Pendokumentasian sanad merupakan salah satu elemen penting bagi menjaga
rekod pertalian keilmuan di antara guru dengan murid. Meskipun demikian, tidak
ramai ilmuwan Nusantara pada masa kini yang dilihat memberikan tumpuan dan perhatian
terhadap aspek berkenaan. Berdasarkan tinjauan awal, ditemukan empat orang di
antara mereka yang telah menyusun, menerbitkan dan menyebarkan sanad keilmuan
mereka kepada para penuntut ilmu. Dengan syarat ini, maka selayaknya mereka itu
digelar sebagai al-musnid. Mereka ialah:
1. Syeikh Nuruddin bin Marbu al-Banjari
Nama penuh beliau ialah Syeikh Muhammad Nuruddin
bin Haji Marbu bin ‘Abdullah Tayyib al-Banjari al-Makki. Beliau berasal dari Banjarmasin, Kalimantan
Selatan Indonesia. Lahir di desa Harus, Amuntai pada 1 September 1960M. Beliau
anak yang ketiga dari tujuh bersaudara. Beliau mendapat pendidikan awal di
kampungnya sehingga pada tahun 1974,
seluruh keluarga beliau telah berhijrah ke Makkah. Beliau meneruskan
pengajiannya di Madrasah Sawlatiyyah sehingga tahun 1982. Di samping mengikuti
pengajian yang diadakan di Masjidil Haram dan juga di rumah para syeikh. Pada
tahun 1983, beliau melanjutkan pengajiannya di Universiti al-Azhar, Mesir dalam
bidang syariah. Kemudian meneruskan lagi pengajiannya di Ma'had 'Ali li
al-Dirasat al-Islamiyyah di Zamalik sehingga memperolehi diploma am Dirasat
'Ulya pada tahun 1990. (al-Fanshuri 2007)
Antara guru-gurunya ialah Syeikh Isma‘il ‘Uthman
Zayn al-Yamani, Syeikh Hasan al-Masysyat, Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani,
Syeikh Abdul Karim Banjar, Syeikh Suhaili al-Anfenani, al-Sayyid Muhammad bin
‘Alawi al-Maliki, Syeikh Sa‘id al-Bakistani, Syeikh ‘Abdullah Sa‘id al-Lahji,
Syeikh Zakariyya Bila, Syeikh Muhammad Zakariyya al-Kandahlawi, al-Habib ‘Abdul
Qadir al-Saggaf dan ramai lagi. (al-Fanshuri 2007)
Beliau pernah mengajar di Maahad Tarbiah Islamiah,
Derang, Kedah mulai tahun 1998 sehingga tahun 2002. Di samping aktif sehingga
kini mengadakan pengajian dan ceramah bulanan atau mingguan di masjid-masjid,
sekolah-sekolah dan majlis-majlis sambutan agama di seluruh Malaysia. Beliau
pernah menubuhkan pesantren beliau sendiri di Kalimantan, Indonesia. Pada tahun
2004, beliau menubuhkan pula Maahad az-Zein al-Makki al-‘Ali li al-Tafaqquh fi
al-Din di Ciampiea, Bogor, Jawa Barat, Indonesia. (al-Fanshuri 2007)
Syeikh Nuruddin juga giat berkarya dan mentahqiq
kitab yang jumlahnya lebih dari 50 buah dan kebanyakannya di dalam bahasa Arab.
Antaranya: Adab al-Musafahah, Man Huwa al-Mahdi al-Muntazar, al-Durar
al-Bahiyyah fi Idah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, Asma’ al-Kutub al-Fiqhiyyah li
Sadatina al-Syafi‘iyyah, al-‘Ibar bi Ba‘d Mu‘jizat Khayr al-Basyar SAW, Makanah
al-‘Ilm wa al-‘Ulama’ wa Adab Talib al-‘Ilm, Tahdhib al-Adab al-Mufrad,
Tahdhib Misykat al-Masabih dan sebagainya.
Beliau telah mendokumentasikan sanad keilmuan beliau di dalam karya-karya
berikut:
1.
al-Ahadith al-Musalsalah. Ia mengandungi 34 buah hadith musalsal.
2.
al-Awa’il wa al-Awakhir wa al-Asanid.
2. Syeikh Mohd. Fuad bin
Kamaluddin
Nama penuh beliau ialah Syeikh Dato’ Mohd. Fuad bin Kamaluddin bin Mahat
al-Rembawi. Lahir di Rembau, Negeri Sembilan pada 16 September tahun
1974. Berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar Mesir cawangan
Tanta . Namun,
beliau juga telah menimba ilmu dari ramai guru di luar Universiti al-Azhar.
Selain Mesir, beliau pernah mengunjungi Makkah, Madinah, Sudan, Syria, Lubnan,
Palestin, Emiriah Arab Bersatu, Turki, Indonesia, Singapura dan lain-lain untuk
tujuan mencari ilmu. (Mujahid 2007: 32)
Antara guru-guru beliau ialah
Syeikh Dr. ‘Ali Jum‘ah, Syeikh ‘Abd al-Ghani bin Salih al-Ja‘fari, Syeikh Dr.
Judah Abu al-Yazid al-Mahdi, Syeikh Abd al-Salam Abu al-Fadl, Dr. Ahmad ‘Umar
Hasyim, Syeikh Dr. Mahmud Sa‘id Mamduh, Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Kattani,
Dr. Sa‘ad Jawisy, Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari, Syeikh Sa‘ad Badran, Syeikh
Dr. Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki, Dr. ‘Umar ‘Abdullah Kamil, Dr. ‘Isa bin
‘Abdullah al-Himyari, Dr. Ahmad bin Muhammad Nur Sayf, Dr. Muhammad Muti‘
al-Hafiz, al-Habib ‘Umar bin Hafiz, al-Habib ‘Ali al-Jufri dan lain-lain.
(Mujahid 2007: 35-70)
Beliau merupakan penasihat
Yayasan Sofa Negeri Sembilan yang telah banyak membangunkan berbagai usaha
kebajikan dan program pendidikan seperti rumah anak yatim, sekolah dan juga
pusat-pusat pengajian. Beliau telah menghasilkan hampir 200 buah buku dalam
pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti sirah nabawiyyah, biografi tokoh,
tasawwuf, tauhid, tafsir, hadith, fiqh dan sebagainya.
Beliau telah mendokumentasikan sanad
keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
1.
Al-Musalsalat al-‘Asyarah.
2. Musalsal Orang-orang Mulia.
3. Al-Bahjah al-Mardiyyah fi
Musalsalat al-Rembawiyyah.
4. Bulugh al-Amani
al-Muntakhab min Musalsalat al-Maliki.
5. Hadith-hadith Musalsal
Berkaitan al-Qur’an al-Karim. Ia menghimpunkan 11 buah hadith musalsal berkaitan al-Quran.
6. Al-Tali‘ al-Sa‘id.
7. Kunuz al-Anwar
al-Muntakhab min Asanid al-Akhyar.
8. Al-Jawahir al-Ghawali min
Asanid al-Imam al-Azhari. Ia menghimpunkan sanad sepuluh buah kitab hadis daripada Syeikh Salih
al-Ja‘fari.
9. Al-Yaqut al-Nafis min Asanid
al-Muhaddith Sayyid Ahmad bin Idris.
10. Fath al-Rahman bi Asanid
Mufti Negeri Sembilan.
11. Sanad al-Awrad
al-Qusyasyiyyah.
12. Al-Manhal al-Karim fi
Asanid al-Qur’an al-‘Azim.
13. al-Nafahat al-Aqdasiyyah
fi Asanid al-‘Ulum al-Qur’aniyyah.
14. al-Lumma‘ fi Asanid Qira’at
al-Sab‘. Ia menghimpunkan sanad qiraat tujuh.
3. Ustaz Mohd. Zaidi
Abdullah
Nama penuh beliau ialah Mohd. Zaidi bin Abdullah bin Ahmad al-Shah Alami.
Lahir di Selangor pada tahun 1975. Seorang yang gigih menuntut ilmu
sejak dari mudanya. Beliau telah menimba ilmu di Pondok Lubuk Tapah, Kelantan
sejak dari tahun 1990 sehingga tahun 2008. Di samping itu, gigih bertalaqqi
daripada alim ulama yang terkenal memiliki sanad keilmuan dan sehingga kini
telah mengumpulkan sanad kira-kira 60 orang ulama Tanah Melayu.
Antara
guru-gurunya ialah: Tuan Guru Hj. ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman, Tuan Guru Hj.
Hasyim bin Abu Bakar, Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki, Syeikh Wan Zakaria
bin Ahmad Wan Besar, Tuan Guru Hj. Yahya Zikri, Tuan Guru Wan Izzuddin bin Wan
Ibrahim, Syeikh Saleh bin ‘Uthman Jalaluddin, Tuan Guru Hj. Saleh bin Musa dan
lain-lain. (al-Langkati t.t.: 287)
Antara guru beliau juga ialah Ustazah al-Muhaddithah
Hajjah Hamudah binti al-Sheikh al-Mu’ammar Haji Ghazali bin Arshad
al-Firaqiyyah. Seorang tokoh hadis wanita yang amat jarang
kita temukan di Malaysia tokoh dari kalangan wanita dalam bidang hadis seperti
beliau.
Beliau telah mendokumentasikan sanad
keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
i.
Subul al-Sa‘adah bi Asanid al-Syaykh
al-Muhaqqiq ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Kelantani, yang merupakan
himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman.
ii.
Al-Majalis al-Hadithiyyah: wa hiya
Musalsalat wa Asanid al-Syaykh Wan ‘Izz al-Din bin Wan Ibrahim al-Fatani
al-Qadahi, yang merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Wan ‘Izzuddin
bin Wan Ibrahim.
iii.
Juz’ fi Masmu‘at al-Ustadh Taha
al-Falaki, yang merupakan himpunan sanad-sanad al-Fadhil Ustaz Taha
al-Falaki, Klang.
iv.
Talkhis al-Jami‘ al-Sahih al-Musnad
al-Mukhtasar li al-Bukhari min Marwiyyat Syaykh ‘Abdullah Lubuk Tapah wa Syaykh
Hamzah Bukit Tanah. Ia mengandungi 100 hadith pilihan daripada kitab Sahih
al-Bukhari daripada riwayat Tuan Guru Hj. ‘Abdullah Lubuk Tapah dan Tuan
Guru Hj. Hamzah Bukit Tanah.
v.
Asanid al-Kutub al-Masyhurah, yang
merupakan himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Hasyim Pasir Tumboh.
vi.
‘Unwan al-Asanid, yang merupakan
himpunan sanad-sanad Tuan Guru Hj. Sulaiman Kg. Siram.
vii.
Arba‘un Hadithan min Musnad Imamina al-Syafi‘i melalui sanad Maulana Lambak bin Ibrahim
Kg. Tok Jiring.
viii. Himpunan sanad-sanad Tuan
Guru Hj. Yahya Zikri
Telok Intan.
4. Syeikh Husni
Ginting al-Langkati
Nama penuh beliau ialah Syeikh Muhammad Husni Ginting bin Muhammad Hayat
Ginting bin Muhammad Ilyas Ginting bin Muhammad Salih Ginting
al-Langkati. Beliau merupakan seorang alim muda dari Medan ,
Sumatera Utara , Indonesia yang gigih menimba ilmu
pengetahuan. Lahir di Besitang, Langkat pada tarikh 26 Zulqa`idah 1400H (1980).
Beliau mendapat pendidikan-pendidikan formal di peringkat Ijazah Thanawiyah
Negeri (1996), Ijazah Thanawiyah Ma`had Musthafawiyah (1997), Musthafa, Ijazah
Mas (1999), Ijazah Lisence Universiti Al-Azhar (2004), dan Ijazah Diploma
Master Ma`had ‘Ali Dirasat Islamiyah (2007), Fakulti Usuluddin al-Azhar dalam
Jurusan Hadith.
Beliau telah mendokumentasikan sanad
keilmuan beliau di dalam karya-karya berikut:
- Ghayah al-Rusukh fi Mu‘jam al-Syuyukh. Ia
menghimpunkan senarai guru-guru beliau yang berjumlah seramai 165 orang
dan juga sebahagian sanad mereka.
- Asanid al-Jawiyyin.
- Al-Ayat al-Mufassalat fi al-Ahadith al-Musalsalat.
- Ithaf
al-Akabir bi Asanid al-Syaykh ‘Abd al-Qadir.
- Asanid
al-Kutub al-‘Asyarah.
- Al-Awa’il
al-Lankatiyyah.
- ‘Iqd
al-Farid al-Muntakhab min al-Asanid.
- Fayd
al-Jari bi al-Ittisal bi Thulathiyyat al-Bukhari.
- Al-Kawakib
al-Darari bi Tarjamah wa Asanid al-Syaykh ‘Ali Hasan Ahmad al-Dari.
- al-Muntakhab
min al-Musalsalat.
- Nihayah
al-Zayn bi Tarjamah wa Asanid al-Syaykh Mustafa Husayn.
Kemungkinan masih ada beberapa ilmuwan lagi yang masih hidup selain di atas
yang telah menyusun, menerbitkan dan menyebarkan sanad keilmuan mereka. Namun,
maklumat mengenainya masih perlu dicari dan digali agar dapat direkodkan dengan
yang sewajarnya.
Wallahu a‘lam.