Pages

Saturday, March 21, 2015

Dr. Harith Sulaiman ad-Dhari



Dr. Harith bin Sulaiman bin Dhari ad-Dhari at-Ta’i, setiausaha agung Majlis Ulama Islam Iraq telah kembali ke rahmatullah pada pagi hari Khamis 21 Jamadil Awal 1436 bersamaan 12 Mac 2015. Jasadnya telah dikebumikan di perkuburan Sahab di selatan ibu kota Amman, Jordan.

Dr. Harith adalah salah seorang pemimpin reformasi dan jihad Iraq yang tegas dan antara yang menentang keras penjajahan Amerika dan campur tangan Iran di Iraq. Kerana prinsipnya yang teguh, beliau antara ulama yang sering mendapat tentangan dan menjadi sasaran politik pihak lawan.

Beliau dilahirkan dalam daerah Baghdad pada tahun 1941. Semasa kecil, bapanya telah menghantar beliau ke Madrasah Agama Asifiyyah di Falujah yang juga terkenal dengan nama Madrasah Syeikh ‘Abdul ‘Aziz. Di situ, beliau belajar fiqh Syafii, bahasa Arab, hadis, tafsir dan mantik. Kemudian, beliau ke kota Baghdad belajar daripada beberapa ulama seperti Syeikh Fu’ad Afandi al-Alusi, Syeikh ‘Abdul Qadir al-Khatib, Syeikh Haji Najmuddin al-Wa‘iz dan lain-lain.

Beliau kemudian melanjutkan pelajarannya ke al-Azhar, Mesir di Fakulti Uusluddin pada tahun 1962 dan tamat dalam jurusan tafsir dan hadis pada tahun 1967. Setelah itu, menyambung pula ke peringkat master dalam takhassus tafsir dan selesai pada tahun 1969.

Lalu beliau kembali ke Iraq dan bertugas sebagai penyelia di Kementerian Wakaf Iraq. Setelah itu, pada tahun 1970 berpindah tugas pula menjadi tutor di Fakulti al-Imam al-A‘zam. Kemudian beliau kembali semula ke al-Azhar untuk mengambil takhassus hadis pada tahun 1971. Setelah selesai, beliau menyambung pula ke peringkat PhD. Sementara menulis tesis, beliau kembali ke Iraq dan bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, di samping menjadi tutor di Fakulti al-Imam al-A‘zam.

Pada tahun 1978, beliau berjaya menamatkan pengajian PhDnya dengan taraf cemerlang dengan judul tesisnya: (الإمام الزهري وأثره في السنة). Pada tahun 1979, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai pensyarah kanan di Fakulti al-Imam al-A‘zam. Nama fakulti ini kemudian ditukar kepada Fakulti Syariah pada tahun 1980 selepas dipindahkan daripada  bahagian Kementerian Wakaf ke Universiti Baghdad.

Pada tahun 1997, beliau meminta bersara daripada univerisiti selepas berkhidmat selama 27. Namun, menyambung khidmat pula di Fakulti Syariah di Universiti Yarmuk, Jordan (1997), seterusnya Fakulti Pengajian Islam dan Arab di Dubai, Emiriah (2000) dan Universiti ‘Ajman di Fujairah, Emiriah (2002).

Selepas penjajahan Amerika, beliau kembali semula ke Iraq pada bulan Julai 2003. Beliau antara yang berperanan utama dalam penubuhan Majlis Ulama Islam Iraq yang menangani banyak isu-isu penting.

Penulisan

Antara karya-karya Dr. Harith ialah;
1. (الإمام الزهري وأثره في السنة)
2. (القرآن الكريم، تلاوته ومعانيه للصف السادس الإعدادي ، مشاركة مع آخرين)
3. (محاضرات في علوم الحديث) yang telah banyak kali diulang cetak.

Antara artikel-artikel ilmiah beliau pula;
1. (علم الجرح والتعديل)
2. (الإسناد عند المحدثين)
3. (التعارض والترجيح في الحديث)
4. (الإدراج في الحديث)
5. (التصحيف في الحديث)
6. (المكاتبة عند المحدثين)
7. (الكتب الستة ومكانتها عند المسلمين)
8. (الإمام مجد الدين بن الأثير وجهوده في الحديث)
9. (الأربعينيات في الحديث)
10. (حقوق الإنسان والتمييز فيها)
11. (أبو هريرة الداعية)
12. (الماسونية والأديان السماوية)
13. (وحدة الأمة ووسائل المحافظة عليها)

Rujukan:
Laman web beliau, http://www.harithaldhari.com/Portal/news.php?action=view&id=396

رحمه الله رحمة واسعة وأسكنه فسيح جناته