Ketelitian
Syeikhul-Hadith Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi di Dalam Meriwayatkan
Hadis
Entri ini merupakan petikan sebahagian daripada penulisan ilmiah
pelajar di bawah seliaan saya, A’ali Imran bin Jamal Mohamad, mengenai Syeikhul-Hadith
Hadrat Maulana Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi dengan merujuk kepada kitab Aap Beeti autobiografi
Maulana Muhammad Zakariyya sendiri. Saya kongsikan kerana nilai ilmu dan adab
yang terkandung dalam petikan tersebut. Beberapa suntingan telah dibuat
terhadapnya.
-------------------------
Sejak
Hadrat Syeikh Muhammad Zakariyya mengajar hadis di dalam tahun 1340H (1922M),
beliau dapati bahawa kesemua periwayatan sanad pengajaran hadis dan keizinan
talian para masyaikh adalah melalui Musnid al-Hind Hadrat Hakim al-Islam Syeikh
Shah Waliyullah ad-Dehlawi. Maka beliau telah mencatat seluruh
rantaian-rantaian keizinan pengajaran hadis di India melalui hantaran
surat-surat kepada semua madrasah, dengan tujuan; apakah terdapat sanad
daripada Hadrat Syeikh Shah Waliyullah di dalam rantaian sanad mereka?
Akhirnya,
beliau dapati tiada satu pun jawapan daripada madrasah-madrasah di India yang
tidak mempunyai sanad Hadrat Syeikh Shah Waliyullah. Kesemuanya mempunyai
hubungan talian yang sampai kepada Hadrat Syeikh Shah Waliyullah. Gurunya
sendiri, iaitu Hadrat Maulana Khalil Ahmad juga mempunyai sanad daripada
keluarga Hadrat Syeikh Shah Waliyullah dan para masyaikh di Mekah, sebagaimana
diterangkan di dalam muqaddimah Bazl al-Majhud, Lami’ ad-Darari
dan Awjaz al-Masalik. Dengan ini, Hadrat Syeikh selalu menamakan Hadrat
Syeikh Shah Waliyullah sebagai Musnid al-Hind. (Aap Beeti 5. hlm. 154-155.)
Antara
tiga kitab hadis yang dikarang oleh Syeikh Shah Waliyullah, iaitu;
-
pertama kitab al-Fadlul Mubin fi al-Musalsal
min Hadithin Nabiyyil Amin,
-
yang kedua kitab ad-Durr at-Thamin fi Mubasysyaratin
Nabiyyil Amin, dan
-
yang ketiga kitab an-Nawadir fi Ahadith
Saiyyidil Awa‘ili wal Awakhir.
Dua
daripada tiga kitab Syeikh Shah Waliyullah, iaitu kitab ad-Durr dan
kitab an-Nawadir terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan oleh
sesetengah sahabat RA di dalamnya yang mana para ulama hadis
mempunyai rasa keengganan yang berat menerima hadis-hadis yang dinukilkan.
Keputusannya, Hadrat Syeikh mula ragu-ragu tentang keizinan untuk meriwayatkan hadis-hadis
tersebut.
Justeru
itu, di dalam tahun 1352H (1933M) Hadrat Syeikh telah menulis kira-kira 50
keping surat kepada kesemua para masyaikh, antaranya Syeikh al-Islam Hadrat
Maulana Saiyyid Hussain Ahmad al-Madani, Hadrat Hakim Jamiluddin Naginwi (anak
murid kepada Hadrat Maulana Abdul Rashid Ahmad Gangohi), Hadrat Maulana Mufti
Kifayatullah, dan berbagai-bagai ulama yang lain bagi meminta pandangan mereka.
Kebanyakan mereka menyatakan ketidak arifan mengenai kitab-kitab tersebut dan
belum lagi bertemu pandangan-pandangan kritikal daripada kalangan muhaddithin.
Dalam hal ini, Hadrat Syeikh juga menulis surat
kepada Hakim al-Ummat Hadrat Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi.
Berikut
adalah ringkasan daripada kandungan surat
Hadrat Syeikh kepada Hadrat Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi:
“Kepada
Hadrat Hakim al-Ummat yang dihormati Maulana Thanwi,
(semoga Allah SWT menjadikan bayangan berkatmu tetap selalu)
Ketiga-tiga risalah oleh Mujadid India Hadrat Shah
Waliyullah mengandungi banyak hadis yang mana menurut peraturan kaedah para
muhaddithin mengkritik menentanginya malah dianggap maudhu’, khususnya hadis
yang diriwayatkan oleh Ratan Hindi dan Ibnu Abi Dunya. Bagi Ratan
Hindi, tidak ada bukti putus bahawa beliau adalah seorang sahabi dan di dalam
Isabah terdapat suatu kritikan yang panjang menentanginya. Di dalam Lisanul
Mizan, Ibnu Abi Dunya telah menyebut kenyataan dan istilah yang tidak selari.
Periwayatan hadis-hadis ini berlaku secara meluas sejak
dari zaman Hadrat Shah Waliyullah. Saya telah menerima keizinan daripada Hadrat
Saharanpuri untuk meriwayatkan hadis ini dan di atas desakan pelajar-pelajar,
saya juga memberi keizinan terhadap banyak daripada hadis-hadis ini kepada
mereka.
Dalam tahun ini, keraguan telah meningkat kepada saya
bahawa menurut kaedah muhaddithin, meriwayatkan hadis-hadis sedemikian adalah
penerusan meriwayatkan hadis palsu. Tetapi di sebalik dan hakikatnya ialah
hadis-hadis itu wujud di dalam karya Hadrat Shah Waliyullah. Sedangkan kajian-kajian
muhaddithin di dalam ilmu asma’ ar-rijal melarang meriwayatkan hadis ini.
Sekarang soalannya ialah; kajian siapakah yang lebih
dipilih untuk diterima dan dapat dipergantungi? Malahan di Hijaz, hadis-hadis
ini secara umumnya diriwayatkan. Jikalau keizinan tidak diberikan kepada para
pelajar untuk menyampaikannya dan memindahkannya, maka terdapat bahaya hadis
ini menjadi hilang kesemuanya setelah ia hidup selama 1300 tahun.
Jikalau keizinan diberikan pula, berkemungkinan termasuk
ke dalam medan penyebaran hadis palsu.”
Berikut adalah ringkasan daripada
kandungan surat jawapan Hadrat Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi kepada Syeikh
al-Hadith Hadrat Maulana Muhammad Zakariyya:
Saudara yang dihormati, assalamua’laikum.
Dengan pendekatanmu yang wara’ dan berhati-hati, kamu
telah menjadikan perkara ini lebih mustahak daripadanya. Apapun, terdapat
beberapa hadis, malahan di dalam Ibn Majah ada yang telah diisytiharkan palsu.
Tetapi walaupun demikian, periwayatan hadis-hadis tersebut berterusan tanpa ada
apa-apa bantahan.
Periwayatan hadis oleh saudara-saudara tua bukanlah bukti
kesahihannya. Apa sahaja yang sampai kepada mereka, telah diriwayatkan oleh
mereka. Meriwayatkan hadis merupakan satu perkara dan sama sekali berbeza
dengan meletakkan tanda kesahihan dan betul terhadapnya. Walau bagaimanapun,
meriwayatkan hadis yang sedemikian dengan menunjukkan penjelasan terhadap
ketidak sahihannya yang samar adalah perlu. Dengan cara ini, periwayatan
hadis-hadis palsu dibenarkan oleh pendapat sepakat para ulama.
Selain daripada ini, tidak ada apa-apa buat waktu ini di
dalam fikiranku. Mungkinlah dengan merujuk perkara itu kepada ulama, banyaklah
lagi kajian-kajian akan muncul mengenai perkara tersebut.
Wassalam,
Asyraf ‘Ali,
22 Rejab 1352 Hijri.
Begitulah serba sedikit
perihal ketelitian dan kehalusan sifat yang ada pada Hadrat Syeikh sebelum dan
sesudah meriwayatkan sesuatu hadis. Samada di dalam pengajian,
kajian-kajian, mahupun karya-karyanya. Beliau sentiasa peka dan sangat
memandang berat terhadap ketulenan ataupun kesahihan akan sesuatu perkara yang
ingin disampaikan. Beliau tidak sekali-kali mengambil mudah di dalam setiap
usaha-usahanya.
- tamat nukilan.