Pages

Wednesday, October 26, 2011

Peranan Tasawuf Dalam Memelihara Identiti Agama di Mesir

Oleh: al-Imam Syeikh ‘Ali Jum‘ah, Mufti Besar Mesir

Terjemah: al-Faqir Mohd. Khafidz Soroni

Sumber: Website Syeikh ‘Ali Jum‘ah



Tasawuf muncul untuk meletakkan para pengikutnya di tengah-tengah isu-isu sosial dan juga politik dalam masyarakat Islam, bukannya supaya mereka hanya duduk secara berasingan jauh daripada isu-isu berkenaan. Bahkan ia menggembleng usaha menyediakan mereka untuk berkhidmat terhadap agama, ummah dan juga tanah air.

Justeru, tasawuf mahupun ahli sufi tidak hanya setakat terhenti pada keadaan berzikir, zuhud dan beribadat secara individu ataupun secara jemaah, bahkan tasawuf telah membentuk institusi-institusi besar yang mempunyai jaringan di seluruh dunia dan berperanan dalam bidang pembangunan, politik serta sosial. Para ahli sufi di sepanjang zaman telah melahirkan para ulama, para pahlawan dan para idola yang mana sejarah Islam terisi dan dipenuhi dengan mereka, berdasarkan kepada populariti mereka yang masyhur dan kecintaan majoriti umat Islam kepada mereka. Mereka tidak mencapai kedudukan dan martabat sedemikian melainkan kerana tauladan dan tingkah laku yang baik menurut manhaj yang lurus lagi kukuh berdasarkan al-Quran dan Sunnah, menghormati para ulama ummah, serta berusaha ke arah perpaduan umat Islam dan kesatuan mereka.

Oleh itu, mereka tidak menghadkan diri hanya kepada jihad nafsu semata-mata, sepertimana yang didakwa oleh orang yang tidak mengenal mereka, akan tetapi mereka menggabungkan kepada kekuatan tersebut dalam memerangi golongan musuh dan golongan yang zalim. Antara model-model mereka itu ialah Imam al-Ghazali (505H), Muhyiddin Ibn ‘Arabi (638 H), al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam (660 H) dan Imam al-Nawawi (676 H). Manakala dalam satu peristiwa sejarah yang belum jauh, para ahli sufi telah membawa panji-panji revolusi kebangsaan di Mesir dalam menghadapi pemerintah-pemerintah kerajaan Mamalik, di mana Imam al-Dardir (Abul Barakat Ahmad ibn Muhammad al-Dardir al-Maliki, w. 1201H), seorang tokoh sufi besar telah mengetuai suatu revolusi besar menentang golongan Mamalik sebelum tercetusnya Revolusi Perancis dalam jarak tempoh tiga tahun. Ia telah memaksa golongan Mamalik mengakui bahawa rakyat adalah sumber kekuasaan, serta berjaya menghalang mereka daripada mengenakan cukai-cukai baru melainkan dengan keputusan rakyat, dengan pengiktirafan penuh terhadap kebebasan dan maruah mereka.

Tasawuf mempunyai dasar-dasar dan prinsip-prinsip yang utama, iaitu: berpegang kepada kitab Allah, dan mengikuti sunnah Rasul-Nya s.a.w., memakan yang halal, tidak menyakiti/menganiaya, menjauhi maksiat, bertaubat, dan menunaikan hak-hak. Tasawuf terbentuk dengan bersabar atas perintah-perintah dan yakin pada hidayah. Firman Allah Taala:

(وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ) [السجدة:24]

Terjemahan: “Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami” [al-Sajdah: 24].

Para ahli sufi telah menyatakan bahawa: Tidak layak untuk memimpin di jalan ahli sufi ini melainkan orang yang luas pengetahuannya dalam ilmu syariat serta mengetahui yang mantuq dan mafhum, yang khas dan ‘am, serta yang nasikh dan mansukh, dan berpengetahuan luas dalam bahasa Arab sehingga mengetahui soal majaz, isti’arah dan lain-lainnya, iaitu sebagaimana yang disebutkan oleh al-‘Arif biLlah Syeikh ‘Abdul Wahhab al-Sya'rani (973 H) dalam mukadimah kitab beliau al-Tabaqat al-Kubra (ms. 5). Beliau juga berkata: Sesungguhnya jalan kaum sufi ini diacuankan di atas al-Quran dan Sunnah sepertimana pengacuanan emas dan permata, maka si-saliknya memerlukan kepada neraca syarak dalam setiap pergerakan dan juga perhentian (Lata’if al-Minan wa al-Akhlaq, 1/2).

Ahli sufi telah berkembang pesat di Mesir atas dasar kesederhanaan dan keseimbangan. Ia telah diringi dengan penubuhan khanqah (ribat atau tempat berhimpun ahli sufi) pertama di Mesir dalam era al-Nasir Salah al-Din al-Ayyubi (532 - 589 H). Maka berkembanglah sesudahnya banyak khanqah dan madrasah sufi di seluruh Mesir. Ia telah berperanan dalam melahirkan murid-murid dan para pelajar yang bersiap sedia dari segi rohani, tarbiah dan juga akhlaknya untuk menghadapi cabaran-cabaran ekonomi, politik dan sosial yang melanda masyarakat Islam dari semasa ke semasa.

Berpegang dengan prinsip kesederhanaan yang dianjurkan oleh Islam, para ahli sufi di Mesir berada jauh daripada sifat melampau batas, mempunyai ciri keseimbangan dan juga jauh dari sikap keterlaluan. Tariqat-tariqat sufi di Mesir ini disatukan oleh suatu ciri khas, iaitu memberi tumpuan terhadap aspek ilmu dan juga akhlak.

Meskipun tasawuf di Mesir memiliki kehidupan rohani yang khusus, namun ia juga memberi pengaruh khusus ke atas banyak aspek kehidupan yang berada di sekelilingnya. Ia menjadi pendorong untuk terus berpegang kepada tasawuf dalam berdakwah kepada Allah dan Rasul-Nya. Ia turut membantu ahli sufi dengan kuat dalam membentuk identiti agama yang sederhana di Mesir. Kaedah yang digunakannya ialah menyenangkan mesej yang dibawa dan memudahkan penyertaan di bawah panji-panjinya dalam mengharungi pelbagai tribulasi yang dihadapi oleh Mesir dalam tempoh-tempoh masa yang berbeza, di mana rumah-rumah kebajikan, zawiyah-zawiyah dan khanqah-khanqah menjadi tempat perlindungan yang selamat untuk golongan yang tertindas, golongan fakir-miskin dan juga golongan lemah. Pusat-pusat tersebut juga telah menjadi penyuluh agama yang moderat, yang mampu mengeluarkan muslim yang beramal dengan kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya untuk berjihad demi negara dan agamanya. Dari situ, para ahli sufi telah membentuk sebahagian besar suasana agama di Mesir yang bersifat jauh dari ciri-ciri melampau dan keras.

Tasawuf juga berkait dengan mencintai Ahl al-Bayt, mengadakan majlis-majlis mawlid dan halaqah-halaqah zikir yang telah membantu untuk menarik murid-murid mengasihi masjid dan juga Ahl al-Bayt. Ia merupakan satu aspek yang telah menyumbang dalam membangunkan Islam yang sederhana dan juga membentuk identiti agama. Kecintaan ini tidak sekadar dikongsi oleh ahli sufi dan golongan Syiah semata-mata, bahkan semua umat Islam baik ahli Sunnah dan juga golongan Syiah berkongsi sama dalam kecintaan mereka terhadap Ahl al-Bayt r.a.

Ahli sufi telah dan masih terus menjadi fungsi yang aktif dan penting dalam masyarakat Islam di Mesir yang turut mendorong tariqat-tariqat sufi dalam setiap zaman supaya terus berpaksi pada usul-usul tasawuf dan berpegang kuat dengannya, serta kembali kepada peranan utamanya dalam berdakwah kepada Allah dan memimpin masyarakat dari segi agama, sosial dan juga politik, sebagaimana peranannya dahulu di sepanjang sejarahnya di Mesir. Tidak pun memudaratkannya kemunculan beberapa kumpulan dari kalangan orang-orang yang malas dan jahil yang hanya mengaut rezeki di sebalik dakwaan mereka sebagai ahli sufi dan sandaran diri mereka kepadanya. Hakikatnya, jalan tasawuf adalah jelas lagi kukuh yang tidak akan menyimpang dari jalan Allah yang lurus, meskipun menerima serangan golongan yang memusuhinya dan juga tuduhan golongan yang bermotif terhadapnya.

************

LAMPIRAN

Antara Tokoh-tokoh Tasawuf di Mesir:

1. Zu al-Nun al-Misri (245H)

2. Sayyidi ‘Abd al-Rahim al-Qina’i (592H)

3. Sayyidi 'Umar bin al-Faridh (632H)

3. Sayyidi Abu al-Hajjaj al-Aqsari (642H)

4. Sayyidi Abu al-Hasan al-Syazili (656H)

5. Sayyidi Ibrahim al-Dusuqi (669H)

6. Sayyidi Ahmad al-Badawi (675 H).

7. Sayyidi Abu al-‘Abbas al-Mursi (686H)

8. Sayyidi Muhammad al-Busiri (695 H).

9. Imam Taqiy al-Din Ibn Daqiq al-’Id (702 H).

10. Imam Ahmad ibn ‘Ata'illah al-Iskandari (709 H).

11. Sayyidi 'Ali bin Muhammad bin Wafa al-Syazili (807H).

12. Sayyidi Muhammad Syamsu al-Din al-Sultan al-Hanafi (847H).

13. Sayyidi Muhammad Abu al-Mawahib al-Syazili (lebih 850H)

14. Sayyidi Ibrahim bin 'Ali al-Matbuli (881H).

15. Imam al-Hafiz Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman ibn Abi Bakr al-Suyuti (911 H).

16. Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari (926 H).

17. Sayyidi 'Ali al-Khawwas (945H).

18. Imam Syeikh ‘Abdul Wahhab al-Sya'rani (973 H).

19. al-‘Allamah Syeikh ‘Abd al-Ra'uf al-Munawi (1029 H).

20. al-'Allamah 'Abdullah bin Muhammad al-Syubrawi (1171H).

21. Syeikhul Azhar Muhammad bin Salim a-Hifni (1181H).

22. Sayyidi 'Ali bin Hijjazi al-Bayyumi (1183H)

23. al-'Allamah Abul Barakat Ahmad ibn Muhammad al-Dardir (1201H)

24. Al-Hafiz al-Sayyid Muhammad Murtada al-Zabidi (1205 H).

25. Syeikhul Azhar 'Abdullah bin Hijjazi al-Syarqawi (1227H).

26. al-'Allamah Muhammad al-Amir al-Maliki (1232H).


Sunday, October 23, 2011

Karamah Ajaib Syeikh Judah bin Ibrahim رحمه الله

Dalam entri lepas, ada disebut nama al-‘Arif biLah Syeikh Judah bin Ibrahim al-Naqsyabandi (w. 1928) datuk Syeikhuna al-‘Arif biLah Prof. Dr. Judah bin Muhammad Abu al-Yazid al-Mahdi al-Husaini (1944-2011). Ada satu perkara yang ingin saya sentuh mengenainya bagi menunjukkan ketinggian makam beliau dan kedudukan istimewanya di dalam arena kerohanian.

Almarhum Prof. Dr. Judah bin Muhammad Abu al-Yazid al-Mahdi menyebut di dalam kitabnya (بحار الولاية المحمدية في مناقب أعلام الصوفية) (hlm. 624) satu karamah yang luar biasa bagi datuknya itu. Kata beliau:

“Memberi Salam Kepada Hadrat Mawlana Al-Mustafa SAW Berserta Huluran Tangan Yang Mulia:

Beberapa orang yang terpercaya dari kalangan murid-murid Syeikh Judah menceritakan bahwa pernah beliau menunaikan haji pada suatu tahun, dan ketika beliau menziarahi penghulu seluruh alam baginda Nabi SAW serta merapati makam baginda yang mulia, beliau pun memberi salam ke atas datuknya itu, Nabi al-Mustafa SAW. Tiba-tiba, tangan baginda yang mulia menghulur keluar kepadanya dari balik jendela makam tersebut. Lantas Syeikh Judah pun mengucupnya dengan dilihat oleh para pengikutnya yang khas. Syeikh Judah telah memerintahkan mereka agar merahsiakannya. Justeru, kisah karamah tersebut pun tidak tersebar kepada umum kecuali sesudah kewafatan beliau.

Peristiwa besar ini telah diceritakan kepadaku oleh guru hafazan al-Quran-ku, Syeikh Hasan Muhammad ‘Uthman al-‘Azizi yang telah meriwayatkannya dari datuknya, yang telah menyaksikan kejadian berkenaan dengan mata kepalanya sendiri.

Karamah yang sebegini juga pernah berlaku kepada Imam Ahmad al-Rifa’i yang digelar dengan ‘Sahib Mad al-Yad’ (penerima huluran tangan) ketika beliau memberi salam ke atas Sayyiduna Nabi al-Mustafa SAW”.

Peristiwa yang dikatakan berlaku kepada Imam Ahmad al-Rifa’i (w. 578H) tersebut didahului oleh beliau dengan alunan dua bait syair berikut:

في حالة البعد روحي كنت أرسلها ... تقبل الأرض عني وهي نائبتي

وهذه نوبة الأشباح قد حضرت ... فامدد يمينك كي تحظى بها شفتي

Terjemahan:

“Dalam masa kejauhan, ku hanya menghantar rohku…

mencium bumi itu untukku dan ia adalah wakilku,

Kini giliran jasad pula telah pun hadir...

maka hulurlah tanganmu agar bibirku dapat merasainya”.

Bagaimanapun, peristiwa yang berlaku pada tahun 555H itu dipersoalkan oleh al-Hafiz Syeikh ‘Abdullah al-Ghumari di dalam kitabnya Awliya’ wa Karamat serta menafikan kesabitannya. Ini kerana ia diriwayatkan melalui sanad yang tidak dapat dipegang secara yakin. Beliau menolak apa yang disebut dalam risalah (الشرف المحتم) yang dinisbahkan kepada Imam al-Suyuti. Wallahu a’lam. Manakala peristiwa yang dialami oleh Syeikh Judah di atas diriwayatkan dengan sanad yang mungkin sukar untuk dinafikan.

Ada satu lagi sanad yang lebih kuat bagi peristiwa yang seumpama ini yang pernah berlaku kepada al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Habibullah al-Syanqiti (w. 1363H), pengarang Zad al-Muslim. Diceritakan oleh al-‘Allamah al-‘Arif biLah Syeikh Soleh al-Ja’fari (w. 1399H) dalam kitab al-Muntaqa al-Nafis (hlm. 177) sepertimana yang juga dimuat dalam kitab al-Kanz al-Thari fi Manaqib al-Ja’fari (hlm. 44):

“Aku pernah mendengar dari beliau suatu rahmat Allah yang sungguh ajaib yang beliau ceritakan semasa pengajiannya di Masjid al-Husain (Kaherah) dalam bulan Ramadhan, katanya: Aku pernah beriktikaf di dalam Masjid Nabawi di sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan. Maka terlintas di hatiku tentang apa yang telah dianugerahkan oleh Allah Taala kepada Sayyidi Ahmad al-Rifa’i dalam memberi salam dan berjabat tangan dengan Rasulullah SAW. Maka aku pun mendekati makam baginda serta memberi salam ke atas Rasulullah SAW, dan aku alunkan kepada baginda dua bait syair yang juga pernah dialunkan oleh Sayyidi Ahmad al-Rifa’i. Lalu baginda SAW pun menghulurkan kepadaku tangannya yang mulia, lantas aku pun mengucupnya. Kisah ini tidak pernah aku dengar dari beliau melainkan dalam tahun kewafatannya”.

Peristiwa yang berlaku kepada Syeikh Habibullah al-Syanqiti ini secara tidak langsung menguatkan lagi karamah yang berlaku kepada Sayyidi Imam Ahmad al-Rifa’i kerana beliau mengalunkan bait-bait syair yang sama. Wallahu a’lam.

Tiga peristiwa yang berlaku ini adalah antara karamah yang dianugerahkan oleh Allah Taala kepada wali-wali-Nya kerana pergantungan mereka yang kuat dalam mengikuti sunnah kekasih-Nya SAW. Bukan sekadar sunnah yang zahir semata-mata, bahkan termasuk sunnah yang batin sekali, iaitu dalam merealisasi makam ihsan.

Semoga Allah SWT merahmati dan meredhai Sayyidi Imam Ahmad al-Rifa’i, Sayyidi Syeikh Judah bin Ibrahim al-Naqsyabandi dan Sayyidi Syeikh Habibullah al-Syanqiti serta menghimpunkan mereka bersama Junjungan Nabi SAW, ahli bait dan para sahabatnya, serta menghimpunkan kita bersama mereka semua. Amin.

Friday, October 21, 2011

Al-‘Allamah al-Kabir Syeikh Dr. Judah Abu al-Yazid al-Mahdi رحمه الله


إنا لله وإنا إليه راجعون

Semalam, Khamis telah pulang ke rahmatullah seorang ulama besar al-Azhar, Syeikhuna al-‘Arif biLah Prof. Dr. Judah bin Muhammad Abu al-Yazid al-Mahdi al-Husaini. Beliau adalah guru kami ketika belajar di Universiti al-Azhar cawangan Tanta, Mesir dahulu. Beliau juga adalah guru sahabat kami, al-Fadhil Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki. Dr. Judah adalah seorang pakar dalam bidang tafsir dan ilmu al-Quran. Beliau adalah dekan pertama Fakulti al-Quran, Universiti al-Azhar ketika awal penubuhannya.

Beliau juga adalah syeikh tariqat yang terkenal di Tanta, Mesir, iaitu Tariqat Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah al-Judiyyah. Majlis zikir dan Dala’il al-Khairatnya diadakan setiap hari Jumaat di dalam Masjid Sayyidi Ahmad al-Badawi, bersebelahan dengan makam wali besar tersebut. Al-faqir beberapa kali menghadirinya dan mengambil bai’ah tabarruk dengan beliau. Keasyikan beliau dengan Sayyidi Ahmad al-Badawi begitu dalam sehingga menghasilkan hubungan kerohanian yang amat erat.

Datuknya sebelah ibu, Syeikh Judah bin Ibrahim al-Naqsyabandi (w. 1928) (lihat sedikit manaqibnya) adalah khalifah kepada imam naqsyabandi yang terkenal, iaitu al-Muhaddith Syeikh Ahmad Dhiya’uddin al-Kumusykhanawi, pengarang Ramuz al-Ahadith. Namun, Dr. Judah tidak sempat mengambil bai’ah dengan datuknya itu, beliau hanya mengambil bai’ah dari anaknya, iaitu pakcik beliau Syeikh ‘Isa bin Judah al-Naqsyabandi.

Dr. Judah merupakan seorang alim sufi yang jarang ditemukan tolok bandingnya. Karya-karyanya banyak diresapi sentuhan kerohanian yang kuat, termasuklah kitab muqarrar tafsir al-Qurannya (ضياء الفرقان) yang diajarkan kepada para pelajar kuliah.

Beliau dilahirkan pada tahun 1944 di al-’Aziziyyah, Muhafazah al-Syarqiyyah iaitu tempat kelahiran al-’Allamah al-’Azizi pensyarah kitab al-Jami’ al-Saghir yang terkenal. Beliau pernah belajar di al-Ma’had al-Ahmadi, Tanta dan menimba ilmu dari guru-gurunya, terutama dari Mawlana al-Imam Syeikh Muhammad Khalil al-Khatib. Beliau membesar dalam mazhab Syafi’i dan akidah ’Asy’ari.

Beliau kemudian berpindah ke peringkat universiti dan memasuki Fakulti Usuluddin di al-Azhar. Beliau pernah belajar dengan Syeikhul-Azhar Imam Syeikh ’Abdul Halim Mahmud. Beliau kemudian meneruskan pengajian sehingga ke peringkat master dan Ph.D dengan judul tesisnya: (منهج الإمام أبي الحسن الواحدي في التفسير).

Apabila Universiti al-Azhar cawangan Tanta dibuka beliau telah berpindah ke Tanta dan terus menetap di situ sehinggalah ke akhir hayatnya. Dr. Judah sangat jarang meninggalkan ibadah umrah dalam bulan Ramadhan setiap tahun dan menziarah makam baginda Rasulullah SAW. Beliau juga bermusafir ke Kaherah hampir setiap minggu menziarahi makam-makam Ahlul Bait dan juga menyampai pengajian di Akademi Sufiyyah, al-’Asyirah al-Muhammadiyyah.

Ramai pelajar Malaysia yang telah berbai'ah dengan beliau. Khalifah Dr. Judah di Malaysia ialah Ustaz Hj. Zamzuri Harun.

Hingga kini, beliau telah menghasilkan lebih dari 20 buah karya. Antaranya:

1- بحار الولاية المحمدية في مناقب أعلام الصوفية() (muat turun)

2- (الاتجاه الصوفي في تفسير القرآن الكريم)

3- Tahkik kitab (تذكرة أولي الألباب في مناقب الشعراني سيدي عبد الوهاب)

4- (سيدي أحمد البدوي)

5- (مبادئ التفسير الإشاري تطبيقاً على سورة ياسين)

6- (الإيمان والتقوى في القرآن الكريم)

7- (فضائل القرآن الكريم)

8- (موسوعة آل البيت)

9- (النفحات الجودية في الطريقة النقشبندية)

10- (الرابطة عند النقشبندية)

11- (مسألة وصول ثواب القرآن وجواز إهدائه للموتى)

12- (التصوف روح الإسلام)

13- (فتح الجليل في علوم التنزيل)

14- (أصولُ التَّصوفِ في القرآن الكريم والسُّنَّةِ المحمَّديَّةِ) (muat turun)

15- (هدي النيرين)

16- (أعظم المرسلين صلى الله عليه وسلم)

17- (فنون الأفنان بحوث في علوم القرآن)

18- (سورة الحجرات في التفسير التحليلي)

19- (تدبر أسرار التنزيل في تفسير سورة الفاتحة)

20- Lain-lain..


Rujukan:

- rayaheen.net

- biografi beliau (Arab)


رحم الله أستاذنا وشيخنا

ونسأل الله بمنه وكرمه أن يتغمده بواسع رحمته

وأن يلحقه بالأنبياء والشهداء والصالحين

آمين

Wednesday, October 19, 2011

Musim Haji & Imam al-Mahdi

Sempena musim haji ini, ingin saya sajikan sebuah hadis yang perlu kita renung-renungkan bersama. Mudah-mudahan kita terus sentiasa mendambakan diri kepada-Nya, bukan sekadar untuk kita hanya halwakan telinga semata-mata. Kerana peristiwa kemunculan Imam al-Mahdi didahului oleh tanda-tanda yang menakutkan dan amat mencemaskan. Bahkan seluruh dunia tenggelam dengan kezaliman dan kekejaman. Hanya mereka yang dekat dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT sahaja yang akan mampu mengharungi fitnah dan huru-hara tersebut dengan tenang.

Matan hadis:

قال نعيم بن حماد: حدثنا أبو يوسف المقدسي عن عبد الملك بن أبي سليمان عن عمرو بن شعيب عن أبيه عن جده قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:

في ذي القعدة تحازب (عند الحاكم: تجاذب) القبائل، وعامئذ ينتهب الحاج، فتكون ملحمة بمنى، فيكثر فيها القتلى، وتسفك فيها الدماء، حتى تسيل دماؤهم على عقبة الجمرة، حتى يهرب صاحبهم، فيؤتى به بين الركن والمقام، فيبايع وهو كاره، ويقال له: إن أبيت ضربنا عنقك، فيبايعه مثل عدة أهل بدر، يرضى عنه (عند الحاكم: عنهم) ساكن السماء وساكن الأرض.

Takhrij hadis:

أخرجه نعيم بن حماد في الفتن (986), والحاكم في المستدرك (8537) مرفوعا وموقوفا، وفي لفظ الموقوف: فيفزعون إلى خيرهم فيأتونه وهو ملصق وجهه إلى الكعبة يبكي كأني أنظر إلى دموعه فيبايع كرها فإذا أدركتموه فبايعوه فإنه المهدي في الأرض والمهدي في السماء. وقال الذهبي قي التلخيص: سنده ساقط، ولعل ذلك للكلام على نعيم بن حماد وجهالة شيخه أبي يوسف المقدسي، قال شيخ شيخنا العلامة المحدث السيد عبد الله الغماري في كتابه المهدي المنتظر (ص 54): إسناده حسن.اهـ

قال هذا العبد الفقير:

ولعل تحسينه لشاهده وهو بسند ضعيف عن شهر بن حوشب مرسلاً, أخرجه الداني في الفتن (493، 519)، وفي أوله: "يكون في رمضان صوت, وفي شوال مهمهة,...". وهذه الجملة مذكورة أيضاً في رواية أخرى لعمرو بن شعيب عن أبيه عن جده، وهي بالسند السابق عند نعيم بن حماد (631)، ولفظها: "يكون صوت في رمضان ومعمعة في شوال،..."، وأخرجه الطبراني في (الأوسط) (512) بسنده عن شهر عن أبى هريرة مرفوعا، وقال الهيثمي في مجمع الزوائد (12374): فيه شهر بن حوشب وفيه ضعف والبختري بن عبدالحميد لم أعرفه.اهـ

وفي الباب: عن فيروز الديلمي أخرجه الطبراني في (معجمه الكبير) (853)، قال الهيثمي (12373): فيه عبد الوهاب بن الضحاك وهو متروك .اهـ وعن سعيد بن المسيب مقطوعاً أخرجه نعيم بن حماد في الفتن (629)، وقد ذكر الملا علي القاري في الأسرار المرفوعة في الأخبار الموضوعة: "ومنها أحاديث التواريخ المستقبلة وهي كل حديث فيه: إذا كانت سنة كذا وكذا، حل كذا وكذا..."، ثم يأتي بمرسل شهر بن حوشب وحديث عمرو بن شعيب المذكورين، كأنه يخرجهما أو يستثنيهما من ذلك التعميم، فمجموع طرق الحديث يدل على أن له أصل، ولا ينبغي أن يحكم عليه بالوضع، والله أعلم.

Terjemahan:

Dari ‘Amru bin Syu’aib dari bapanya dari datuknya (iaitu ‘Abdullah bin ‘Amru r.a.) berkata: Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Dalam bulan Zulqaedah akan berlaku pertelagahan kabilah-kabilah, dan pada tahun itu jemaah haji akan ditawan, maka akan terjadi suatu pertempuran di Mina, maka ramailah orang yang terbunuh dan banyak darah yang mengalir sehingga mengalir darah mereka itu ke atas Jamrah ‘Aqabah, hinggakan ‘sahabat’ mereka melarikan diri. Lalu beliau dibawa di antara rukun Hajar Aswad dan maqam Ibrahim, dan beliau pun dibai’ah sedangkan beliau tidak menyukainya. Dikatakan kepadanya: Jika kamu enggan, kami akan memenggal lehermu. Maka beliau pun dibai’ah oleh sekumpulan orang seperti bilangan ahli Badar. Beliau akan diredhai oleh penduduk langit dan penduduk bumi”.

Dalam riwayat lain terdapat pada awalnya: “Akan terjadi suatu 'suara’ dalam bulan Ramadhan dan kekacauan dalam bulan Syawal,...” [HR Na’im bin Hammad (986) dan al-Hakim (8584)].

Ulasan:

- Dalam hadis di atas, tidak disebutkan sebarang tahun. Hanya Allah SWT sahaja yang lebih maha mengetahui bila ia akan berlaku. Maka, tidak perlu untuk kita meramal-ramal tahunnya. Namun, maksud di sebalik hadis sebenarnya mendorong kita untuk sentiasa berwaspada, terutama pada amalan diri kita. Kita telah diperintahkan untuk terus melaksanakan tuntutan dan tanggungjawab yang telah dipikulkan.

- Para jemaah haji sewajarnya tidak perlu gentar, bahkan perginya mereka untuk menunaikan haji itu pun sudah dikira suatu jihad. Alangkah beruntungnya mereka yang sentiasa berada di dalam kembara suci ini dengan penuh ikhlas dan sabar. Jika selamat pulang, dosa-dosanya telah disucikan. Jika gugur, tanah suci akan menjadi saksinya. Jika bertemu dengan peristiwa bai’ah tersebut pula (Allah saja yang tahu bila...), maka berpeluanglah menjadi pengikut dan penyokong Imam al-Mahdi.

- Sebagaimana Nabi Muhammad SAW memulakan dakwah agama Islam di Makkah, maka pembaharuan agama Islam di akhir zaman juga akan bermula di Makkah. Malah hadis-hadis tentang Imam al-Mahdi menunjukkan bahawa beliau juga berketurunan baginda Nabi SAW. Dari satu sisi yang lain, ia adalah isyarat kepada ketinggian makam baginda dan juga ahli baitnya.

- Kumpulan yang membai’ah Imam al-Mahdi itu adalah termasuk kumpulan yang disebut oleh Nabi SAW sebagai ta’ifah yang sentiasa berada di atas kebenaran dan sentiasa dibantu oleh Allah SWT. Umat Islam akan dapat mengenal mereka apabila hampirnya kemunculan Imam al-Mahdi. Justeru, tidak akan ada pertikaian dan kekeliruan lagi apabila mereka mengangkat Imam al-Mahdi sebagai pemimpin, dan bai’ah mereka kepadanya akan diikuti oleh semua orang mukmin.

- Kemunculan Imam al-Mahdi adalah suatu tanda peralihan kuasa dari kekuasaan secara berasingan di kalangan pemimpin-pemimpin umat Islam kepada kekuasaan secara mutlak di tangan seorang pemimpin sahaja bagi seluruh dunia Islam. Juga akan berakhirnya zaman kekuasaan diktator-diktator, bahkan dunia Islam kini sudah mula menyaksikan diktator-diktatornya tumbang satu persatu.


Thursday, October 13, 2011

Dua Kitab ‘Ajaib’ Dari Tuhan Semesta Alam

Matan hadis:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ: خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي يَدِهِ كِتَابَانِ فَقَالَ: أَتَدْرُونَ مَا هَذَانِ الْكِتَابَانِ؟

فَقُلْنَا: لَا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِلَّا أَنْ تُخْبِرَنَا.

فَقَالَ لِلَّذِي فِي يَدِهِ الْيُمْنَى: هَذَا كِتَابٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ فِيهِ أَسْمَاءُ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَأَسْمَاءُ آبَائِهِمْ وَقَبَائِلِهِمْ، ثُمَّ أُجْمِلَ عَلَى آخِرِهِمْ فَلَا يُزَادُ فِيهِمْ وَلَا يُنْقَصُ مِنْهُمْ أَبَدًا،

ثُمَّ قَالَ لِلَّذِي فِي شِمَالِهِ: هَذَا كِتَابٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ فِيهِ أَسْمَاءُ أَهْلِ النَّارِ وَأَسْمَاءُ آبَائِهِمْ وَقَبَائِلِهِمْ، ثُمَّ أُجْمِلَ عَلَى آخِرِهِمْ فَلَا يُزَادُ فِيهِمْ وَلَا يُنْقَصُ مِنْهُمْ أَبَدًا،

فَقَالَ أَصْحَابُهُ: فَفِيمَ الْعَمَلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ كَانَ أَمْرٌ قَدْ فُرِغَ مِنْهُ؟

فَقَالَ: سَدِّدُوا وَقَارِبُوا فَإِنَّ صَاحِبَ الْجَنَّةِ يُخْتَمُ لَهُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنْ عَمِلَ أَيَّ عَمَلٍ وَإِنَّ صَاحِبَ النَّارِ يُخْتَمُ لَهُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ وَإِنْ عَمِلَ أَيَّ عَمَلٍ،

ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدَيْهِ فَنَبَذَهُمَا، ثُمَّ قَالَ: فَرَغَ رَبُّكُمْ مِنْ الْعِبَادِ فَرِيقٌ فِي الْجَنَّةِ وَفَرِيقٌ فِي السَّعِيرِ.

Takhrij:

أخرجه الترمذي (2067) أو(2141) في جامعه وقَالَ: وَفِي الْبَاب عَنْ ابْنِ عُمَرَ وَهَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ غَرِيبٌ، وأحمد في مسنده (رقم 6563)، والنسائي في الكبرى (11473)، وابن أبي عاصم في السنة (348)، وأبو نعيم في الحلية (5/168). قال الذهبي في ميزان الاعتدال 2/684: هو حديث منكر جداً، ويقضى أن يكون زنة الكتابين عدة قناطير.اهـ

قال هذا العبد العاجز: وفي كلامه نظر، فقد تعقبه الحافظ ابن حجر في لسان الميزان وقال: وليس ما قاله من زنة الكتابين بلازم، بل هو معجزة عظيمة، وقد أخرج الترمذي لهذا المتن شاهداً.اهـ وإنكار الذهبي له نشأ من استغرابه لمتن الحديث، ولم يصب فيه، وسوف نشرحه بما يزيل الإشكال فيه، إن شاء الله تعالى، والترمذي قد أشار إلى شاهده من حديث ابن عمر وأخرجه ابن جرير الطبري في تفسيره (23645) عن رجل من الصحابة. وله شواهد أخرى ذكرها الشيخ عبيد الله بن محمد عبد السلام المباركفوري (المتوفى 1414هـ) في مرعاة المفاتيح شرح مشكاة المصابيح فقال: وفي الباب عن عمر عند البزار وابن جرير، وابن عباس عند ابن جرير والدارقطني في الأفراد، وعلي عند الطبراني في الأوسط.اهـ

فالحديث صحيح.

Terjemahan:

Dari ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a. katanya: Pernah Rasulullah s.a.w. keluar kepada kami sedang di tangan baginda ada dua buah kitab. Lantas baginda bersabda: “Adakah kamu sekalian tahu apakah dua buah kitab ini?” Maka jawab kami: Tidak ya Rasulullah, melainkan tuan sendiri yang mengkhabarkannya pada kami.

Lalu sabda baginda kepada kitab yang di tangan kanannya: “Ini suatu kitab dari Tuhan semesta alam, di dalamnya ada nama-nama ahli syurga dan nama bapa-bapa mereka serta kabilah-kabilah mereka. Kemudian jumlahnya telah ditutup dengan nama orang yang terakhir daripada mereka. Maka tidak akan ditambah atau dikurangi daripada mereka itu selama-lamanya”.

Kemudian baginda bersabda kepada kitab yang di tangan kirinya pula: “Ini suatu kitab dari Tuhan semesta alam, di dalamnya ada nama-nama ahli neraka dan nama bapa-bapa mereka serta kabilah-kabilah mereka. Kemudian jumlahnya telah ditutup dengan nama orang yang terakhir daripada mereka. Maka tidak akan ditambah atau dikurangi daripada mereka itu selama-lamanya”.

Lalu para sahabat baginda bertanya: Maka untuk apa amalan itu ya Rasulullah, jika ianya suatu perkara yang telah diselesaikan? Lantas jawab baginda: “Luruskanlah (amalan) dan bersederhanalah kamu sekalian. Sesungguhnya ahli syurga itu akan ditutupkan dengan amalan ahli syurga, walaupun ia melakukan apa jua amal pun (sebelumnya). Dan sesungguhnya ahli neraka itu akan ditutupkan dengan amalan ahli neraka, walaupun ia melakukan apa jua amal pun (sebelumnya)”.

Kemudian Rasulullah s.a.w. mencampakkan kedua-dua kitab tersebut. Setelah itu, baginda bersabda: “Tuhan kamu telah pun selesai daripada urusan (takdir) hamba-hamba-Nya, satu kumpulan di dalam syurga dan satu kumpulan lagi di dalam neraka”.

Huraian:

- Frasa: “Rasulullah s.a.w. keluar kepada kami sedang di tangan baginda ada dua buah kitab”, menunjukkan bahawa kedua-dua kitab itu adalah secara hakiki, zahir dan dapat dilihat oleh para sahabat r.a. Manakala tentang bagaimana rupa dan saiznya tidak pula dijelaskan.

- Rasulullah s.a.w. menyatakan secara jelas pada kitab di sebelah tangan kanan baginda: “Ini satu kitab dari Tuhan semesta alam, di dalamnya ada nama-nama ahli syurga dan nama bapa-bapa mereka serta kabilah-kabilah mereka…”. Zahir hadis menunjukkan bahawa kitab tersebut adalah kitab realiti yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi s.a.w. selain dari kitab al-Quran. Namun, al-Hafiz al-Zahabi mempersoalkan hadis ini dengan katanya: “Ini menunjukkan bahawa berat kedua-dua kitab tersebut adalah beberapa puluh atau ratus kilogram”. Kerana pada logik akalnya, senarai nama-nama seluruh ahli syurga dan ahli neraka tersebut tentulah sangat panjang berjela. Bayangkan sahaja jumlah umat manusia sejak Nabi Adam a.s. hinggalah ke hari kiamat, tentu jumlahnya sangat ramai dan mungkin mencecah berpuluh-puluh billion orang. Sudah tentu angka billion juga digunakan untuk mereka yang masuk ke dalam syurga dan juga mereka yang masuk ke dalam neraka. Maka mustahil senarai yang sangat panjang berjela itu hanya dimuat dalam dua buah kitab sahaja yang dapat diangkat dengan kedua belah tangan. Ini yang dipersoalkan oleh al-Zahabi bagi menolak matan hadis di atas.

Adakah ia mustahil?

- Jawabnya, hadis ini sahih dan dapat diterima oleh akal. Para sahabat r.a. yang sentiasa berdamping dengan Nabi s.a.w. sudah biasa melihat perkara-perkara yang luar biasa dari Nabi s.a.w. walaupun perkara tersebut berlawanan dengan logik akal mereka. Ini yang meningkatkan keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah s.w.t. serta menambahkan keyakinan mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Kisah dalam hadis di atas sebenarnya adalah termasuk dalam mukjizat besar Nabi s.a.w. Baginda diberikan anugerah oleh Allah s.w.t. dapat mengetahui nama-nama seluruh ahli syurga dan seluruh ahli neraka sepertimana yang terkandung dalam kedua-dua buah kitab yang ’aneh’ tersebut. Ini dikuatkan lagi dengan kata-kata perawi: “Maka tidak akan ditambah atau dikurangi daripada mereka itu selama-lamanya”. Ini merupakan suatu keistimewaan Nabi s.a.w. (min khususiyyat nabawiyyah) yang tidak diberikan kepada nabi-nabi lain, atau mana-mana makhluk Allah pun. Juga merupakan satu lagi bukti tentang keagungan makam baginda s.a.w. di sisi Allah s.w.t.

- Kemudian saya terbaca ulasan seorang penulis blog mengenainya yang saya kira harus saya kreditkan di sini (klik), kata beliau: “Apabila pihak yang berfikiran logik membaca hadith ini ada yang mengatakan: Mana logiknya semua nama-nama yang begitu ramai dari zaman Nabi Adam a.s. sampai yang terakhir akan dilahirkan boleh diletakkan di dalam buku yang dipegang keduanya di kedua belah tangan Rasulullah SAW? Na'uzubillah, begitu lemah iman kita yang asyik berfikir secara logik. Bila dijawab balik, macamana external hard disc yang mencecah sampai 2TB [2 terabyte = 2,000 gigabyte] dan pasti akan menjadi sampai berpuluh TB pada masa yang akan datang? Bukankah ia boleh simpan beratus ribu juta nama dalamnya? Maka ahli logik mula berkata, barulah dia faham memang boleh dibuat”. [* Bahkan kiraan unit sistem internasional pun sudah ke tahap peta, exa, zetta dan yotta dengan bilangan quadrillion, quintillion, sextillion dan septillion!!]

Di mana kedua-dua kitab tersebut sekarang?

- Jawabnya, disebut dalam hadis: “Kemudian baginda mencampakkan kedua-dua kitab tersebut”. Ibarat ini dapat ditafsirkan dengan beberapa pengertian. Jika kedua-dua kitab tersebut dicampakkan ke tepi, nescaya ianya terus kekal dipelihara dan disimpan dengan baik sehingga ke hari ini. Namun, hakikatnya kedua-dua kitab tersebut sudah tidak wujud dan tidak pernah disimpan oleh sesiapa. Jika kedua-dua kitab tersebut hanya berbentuk majazi (metafora) dan bukan realiti, maka mencampakkannya bermaksud ia dibuat secara simbolik sahaja menunjukkan ketetapan yang telah pun berlalu ditentukan. Namun, ini bertentangan dengan zahir hadis yang menyebut: “... sedang di tangan baginda ada dua buah kitab”. Jika ditafsirkan kedua-dua kitab tersebut dicampakkan ke alam ghaib, yakni terus hilang dari pandangan mata, maka tafsiran ini adalah lebih dapat diterima. Perkara-perkara yang luar biasa memang sering berlaku di hadapan mata para sahabat r.a., maka ini juga bukan suatu yang mustahil.

- Tidak kurang juga luar biasanya, hadis yang diriwayatkan dari Abu Sa’id, Huzaifah, Abu Zayd bin Akhtab, Abu Maryam, al-Mughirah bin Syu’bah dan ’Umar r.a. bahawa Nabi s.a.w. pernah mengkhabarkan mereka semua perkara yang berlaku dari permulaan kejadian sehinggalah ke hari kiamat dan tidak meninggalkan suatu apapun melainkan baginda telah mengkhabarkannya kepada mereka (Fath al-Bari). Namun, hadis yang panjang berjela itu tidak pun sampai kepada kita pada hari ini secara lengkap dari awal hingga akhirnya. Jika ada, tentunya ia menyamai sebuah kitab yang sangat tebal saiznya.

Di manakah kedudukan kita?

- Apa yang menggentarkan kita ialah di dalam kitab yang manakah tersenarai nama-nama kita semua?? Hanya Allah dan rasul-Nya yang lebih mengetahui. Maka janganlah kita mengandai-andai atau memandai-mandai dan cuba ‘menceroboh’ wilayah ilmu pengetahuan Allah s.w.t. secara biadap. Maksudnya, kita mengandaikan bahawa kita termasuk dalam senarai ahli syurga, lalu kita merasa senang hati dan tidak merasa sebarang takut dan gentar dalam melanggar hak-hak Allah s.w.t. serta tidak melaksanakan tuntutan-tuntutan-Nya yang ditunaikan secara susah payah oleh para nabi, para sahabat, dan juga para solihin. Atau kita mengandaikan bahawa kita termasuk dalam senarai ahli neraka, lalu kita terus-menerus seronok melakukan mungkar, dosa dan maksiat kerana merasakan diri dan jiwa sudah kotor dan tidak dapat dibersihkan lagi. Meskipun golongan kedua ini jelas nampak ‘bodoh’, namun itulah pilihan ramai manusia pada masa ini. Kedua-duanya ini adalah antara pintu-pintu utama tipudaya syaitan. لا حول ولا قوة إلا بالله

- Justeru dalam menghadapi persoalan ini, maka kita perlu menghimpunkan dua sifat yang sangat dituntut, iaitu sifat takut dan harap. Takut terhadap ancaman dan azab Allah s.w.t., takut dimasukkan ke dalam neraka dan tidak dimasukkan ke dalam syurga, serta mengharap rahmat dan nikmat Allah s.w.t., mengharap dimasukkan ke dalam syurga dan dijauhkan dari api neraka. Dua sifat inilah yang akan dapat membentuk jiwa nurani, membuahkan amal soleh, dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Dalam keadaan sihat, sifat takut tersebut perlu lebih berbanding sifat harap. Dan sebaliknya pula dalam keadaan sakit, sifat harap itu perlu lebih berbanding sifat takut. Kita yakin dan redha dengan qadha’ dan qadar Allah s.w.t. namun kita tidak tahu nasib yang sedang menanti kita. Justeru, teruslah melakukan amalan-amalan yang disukai dan diredai oleh Allah s.w.t. tanpa berpaling lagi dan memikirkan sebaliknya. Kerana itulah yang dipertanggungjawabkan dan dituntut daripada kita. Ikutlah nasihat Nabi s.a.w.: “Luruskanlah (amalanmu zahir dan batin) dan bersederhanalah kamu sekalian”. Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim disebut: (كُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لَهُ), ertinya; “Setiap orang itu dipermudahkan melakukan perkara yang ia telah diciptakan untuknya”, yakni dimudahkan melalui jalan yang ia telah ditakdirkan untuknya, sama ada kebaikan ataupun keburukan. Cuba fikirkan, pekerjaan apa dan jalan mana yang telah dipermudahkan kepada kita buat masa sekarang ini??

Sifat-sifat ahli syurga dan ahli neraka

- Rasulullah s.a.w. tidak pernah membiarkan umatnya terkapai-kapai tanpa bimbingan. Banyak hadis yang telah menyebut tentang bagaimana sifat-sifat ahli syurga dan sifat-sifat ahli neraka. Antaranya, daripada Harithah bin Wahb al-Khuza’i r.a. katanya: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para sahabatnya: "Mahukah kamu semua aku khabarkan tentang (sifat-sifat) ahli syurga? Iaitu setiap orang yang lemah lagi dipandang lemah (rendah diri dan tiada menyimpan harta dunia), yang jika dia bersumpah atas nama Allah (meminta kepada-Nya), nescaya Allah akan mengabulkan permintaannya. Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang (sifat-sifat) ahli neraka? Iaitu setiap orang yang keras-kasar, berlagak lagi sombong” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

- Maka terpulanglah pada diri kita, jalan mana yang ingin kita tempuhi. Semoga kita dimasukkan oleh Allah Taala dalam kalangan ahli syurga dan dijauhkan oleh-Nya dari kalangan ahli neraka. Amin...


Friday, October 7, 2011

al-Habib Muhammad Sa’d bin ‘Alawi al-‘Aydarus رحمه الله


Al-‘Allamah al-Habib Muhammad Sa’d bin ‘Alawi al-‘Aydarus

إنّا لله وإنّا إليه راجعون

Beliau telah kembali ke rahmatullah pada waktu zohor hari Khamis 6 Oktober 2011 bersamaan 9 Zulqaedah 1432H di Tarim, Hadramaut. Beliau telah memberi khidmat selama hampir 40 tahun dalam bidang pengajaran, penulisan dan penghafazan al-Quran. Ribuan pelajar yang telah menjadi hafiz di tangan beliau.

Beliau dilahirkan di Tarim tahun 1351H. Pada zaman awalnya, beliau menimba ilmu dengan alim ulama Tarim. Kemudian beliau pernah ke ’Adn untuk bekerja, namun beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pemerintah Komunis pada masa itu tanpa sebarang apa-apa kesalahan. Di situlah beliau berjaya menghafaz al-Quran. Setelah hampir 4 tahun, beliau keluar dari penjara dan kembali ke Tarim pada tahun 1395H. Beliau kemudian bertugas sebagai imam di Masjid Imam al-Saqqaf dan juga mengajar al-Quran.

Pada tahun 2009, beliau pernah menerima anugerah penghargaan dari Markaz Ibn ‘Ubaydillah al-Saqqaf kerana sumbangannya dalam bidang penghafazan al-Quran. Beliau juga giat membaca, menelaah dan menulis. Beliau telah menghasilkan hampir 100 buah karya. Antaranya:

1. (الآيات المتشابهات والمتماثلات والتقاربات)

2. (النيات)

3. (مختارات من كلام الإمام الحداد)

4. (خواص أسماء الله الحسنى)

5. (فضائل لا إله إلا الله)

6. (علاج النسيان)

7. (كيف تكون غنياً)

8. (السنن المهجورة)

9. (نتف الزمان في أخبار ما قد كان)

10. (ثناء الغربيين)

11. (فوائد من الإعجاز القرآني)

12. (السواك)

13. (حكم الإمام علي رضي الله عنه)

14. (خلاصة أخلاق السلف الصالح)

15. (ليلة القدر)

16. (خمسمائة سنة من سنن الصلاة) Kitab ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh sahabat saya, Ustaz Mohammed Fauzi al-Yamani dan akan diterbitkan, insya Allah..

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Habib Sa’ad ini telah kembali kerahmatuLlah pada usia 81 tahun. Beliau meninggal dunia ketika sedang membaca kitab Ihya ‘Ulumiddin tengahari semalam, dan tiba-tiba rebah sementara kitab masih berada di tangan beliau. Allahu, Allah.

Semoga roh beliau dilimpahi rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama-sama para nabi dan para solihin. Amin...


Rujukan:

- alhabibali.com

- alhabibomar.com

- blog al-fanshuri

- biografi al-habib

- hadramouttoday.net

- alwatanye.net


Memahami Hadis: “Janganlah Kamu Melampau-Lampau Memujiku”

Oleh: Panel Penyelidik Yayasan Sofa (dengan nota-nota pinggir oleh al-faqir)

Matan hadis:

عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: «لاَ تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ، وَلَكِنْ قُولُوا: عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ». [أخرجه البخاري (رقم 3261)، ومالك، والطيالسي (رقم 24)، والحميدي (رقم 27)، وأحمد (رقم 154)، والدارمي (رقم 2784)، والعدني، والترمذي فى الشمائل (رقم 331)، وأبو يعلى (رقم 153)، وابن حبان (رقم 6239)، وعبد الرزاق (رقم 20524)]

-------------------------------

“Jangan Memujiku Secara Melampau”

Oleh: Panel Penyelidik Yayasan Sofa (klik)

Sabda Rasulullah SAW: “Janganlah kamu melampau-lampau memujiku sebagaimana kaum Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibn Maryam.” (*lengkapnya: …Tetapi katakanlah: hamba Allah dan rasul-Nya”)

Sebahagian orang memahami sabda Nabi SAW di atas dengan makna melarang daripada memuji Baginda SAW. Mereka mengira perbuatan memuji Nabi SAW termasuk dalam perbuatan yang melampau dan sikap berlebihan yang tercela dalam agama, yang boleh mengakibatkan syirik. Mereka juga beranggapan, bahawa orang yang memuji Nabi Muhammad SAW, mengangkat kedudukan Baginda SAW melebihi daripada manusia yang lain, menyanjungnya dan menyifatkan Baginda SAW dengan apa saja yang membezakannya daripada manusia yang lain, bererti telah melakukan bid’ah dalam perkara agama dan menyanggahi Sunnah Penghulu segala Rasul SAW. (*Banyak qasidah dan selawat memuji Nabi SAW seperti Dala’il al-Khairat oleh Imam al-Juzuli, Qasidah al-Burdah oleh Imam al-Busiri, Sa’adah al-Darain oleh Imam al-Nabhani, Mawlid al-Barzanji dan lain-lain telah dilabel sebagai syirik atau mengandungi unsur syirik oleh golongan Wahhabiyyah. Sedangkan amat jauh sekali alim ulama ini dari melakukan perbuatan syirik. Wal-‘Iyazu biLlah…)

Ini adalah pemahaman yang salah dan buruk serta menunjukkan kecetekan pandangan orang yang menilainya. Maksud sebenar hadith ialah Nabi Muhammad SAW melarang memujinya secara keterlaluan sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa AS yang mengatakan bahawa Nabi Isa AS itu adalah anak Allah.

Adapun, orang yang memuji Nabi SAW dan menyifatkannya dengan sifat-sifat yang tidak terkeluar daripada hakikat kemanusiaan, di samping meyakini bahawa Baginda SAW adalah hamba Allah dan utusanNya, dan menjauhi keyakinan dan kepercayaan kaum Nasrani, maka sesungguhnya dia tidak disyaki lagi merupakan orang yang paling sempurna tauhidnya. (*Maksud sebenar kalimah al-itra’ menurut alim ulama yang menghuraikan hadis ini ialah puji-pujian melampau yang mengandungi perkara dusta, bohong dan batil. Adapun puji-pujian yang tidak mengandungi perkara-perkara dusta dan batil, malah ianya disaksikan oleh dalil-dalil aqli dan naqli, maka ia tidak termasuk dalam makna hadis di atas. Inilah yang difahami dan dipegang oleh alim ulama berkenaan)

Inilah yang ditegaskan oleh Imam Busiri dalam Qasidah Burdahnya yang masyhur:

“Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Nabi Isa AS). Ertinya: Jangan katakan Muhammad SAW itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan); Selepas itu, terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda SAW sesuka hati; Kerana keagungan Rasulullah SAW itu tiada had baginya, lalu lidah dapat mengungkapkan segala keistimewaannya dengan bahasa yang indah; Kemuncak pengetahuan mereka tentang dirinya mereka hanya mampu mengatakan bahawa Baginda SAW itu seorang manusia yang merupakan sebaik-baik makhluk Allah keseluruhannya.”

Jika diperhatikan, perbuatan memuji Nabi SAW adalah sesuatu yang dilakukan oleh Allah SWT sendiri seperti firmanNya: “Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat mulia.” (Al-Qalam: 4). Allah juga memerintahkan supaya umat manusia sentiasa beradab bersama Nabi SAW; Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suaramu melebihi suara Nabi.” (al-Hujurat: 2)

Allah SWT juga melarang kita daripada berurusan dan bergaul dengan Nabi SAW sebagaimana kita berurusan dan bergaul sesama manusia yang lain, atau memanggil Baginda SAW sebagaimana cara kita memanggil sesama kita.Allah SWT berfirman: “Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah SAW di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu.” (al-Nur: 63) Allah mencela orang-orang yang menyamakan Rasulullah SAW dengan yang lain dalam pergaulan dan tatatertib. Allah berfirman:“Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad!), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib).” (al-Hujurat: 4)

Para sahabat yang mulia sering memuji Rasulullah SAW dan Baginda SAW menunjukkan redhanya kepada perbuatan tersebut. Antara mereka ialah Hassan ibn Thabit RA yang terkenal sebagai penyair Nabi SAW. Antara madah beliau:

“Allah telah menghimpunkan nama Nabi SAW kepada namaNya, ketika muazzin melaungkan lafaz “Asyhadu” di dalam azan bagi menandakan masuk waktu solat lima waktu; Allah menerbitkan nama Baginda SAW dari namaNya. Maka pemilik ‘Arasy ialah Mahmud (Allah) dan inilah Muhammad SAW”

Ini pula Ka’ab ibn Zuhair memuji Rasulullah SAW dengan qasidahnya yang terkenal:

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah cahaya yang menerangi, bagaikan pedang tajam dari India, dari pedang-pedang Allah yang terhunus; Di dalam kelompok bangsa Quraisy telah berkata juru cakap mereka di tengah-tengah Makkah, setelah mereka memeluk Islam maka berhijrahlah mereka (ke Madinah); Mereka berjalan laksana pahlawan yang berani. Apabila ditentang musuh kafir Quraisy mereka tidak gentar.”

Di dalam riwayat Abu Bakar ibn al Anbari menyatakan bahawa Rasulullah SAW melemparkan selendang yang berada di tubuhnya kepadanya. Mu’awiyah hendak membayar sebanyak 10,000 kepada Ka’ab RA untuk mendapatkan selendang tersebut. Maka beliau berkata: “Tidaklah aku mendahulukan sesuatupun daripada Rasulullah SAW.” Apabila Ka’ab RA meninggal dunia, Mu’awiyah menghantar kepada warisnya sebanyak 20,000, lalu dia mengambil selendang tersebut daripada mereka.

Rasulullah SAW ada memuji dirinya sendiri dalam banyak hadith bukan bertujuan bermegah tetapi sebagai mengajar kita mengenal hakikat dirinya. Antaranya, Baginda SAW bersabda: “Aku adalah sebaik-baik golongan kanan (yang beruntung mendapat nikmat syurga).” “Aku adalah sebaik-baik golongan yang lebih dahulu memasuki syurga.” “Aku adalah anak Adam yang paling bertaqwa dan mulia di sisi Allah, tidaklah aku bermegah-megah dengannya.” (riwayat Al-Tabrani dan al-Baihaqi dalam Dala’il) “Aku adalah manusia yang paling mulia di antara manusia-manusia yang terawal dan terakhir dan tidaklah aku bermegah-megah dengannya.” (riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi) (*Nabi SAW juga memerintahkan umatnya: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku ini lebih dicintai olehnya lebih daripada bapanya, anaknya dan juga manusia seluruhnya” – HR al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadith Abu Sa’id RA berkata: Sabda Rasulullah SAW: “Aku adalah penghulu anak Adam pada hari Kiamat; dan tidaklah aku berbangga-bangga dengannya. Di tanganku terdapat Liwa’ al Hamdi (bendera yang dipuji); aku juga tidak bermegah-megah dengannya. Tidak ada seorang Nabi pun pada hari itu (Kiamat); baik Adam mahupun yang lain, kecuali semuanya berada di bawah naungan benderaku. Aku juga orang pertama yang dibongkarkan dari bumi dan tidaklah aku berbangga dengannya.” (Riwayat al-Tirmizi, Hassan Sahih)

Jibril AS juga ada memuji Baginda SAW. Antaranya: “Aku telah membalik-balikkan timur dan barat dunia, tetapi aku tidak pernah lihat seseorang yang lebih mulia daripada Muhammad SAW, dan aku juga tidak pernah lihat keturunan yang lebih mulia daripada keturunan Bani Hasyim.” (riwayat al-Baihaqi, Abu Nu`aim dan al-Tabrani).

Kesimpulannya, memuji Nabi SAW adalah sesuatu amalan yang terpuji dan digalakkan. Ia adalah sesuatu yang tidak terpisah dengan kewajiban mengasihi Baginda SAW. Adapun larangan dalam sepotong hadith yang disebut di awal tadi, ia perlu difahami dengan tepat. Ia bukanlah larangan untuk kita memuji Nabi SAW dengan pujian yang tinggi dan agung tetapi membataskannya agar tidak melangkaui batas Khaliq dan Makhluq. (*Setengah golongan yang membataskan definisi mencintai Nabi SAW kepada hanya sekadar mengikuti sunnahnya, tidak termasuk zat diri baginda, hakikat sebenar mereka tidaklah sepenuhnya mereka mengikut sunnah baginda. Lihat bagaimana Sayidina ‘Umar RA berkata kepada Baginda Nabi SAW: “Ya Rasulullah, sungguh engkau adalah yang paling aku cintai lebih dari segala-galanya kecuali daripada diriku sendiri”. Lantas balas baginda: “Tidak, demi yang jiwaku di tangan-Nya, sehinggalah aku ini lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri”. Lalu kata ‘Umar: “Maka ianya mulai saat ini, demi Allah, sungguh engkau adalah yang paling aku cintai daripada diriku sendiri”. Maka balas Nabi SAW: “Baru sekarang (betul), wahai ‘Umar” (HR al-Bukhari). Jelas bahawa hakikat mencintainya itu adalah termasuk mencintai zat diri baginda).

اللهم صلّ وسلّم وبارك علـــــــــــــــــــــــــــــــيه