Pages

Friday, April 27, 2012

Imam Arsalan bin Ya’qub al-Dimasyqi (470-550 H)


Oleh: Ustaz Raja Mukhlis (sumber)

Latar Belakang
 
Beliau adalah Sheikh Abu al-Najm Arsalan bin Ya’qub bin ‘Abd al-Rahman bin Abdillah al-Ja’bari al-Dimasyqi. Beliau dilahirkan di kampung Ja’bar di persisiran pantai Furat, di Bandar Al-Riqqah Suriyyah, pada tahun 470 Hijriyyah. Beliau adalah antara para arifin yang terkenal. Nama “Arsalan” adalah dalam Turki yang bermaksud Singa. Beliau juga dikenali sebagai Sheikh Raslan Al-Turkumani.

Beliau hidup pada zaman Perang Salib. Ayah beliau sendiri adalah salah seorang tentera yang terlibat dalam peperangan dengan penjajah di Ja’bar. Kemudian, beliau pergi ke Damsyiq untuk meneruskan kehidupannya dan menyara keluarganya. Di awal usia Sheikh Arsalan, belau banyak beri’tikaf di sebuah masjid kecil di Damsyiq dan terlibat dengan aktiviti golongan sufi di sana. Beliau bersahabat dan mengambil tarbiah daripada Abu ‘Amir al-Mu’addib dan mengambil ilmu tasawuf daripada beliau. Kemudian, beliau mendiami zawiyyah (tempat ibadah) dalam beberapa waktu.

Perang Salib

Pada zaman itu, Syria terlibat dalam peperangan Salib. Tentera Salib sudah hampir ke pintu-pintu bandar Damsyiq pada ketika itu. Namun, Nuruddin al-Syahid sempat mengusir para tentera musuh daripada mencerobohi Damsyiq.

Ketika dalam suasana peperangan, Sheikh Arsalan berpindah daripada hidup di dalam masjid menuju ke perbatasan para mujahidin untuk mempertahankan negara daripada serangan para Tentera Salib pada ketika itu.

Kewafatan

Beliau seterusnya fokus dalam bidang pentarbiahan sehinggalah usia beliau mencapai 95 tahun. Pada tahun 550 Hijriyyah (1155 Masihi) (dalam riwayat lain 560 H/1164 M), beliau meninggal dunia, lalu disemadikan di tanah perkuburan yang terkenal yang dinamakan dengan nama beliau iaitu Turbah al-Sheikh Arsalan di Damsyiq.

Karya Tauhid Arsalan

Beliau mempunyai sebuah risalah yang sangat ringkas tetapi isi kandugannya sangat tinggi maknanya. Risalah Tauhid* tersebut disyarah oleh beberapa ulama’ besar seperti Sheikhul Islam al-Qadhi Zakaria al-Anshari al-Syafi’e, al-Allamah Shihab al-Din al-Thibi, Sheikh ‘Ala al-Din bin Shadafah dan Sheikh Abdul Ghani al-Nabulsi RA. Sheikh Arshad al-Banjari ada menterjemahkan syarah Sheikh Zakaria al-Anshari ke dalam bahasa Melayu (iaitu dalam kitab jawi) dengan beberapa catatan**.

______________
* Kitab ini di setengah pondok pesantren turut dikenali sebagai kitab Hikam Arsalan
** Judulnya "Fathur Rahman", telah ditransliterasikan kepada tulisan rumi dan diterbitkan oleh Jahabersa (lihat sini)

Takhrij Hadis 'Bohong Sunat'


Soalan:

Assalamu 'alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Kalau ustaz ada kelapangan, nak tnya brknaan hadith ni:

كل الكذب يكتب على ابن آدم إلا ثلاث , الرجل يكذب فى الحربِ , فإن الحربَ خدعة , والرجل يكذب على المرأة فيرضيها , والرجل يكذب بين الرجلين ليصلح بينهما

Riwayat Ibnu Sunni.

Mohon penjelasan dari ustaz berkenaan takhrij dan penjelasan hadith ini. Saya search dalam Maktabah Syamilah, ada jumpa Albani mendhaifkannya. Mohon pencerahan.

Jawapan:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Untuk manfaat semua, terlebih dahulu diberikan terjemahan teks hadis tersebut, iaitu Sabda Rasulullah SAW:

“Setiap dusta itu akan ditulis ke atas anak Adam kecuali tiga perkara; seorang lelaki yang berdusta dalam peperangan, dan sesungguhnya peperangan itu adalah suatu tipu helah, seorang lelaki yang berdusta kepada isterinya supaya ia meraih redhanya, dan seorang lelaki yang berdusta di antara dua orang lelaki untuk mendamaikan antara kedua-duanya”.

Berdusta adalah satu dosa besar, namun tiga perkara itu dikecualikan, di mana sekiranya berdusta ia tidak dianggap sebagai satu dosa. Hadis ini menunjukkan adanya dusta yang diharuskan, atau apa yang dikatakan orang ‘bohong sunat’ – jika istilah ini sesuai digunapakai - .

Tetapi bagaimana status hadis tersebut??

Perbincangan lanjut adalah menurut riwayat-riwayat berikut;

1. Riwayat al-Nuwas bin Sam‘an RA

Hadis yang dipertanyakan berkenaan diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir, Ibn al-Sunni dalam Amal Yawm wa Laylah dan al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq dari al-Nuwas bin Sam‘an RA. Al-Suyuti dalam al-Jami al-Saghir (6276) mengisyaratkannya sebagai hasan. Manakala al-Albani menyatakannya sebagai daif.

Kata al-Haythami (8/81): “Terdapat padanya, Muhammad bin Jami‘ al-‘Attar, seorang yang daif”. Demikian juga menurut al-Busiri dalam Ithaf al-Khirah al-Maharah (3214), meskipun Ibn Hibban menyenaraikan Muhammad bin Jami‘  dalam kalangan para perawi thiqah.

2. Riwayat Umm Kulthum binti ‘Uqbah RA

Hadis yang semakna walaupun berbeza lafaz, dan lebih kuat sanadnya diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya (4923) dari Umm Kulthum binti ‘Uqbah RA.

عَنْ أُمِّ كُلْثُومٍ بِنْتِ عُقْبَةَ قَالَتْ مَا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يُرَخِّصُ فِى شَىْءٍ مِنَ الْكَذِبِ إِلاَّ فِى ثَلاَثٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ: « لاَ أَعُدُّهُ كَاذِبًا الرَّجُلُ يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ يَقُولُ الْقَوْلَ وَلاَ يُرِيدُ بِهِ إِلاَّ الإِصْلاَحَ، وَالرَّجُلُ يَقُولُ فِى الْحَرْبِ، وَالرَّجُلُ يُحَدِّثُ امْرَأَتَهُ وَالْمَرْأَةُ تُحَدِّثُ زَوْجَهَا ».

Kata al-Albani: Sahih. Bahkan ia juga diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya (4717), tapi tiada lafaz Nabi SAW dalam riwayatnya, iaitu kata Umm Kulthum RA:
وَلَمْ أسْمَعْهُ يُرْخِّصُ في شَيْءٍ مِمَّا يَقُولُهُ النَّاسُ إلاَّ في ثَلاثٍ ، تَعْنِي : الحَرْبَ ، وَالإِصْلاَحَ بَيْنَ النَّاسِ ، وَحَدِيثَ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ ، وَحَدِيثَ المَرْأةِ زَوْجَهَا .

3. Riwayat Asma’ binti Yazid RA

Hadis yang semakna juga turut diriwayatkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya (1862@ 2064) dari Asma’ binti Yazid RA. Lafaznya, sabda Rasulullah SAW:
لَا يَحِلُّ الْكَذِبُ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ؛ يُحَدِّثُ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ لِيُرْضِيَهَا، وَالْكَذِبُ فِي الْحَرْبِ، وَالْكَذِبُ لِيُصْلِحَ بَيْنَ النَّاسِ.

Menurut al-Tirmizi:
Kata Mahmud - salah seorang perawi - dalam hadis beliau: (لَا يَصْلُحُ الْكَذِبُ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ). Hadis ini hasan. Kami tidak ketahui dari hadis Asma’ melainkan dari hadis Ibn Khuthaym. Dawud bin Abi Hind meriwayatkan hadis ini dari Syahr bin Hawsyab dari Nabi SAW (yakni secara mursal) dan tidak menyebut padanya; ... dari Asma’. Ini diberitakan kepada kami oleh Muhammad bin al-Ala’, diberitakan kepada kami oleh Ibn Abi Za’idah dari Dawud. Dalam bab yang sama, ada riwayat dari Abu Bakr RA”.

Meskipun al-Albani mendaifkan riwayat al-Nuwas, namun beliau menghukum riwayat Asma’ ini sebagai sahih, dengan mengecualikan kata-kata: (ليرضيها). Pengecualian al-Albani tersebut menurut penulis, adalah tidak perlu kerana banyak jalan riwayat yang menyebutnya atau menyebut kalimah yang seertinya. Manhaj al-Albani yang berbeza-beza semestinya difahami oleh mereka yang menelaah karya-karyanya.

Riwayat Asma’ RA juga diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Jarir al-Tabari, al-Tabarani, Abu Yala dan lain-lain lengkap dengan sabab al-wurudnya. Kata al-Haythami dalam Majma al-Zawa’id (10354): Terdapat padanya, Syahr bin Hawsyab. Ada yang menthiqahkan beliau, namun terdapat kelemahan padanya. Dan baki para perawinya adalah thiqah”.

4. Riwayat Abu Bakr RA

Riwayat Abu Bakr RA ini berdasarkan kata-kata al-Tirmizi di atas tadi: Dalam bab yang sama, ada riwayat dari Abu Bakr RA”.

Riwayat ini pada zahirnya, menyokong riwayat Asma’ di atas. Ia menjelaskan sebab mengapa al-Tirmizi menyatakan darjat hadis tersebut sebagai hasan, walaupun sanad riwayat Asma’ mengandungi sedikit masalah kecil.

Bagaimanapun, Syeikh al-Mubarakpuri dalam Tuhfah al-Ahwazi tidak dapat mentakhrijkan riwayat Abu Bakr RA ini. Meskipun begitu, kata-kata al-Tirmizi itu merupakan suatu fakta yang menunjukkan kewujudan riwayat berkenaan dan beliau sendiri telah menemukannya, walaupun kita pada masa ini belum lagi dapat menjumpainya.

5. Riwayat Abu Ayyub al-Ansari RA

Riwayat Abu Ayyub al-Ansari RA ini direkodkan oleh Abu ‘Awanah dalam Musnadnya (6545) dengan jalan riwayatnya sendiri. Lafaznya:
لا يحل الكذب إلا فى ثلاثة؛ الرجل يكذب امرأته يرضيها بذلك، والرجل يمشى بين رجلين يصلح بينهما، والحرب خدعة.
Lihat al-Jami al-Kabir (17553).

6. Riwayat Abu al-Tufayl RA

Riwayat Abu al-Tufayl RA ini direkodkan oleh Ibn Jarir al-Tabari. Lafaznya:
لا يصلح الكذب إلا فى إحدى ثلاث؛ رجل كذب امرأته لينصلح خُلُقها، ورجل كذب ليصلح بين امرأين مسلمين، ورجل كذب فى خديعة حرب، فإن الحرب خدعة.
Lihat al-Jami al-Kabir (17878).

7. Riwayat ‘A’isyah RA

Riwayat ‘A’isyah RA ini direkodkan oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Najjar. Lafaznya:
لا يصلح الكذب إلا فى ثلاث؛ يحدث الرجل امرأته ليرضيها، والكذب فى الحرب، والكذب ليصلح بين الناس.
Lihat al-Jami al-Kabir (17879).

Ulasan:

Kesemua riwayat di atas, walaupun berbeza-beza sedikit lafaz-lafaznya, menjelaskan bahawa hanya ada tiga jenis dusta sahaja yang diharuskan oleh syarak, iaitu;

  1. harus berdusta dalam peperangan, kerana peperangan itu adalah suatu tipu helah.
  2. harus suami berdusta kepada isteri (juga sebaliknya) supaya ia meraih redhanya.
  3. harus berdusta untuk mendamaikan antara dua pihak yang berselisihan.

Maka, tujuh jalan riwayat yang mengandungi makna hadis yang sama ini telah membuktikan kekuatan makna hadis yang dipertanyakan dan dapat dijadikan sebagai hujah, dan tentunya ia tidak dapat dihukum sebagai lemah. Walaupun status riwayat-riwayat tersebut berbagai-bagai antara daif, hasan dan sahih.

Bagi menjelaskan isu hadis ini, Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim (8/331) menukilkan dari al-Qadhi ‘Iyadh katanya: Tiada khilaf tentang keharusan berdusta dalam bentuk-bentuk sebegini.

Namun, ulama berbeza pendapat mengenai dusta yang harus ini. Sebahagian ulama berpendapat, ia adalah berbentuk mutlak/umum. Sebahagian yang lain pula, antaranya al-Tabari berpendapat, tidak harus berdusta dalam bentuk apa pun dari segi asalnya, dan maksud keharusan berdusta tersebut ialah melakukan penyembunyian (tawriyah) dan menggunakan kata-kata samar, bukannya dusta sebenar, seperti misal ia menjanjikan isterinya layanan baik dan pakaian tertentu, tapi ia berniat jika Allah mentakdirkannya demikian.. 

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan dari Imam al-Nawawi, katanya: “Zahirnya, adalah mengharuskan hakikat dusta itu sendiri dalam ketiga-tiga perkara berkenaan, akan tetapi kata-kata yang samar (ta‘ridh) adalah lebih utama”.

Demikian takhrij dan penjelasan ringkas bagi isu yang terkandung dalam hadis berkenaan.

Wallahu a‘lam.


Saturday, April 21, 2012

Secebis Kisah Syeikh Makin al-Din al-Asmar

 

Menyentuh bicara kitab Taj al-‘Arus al-Hawi Li Tahzib al-Nufus karya Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari (w. 709H), ada seorang tokoh yang beberapa kali diulang namanya oleh Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari di dalam kitab berkenaan dan mungkin jarang didengari namanya, iaitu Syeikh Makin al-Din al-Asmar.

Beliau dianggap salah seorang daripada tujuh wali abdal (h. 9). Berikut adalah nukilan-nukilan yang berhubung kait dengan Syeikh Makin al-Din al-Asmar dalam kitab Taj al-‘Arus berkenaan.

Kata Syeikh Makin al-Din al-Asmar (h. 9):
“Pada permulaan perjalanan kerohanianku aku hanya berkerja menjahit dan mencari rezeki dengannya. Dan aku sering menghitung percakapanku pada waktu siang. Apabila tiba waktu petang aku akan menghisab diriku. Maka aku dapati percakapanku sedikit. Percakapan yang aku dapati mengandungi kebaikan, aku akan memuji Allah dan bersyukur ke atasnya. Dan percakapan yang aku dapati mengandungi selain dari itu, aku akan bertaubat kepada Allah dan beristighfar kepada-Nya”.
Demikianlah sehingga beliau menjadi wali abdal.

Pernah suatu hari, ada seorang tua di sisi beliau yang berusia kira-kira 90 tahun berkata kepadanya:
“Hai tuan, aku mengadu kepadamu banyaknya dosa yang dilakukan”.
Lalu balas beliau kepadanya:
“Ini sesuatu yang kami tak kenal. Aku tidak tahu bahawa aku pernah melakukan satu dosa sekalipun”. (h. 38)

Syeikh Makin al-Din al-Asmar pernah berkata (h. 40):
“Aku pernah bermimpi melihat seorang bidadari yang berkata:
Aku untukmu dan kamu untukku.
Lalu selama kira-kira dua atau tiga bulan kemudian aku tidak mampu mendengar kata-kata seorang makhluk pun melainkan aku akan termuntah, dek kerana kemanisan kata-kata bidadari itu”.

Kata Syeikh Makin al-Din al-Asmar (h. 75):
“Suatu ketika di Iskandariyyah aku pernah melihat satu ‘matahari’ telah terbit bersama-sama matahari yang ada, lalu aku berasa takjub dengan keadaan itu, lantas aku pun mendekatinya. Rupa-rupanya seorang pemuda yang baru tumbuh jambangnya. Cahayanya telah mengatasi cahaya matahari. Lalu aku pun memberi salam kepadanya, dan dia pun membalas salam tersebut.
Aku bertanya kepadanya:
Dari mana?
Jawab pemuda tersebut:
Saya telah bersolat subuh di Masjid al-Aqsa, di Baitul Maqdis, dan saya akan bersolat zohor di tempat kamu ini, dan solat asar di Makkah, serta solat maghrib di Madinah.
Lantas aku mempelawanya:
Jadilah tetamu saya?
Namun, balasnya:
Tiada kesempatan untuk itu.
Kemudian beliaupun mengucapkan salam perpisahan buatku dan beredar pergi”.

 Cerita Syeikh Makin al-Din al-Asmar (h. 81):
“Aku pernah melihat di Iskandariyyah seorang hamba bersama-sama dengan tuannya, dan di atas kedua-dua mereka terdapat satu ‘panji’ yang menyelubungi antara langit dan bumi.
Lalu aku berkata:
Oh, panji ini kepunyaan si-tuan ataupun si-hamba?
Lantas aku pun mengikuti mereka berdua, sehinggalah tuannya membelikan untuknya satu keperluan serta berpisah dengannya. Tatkala si-hamba beredar, panji tadi pun pergi bersamanya. Maka tahulah aku bahawa beliau adalah seorang wali daripada wali-wali Allah Taala. Lantas akupun pergi berjumpa dengan tuannya, dan aku berkata kepadanya:
Adakah engkau mahu menjualkan kepadaku hamba ini?
Lalu balasnya:
Mengapa?
Beliau terus mendesakku sehinggalah aku menceritakan kepada beliau keadaan sebenarnya. Lalu katanya:
Hai tuan, apa yang engkau minta itu, aku lebih utama berbuat begitu.
Dan beliau pun memerdekakannya. Hamba tersebut adalah seorang wali yang besar”.

Siapa Syeikh Makin al-Din al-Asmar?

Beliau adalah sahabat seperguruan wali hebat, Syeikh Abu al-‘Abbas al-Mursi (w. 686H), dan kedua-duanya merupakan guru kepada Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari. Nama sebenarnya ialah ‘Abdullah bin Mansur (w. 692H).

Beliau bukan sekadar tokoh sufi, bahkan tokoh dalam bidang ilmu qiraat. Beliau adalah seorang hafiz al-Quran dan pakar dalam qiraat tujuh dan digelar sebagai Syaykh al-Qurra’. Al-Hafiz al-Zahabi dalam kitab Tarikh al-Islam menggelarnya Muqri’ al-Iskandariyyah. Bahkan al-Hafiz al-Jazari dalam kitab Ghayah al-Nihayah fi Tabaqat al-Qurra’ menggelarnya Muqri’ al-Diyar al-Misriyyah. Beliau berumur panjang dan ramai yang mempelajari qiraat daripada beliau. Beliau juga seorang ahli hadis dan meriwayatkan hadis daripada murid-murid al-Hafiz al-Sillafi.

Guru besar beliau, Imam Abu al-Hasan al-Syazili (w. 656H) menyatakan beliau adalah salah seorang daripada tujuh wali abdal. Kisah-kisah beliau yang lain turut dirakamkan oleh Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari dalam karya agungnya; Lata’if al-Minan.

Perlu diingat, zaman kerohanian yang hebat ini merupakan zaman hidupnya Syeikh Ibn Taymiyyah. Beliau sendiri pada mulanya banyak menelaah karya-karya Syeikh Ibn ‘Arabi, terutama kitab al-Futuhat al-Makkiyyah.



Friday, April 20, 2012

Dr. Zulkifli al-Bakri dan Kitab Bahjah al-Nufus


Apabila menyebut nama kitab Bahjah al-Nufus hanya ada satu sahaja kitab yang masyhur diketahui umum iaitu kitab karangan Imam Ibn Abi Jamrah yang mensyarahkan hadis-hadis dari kitab Sahih al-Bukhari. Itu yang disangkakan apabila menerima jemputan dari Ustaz Shuhadak untuk menghadiri diskusi kitab Bahjah al-Nufus oleh al-Fadhil Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di Seremban semalam.



Rupa-rupanya, kitab Bahjah al-Nufus itu bukanlah syarah bagi hadis-hadis Sahih al-Bukhari, tetapi ialah ’syarah’ kepada sebuah kitab Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari (w. 709H). Kitab Bahjah al-Nufus ini adalah kitab terjemahan dan ’syarah’ dalam bahasa Melayu hasil buah tangan al-Fadhil Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sendiri. Ia diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan pada tahun 2007.



Terima kasih kepada Jabatan Mufti kerana menganjurkan diskusi tersebut dan mengedarkan kitab berkenaan secara percuma kepada para peserta yang tidak kurang dari 200 orang.



Selain kitab al-Hikam, Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari memiliki sebuah lagi kitab yang tidak kurang tandingannya dengan kitab al-Hikam, iaitu kitab Taj al-‘Arus al-Hawi Li Tahzib al-Nufus yang bererti ”Mahkota Pengantin Yang Mengandungi Pedoman Untuk Mendidik Jiwa”. Kitab ini sebenarnya tidak kurang juga popularnya dan tersebar luas ke serata pelosok dunia Islam. Namun, kandungannya lebih ringan sedikit, di samping banyak memuatkan kata-kata tiga tokoh kerohanian besar, iaitu gurunya Syeikh Abu al-‘Abbas al-Mursi (w. 686H), guru kepada gurunya, Imam Abu al-Hasan al-Syazili (w. 656H) dan seorang gurunya yang dikatakan salah seorang daripada tujuh wali abdal, Syeikh Makin al-Din al-Asmar.



Kitab inilah yang disyarah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dengan ’syarah’ yang begitu baik. ’Syarah’ tersebut lebih mirip kepada nota-nota kaki yang panjang. Namun, dalam diskusi tersebut beliau hanya sempat membacakan 1/3 daripada teks kitab sahaja. Dan majlis berakhir pada waktu zohor.



Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari memulakan kitab ini dengan gesaan supaya manusia segera bertaubat kepada Allah SWT, seterusnya menghuraikan kesan-kesan zahir dan batin akibat perbuatan maksiat, mengajak manusia supaya segera mencari bekalan untuk bertemu Allah SWT dan juga menghuraikan perkara-perkara yang dapat mengotorkan hati dan perkara-perkara yang dapat menjadi penggilapnya. Ringkasnya, ia banyak menyentuh tentang panduan-panduan untuk membersih dan menyucikan jiwa agar menjadi hamba Allah yang diredhai-Nya.



Sebelum ini, penulis pernah menelaah kitab Taj al-‘Arus tersebut dan mendapati susunan bahasa dan maknanya sangat menarik. Bahkan banyak frasa-frasa ayatnya yang mampu menjadi kata-kata hikmah yang berdiri secara sendiri. Sebagai misalan, diberikan di bawah sebahagian daripada kata-kata hikmah tersebut yang dipetik daripada berbagai bahagian kitab Taj al-‘Arus berkenaan.



Kata Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari:
من تاب ظفِر، ومن لم يتب خسِر.
Terjemahan: Siapa yang bertaubat menang, dan siapa yang tidak bertaubat kecundang”.



كثير من أنفق الدنانير والدراهم، ولكن من أنفق الدمع قليل.
Terjemahan: Ramai yang menafkahkan dinar dan dirham, tapi yang menafkahkan air mata sedikit”.



كفى بك جهلاً أن يعاملك مولاك بالوفاء، وأنت تعامله بالجفاء.
Terjemahan: Memadai kamu dikira sebagai jahil bila Tuanmu melayanmu dengan sempurna, namun kamu melayanNya dengan sambil lewa”.



طهِّر قلبك من العيب، يفتحْ لك باب الغيب.
Terjemahan: “Sucikan hatimu dari aib, akan dibuka untukmu pintu ghaib”.



ما أكثرَ تودُّدَك للخلق، وما أقلَّ تودُّدَك للحق.
Terjemahan: Alangkah banyaknya kasih sayangmu kepada makhluk, dan alangkah sedikitnya kasih sayangmu kepada al-Haq (Allah)”.



قيمتك قيمةُ ما أنت مشغول به.
Terjemahan: Nilai dirimu adalah menurut nilai apa yang kamu disibukkan dengannya”.



لا تعتقدْ أن الناس فاتهم العلمُ، بل فاتهم التوفيقُ أكثرَ من العلم.
Terjemahan: Jangan kamu percaya bahawa manusia kekurangan ilmu, bahkan mereka kekurangan taufik lebih banyak dari ilmu”.



ليس التائهُ من تاه في البرية، بل التائهُ من تاه عن سبيل الهدى.
Terjemahan: Bukanlah orang yang sesat ialah orang yang sesat di daratan, bahkan orang yang sesat ialah orang yang sesat dari jalan hidayah”.



من أراد الجمع على الله، فعليه بقيام أوامر الله.
Terjemahan: Siapa yang ingin bertemu dengan Allah, maka hendaklah ia melaksanakan perintah-perintah Allah”.



من أراد النهايات، فعليه بتصحيح البدايات.
Terjemahan: Siapa yang ingin mencapai puncak, maka hendaklah ia memperbetulkan langkah permulaan”.



من لم يترك المحرمات لم ينفعه القيامُ بالواجبات، من لم يحتمِ لم ينفعه الدواء.
Terjemahan: Siapa yang tidak meninggalkan perkara-perkara haram, tidak memberi manfaat baginya menunaikan perkara-perkara wajib. Siapa yang tidak berpantang, tidak memberi manfaat baginya ubat”.



ما خرّب القلوبَ إلاَّ قلة الخوف.
Terjemahan: “Tidak ada yang merosakkan hati-hati manusia itu melainkan kerana sedikitnya rasa takut”.

Sunday, April 8, 2012

Sasterawan Nora Kembali Ke Rahmatullah..


Nama penuh Sasterawan Nora ialah Haji Ali bin Haji Ahmad.

Mungkin tidak ramai yang meminati atau mengenali Nora dari kalangan lapisan muda kini. Namun ketika 'kebanjiran' majalah-majalah terbitan Darul Arqam suatu masa dulu, saya adalah antara pembaca ciliknya. Di situ nama 'Nora' sering muncul, dengan sangkaan beliau ialah seorang wanita. Rupa-rupanya beliau adalah seorang lelaki tua berserban dengan janggut putih yang agak lebat.

Berita kematiannya tidak begitu heboh kerana namanya bukan suatu nama besar. Tidak juga menyandang titled Sasterawan Negara.

Saya cuba meng'google' untuk mencari kalau-kalau ada berita tentang kematian beliau. Tidak ada yang ditemui kecuali entri pendek dalam blog penulis ini (sila klik) yang merupakan rakan lamanya.

Saya pernah menulis entri mengenai beliau dalam blog ini ketika selesai membaca buku memoirnya (lihat sini). Kehidupan yang dilaluinya sungguh mengesankan bagi jiwa yang tidak mahu mencari populariti tapi ikhlas mahu menyumbang sesuatu demi agama. Jiwa murni sebegini yang agak langka untuk kita temui dalam majoriti masyarakat kelas kebanyakan. Masing-masing dihimpit dan didesak oleh kehidupan materialistik dan survival hari esok.

Beliau telah pergi. Namun, karya 'sakaratul-maut'nya akan terus kekal untuk memberi peringatan kepada jiwa-jiwa yang lalai dan alpa.

Semoga rohnya tenang kembali menemui Penciptanya.. Mudah-mudahan Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya ke atas roh beliau. Al-Fatihah...


Thursday, April 5, 2012

Mistik Sufistik Alam Metafizik


Dalam keheningan malam, Sang Sufi menyapa Sang Faqir. Dalam bicaranya diluahkan satu soalan, katanya;

Sufi: Berapakah jumlah kesemua wali Melayu yang hidup di alam kewalian? Dan berapa yang dipilih untuk bermuzakarah?

Faqir: Allahu a‘lam.

Sufi: Jika anta tak tahu, ana boleh bagitahu.

Faqir: Apakah ia secara ilmu yakin, zan atau syak (khayalan)?

Sufi: Apakah anta sudah masuk ke alam kewalian? Jika anta sudah sampai anta akan tahu. Perjalanannya sangat jauh, ibarat menempuh tujuh buah negara. Ia disebut mi’raj awliya’ (tangga daki para wali). Ia diselubungi dengan cahaya zikrullah. Mereka tidak makan, minum atau tidur..

Faqir: Ana sekadar di ‘kulit’ saja. Berapakah jumlah mereka?

Sufi: Jumlah mereka 53 orang. 16 daripada mereka dipilih untuk bermesyuarat pada 16 Sya‘ban (setiap tahun), dan empat daripada mereka layak memberi keputusan (kerana termasuk ahlul hal wal ‘aqd). Mereka tiada kubur dan ghaib, tidak mati. Itulah kuasa Allah.

Faqir: Apakah mereka di atas maqam seperti maqam Nabi Khidir?

Sufi: Ya. Mereka terdiri dari wali besar dan wali kecil. Dan nama-nama mereka dirahsiakan.

Faqir: Imam al-Sya‘rani banyak menyebut dalam karya-karya beliau tentang perkara-perkara pelik (mistik) seumpama ini. Musuh ahli sufi tentu mengatakan semuanya ini adalah karut dan khurafat.

Sufi: Imam al-Sya‘rani adalah wali qutb... Musuh ahli sufi pula tiada kasyaf dan ilmu-ilmu ghaib, sebab mereka tidak mengalaminya. Apatah lagi istilah-istilah sufi seperti fana’, baqa’, syuhud dan lain-lain masih jauh (dari mereka).

Faqir: ... (Allah, ... Allah, ...)

-----------------

* Peringatan:

Nisbah hukum pengalaman rohaniah dan kasyaf ahli sufi bagi orang yang tidak mengalaminya adalah seumpama hukum ilham dan mimpi yang benar, di mana orang yang tidak mengalaminya tidak punya hak untuk menafikan dan juga tidak disuruh untuk mempercayainya. Hak bagi ahli sufi adalah menimbangnya berdasarkan neraca al-Quran dan sunnah menurut kefahaman para mujtahid sufi (ahli rohani) dan tidak semestinya menurut kefahaman para mujtahid fiqh (ahli zahir). Betapa luas ilmu-ilmu dan rahsia-rahsia Allah yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah Nabi-Nya itu yang masih kita jahili.. Subhan-Allah.