ini adalah untuk orang yang masih hidup. Semoga aman bahagia bertemu dengan Pencipta-mu, Sasterawan Tukya.

Nostalgia 'Seorang Tua Di Kaki Gunung' masih kuat dalam ingatan saya. Masakan tidak, novel itu perlu dikhatam dengan hadam bagi pelajar-pelajar aliran sastera tingkatan 4 & 5 pada akhir 1980-an dan awal 1990-an. Memang begitu istimewa pena seorang sasterawan. Kehebatan kesan yang diberikannya melekat kekal dalam memori ingatan.

Mungkin agak ketinggalan saya memberikan 'tribute' ini. Namun barangkali masih belum terlalu lewat.

Saya nukilkan dari Kedah La Nie entri berikut...
____________________

SUNDAY, AUGUST 21, 2011

Al-Fatihah : Azizi Hj. Abdullah kembali ke rahmatullah

ALOR SETAR, 21 Ogos – Azizi Hj. Abdullah, sasterawan yang telah memenangi banyak anugerah sastera telah kembali ke rahmatullah pagi ini.

Allahyarham telah dirawat di Hospital Besar Pulau Pinang sejak enam bulan lalu akibat tekanan darah tinggi dan komplikasi buah pinggang. Kediaman Allahyarham di Taman Bersatu, Kulim, Kedah.

Allahyarham dilahirkan di Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda, Kedah pada 4 April 1942 dan mula mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Bukit Meryam dan Sekolah Melayu Kota Kuala Muda, Kedah sehingga darjah enam.

Kemudian belajar di Sekolah Agama Dairatul Maarif Al-Wataniah, Kepala Batas Seberang Perai (Sekolah yang diasaskan oleh Tuan Guru Hj. Ahmad Badawi, ayahanda kepada Dato’ Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Malaysia) hingga tahun 1965.

Allahyarham mula menulis ketika di sekolah agama, kira-kira dalam tahun 60-an. Arwah mula bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah dalam tahun 1965 dan bermulalah kesuburan bakat Allahyarham melalui penulisan cerpen di akhbar-akhbar terutama akhbar terbitan Utusan Melayu.

Allahyarham telah bersara daripada guru agama pada tahun 1997 dan kini menjadi Ketua Editor akhbar Utusan Pengguna (CAP) Pulau Pinang dan penulis kolum majalah. Allahyarham juga adalah bekas kolumnis Warta Darul Aman, akhbar rasmi kerajaan Negeri Kedah.

Dengan terhasilnya novel KAWIN-KAWIN, bererti sudah 25 novel yang ditulis oleh Allahyarham sejak tahun 60-an lagi di samping hampir 200 cerpen.

_________________

رحمه الله تعالى رحمة واسعة

Saturday, August 27, 2011

Apakah Ada Ucapan Sempena Menyambut Hari Raya Menurut Hadis?


Soalan:

Adakah ucapan: “Kulla ‘Am Wa Antum Bi Khayr” yang dibudayakan oleh masyarakat Arab dalam menyambut perayaan itu merupakan suatu sunnah?

Jawapan:

Setakat sumber-sumber yang dapat dirujuk, belumlah diketahui bila sejarah bermula dan tersebarnya di kalangan masyarakat Arab ucapan: “Kulla ‘Am Wa Antum Bi Khayr” yang maksudnya, “Semoga sepanjang tahun anda berkeadaan baik”, ketika menyambut perayaan. Zahir ucapan tersebut merupakan suatu doa memohon kebaikan kepada orang yang ditujukan ucapan itu, maka ianya adalah harus. Ianya bukan suatu sunnah Nabi SAW, bahkan tidak ada sebarang nas yang sahih tentang ucapan tahniah sempena perayaan yang diriwayatkan dari Nabi SAW. Bagaimanapun, tidak seharusnya sebarang adat budaya yang baik dan tidak bercanggah dengan syarak yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat dianggap sebagai bidaah yang salah.

Menurut Syeikh Sulaiman al-Jamal (m. 1204H) dalam Hasyiah ’ala Syarh Manhaj al-Tullab:

Kata al-Qamuli (m. 727H): Aku belum pernah melihat sebarang perbincangan oleh Ashabina (ulama Syafi’i) tentang ucapan tahniah sempena Hari Raya, tahun-tahun dan bulan-bulan tertentu, sebagaimana yang dilakukan oleh orang ramai. Tetapi al-Hafiz al-Munziri ada menukilkan dari al-Hafiz al-Maqdisi bahawa beliau ada menjawab tentang masalah tersebut, menurutnya; manusia masih terus berselisih mengenainya dan menurut pendapat saya, ianya adalah harus, tiada sunnah dan bidaah padanya.

Jawab Syeikhul-Islam Hafiz-‘Asrihi Ibn Hajar al-Haytami (m. 974H) mengenainya setelah beliau menelaah isu berkenaan bahawa ianya (ucapan tahniah) itu adalah disyariatkan. Beliau berhujah bahwa al-Bayhaqi (dalam al-Sunan al-Kubra) telah memperuntukkan satu bab tentangnya dengan kata beliau: ‘Bab apa yang diriwayatkan mengenai kata-kata orang antara satu sama lain pada Hari Raya (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك)’, dan beliau membawakan beberapa khabar dan athar yang daif, tetapi boleh dibuat hujah dengan himpunan kesemuanya itu dalam perkara seumpama demikian. Kemudian katanya: Juga dapat dibuat hujah berdasarkan keumuman ucapan tahniah kerana suatu nikmat yang diperoleh, atau suatu bencana yang terhindar, dengan disyariatkan sujud syukur dan ucapan takziah, dan juga dengan hadis yang terdapat dalam Sahihain; dari Kaab bin Malik RA dalam kisah taubat beliau kerana meninggalkan Perang Tabuk, bahawa beliau semasa diberitakan tentang penerimaan taubatnya dan berjalan menuju kepada Nabi SAW, Talhah bin ‘Ubaydillah telah mendapatkannya dan mengucapkan tahniah kepada beliau, dan Nabi SAW telah mengiyakannya.

Dalam syarah al-Ramli (m. 1004H) berhubung kata-kata (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك); yakni dan juga yang seumpama demikian daripada perkara yang telah menjadi adat dalam mengucapkan tahniah, di antaranya ialah berjabat tangan. Difahami daripada kata-kata beliau; “pada Hari Raya” bahawa ianya tidak dituntut pada hari-hari tasyriq dan juga hari selepas Hari Raya ‘Idil-Fitri, tapi telah menjadi adat manusia mengucapkan tahniah pada hari-hari tersebut, dan tiada sebarang halangan terhadapnya kerana maksudnya ialah untuk berkasih sayang dan melahirkan kegembiraan. Difahami daripada kata-kata beliau juga; “pada Hari Raya” bahawa waktu ucapan tahniah bermula dengan waktu fajar, bukannya dengan malam Hari Raya, berlawanan dengan apa yang ada dalam sesetengah catatan kitab.

Menurut al-Syabramallisi (m. 1087H) (حاشية على نهاية المحتاج للرملي): Dan ibarat al-Birmawi (m. 1106H); Ucapan tahniah sempena perayaan, bulan dan tahun itu adalah mustahab, dan dapat dikompromikan dengan tuntutan sujud syukur ketika memperolehi sesuatu nikmat, dan dengan kisah Kaab RA serta dua orang rakannya ketika dia diberitakan dengan penerimaan taubatnya kerana meninggalkan Perang Tabuk, dan ucapan tahniah Talhah RA kepadanya. Dan disunatkan menjawab ucapan tahniah dengan kata-kata seperti (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنْكُمْ), (أَحْيَاكُمْ اللَّهُ لِأَمْثَالِهِ) dan (كُلَّ عَامٍ وَأَنْتُمْ بِخَيْرٍ), tamat nukilan. Wallahu a’lam.

Imam al-Suyuti (m. 911H) dalam (وصول الأماني بأصول التهاني) telah cuba menghimpunkan riwayat-riwayat berkaitan ucapan tahniah sempena Hari Raya. Namun hanya satu ucapan saja yang ditemukan sama ada memberi atau membalas ucapan, iaitu ucapan: (تقبل الله منا ومنك) atau (تقبل الله منا ومنكم) maksudnya, ”Semoga Allah menerima (amal) daripada kami dan juga kamu”. Bagaimanapun, ucapan tersebut hanya diriwayatkan dari sahabat-sahabat Nabi SAW serta sebahagian tabiin, bukan dari Rasulullah SAW. Antara mereka ialah Wathilah, Abu Umamah al-Bahili, ’Abdullah bin Bisyr, ’Abd al-Rahman bin ’A’iz, Jubair bin Nufair, Khalid bin Ma’dan,’Umar bin ’Abd al-’Aziz, Yunus bin ’Ubaid, dan al-Hasan al-Basri. Dan ianya juga merupakan amalan ahli Madinah menurut Imam Malik.

Antara dalilnya:

أخرج زاهر بن طاهر في كتاب تحفة عيد الفطر، وأبو أحمد الفرضي في مشيخته بسند حسن عن جبير بن نفير قال: كان أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا التقوا يوم العيد يقول بعضهم لبعض: تقبل الله منا ومنكم.

Terjemahan:

Dikeluarkan oleh Zahir bin Tahir dalam kitab Tuhfah ’Id al-Fitr dan juga Abu Ahmad al-Fardhi dalam Masyyakhah beliau dengan sanad hasan dari Jubair bin Nufair katanya: ”Para sahabat Rasulullah SAW apabila bertemu pada Hari Raya mereka akan mengucapkan antara satu sama lain: (تقبل الله منا ومنكم)”.

Adapun ucapan (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ) yang ada diriwayatkan dari Rasulullah SAW, maka hadisnya adalah munkar menurut al-Hafiz Ibn ’Adi, seperti yang dinukilkan oleh al-Bayhaqi (al-Sunan al-Kubra, 6520). Begitu juga hadis sebaliknya yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW tidak menyukai ucapan tersebut kerana meniru Ahli Kitab, menurut al-Bayhaqi: Tidak sahih (al-Sunan al-Kubra, 6522).

Kesimpulannya, ucapan (تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ/ومنكم) adalah satu-satunya ucapan yang warid dari para salafussoleh yang dapat kita ucapkan sempena Hari Raya. Namun ucapan-ucapan lain yang baik atau doa-doa yang baik harus diamalkan. Dalam hadis yang sahih Nabi SAW menyebut: (كل كلمة طيبة صدقة) maksudnya, ”Setiap kalimah yang baik itu adalah sedekah” (HR al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad). Tidak sabitnya sebarang ucapan sempena perayaan dari Nabi SAW, seolah-olah baginda mahu memberi kelonggaran kepada umatnya dalam urusan berkaitan adat budaya masing-masing yang berbagai bangsa dan bahasa, selama ianya tidak bercanggah dengan syarak. Jika kita di Malaysia, sudah menjadi adat kebiasaan dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin’. Kebanyakan masyarakat Arab pula sudah biasa dengan ucapan: “Kulla ‘Am Wa Antum Bi Khayr”. Maka semuanya itu adalah harus lagi mustahab.

Wallahu a’lam.

Thursday, August 25, 2011

Mahu Dibukakan Semua Pintu-Pintu Syurga??


Orang-Orang Yang Akan Diseru Dari Kesemua Pintu-Pintu Syurga

Berdasarkan hadis-hadis yang telah ditelaah, berikut disenaraikan sejumlah amalan yang para pengamalnya akan memperoleh ganjaran yang besar dari Allah SWT, iaitu akan diseru kelak dari kesemua pintu-pintu syurga dan akan dapat masuk ke dalamnya melalui mana-mana pintu yang dikehendaki. Hadis yang lemah disenaraikan juga kerana topik ini adalah dalam bab fadha’il amal, selagi mana ianya bukan hadis palsu.

1. Menginfakkan sepasang harta di jalan Allah:

عَنْ أَبِى أُمَامَةَ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: وَمَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ فَإِنَّ لِلْجَنَّةِ ثَمَانِيَةَ أَبْوَابٍ يُدْخِلُهُ اللَّهُ الجَنَّةِ مِنْ أَىِّ الأَبْوَاب شَاءَ مِنْهَا لِلْجَنَّةَ.

[رواه أحمد بإسناد حسن. وفي رواية: من أي باب شاء من الجنة]

Terjemahan:

Dari Abu Umamah RA katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menginfakkan sepasang hartanya di jalan Allah, maka sesungguhnya syurga itu mempunyai lapan buah pintu, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang ia kehendaki masuk melaluinya ke dalam syurga”. (HR Ahmad, dengan sanad hasan)

* Sepasang harta yang dimaksudkan ialah seperti dua ekor kuda, dua pasang pakaian, dua guni makanan dan sebagainya.

2. Mengucapkan syahadah khas:

عن عُبَادَةُ بْنُ الصَّامِتِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ قَالَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَأَنَّ عِيسَى عَبْدُ اللَّهِ وَابْنُ أَمَتِهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ وَأَنَّ الْجَنَّةَ حَقٌّ وَأَنَّ النَّارَ حَقٌّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةِ شَاءَ.

[أحمد والبخارى ومسلم وابن حبان والنسائي. وفي رواية: من شهد أن لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ...]

Terjemahan:

Dari ‘Ubadah bin al-Samit RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berkata: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan bahawa Muhammad itu hamba dan rasul-Nya, dan bahawa ‘Isa itu hamba Allah dan anak hamba-Nya, kalimah-Nya yang dicampakkan kepada Maryam dan satu roh daripada-Nya, dan bahawa syurga itu hak, serta neraka itu hak, Allah akan memasukkannya dari mana-mana pintu syurga yang lapan yang ia kehendaki.” (Muttafaq ’alaih)

3. Tidak mensyirikkan Allah dan taat:

عن عبادة بن الصامت قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: من عبد الله لا يشرك به شيئًا وأقام الصلاة وآتى الزكاة وسمع وأطاع أدخله الله من أى أبواب الجنة شاء ولها ثمانية أبواب ومن عبد الله لا يشرك به شيئا وأقام الصلاة وآتى الزكاة وسمع وعصى فإن الله من أمره بالخيار إن شاء رحمه وإن شاء عذبه.

[أخرجه أحمد (5/325، رقم22820) وقال الهيثمى فى مجمع الزوائد (5/216): رواه أحمد والطبرانى ورجال أحمد ثقات. وابن عساكر (66/225). وأخرجه أيضًا البزار (7/149 ، رقم 2704)]

Terjemahan:

Dari ‘Ubadah bin al-Samit RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menyembah Allah tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, mendengar dan taat, Allah akan memasukkannya dari mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki, dan ianya mempunyai lapan buah pintu. Dan sesiapa yang menyembah Allah tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, mendengar dan derhaka, maka Allah akan menangani urusan dirinya secara pilihan, jika Dia kehendaki, Dia akan merahmatinya, dan jika Dia kehendaki, Dia akan mengazabnya.” (HR Ahmad, al-Tabarani, al-Bazzar & Ibn ’Asakir)

Dalam hadis yang lain dengan lafaz yang lebih pendek:

عن عقبة بن عامر الجهني رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من لقي الله تعالى لا يشرك به شيئا و لم يتند بدم حرام دخل الجنة من أي أبواب الجنة شاء.

[رواه الحاكم (8034) وقال الذهبي قي التلخيص : صحيح ((لم يتند بدم حرام)) : أى لم يصب دمًا حرامًا].

Terjemahan:

Dari ‘Uqbah bin ’Amir al-Juhani RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang bertemu Allah Taala tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, dan tidak pernah menumpahkan darah yang haram, ia akan masuk ke syurga dari mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki.” (HR al-Hakim, kata al-Zahabi: Sahih)

4. Berwuduk dengan sempurna dan bersyahadah khas:

عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه عن النبيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : ((مَا مِنْكُمْ مِنْ أحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُبْلغُ أَوْ فَيُسْبِغُ الوُضُوءَ، ثُمَّ يقول: أشهَدُ أنْ لا إلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، وَأشْهَدُ أنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ؛ إِلاَّ فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ)).

[رواه مسلم (345)، وفي رواية: ثَمَانِيَةُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ. والترمذي (50) وقَالَ: وَفِي الْبَاب عَنْ أَنَسٍ وَعُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ . وقال المنذري: رواه مسلم وأبو داود وابن ماجه، وقالا: فيحسن الوضوء. وزاد أبو داود: ثم يرفع طرفه إلى السماء ثم يقول، فذكره، ورواه الترمذي كأبي داود وزاد: اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ ، وَاجْعَلْنِي مِنَ المُتَطَهِّرِينَ، الحديث، وتكلم فيه].

Terjemahan:

Dari ‘Umar bin al-Khattab RA dari Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah ada salah seorang di antara kamu yang berwuduk, kemudian ia menyempurnakan wuduknya (dengan melebihkan basuhan pada anggota wuduk), lalu membaca: Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah semata-mata, yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, melainkan akan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang berjumlah lapan pintu, dan ia akan masuk dari pintu mana saja yang ia kehendaki.” (HR Muslim & al-Tirmizi)

Terdapat sebuah riwayat yang hampir sama dengan riwayat di atas, namun dengan sedikit pendetailan. Iaitu:

عن البراء عن النبيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: ما من عبد يقول حين يتوضأ بسم الله ثم يقول لكل عضو أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمدًا عبده ورسوله ثم يقول حين يفرغ اللهم اجعلنى من التوابين واجعلنى من المتطهرين إلا فتحت له ثمانية أبواب الجنة يدخل من أيها شاء فإن قام من فوره ذلك فصلى ركعتين يقرأ فيهما ويعلم ما يقول انفتل من صلاته كيوم ولدته أمه ثم يقال له استأنف العمل.

[رواه المستغفرى فى الدعوات وقال: حسن غريب، كذا في جمع الجوامع أو الجامع الكبير للسيوطي].

Terjemahan:

Dari al-Barra’ RA dari Nabi SAW bersabda: “Tidaklah ada seorang hamba yang berkata ketika berwuduk: BismiLlah (Dengan nama Allah), kemudian ia membaca bagi setiap anggota wuduknya: Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah semata-mata, yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, kemudian ia berdoa sesudah selesai: Ya Allah, jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang sentiasa bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang suci bersih, melainkan akan dibuka baginya lapan pintu syurga, dan ia akan masuk dari pintu mana saja yang ia kehendaki. Jika ia terus berdiri lalu bersolat dua rakaat, membaca dan memahami apa yang dibaca, ia akan keluar dari solatnya seolah-olah hari ia dilahirkan oleh ibunya. Kemudian akan dikatakan kepadanya: Mulakanlah beramal”. (HR al-Mustaghfiri, katanya: Hasan gharib)

* Hadis ini dalil adanya bacaan bagi setiap anggota wuduk.

5. Kematian tiga anak kecil:

عن عتبة بن عبدالله السلمي رضي الله عنه قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: ما من مسلم يموت له ثلاثة من الولد لم يبلغوا الحنث إلا تلقوه من أبواب الجنة الثمانية من أيها شاء دخل.

[رواه ابن ماجه بإسناد حسن]

Terjemahan:

Dari ‘Utbah bin ‘Abdullah al-Sulami RA katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah ada seorang muslim yang kematian tiga orang anak yang belum membuat dosa melainkan mereka akan menyambutnya kelak di pintu-pintu syurga yang lapan, dari pintu mana saja yang ia kehendaki ia boleh masuk melaluinya.” (HR Ibn Majah, dengan sanad hasan)

6. Memberi makan dan minum kepada orang yang lapar dan dahaga:

روي عن ابن جنيدة الفهرى عن أبيه عن جده عن النبيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: مَن سقى عطشانًا فأرواه، فتح الله عليه بابًا من الجنة، فقيل له: ادخل منه، ومن أطعم جائعًا فأشبعه وسقى عطشانًا فأرواه، فتحت له أبواب الجنة كلها، وقيل له: ادخل من أيها شئت.

[أخرجه الطبرانى (22/375، رقم 939) وضعف. قال الهيثمى (3/131) : فيه إسحاق بن عبد الله بن أبى فروة، وهو ضعيف].

Terjemahan:

Ada diriwayatkan dari Ibn Junaidah al-Fahri dari bapanya dari datuknya, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memberi minum orang yang dahaga dan melegakannya, Allah akan membuka baginya satu pintu daripada syurga, lalu akan dikatakan kepadanya: Masuklah melaluinya. Dan sesiapa yang memberi makan orang yang lapar dan mengenyangkannya serta memberi minum orang yang dahaga dan melegakannya, akan dibuka baginya kesemua pintu-pintu syurga, dan akan dikatakan kepadanya: Masuklah dari pintu mana saja yang kamu kehendaki.” (HR al-Tabarani, dengan sanad lemah)

7. Mati dengan beriman kepada Allah dan hari akhirat:

عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه عن النبيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: من مات يؤمن بالله واليوم الآخر قيل له ادخل الجنة من أى أبواب الجنة الثمانية شئت.

[أخرجه الطيالسى (ص 7 ، رقم 30) وأحمد (1/196، رقم 97) وأبو نعيم الأصبهاني في صفة الجنة (158) وابن مردويه. قال الهيثمى (1/49) : فى إسناده شهر بن حوشب. وهو صدوق كثير الإرسال والأوهام (التقريب رقم: 2830)، وله شاهد من حديث عبادة بن الصامت بنحوه (مسلم 1/57)، وصحّحه أحمد شاكر في تخريجه لأحاديث المسند، وقال: "شهر بن حوشب ثقة تكلم فيه بغير حجة". بل لم ينفرد به وقد تابعه حكيم والقاسم بن عبد الرحمن كما في صفة الجنة لأبي نعيم، لكن لفظ القاسم بن عبد الرحمن (160): من مات لا يشرك بالله شيئا فتح الله له أبواب الجنة، يدخل من أيها شاء، ولها ثمانية أبواب. ولفظ حكيم (161): من مات وهو يؤمن بالله، فإن للجنة ثمانية أبواب يدخل من أيها شاء].

Terjemahan:

Dari ‘Umar bin al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mati dalam beriman kepada Allah dan hari akhirat, akan dikatakan kepadanya kelak: Masuklah ke syurga dari mana-mana pintu-pintu syurga yang lapan yang kamu kehendaki.” (HR al-Tayalisi, Ahmad, Abu Nu’aym dan Ibn Marduyah)

8. Menjaga solat fardu dan menjauhi dosa besar:

عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنهما قال صعد رسول الله صلى الله عليه وسلم المنبر فقال: لا أقسم لا أقسم، ثم نزل فقال: أبشروا أبشروا من صلى الصلوات الخمس واجتنب الكبائر دخل من أي أبواب الجنة شاء. قال المطلب: سمعت رجلاً يسأل عبد الله بن عمرو: أسمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يذكرهن؟ قال: نعم عقوق الوالدين والشرك بالله وقتل النفس وقذف المحصنات وأكل مال اليتيم والفرار من الزحف وأكل الربا.

[أخرجه الطبرانى (13/8 ، رقم 3) والأصبهانى فى الترغيب والترهيب (2/573 ، رقم 1372) . قال المنذرى (2/197): فى إسناده مسلم بن الوليد بن العباس، لا يحضرنى فيه جرح ولا عدالة، وكذا قال الهيثمى (1/104)].

Terjemahan:

Dari ‘Abdullah bin ‘Amr RA katanya: Pernah Rasulullah SAW menaiki mimbar lalu bersabda: “Aku benar-benar bersumpah. Aku benar-benar bersumpah”. Kemudian baginda turun, lalu bersabda: “Berilah khabar gembira, berilah khabar gembira, sesiapa yang bersolat lima waktu dan menjauhi dosa-dosa besar, ia akan masuk dari mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki.” Seorang lelaki bertanya kepada ‘Abdullah bin ‘Amr RA: Apakah tuan dengar Rasulullah SAW menyebutnya? Jawab beliau: “Ya, iaitu menderhakai ibu bapa, mensyirikkan Allah, membunuh jiwa, menuduh wanita yang suci, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan memakan riba”. (HR al-Tabarani)

9. Syahid di jalan Allah:

عن عُتْبَةَ بْنَ عَبْدٍ السُّلَمِيَّ، وَكَانَ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم، أَنَّ رَسُولَ الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم ، قَالَ: الْقَتْلَى ثَلاَثَةٌ: رَجُلٌ مُؤْمِنٌ جَاهَدَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فِي سَبِيلِ الله، حَتَّى إِذَا لَقِيَ الْعَدُوَّ قَاتَلَهُمْ حَتَّى يُقْتَلَ، فذَلِكَ الشهيد الْمُمْتَحَنُ فِي جنة الله عَزَّ وَجَلَّ تَحْتَ عَرْشِهِ، لاَ يْفَضُلُهُ النَّبِيُّونَ إِلاَّ بفضل دَرَجَةِ النُّبُوَّةِ، وَرَجُلٌ فَرقَ عَلَى نَفْسِهِ مِنَ الذُّنُوبِ وَالْخَطَايَا جَاهَدَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فِي سَبِيلِ الله حَتَّى إذا لَقِيَ الْعَدُوَّ قَاتَلَ حَتَّى يُقْتَلَ، فَتِلْكَ مُمَضْمِضَةٌ تَحْتَ ذُنُوبِهِ وَخَطَايَاهُ إِنَّ السَّيْفَ مَحَّاءٌ لِلْخَطَايَا، وَأُدْخِلَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَ، فَإِنَّ لَهَا ثَمَانِيَةُ أَبْوَابٍ، وَلِجَهَنَّمَ سَبْعَةُ أَبْوَابٍ، بَعْضُهَا أَفْضَلُ مِنْ بَعْضٍ، وَرَجُلٌ مُنَافِقٌ جَاهَدَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فِي سَبِيلِ الله حَتَّى إِذَا لَقِيَ الْعَدُوَّ قَاتَلَ حَتَّى يُقْتَلَ، فَذَلِكَ فِي النَّارِ، إِنَّ السَّيْفَ لاَ يَمْحُو النِّفَاقَ.

[قال المنذري في الترغيب والترهيب (2126): رواه أحمد بإسناد جيد والطبراني وابن حبان في صحيحه واللفظ له والبيهقي. ورواه أَبُو يَعْلَى الْمَوْصِلِيُّ، الْمُمْتَحَنُ هُوَ الْمَشْرُوحُ صَدْرُهُ. والْمصمصة : هِيَ الْمُمَحِّصَةُ الْمُكَفِّرَةُ. وَفَرِقَ : خَافَ وَجَزَعَ].

Terjemahan:

Dari ‘Utbah bin ‘Abd al-Sulami RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang terbunuh itu ada tiga jenis: (pertama) seorang lelaki mukmin yang berjihad dengan diri dan hartanya di jalan Allah hinggalah apabila ia menemui musuh ia pun memerangi mereka sehingga terbunuh, maka itulah orang syahid yang dilapangkan dalam syurga Allah ‘azza wa jalla di bawah ‘arasy-Nya, para nabi tidak melebihinya melainkan dengan kelebihan darjat kenabian. (Kedua) seorang lelaki yang takut ke atas dirinya disebabkan dosa-dosa dan kesalahannya, yang berjihad dengan diri dan hartanya di jalan Allah hinggalah apabila ia menemui musuh ia pun memerangi mereka sehingga terbunuh, maka itu adalah penapis di bawah dosa-dosa dan kesalahannya, sesungguhnya pedang itu adalah penghapus dosa-dosa, dan ia akan dimasukkan dari mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. Sesungguhnya syurga itu mempunyai lapan buah pintu, dan neraka Jahannam pula mempunyai tujuh buah pintu, sebahagiannya lebih utama dari sebahagian yang lain. (Ketiga) seorang lelaki munafik yang berjihad dengan diri dan hartanya di jalan Allah hinggalah apabila ia menemui musuh ia pun memerangi mereka sehingga terbunuh, namun ia di dalam neraka, kerana sesungguhnya pedang itu tidak dapat menghapuskan sifat nifak/munafik”. (HR Ahmad, al-Tabarani, Ibn Hibban, al-Bayhaqi & Abu Ya’la)

10. Wanita yang taat Allah Taala dan suami:

عن عبد الرحمن بن عوف رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إذا صلت المرأةُ خمسَها وصامتْ شهرَها وحفظتْ فرجَها وأطاعتْ زوجَها قيل لها ادخلى الجنةَ من أى أبوابِ الجنةِ شئتِ.

[أخرجه أحمد (1/191 ، رقم 1661) والطبرانى فى الأوسط (8/339 رقم 8805)، قال المنذرى (3/33): رواته رواة الصحيح خلا ابن لهيعة وحديثه حسن فى المتابعات. وقال الهيثمى (4/306): فيه ابن لهيعة وحديثه حسن وبقية رجاله رجال الصحيح. وله شاهدان من حديث أبى هريرة وأنس. وحديث أبى هريرة : أخرجه ابن حبان في صحيحه (9/471، رقم 4163) ولفظه: إذا صلت المرأة خمسها وحصنت فرجها وأطاعت بعلها دخلت من أي أبواب الجنة شاءت. وأخرجه أيضًا الطبرانى فى الأوسط (5/34 ، رقم 4598). وحديث أنس : أخرجه البزار كما فى كشف الأستار (2/177 رقم 1463) قال الهيثمى (4/305): فيه داود بن الجراح، وثقه أحمد وجماعة، وضعفه جماعة، وبقية رجاله رجال الصحيح].

Terjemahan:

Dari ‘Abd al-Rahman bin ‘Awf RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Apabila seorang wanita itu menunaikan solat lima waktunya, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya, dan mentaati suaminya, akan dikatakan kepadanya: Masuklah syurga dari mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.” (HR Ahmad & al-Tabarani dengan sanad hasan)

11. Memaafkan pembunuh, membayar hutang tersembunyi dan amal 10 kali Surah Ikhlas:

روي عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم : ثَلاَثٌ منْ جَاءَ بِهِنَّ مَعَ الإِيمَانِ دَخَلَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَ، وَزُوِّجَ مِنَ الْحُورِ الْعِينِ حَيْثُ شَاءَ: مَنْ عَفَا عَنْ قاتله، وَأَدَّى دَيْنًا خَفِيًّا، وَقَرَأَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ مَكْتُوبَةٍ عَشْرَ مَرَّاتٍ: قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحْدٌ، قَالَ : فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ : أو إِحْدَاهُنَّ يَا رَسَولَ اللهِ؟ قَالَ: أو إِحْدَاهُنَّ.

[رواه أَبُو يَعْلَى الْمُوصِلِيُّ (3/332 ، رقم 1794)، وقال البوصيري في إتحاف الخيرة: هَذَا إِسْنَادٌ ضَعِيفٌ، أَبُو شَدَّادٍ مَجْهُولٌ مَا عَلِمْتُهُ بِعَدَالَةٍ وَلاَ جَرْحٍ، وَعُمَرُ بْنُ نَبْهَانَ مُجْمَعٌ عَلَى ضَعْفِهِ. وأخرجه أيضًا أبو نعيم فى الحلية (6/243) وقال: غريب، والطبرانى فى الأوسط (3/347، رقم 3361) وقال الهيثمى (10/102): رواه الطبراني في الأوسط وفيه عمر بن نبهان وهو ضعيف. وقال العراقي: أخرجه الطبراني في الأوسط في الدعاء بسند ضعيف]

Terjemahan:

Ada diriwayatkan dari Jabir bin ‘Abdullah RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Tiga perkara sesiapa yang dapat melakukannya bersama iman, ia akan masuk dari mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki, dan akan dikahwinkan dengan bidadari sebanyak yang ia kehendaki. (Pertama) orang yang memaafkan pembunuhnya (sebelum ia mati), (kedua) menunaikan hutang yang tersembunyi, dan (ketiga) membaca selepas setiap kali solat fardu 10 kali: Qul huwaLlahu ahad”. Lalu Abu Bakr RA bertanya: Atau salah satu daripadanya, ya Rasulullah? Jawab baginda: “Atau salah satu daripadanya”. (HR Abu Ya’la, Abu Nu’aym & al-Tabarani dalam al-Awsat, dengan sanad lemah)

12. Meyakini ucapan syahadah:

روي عن أبي بكر الصديق رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم: مَنْ شَهِدَ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ يُصَدِّقُ قَلْبُهُ لِسَانَهُ، دَخَلَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَ.

[أخرجه أبو يعلى (1/73 ، رقم 72) وقال البوصيري في إتحاف الخيرة: هَذَا إِسْنَادٌ ضَعِيفٌ ، لِضَعْفِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ زِيَادِ بْنِ أَنْعُمٍ الأَفْرِيقِيِّ، لَكِنَّ قِصَّةَ الشَّهَادَةِ لَهَا شَوَاهِدُ، وقال الهيثمى (2/251): فيه مالك بن قيس لم أجد من ذكره، وفيه عبد الرحمن بن زياد بن أنعم، وفيه كلام كثير، وقد وثقه بعض الناس. وأخرجه الطبراني في الدعاء بلفظ: من قال لا إله إلا الله يصدق قلبه لسانه دخل من أي أبواب الجنة الثمانية شاء].

Terjemahan:

Ada diriwayatkan dari Abu Bakr al-Siddiq RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, di mana hatinya membenarkan ucapan lidahnya, ia akan masuk dari mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki”. (HR Abu Ya’la & al-Tabarani dalam al-Du’a’, dengan sanad lemah)


Tuesday, August 16, 2011

Di Sebalik Pintu-Pintu Syurga…


Di Sebalik Pintu-Pintu Syurga…

حديث أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم، قَالَ: مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللهِ نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ يَا عَبْدَ اللهِ هذَا خَيْرٌ؛ فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلاةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلاَةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رضي الله عنه: بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي، يَا رَسُولَ اللهِ مَا عَلَي مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ، فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تلْكَ الأَبْوَابِ كُلِّهَا؟ قَالَ: نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ. أخرجه البخاري ومسلم

Terjemahan:

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menafkahkan sepasang hartanya di jalan Allah ia kelak akan diseru dari pintu-pintu syurga: Wahai hamba Allah, ini adalah suatu kebaikan (yang disediakan untukmu). Maka sesiapa yang dari kalangan ahli solat akan diseru dari pintu solat. Sesiapa yang dari kalangan ahli jihad akan diseru dari pintu jihad. Sesiapa yang dari kalangan ahli puasa akan diseru dari pintu rayyan. Sesiapa yang dari kalangan ahli sedekah akan diseru dari pintu sedekah”. Lalu Abu Bakr RA berkata: Aku menebusmu dengan bapa dan ibuku ya Rasulullah, tidaklah ada sebarang darurat ke atas orang yang diseru dari pintu-pintu tersebut (untuk masuk melalui kesemuanya), maka apakah ada orang yang akan diseru dari kesemua pintu-pintu itu? Jawab baginda: “Ya, dan aku berharap engkau termasuk dari kalangan mereka”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Sawanih dan Khawatir Berkaitan Hadis:

- Berdasarkan hadis di atas, menurut hemat saya, maksud pintu-pintu syurga dalam hadis berikut:

عن أبي هريرة رضي الله عنه أنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم ، قَالَ : (( إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ ، فُتِحَتْ أبْوَاب الجَنَّةِ ، وَغُلِّقَتْ أبْوَابُ النَّارِ ، وَصفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ )) متفقٌ عَلَيْهِ .

Terjemahan: Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Apabila tibanya Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dirantai”.

Maksud pintu-pintu syurga itu ialah pintu-pintu yang mewakili amalan-amalan seperti yang disebutkan dalam hadis di atas. Ada empat pintu yang disebutkan iaitu pintu solat, pintu jihad, pintu rayyan, dan pintu sedekah. Sebab itu kita dapati dalam Islam di dalam bulan Ramadan, ada solat tarawih yang dikerjakan sehingga 36 rakaat, ada peperangan jihad melawan orang kafir seperti dalam perang Badar dan Fath Makkah, ada puasa yang dikerjakan sebulan penuh dan ada sedekah yang disebut oleh Nabi SAW; “Sedekah yang paling afdal adalah dalam bulan Ramadan”. Maka, maksud dibuka pintu-pintu syurga itu ialah pintu-pintunya yang diwakili oleh amalan-amalan kebaikan ini yang dapat membawa pelakunya masuk ke dalam syurga.

- Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, yang dimaksudkan dengan amalan-amalan tersebut ialah amalan-amalan yang sunat, bukan amalan-amalan yang wajib, kerana ramai orang yang dapat mengerjakan semua amalan-amalan yang wajib, berlainan dengan amalan-amalan yang sunat, maka amat sedikit orang yang dapat mengerjakan semua amalan-amalan yang sunat itu. Kemudian ia akan diseru dari kesemua pintu-pintu syurga sebagai suatu penghormatan, namun ia akan memasukinya melalui satu pintu sahaja, iaitu barangkali pintu amalan yang mendominasi dirinya.

- Dalam banyak hadis disebut bahawa pintu-pintu syurga itu berjumlah 8 buah pintu, antaranya hadis:

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: فِي الْجَنَّةِ ثَمَانِيَةُ أَبْوَابٍ فِيهَا بَابٌ يُسَمَّى الرَّيَّانَ لَا يَدْخُلُهُ إِلَّا الصَّائِمُونَ. أخرجه البخاري

Terjemahan: “Dalam syurga itu ada lapan pintu, antaranya satu pintu yang dinamakan rayyan, tidak masuk melaluinya melainkan orang-orang yang berpuasa”.

- Maka apakah baki 4 buah pintu yang tidak dinyatakan dalam hadis di atas? Berdasarkan syarahan para ulama terhadap hadis di atas dan juga dalam topik ini, didapati tidak ada kesepakatan antara mereka mengenainya. Bagaimanapun, penulis akan menyenaraikannya mengikut mana dalil yang lebih kuat.

- Antaranya, pintu yang paling kanan (al-bab al-ayman) khusus untuk mereka yang masuk ke dalam syurga tanpa sebarang hisab mahupun azab. Dari kalangan umat Muhammad SAW terdapat jumlah 70,000 orang yang akan masuk melaluinya. Ia adalah pintu orang-orang yang bertawakkal, yang tidak meminta jampi, tidak berubat dengan besi panas dan tidak percaya ramalan (Muttafaq ‘alaih). Di antara mereka ialah Sayidina ‘Ukkasyah RA.

- Antaranya, pintu taubat. Hadisnya:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مسعود رَضِيَ الله عَنْه ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " لِلْجَنَّةِ ثَمَانِيَةُ أَبْوَابٍ: سعبة مُغْلَقَةٌ ، وَبَابٌ مَفْتُوحٌ لِلتَّوْبَةِ ، حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ نَحْوِهِ " . أي مِنْ مَغْرِبِهَا. رواه الحاكم [7671] وسكت عنه الذهبي في التلخيص وأبو يعلى والطبراني بإسناد جيد

Terjemahan: “Syurga itu mempunyai lapan pintu, tujuh ditutup dan satu pintu dibuka untuk taubat, sehinggalah terbit matahari dari arahnya (sebelah barat)”.

- Antaranya, pintu zikir. Ini disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari dan mengisyaratkan sumbernya kepada Sunan al-Tirmizi. Hadis yang ditemukan dalam Sunan al-Tirmizi berbunyi demikian:

عَنْ قَيْسِ بْنِ سَعْدِ بْنِ عُبَادَةَ أَنَّ أَبَاهُ دَفَعَهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْدُمُهُ قَالَ فَمَرَّ بِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَدْ صَلَّيْتُ فَضَرَبَنِي بِرِجْلِهِ وَقَالَ: أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى بَابٍ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ؟ قُلْتُ: بَلَى، قَالَ: لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ. رواه الترمذي وقال: حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ. ورواه أحمد والطبراني إلا أنه قال: ألا أدلك على كنز من كنوز الجنة، عن معاذ بن جبل رضي الله عنه. وإسناده صحيح إن شاء الله.

Terjemahan: Dari Qais bin Sa‘ad bin ‘Ubadah RA bahawa bapanya telah menyerahkannya kepada Nabi SAW agar berkhidmat kepada baginda. Kata beliau: Maka Nabi SAW pernah berjalan melaluiku sedang aku telah pun bersolat, lantas baginda menggerakkan aku dengan kakinya dan bersabda: “Mahukah aku tunjukkan kamu suatu pintu daripada pintu-pintu syurga?” Jawabku: Ya. Sabda baginda: “لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ”.

- Antaranya, pintu berbuat kebajikan kepada ibu bapa. Pintu ini tidak disebut oleh mana-mana rujukan yang dirujuk oleh penulis. Namun, dalilnya hadis berikut:

عن أبي الدرداء رضي الله عنه أن رجلا أتاه فقال إن لي امرأة وإن أمي تأمرني بطلاقها فقال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: الوالد أوسط أبواب الجنة فإن شئت فأضع هذا الباب أو احفظه. رواه الترمذي وقال: حديث صحيح، وابن ماجه والحاكم وقال: هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه، وأقره الذهبي [2799]، وفي رواية له [7251]: الوالدة أوسط أبواب الجنة فأضع ذلك أو احفظه.

Terjemahan: Dari Abu al-Darda’ RA bahawa seorang lelaki telah datang kepadanya dan berkata: Saya ada seorang isteri sedangkan ibu saya menyuruh saya supaya menceraikannya. Maka jawab beliau: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: “Bapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Maka jika kamu suka, tinggalkanlah pintu tersebut atau jagalah ia”. Dalam suatu riwayat al-Hakim: “Ibu adalah pintu syurga yang paling tengah. Maka tinggalkanlah pintu tersebut atau jagalah ia”.

- Demikian lapan pintu syurga sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis yang sabit. Setiap satu amalan yang mewakili pintu-pintu syurga tersebut dikukuhkan oleh banyak dalil-dalil yang lain sebagai amalan-amalan yang dapat membawa para pengamalnya masuk ke dalam syurga.

- Antara pintu-pintu lain yang disebut oleh para ulama, namun tidak dapat dimasukkan ke dalam senarai di atas kerana ketiadaan dalil yang kuat, antaranya disebut oleh Ibn Battal al-Maliki:

1. Pintu orang-orang yang mampu menahan kemarahan dan memaafkan manusia (باب الكاظمين الغيظ والعافين عن الناس). Dalilnya hadis mursal:

روى أحمد بن حنبل عن الحسن مرسلا، قال : "إن الله فى الجنة بابًا لا يدخله إلا من عفا عن مظلمة ".

2. Pintu orang-orang yang bersabar kerana Allah (باب الصابرين لله).

3. Pintu orang-orang yang menjaga kemaluannya (باب الحافظين فروجهم والحافظات)

Kemudian Ibn Hajar menambah:

4. Pintu haji. Kata beliau: (وبقي من الأركان الحج فله باب بلا شك). Namun, pendapatnya itu tidak disertakan dengan dalil. Barangkali beliau atau orang yang mengatakannya demikian mengkiaskannya dengan rukun Islam yang lima. Dengan mengambil kira hadis-hadis tentang kelebihannya yang besar seperti; “Haji yang mabrur itu tidak ada ganjaran baginya melainkan syurga”.

5. Pintu ilmu (باب العلم). Namun menurut hemat saya, ilmu tidak termasuk dalam bab amal kerana pintu-pintu syurga itu mewakili amalan-amalan tertentu.

Manakala al-Qurtubi menyebut dalam al-Tazkirah bahawa pintu-pintu syurga itu lebih dari lapan buah. Beliau menyenaraikannya sehingga sebanyak 16 buah pintu tanpa mengambil kira dalil-dalilnya, sama ada kuat ataupun tidak. Pendapat beliau ini dibantah oleh Ibn Kathir (al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim). Namun disepakati oleh al-‘Ayni dalam ‘Umdah al-Qari. Antara yang disebut beliau sebagai tambahan ialah:

6. Pintu orang-orang yang redha (باب الراضين).

7. Pintu silaturrahim (باب الصلة).

8. Pintu umrah (باب العمرة).

9. Pintu dhuha (باب الضحى). Dalilnya hadis daif berikut:

ذكر الحاكم والآجري أبو الحسن في كتاب النصيحة عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : "إن في الجنة باباً يقال له باب الضحى فإذا كان يوم القيامة ينادي مناد أين الذين كانوا يداومون على صلاة الضحى؟ هذا بابكم فادخلوه".

Antara yang disebut oleh Al-‘Allamah al-‘Ayni pula sebagai tambahan ialah:

10. Pintu zakat (باب الزكاة).

11. Pintu gembira (باب الفرح). Dalilnya hadis berikut:

روي في الفردوس عن ابن عباس يرفعه: للجنة باب يقال له الفرح لا يدخل منه إلا مفرح الصبيان.

12. Pintu akhlak yang baik (باب الخلق الحسن). Dalilnya hadis berikut:

ذكر في كتاب التخبير للقشيري عن النبي صلى الله عليه وسلم: الخلق الحسن طوق من رضوان الله في عنق صاحبه. والطوق مشدود إلى سلسلة من الرحمة والسلسلة مشدودة إلى حلقة من باب الجنة حيث ما ذهب الخلق الحسن جرته السلسلة إلى نفسها حتى يدخله من ذاك الباب إلى الجنة.

- Sebahagian pintu-pintu lain yang disebutkan ini sebenarnya dapat dikategorikan atau digabungkan dengan salah satu pintu dari pintu-pintu syurga yang lapan seperti yang telah dinyatakan di atas. Seperti pintu dhuha misalnya, dapat disekalikan dengan pintu solat. Pintu silaturrahim pula dapat disatukan dengan pintu berbuat kebajikan kepada ibu bapa. Pintu zakat dapat disekalikan dengan pintu sedekah. Dan demikian lain-lainnya.

- Al-Hafiz Ibn Hajar dan al-‘Allamah al-‘Ayni berpendapat harus dikatakan bahawa kesemua pintu-pintu yang dinyatakan tersebut adalah terletak selepas dari pintu-pintu syurga yang lapan, atau berada di dalam pintu-pintu syurga yang lapan. Ertinya ada ‘main gates’ dan ada ‘second gates’. Wallahu a’lam.

- Sebagai rumusannya, amalan-amalan yang dinyatakan tersebut merupakan amalan-amalan yang istimewa yang harus diambil berat dan diberi tumpuan terhadapnya. Tanpa menafikan banyak amalan-amalan lain yang dijanjikan kepada pengamalnya balasan syurga, yang berjumlah lebih dari 100 amalan seperti yang telah dihimpunkan oleh al-‘Allamah al-Sayyid ‘Abdullah al-Ghumari RAH dalam kitabnya ‘Tamam al-Minnah bi Bayan al-Khisal al-Mujibah lil Jannah’. Tidak menjadi halangan jika seseorang itu cenderung atau didominasi oleh suatu amalan daripada amalan-amalan berkenaan asalkan ia ikhlas serta telah menunaikan lain-lain tanggungjawabnya yang wajib. Yang penting ialah ia dapat masuk ke dalam syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT menjadikan kita dari kalangan ahlinya. Amin.

Saiz setiap pintu dan jarak antara satu pintu dengan satu pintu yang lain

Mengenai saiz keluasan setiap pintu syurga ada dinyatakan dalam beberapa riwayat hadis yang berbeza antara satu sama lain. Namun dalam sebuah hadis sahih disebut:

إِنَّ مَا بَيْنَ الْمِصْرَاعَيْنِ مِنْ مَصَارِيعِ الْجَنَّةِ لَكَمَا بَيْنَ مَكَّةَ وَهَجَرٍ أَوْ كَمَا بَيْنَ مَكَّةَ وَبُصْرَى [متفق عليه].

Terjemahan: “Sesungguhnya di antara dua sisi daripada sisi-sisi pintu-pintu syurga itu adalah sepertimana di antara Makkah dengan Hajar (sebuah bandar di Bahrain), atau sepertimana di antara Makkah dengan Busra (sebuah bandar di Syam)”. * Jarak di antara Makkah dan Bahrain adalah sekitar 1,200 km. Jarak di antara Makkah dan Busra juga lebih kurang sama.

Manakala mengenai jarak antara satu pintu dengan satu pintu yang lain pula ada dinyatakan dalam sebuah hadis:

إن للجنة ثمانية أبواب ما منهما بابان إلا يسير الراكب بينهما سبعين عاما [أحمد والطبراني]

Terjemahan: “Sesungguhnya syurga itu mempunyai lapan buah pintu, tidaklah ada di antara kedua-dua buah pintu itu melainkan seumpama perjalanan seorang penunggang kuda di antara kedua-duanya selama 70 tahun”.

Wallahu a’lam.

Rujukan

- Syarah Sahih al-Bukhari – Ibn Battal

- Fath al-Bari – Ibn Hajar

- Umdah al-Qari – al-‘Ayni

- Al-Targhib wa al-Tarhib – al-Munziri

- Sifah al-Jannah – Abu Nu‘aim al-Asbahani.

- Al-Tazkirah – al-Qurtubi

- Hadi al-Arwah – Ibn al-Qayyim

- al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim - Ibn Kathir.