Pages

Wednesday, October 27, 2010

Syeikh al-Albani... Dhal Mudhil??


"Maaf sekiranya soalan saya ini agak menukik (maksudnya bersifat tajam).. iaitu Syeikh Yasin al-Fadani ada mengatakan tentang Syeikh Nasiruddin al-Albani sebagai dhal mudhil (sesat lagi menyesatkan), maka apakah pandangan ustaz mengenainya?" Soal seorang mahasiswa Indonesia.

Memang agak 'menukik' kerana soalan itu didengar oleh semua hadirin yang ada, termasuk pembentang-pembentang kertas kerja yang terdiri daripada profesor-profesor, doktor-doktor, para pensyarah, para pengkaji/ penyelidik, dan para mahasiswa universiti. Dan soalan yang ditujukan kepada saya itu pastinya perlu dijawab kerana kertas kerja saya berhubung tentang Syeikh Yasin Padang.

Malah saya juga tahu bahawa di UKM ini ada pendokong-pendokong Syeikh al-Albani, atau orang-orang yang melihat al-Albani sebagai tokoh hadith yang tidak wajar direndah-rendahkan. Maka jawapan saya itu pastinya ditunggu-tunggu oleh semua orang yang hadir.

Dalam situasi yang kurang enak ini saya perlu berhati-hati mengeluarkan jawapan bagi soalan tersebut. Saya tidak mahu dilihat agak condong menghentam Syeikh al-Albani kerana tentunya orang akan mempersoal kelak siapa saya berani untuk mengkritik al-Albani. Walaupun beliau pada masa hayatnya banyak dikritik oleh ramai ulama hadith seperti Syeikh Habibur Rahman al-A'zami, Syeikh 'Abdullah al-Ghumari, Syeikh Ibrahim Mulla Khatir, Syeikh Mahmud Sa'id Mamduh, Syeikh Hasan al-Saqqaf, Syeikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah dan lain-lain, terutama daripada aliran tradisional .

Manakala yang mempertahankan Syeikh al-Albani juga ramai, terutama murid-muridnya dan mereka yang beraliran 'Salafiyyah-Athariyyah-Wahhabiyyah'.

Sebelum pembentangan kertas kerja itu pun, ketika minum pagi ada yang bertanya saya tentang pandangan saya terhadap Syeikh al-Albani. Maka saya jawab ringkas: "Beliau adalah seorang penyelidik hadith". Kemudian saya tambah: "Ada syeikh yang telah mengkaji tentang hadith-hadith yang dihukum oleh al-Albani dan didapati ada 10,000 kesalahan". Pada masa itu saya agak kurang pasti sama ada beliau ialah Syeikh Ahmad Darwisy atau Syeikh 'Abdullah Muhammad 'Akur, lalu saya katakan namanya ialah Syeikh Ahmad Darwisy kerana beliau juga ada mengkritiknya. Padahal kenyataan itu adalah dari Syeikh 'Abdullah 'Akur, dan bilangan tersebut ialah bilangan tanaqudh (percanggahan fakta). Lihat sini.

Tatkala saya menjawab, nampaknya semua yang hadir senyap dan memasang telinga ingin mendengar jawapan. Jawab saya:

"Memang ada dikatakan kata-kata tersebut diungkapkan oleh Syeikh Yasin al-Fadani, namun tidak saya pasti sama ada ia dicatat dalam mana-mana karyanya atau ia hanya sebagai jawapan kepada pertanyaan anak muridnya lalu dituliskan kenyataan tersebut. Kritikan yang berlaku sesama ulama ini sebenarnya sudah berlaku sejak lama dahulu, seperti yang berlaku antara Imam Ahmad bin Hanbal dengan Imam al-Harith al-Muhasibi,... antara Imam Malik dengan Muhammad bin Ishaq imam Ahli al-Maghazi. Kritikan ini adakalanya agak berat seperti kritikan Imam Malik terhadap Ibn Ishaq sebagai kazzab (pendusta) sedangkan ianya tidak benar. Maka kritikan-kritikan sebegini perlu diteliti kembali apakah ianya benar terhadap orang yang dikritik. Ia disebut dalam ilmu al-jarh wat ta'dil sebagai kalam al-aqran, iaitu kritikan ulama yang hidup sezaman.

Kritikan-kritikan ini berpunca daripada banyak sebab.. antaranya ialah munafasah 'ilmiyyah iaitu pergeseran-pergeseran ilmiah yang berlaku di antara mereka. Maka berbalik kepada Syeikh al-Albani, kritikan Syeikh Yasin Padang itu kelihatan agak berat. Barangkali kerana Syeikh Yasin Padang melihatnya bukan sebagai ahli hadith kerana Syeikh al-Albani tidak mempelajari hadith mengikut tradisi ulama-ulama hadith, iaitu secara bertalaqqi kitab daripada kulit ke kulit,... dari awal hingga akhir serta menerima ijazah sanad. Ini yang dilalui oleh Syeikh Yasin Padang (sehingga guru-guru sanadnya sekitar 700 orang), manakala Syeikh al-Albani pula tidak mengikut tradisi demikian, malah beliau tidak mempunyai sebarang ijazah sanad kecuali daripada Syeikh Muhammad Raghib al-Tabbakh secara ijazah umum sahaja... wa Allahu a'lam..."

Saya tamatkan jawapan saya di situ.

___________

* Dengan nota:

Mereka semua telah kembali ke rahmatuLlah dan yang tinggal ialah hasil pemikiran mereka, maka bukan suatu kesalahan untuk kita membincangkan hasil pemikiran tersebut, dan bukan peribadi mereka, di samping kita mengucap tarahhum terhadap mereka.

- Situasi di atas memang benar-benar 'menukik'...

Monday, October 18, 2010

Haul dan Mawlid Medium Dakwah


Hakikat dakwah yang sebenar ialah dakwah ila Allah, yakni dakwah kepada Allah SWT. Konsep, sasaran dan medium dakwah adalah amat luas. Dakwah dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu;

  1. Dakwah dengan hati/qalbu.
  2. Dakwah dengan lidah/lisan.
  3. Dakwah dengan pena/penulisan.
  4. Dakwah dengan akhlak dan tingkah laku.
  5. Dakwah dengan situasi/ isu dan peristiwa.
  6. Dakwah dengan ‘mata pedang’/senjata.

Dakwah no. 4 dan 5 di atas disebut sebagai dakwah bi al-hal. Jenis dakwah inilah yang bersesuaian dikait dengan majlis-majlis sambutan haul atau mawlid yang akan dibicarakan dalam tulisan ini. Meskipun pengisian dalam program haul atau mawlid tersebut adakalanya merangkumi jenis dakwah no. 1, 2 dan 3 di atas sekaligus.

Salah Satu Medium Berkesan

Haul ialah memperingati kewafatan seseorang, manakala mawlid adalah memperingati kelahiran seseorang. Majlis sambutan haul atau mawlid biasanya diadakan bagi seseorang tokoh besar tertentu yang meninggalkan jasa dan sumbangan besar kepada umat Islam. Sambutan haul atau mawlid adalah antara medium-medium yang diadakan bagi menghimpunkan masyarakat dalam majlis-majlis islamik tertentu, ia sepertimana sambutan-sambutan Mawlidur Rasul, Ma’al Hijrah, Isra’ dan Mi’raj, dan sebagainya. Semua sambutan-sambutan ini adalah dari buah pemikiran ahli-ahli fikir Islam sendiri bagi mengajak masyarakat mengenang peristiwa-peristiwa islamik tersebut serta mengambil iktibar daripadanya. Tiada timbul soal mengadakan bidaah yang dilarang oleh agama kerana tidak ada nas yang jelas melarang dari mengadakan majlis-majlis seumpama itu. Maka secara umumnya ia merujuk kepada hukum asal, iaitu harus.

Ingin saya petikkan di sini pandangan Dr. ’Ali ’Abdul ’Aziz Suyyur dalam kitabnya al-Farq Bayn al-Bid’ah wa al-Ikhtilaf al-Fiqhi wa Atharuhuma ’ala al-Din wa al-Mujtama’ (hlm. 527), kata beliau; ”Orang yang menyambut mawlid tidak hanya semata-mata menyambut mawlid, bahkan ia juga menyambut munasabah-munasabah islamik yang lain. Kami percaya bahawa sambutan-sambutan yang diadakan bersempena munasabah-munasabah islamik yang bersifat sejarah ini seperti Mawlidur Rasul, Isra’ dan Mi’raj, Fath Makkah, Perang Badr dan sebagainya adalah semata-mata medium-medium dakwah dan pengeksploitasian terhadap suatu bentuk muktamad dalam bidang pentarbiyahan, pengajaran dan bimbingan. Ia dikenali sebagai pentarbiyahan melalui peristiwa dan realiti semasa. Mereka yang menganjurkannya pun tidak benar-benar menjaga perlaksanaan sambutannya pada hari yang jelas menurut mereka bahawa peristiwa berkenaan berlaku pada hari tersebut, bahkan adakalanya dibuat sehari atau dua hari sebelum itu, atau sehari atau dua hari sesudah itu, atau lebih lagi berdasarkan kelapangan orang ramai dan dapat mengumpulkan bilangan majoriti orang ramai yang paling besar untuk mendengar zikir dan ceramah. Malahan jika ditambah kepada sambutan-sambutan ini sebahagian ibadah seperti berselawat ke atas Nabi SAW, atau lain-lain zikir, maka yang demkkian itu tidak menjadikannya termasuk dalam bidaah yang dicela”.

Suatu 'Trend' dan Hakikat Istimewa

Semacam suatu 'trend' dari sudut kecenderungan dalam mengadakan majlis-majlis sambutan ini, di mana sesetengah tempat seperti Mesir cenderung mengadakan majlis-majlis sambutan mawlid, dan sambutan Mawlid al-Badawi di Mesir adalah antara sambutan mawlid terbesar yang dihadiri oleh jutaan orang. Manakala sesetengah tempat seperti Yaman dan Nusantara lebih cenderung mengadakan majlis-majlis sambutan haul, dan sambutan Haul al-Haddad adalah antara sambutan haul terbesar yang dihadiri oleh puluhan ribu orang.

Apa yang menarik perhatian, majlis-majlis sambutan seperti ini adalah sempena tokoh-tokoh besar dalam bidang kesufian dan kerohanian, tidak ada sambutan seumpama demikian diadakan bagi tokoh-tokoh besar dalam bidang-bidang lain seperti tafsir, hadith, fiqh, usul, akidah dan sebagainya. Ini barangkali menjadi salah satu justifikasi bagi pandangan sesetengah ahli sufi yang menyatakan tentang kewujudan dawlah @ hukumah batiniyyah atau 'negara rohani' yang akan terus kekal berkembang dan berterusan hingga ke hari kiamat kelak. Hal ini samasekali tidak menidakkan sumbangan tokoh-tokoh besar dalam bidang-bidang lain yang telah diakui jasa-jasa mereka dalam memelihara zahir syariat Islam. Malah sesetengah mereka adalah murid kepada tokoh sufi yang masyhur. Bahkan sesetengah tokoh sufi tersebut juga adalah tokoh dalam bidang-bidang disiplin Islam yang lain.

Oleh kerana majlis-majlis sambutan ini berteraskan tokoh islamik, maka wajar ia dihadiri oleh ramai para ulama, para ilmuwan dan orang-orang soleh. Situasi ini menarik satu hakikat yang disepakati, iaitu peri pentingnya berdamping dan bersahabat dengan orang-orang yang baik dan soleh. Amat banyak faedah rohani dan manfaat batini yang dapat diperolehi oleh mereka yang menghadiri majlis-majlis perhimpunan bersama orang-orang yang soleh ini. Ia mampu memimpin tangan seseorang mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengabdikan diri kepada-Nya. Atau sekurang-kurangnya mendapat rahmat dan barakah daripada majlis-majlis tersebut.

Kalimat Imam al-Haddad

Di dalam kitab al-Fusul al-‘Ilmiyyah karya Imam al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad, pada fasal 32 ada menyebut tentang bergaul dengan orang-orang agama dan orang-orang soleh ini, kata beliau:

صحبة أهل الدين وأهل الخير من العلماء ، وعباد الله الصالحين ومخالطتهم ومجالستهم محبوبة ومرغب فيها ، وفيها منافع وفوائد عاجلة وآجلة ، وردت بها وفيها الأخبار والآثار الكثيرة ، ولكن الناس في طلب ذلك والحرص عليه ، والرغبة فيه على نيات ومقاصد ومطالب شتى ، أعلاهم وأولاهم في ذلك من يصحبهم ويخالطهم ليعلم من علومهم ، ويتأدب بآدابهم ، ويشاهد من أخلاقهم الحسنة ، وصفاتهم المحمودة ، وأعمالهم الصالحة وأقوالهم الطيبة ، ما يقتدي بهم فيها، ويطالب نفسه ، بالاتصاف والتخلق به والعمل به ، وليس له هم ولا قصد إلا ذلك ، ولا سعي إلا له ، ولا حرص إلا عليه .

“Mendampingi ahli agama dan ahli kebajikan dari kalangan ulama, serta hamba-hamba Allah yang soleh, bergaul dan duduk bersama mereka adalah sesuatu yang disukai dan digalakkan. Ia mengandungi banyak manfaat dan faedah baik di dunia mahupun di akhirat. Terdapat banyak hadith dan athar mengenainya. Akan tetapi manusia dalam mencari, menunggu-nunggu dan menginginkannya itu di atas berbagai-bagai niat, qasad dan tujuan. Mereka yang paling tinggi dan utama ialah orang yang berdamping dan bergaul dengan mereka untuk belajar dari ilmu-ilmu mereka, beradab dengan adab-adab mereka, menyaksikan akhlaq mereka yang mulia dan sifat mereka yang terpuji, amalan-amalan mereka yang soleh dan juga perkataan-perkataan mereka yang baik yang dapat dicontohi. Dan ia cuba berusaha pula untuk mencontohi sifat-sifat tersebut, berakhlaq dan beramal dengannya. Tiada baginya sebarang niat dan tujuan selain dari itu. Tiada ia usaha bersungguh-sungguh selain kerananya, dan tiada ia sentiasa berharap selain terhadapnya”.

ومنهم من يصحبهم ويخالطهم محبة لهم ، ولما هم عليه من إيثار دين الله، وإقامة أمره، والإشتغال بطاعته ، والعمل بما يقرب منه ويزلف لديه ، من العلوم النافعة ، والأخلاق الحسنة، والأعمال الصالحة ، فهو يحبهم لذلك ، ويرغب في مخالطتهم ، ويتشبه بهم ، ويطالب نفسه في أن تعمل وتتخلق بما يساعده عليه الفراغ ويتيسر له من ذلك ، وما لم يتيسر له منه فهو يتأسف على فوته ، ويود أن لو وفق له وتمكن منه ، وفي مثله يقال : (المرء مع من أحب) ، (ومن تشبه بقوم فهو منهم).

”Di antara mereka, ada yang bersahabat, dan bergaul dengan mereka disebabkan rasa kecintaan terhadap mereka dan juga pendirian mereka dalam mengutamakan agama Allah, menegakkan perintah-Nya, menyibukkan diri dalam mentaati-Nya, dan beramal dengan perkara yang mendekatkan diri kepada-Nya yang berupa ilmu-ilmu yang bermanfaat, akhlaq yang baik dan amal-amal yang soleh. Ia mencintai mereka itu semata-mata kerana perkara tersebut, dan ia ingin selalu bergaul dengan mereka dan menyerupai mereka, serta menuntut dirinya untuk beramal dan berakhlaq seperti itu sekadar yang mampu dan mudah dilakukannya. Adapun yang tidak dapat dikerjakannya maka ia berasa menyesal atas kekurangannya itu dan sangat berharap jikalau diberi taufiq dan kemampuan terhadapnya. Orang seumpama ini yang disebut dalam hadis: ’Seseorang itu bersama siapa yang dicintainya’, dan ’Barangsiapa yang menyerupai dengan sesuatu kaum maka ia termasuk dari kalangan mereka”.

ومنهم من يصحبهم ويخالطهم لتناله بركتهم ، وصالح دعواتهم ، من غير أن تكون له نية ولا عزيمة في الاقتداء بهم والتشبه بسيرهم ، فذلك لا يخلو من بركة وخير ، وهو داخل تحت عموم ما ورد في الحديث القدسي : (هم القوم لا يشقى بهم جليسهم) حتى إن الذي يجالسهم ليتحصن بيمن مجالستهم وبركتها من الظالمين والمعتدين ، من شياطين الإنس والجن ، لا يخيب ولا يحرم من بركتهم ، وإنما يحرم ويخيب من تكون نيته في صحبتهم والاختلاط بهم أن يعرف بذلك بين الناس ، فيتوصل به إلى شيء من الأمور المحظورة المحرمة في الشرع على توهم منه .

”Di antara mereka lagi, ada yang bersahabat, dan bergaul dengan mereka untuk mendapatkan barakah dan doa-doa soleh mereka, tanpa mempunyai sebarang niat atau tujuan untuk mencontohi akhlaq mereka atau meniru perjalanan hidup mereka. Perbuatan sedemikian juga tidak luput dari mendapat keberkatan dan kebaikan. Ia termasuk dalam maksud umum sepotong hadis qudsi: ”Mereka itulah kaum yang tidak akan rugi seorangpun yang duduk bersama dengan mereka”. Hinggakan orang yang duduk bersama mereka itu dapat membentengi dirinya dengan keberkatan majlis mereka dari orang-orang yang zalim dan para pelampau, dari kalangan syaitan-syaitan bangsa manusia dan juga jin. Ia tidak akan rugi dan terhalang dari keberkatan mereka. Akan tetapi yang rugi dan terhalang ialah orang yang nawaitunya berdamping dan bergaul dengan mereka itu ialah agar tingkahlakunya diketahui orang. Maka dengan cara begitu ia dapat mencapai sesuatu perkara daripada perkara-perkara yang ditegah lagi haram di sisi syariat berdasarkan sangkaannya...”.

Masalah-masalah Sampingan

Pengisian majlis-majlis haul atau mawlid secara umumnya adalah berbentuk kerohanian seperti bacaan al-Quran, zikir, selawat, qasidah, dan ceramah agama, dan juga ada dilaksanakan dalam bentuk ilmiah seperti talaqqi kitab, periwayatan hadith, pembacaan sejarah, karya tokoh dan pengijazahan sanad. Adapun masalah-masalah sampingan yang dilihat bercanggah dengan syarak yang mengiringi majlis-majlis tersebut sekiranya ada, seperti percampuran lelaki dan perempuan, tarian, mendedahkan aurat atau lain-lain kemungkaran, maka ini tidak menunjukkan keharaman asal majlis-majlis berkenaan. Secara teknikal, ia adalah masalah-masalah sampingan yang dapat diatasi terutamanya oleh pihak penganjur dengan memberi peringatan, tunjuk ajar atau nasihat kepada mereka yang jahil mengenainya.

Adakalanya tema haul atau mawlid itu wajar ditukar agar orang-orang jahil tidak melihat ianya sebagai suatu ritual pemujaan dan pendewaan individu. Misalnya, tema Yaqin, atau Islah, atau Mujahadah dan sebagainya di'highlight'kan di sebalik sambutan haul atau mawlid seseorang tokoh itu. Atau ianya dianjurkan di bawah nama ijtimak atau perhimpunan agung di mana semua masyarakat dijemput hadir. Penambahbaikan memang sentiasa diperlukan agar objektif yang dirancangkan iaitu mendekatkan masyarakat kepada agama dapat dicapai dengan jaya. Kebijaksanaan sebegini perlu agar dapat memberi kesan-kesan positif serta dapat menarik hidayah, barakah dan rahmat daripada Allah SWT. Keikhlasan individu-individu yang bertanggungjawab di sebalik majlis-majlis dakwah ini wajar diberi penghormatan dan penghargaan oleh kita, walaupun Allah SWT yang sebaik-baik memberi balasan kepada mereka.

Penutup

Demikian sedikit lontaran dalam membicarakan tentang majlis sambutan haul atau mawlid ini. Secara jelasnya ia dapat menjadi salah satu cara mengeksploitasi situasi dan munasabah tertentu dalam menyeru masyarakat kembali kepada pegangan agama yang benar. Ia adalah sambutan yang wajar diteruskan sebagaimana juga perlunya kita membanyakkan majlis-majlis kerohanian seumpama demikian yang bertemakan ilmu dan zikir yang dapat mengumpulkan masyarakat dan mendekatkannya kepada Allah SWT. Ringkasnya, haul atau mawlid adalah berpotensi sebagai salah satu wadah pentarbiyahan yang wajar diberikan perhatian. Wallahu a’lam.

Friday, October 15, 2010

KIYAI MOENAWWIR KRAPYAK (m. 1942)


Dipetik dari: sachrony.wordpress.com dan alhidayahkroya.blogspot.com


Siapa yang tak kenal dengan Pondok Pesantren Munawir Krapyak Jogjakarta yang telah banyak melahirkan ulama-ulama ahli Quran terkemuka. Semula pesantren yang didirikan sekitar tahun 1909 oleh KH Moenawir hanya dihuni 10 santri , kini Pesantren Krapyak berkembang pesat dengan jumlah santri yang mencapai ratusan. Sosok KH Moenawir atau yang akrab dipanggil Mbah Moenawir merupakan sosok ulama yang oleh Rosululloh SAW disebut sebagai “keluarga Alloh” (ahluLlah) atau “waliyulloh”, karena kemampuannya sebagai ahlul Qur’an ( penghapal Qur’an dan mengamalkan kandungan Qur’an)

Sejak usia 10 tahun KH Moenawir telah hapal Quran 30 juz dan beliau gemar sekali mengkhatamkan Quran . Beliau dikirim ayahnya KH. Abdul Rosyad untuk belajar kepada seorang ulama terkemuka di Bangkalan Madura KH. Muhammad Kholil . Bakat kepasihan Mbah Moenawir dalam pembacaan Quran memberikan kesan tersendiri dihati gurunya (KH. Muhammad Kholil ) dan suatu ketika gurunya menyuruh KH Moenawir untuk menjadi imam sholat sedangkan gurunya KH Kholil menjadi mak’mum.

Tahun 1888 KH Moenawir bermukim di Mekkah dan memperdalam ilmu-ilmu Quran kurang lebih 20 tahun, kesempatan tersebut beliau gunakan untuk mempelajari ilmu tahfizul Quran , qira’at sab’ah dengan ulama -ulama setempat. Hingga KH Moenawir memperoleh Ijazah Sanad Qira’at yang bersambung ke urutan 30 sampai ke Rosululloh SAW dari seorang ulama Mekkah yang termashur Syekh Abdul Karim bin Umar Al-Badri Ad-Dimyati .

KH Moenawir Mampu mengkhatamkan Quran hanya dalam satu rakaat sholat, dan sebagai orang awam mungkin itu mustahil dilakukan tapi bagi KH Moenawir itu mampu . Bahkan KH Moenawir dalam menjaga hapalannya beliau melakukan riyadhoh dengan membaca al-Quran secara terus menerus selama 40 hari 40 malam sampai terlihat oleh beberapa muridnya mulut KH Moenawir terluka dan mengeluarkan darah.

Kedisiplinan KH. Moenawir dalam mengajar Quran kepada murid-muridnya sangat ketat bahkan pernah muridnya membaca Fatihah sampai dua tahun diulang-ulang karena menurut KH Moenawir belum tepat bacaannya baik dari segi makhrajnya maupun tajwidnya, maka tak heran bila murid-murid beliau menjadi ulama-ulama yang hufadz ( hapal Quran) dan mendirikan Pesantren Tahfizul Quran seperti Pon-pes Yanbu’ul Qur’an kudus (KH. Arwani Amin) , Pesantren Al Muayyad Solo ( KH Ahmad Umar) dll.

Peristiwa menarik pernah dialami oleh murid KH Moenawir, sewaktu beliau disuruh oleh istri Mbah Moenawir untuk meminta sejumlah wang kepada Mbah Moenawir yang akan digunakan sebagai keperluan belanja sehari-hari, KH Moenawir selalu merogoh sejadahnya dan diserahkan wang tersebut kepada muridnya, padahal selama ini murid-muridnya hanya tahu bahwa sepanjang waktu Mbah Moenawir hanya duduk saja di serambi masjid sambil mengajar al-Quran.

KH. Moenawir wafat sekitar tahun 1942 dan dimakamkan di sekitar Pondok Pesantren Munawwir Krapyak Jogjakarta.

Thursday, October 7, 2010

Sanad al-Quran Krapyak

Alhamdulillah...

Setelah sekian lama saya mencari sambungan pertalian sanad al-Quran Kiyai Haji Husin Sijangkang (rahimahullah ta'ala) hinggalah akhirnya baru-baru ini sahabat saya yang pulang dari melawat Indonesia menunjukkan sebuah buku tentang sejarah qiraat al-Quran di Nusantara. Antara lain kandungannya membahas tentang sanad al-Quran Pesantren Krapyak , Jogjakarta, Indonesia , yang diasaskan oleh Kiyai Haji Munawwir (rahimahullah ta'ala) yang terkenal dengan pengajian al-Qurannya.

Pencarian tersebut adalah disebabkan Kiyai Haji Husin menyebut dalam Syahadah Qur'aniyyah yang dikeluarkannya kepada pelajar-pelajar yang berjaya mengkhatam al-Quran secara talaqqi dengannya menyatakan antara lain begini dalam bahasa Arab yang terjemahannya: "... maka saya ijazahkan kepadanya untuk membaca dengan apa yang diterimanya daripada saya, tanpa tersilap, atau mencampur satu riwayat dengan riwayat lain, atau satu jalan dengan jalan lain. Maka saya izinkan untuknya, dan saya tuliskan kepadanya ijazah ini kerana sifat jujur, beragama, amanah dan waraknya, sebagaimana telah diizinkan kepada saya oleh guru saya, dan beliau telah diizinkan kepadanya pula dari sejumlah guru-guru yang sudah cukup kemasyhuran mereka itu dari disebutkan nama-nama mereka...".

Tidak disebutkan dalam syahadah berkenaan nama gurunya mahupun sanad gurunya kerana barangkali terlalu panjang. Namun sudah maklum diketahui Kiyai Husin telah mengkhatamkan pengajian al-Quran berserta qiraatnya di Pesantren Krapyak di bawah asuhan Kiyai Haji Munawwir tadi. Bagaimanapun sanad yang ditemukan ini hanyalah sanad qiraat 'Asim riwayat Hafs sahaja yang masyhur digunakan pakai oleh kebanyakan dunia Islam sekarang.


سند القرآن الكريم بقراءة حفص عن عاصم

سيدنا محمد رسول الله - صلى الله عليه وسلم -

عثمان بن عفان، وعلي بن أبى طالب، وعبد الله بن مسعود، وأُبي بن كعب، وزيد بن ثاب -رضي الله عنهم-

أبو عبد الرحمن عبد الله بن حبيب السُّلَمي الكوفي

عاصم بن أبي النجود الكوفي

أبو عمر حفص بن سليمان بن المغيرة الأسدي الكوفي

أبو محمد عُبيد بن الصبَّاح بن أبي شريح الكوفي

أبو العباس أحمد بن سهل الأشناني

أبو الحسن علي بن محمد بن صالح الهاشمي

أبو الحسن طاهر بن عبد المنعم بن عبد الله بن غَلبون

الإمام أبو عمرو عثمان بن سعيد بن عثمان الداني

أبو داود سليمان بن نجاح بن أبي القاسم الأندلسي

أبو الحسن علي بن محمد بن علي بن هُذيل

أبو محمد القاسم بن فِيْـرُّه بن خلف الشاطبي الرُّعَيني

علي بن شجاع بن سالم الهاشمي العباسي

محمد بن أحمد بن عبد الخالق المصري الشافعي

محمد بن عبد الرحمن بن علي الصائغ ، وعبد الرحمن بن أحمد بن علي الواسطي البغدادي


الإمام الحافظ حجة القراء محمد بن محمد بن محمد بن علي الجَزَري الشافعي

الشيخ شهاب الدين أحمد بن أسد بن عبد الواحد الأُميوطي

شيخ الإسلام زكريا بن محمد بن أحمد الأنصاري

الشيخ محمد بن سالم بن علي الطَّبَلاوي

الشيخ شَحَاذة اليمني

الشيخ أبو الفتوح سيف الدين بن عطاء الله الوفائي الفضالي

الشيخ سلطان بن أحمد بن سلامة المزَّاحي

الشيخ علي بن سليمان بن عبد الله المنصوري

الشيخ أحمد حجازي

الشيخ مصطفى بن عبد الرحمن بن محمد الأزميري

الشيخ أحمد الرشيدي

الشيخ إسماعيل بشتين

الشيخ عبد الكريم بن الحاج عمر البدري الدِّمياطي

الكياهي حاج محمد منوِّر كربياء (Krapyak)

الكياهي حاج حسين بن حاج عباس

Nota penting: Dilarang menyebarkan entri ini kecuali dengan izin penulis, atau memberikan kredit/rujukan kepada penulis dan blog ini.

Sunday, September 26, 2010

Majlis-majlis Haul Imam Al-Haddad 2010

Dipetik daripada: al-hawi.net


Siri Majlis-Majlis Haul Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad sedang di selaraskan di beberapa bandar di sekitar Malaysia selain dari di Lembah Kelang mulai 09 Oktober 2010 hingga 24 Oktober 2010. Tamu terulung dari golongan ulama' antarabangsa terdiri dari Al-Allaamah Al-Habib Zein bin Ibrahim bin Semait dari Madinah, Al-Allaamah Al-Habib Umar bin Muhammad bin Hafidz dari Yaman dan Al-Habib Abdullah Attas Al-Habshi dari Makkah. Selain mereka, beberapa lagi ulama' dari Malaysia dan rantau ini akan sampaikan kata-kata hikmah, sebahagiannya dari kalam Imam Al-Haddad berkaitan dengan tajuk tema tahun ini iaitu 'YAKIN' dengan selingan qasidah dan nasyid masyhur dari ratusan syair nukilan Al-Imam.


Tarikh

Zon Utara (Kumpulan A)

Zon Timur (Kumpulan B)

09 Oktober 2010

Musalla Imam Asy-Syafie, Taman Jali, Kangar, Perlis

12 Oktober 2010

Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang

Masjid Pasir Mas, Pasir Mas, Kelantan

13 Oktober 2010

Masjid Al-Bukhary, Alor Setar, Kedah

Masjid Besar Geliga, Cukai, Kemaman, Terengganu

14 Oktober 2010

Masjid Saiyidina Abu Bakar Assidiq, Bakar Arang, Sg Petani, Kedah

Masjid At-Taqwa, Pekan, Pahang

Zon Sentral

15 Oktober 2010

Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur

16 Oktober 2010

Masjid Negeri Selangor D.E., Shah Alam, Selangor

17 Oktober 2010

Masjid Al-Falah, USJ 9, Selangor

Zon Selatan/Timur (Kumpulan C)

Zon Selatan/Barat (Kumpulan D)

18 Oktober 2010

Masjid Jame', Bandar Maran, Pahang

Masjid Sultan Iskandar, Batu Pahat, Johor

19 Oktober 2010

Masjid Jame’, Bandar Mersing, Johor

Masjid Al-Adzhim, Bandar Melaka, Melaka

20 Oktober 2010

Masjid Jame’ Kampung Melayu Majidi, Johor Baru, Johor

Yayasan Al-Jenderami, Dengkil, Selangor

21 Oktober 2010

Yayasan Assofa, Rembau, Negeri Sembilan

Masjid Layang-Layang, WP Labuan

Zon Malaysia Timur 1 (Kumpulan E)

Zon Malaysia Timur 2 (Kumpulan F)

22 Oktober 2010

Masjid Wan Alwi, Kuching, Sarawak

Masjid At-Taqwa, Miri, Sarawak

23 Oktober 2010

Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu, Sabah

Masjid Baitul Aman, Kuala Lumpur

24 Oktober 2010

Masjid Habib Abdulrahman, Tawau, Sabah

Madrasah Darul Faqih, Jalan Gelang Cincin, Segamat, Johor


Nota: Majlis Utama di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah pada 16 Oktober 2010 akan bermula pada jam 5:00 petang tepat. Selain itu, semua majlis-majlis di seluruh Malaysia bermula pada 5:30 petang tepat. Diharap hadirin dan hadirat dapat bersama majlis-majlis ini sebelum waktu mula tersebut. Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadir. Diminta Hadirin dan Hadirat mematuhi halal/haram, sunnah/makruh dan adab semasa didalam majlis-majlis ini.



* Sebarang pertanyaan boleh di kemukakan ke hak@alhawi.net

Wednesday, September 1, 2010

Fadhilat-Fadhilat Sahih Bagi Solat Tarawih

Suatu masa dahulu hadith tentang kelebihan solat tarawih yang diriwayatkan dari Sayyidina ’Ali RA cukup popular. Barangkali kerana tersebarnya kitab Durrah al-Nasihin dan terjemahan Melayunya yang memuatkan hadith tersebut di dalamnya.

Antara teksnya; daripada Sayyidina Ali RA beliau telah menanyakan kepada Rasulullah SAW tentang fadhilat Solat Tarawih pada bulan Ramadhan. Jawab Rasulullah SAW tentang fadhilat tarawih sebagai berikut, mulai dari malam pertama sampai malam 30 Ramadhan:

1. Malam Pertama: Diberi balasan seperti bayi baru dilahirkan.
2. Malam Kedua: Diampuni Allah dosanya dan bagi ibu-bapanya jika keduanya mukmin.
3. Malam Ketiga: Diseru oleh malaikat di bawah Arasy dan dengan solat tersebut diampuni Allah dosanya yang telah lalu.
4. Malam Keempat: Dibalas Allah seperti membaca kitab Taurat, Injil, Zabur, dan Quran.
5. Malam Kelima: Kemudian dikurniai Allah seolah-olah sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah, dan Masjidil Aqsa.
6. Malam Keenam: Dikurnia Allah seolah-olah dia tawaf di Baitul Makmur dan dipintakan ampun oleh segala batu dan pasir.
7. Malam Ketujuh: Dikurniai Allah seolah-olah ia berjumpa dengan Nabi Musa AS dan membantu Musa melawan Fir’aun dan Haman...
8. ... demikian seterusnya hingga akhir malam ke-30.

Pengarang Durrah al-Nasihin hanya menyebut sumber petikannya daripada kitab Majalis. Bagaimanapun, hadith ini adalah hadith palsu, malah tiada sumber asal yang muktamad bagi hadith ini sebagaimana yang disebutkan oleh pakar-pakar hadith. Antaranya seperti yang disebut oleh Dr. Ahmad Lutfi Fathullah dalam tesisnya (Ph.D.), Takhrij Hadith-hadith Durrah al-Nasihin. Dalam Fatwa Mufti Kerajaan Brunei (1999) juga menyatakan ianya tiada di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah, namun ada diriwayatkan seumpamanya di dalam kitab-kitab Syiah seperti kitab Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi dan Wasa’il al-Syi’ah oleh al-Hurr al-’Amili. Dan rujukan mereka tidak dapat dipegang oleh kita.

Maka bagi menggantikan hadith palsu tersebut saya telah menemukan empat buah hadith yang sabit mengenai kelebihan solat tarawih ini. Iaitu sepertimana berikut;

1. Diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يرغب في قيام رمضان من غير أن يأمرهم بعزيمة ثم يقول : من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه. رواه البخاري ومسلم وأبو داود والترمذي والنسائي.
Terjemahan;
Daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW pernah menggalakkan sahabatnya berqiam Ramadhan tanpa menyuruh mereka dengan kesungguhan (yang menunjukkan wajib), kemudian sabdanya: “Barangsiapa yang berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan redha dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. (HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

2. Kembali sepertimana hari ibunya melahirkannya.

حديث عبد الرحمن بن عوف: من صامه وقامه إيمانا واحتسابا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه. رواه النسائي في الكبرى (11،295) والصغرى (2199)، وأحمد (1618، 1645) وابن خزيمة (2015) وابن ماجه (1331) والبيهقي في الشعب (3462).

Terjemahan;
Daripada ‘Abdur Rahman bin ‘Awf, sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dan berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana hari ibunya melahirkannya”. (HR al-Nasa’i, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Majah dan al-Bayhaqi)

3. Ditulis dari kalangan para siddiqin dan syuhada’.

عن عمرو بن مرة الجهني رضي الله عنه قال : جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، أرأيت إن شهدت أن لا إله إلا الله وأنك رسول الله وصليت الصلوات الخمس وأديت الزكاة وصمت رمضان وقمته، فممن أنا ؟ قال : من الصديقين والشهداء. رواه البزار وابن خزيمة وابن حبان في صحيحيهما واللفظ لابن حبان.

Terjemahan;
Daripada ‘Amru bin Murrah al-Juhani RA katanya: Datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu katanya: Wahai Rasulullah, apakah pendapat tuan sekiranya saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya tuan adalah utusan Allah, dan saya bersolat lima waktu, menunaikan zakat serta berpuasa bulan Ramadhan dan berqiam Ramadhan, maka dari golongan siapakah saya ini? Jawab baginda: ”Dari kalangan para siddiqin dan syuhada’”. (HR al-Bazzar, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

4. Ditulis baginya pahala seumpama berqiamullail.

حديث أبي ذر : من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب له قيام ليلة. رواه الترمذي وقال : هذا حديث حسن صحيح -791.

Terjemahan;
Hadith Abu Zar RA, sabda Nabi SAW: “Barangsiapa berqiam (Ramadhan) bersama-sama imam sehingga ia selesai, akan ditulis baginya (ganjaran) seumpama berqiamullail”. (HR al-Tirmizi)

Demikianlah fadhilat-fadhilat yang besar bagi orang yang mengerjakan solat tarawih ini. Kelebihan-kelebihan tersebut tidak tertentu pada malam tertentu sahaja, bahkan ianya adalah umum bagi solat tarawih sepanjang bulan Ramadhan. Semuanya dapat diperolehi dengan kemurahan rahmat Allah Taala bagi mereka yang bersungguh-sungguh mengerjakannya. Mudah-mudahan fadhilat-fadhilat solat tarawih ini dapat tersebar secara lebih luas menggantikan hadith palsu mengenainya.

Monday, August 30, 2010

Dr. Syawqi Abu Khalil رحمه الله

Dr. Syawqi Muhammad Abu Khalil adalah pakar rujuk dalam bidang sejarah Islam. Berasal daripada Palestin dan lahir tahun 1941. Beliau meninggal dunia di Dimasyq, Syria pada 14 Ramadan 1431H, bersamaan 24 Ogos 2010.

Beliau adalah penyusun kitab Atlas al-Quran, Atlas al-Hadith al-Nabawi dan Atlas al-Sirah al-Nabawiyyah yang amat menarik itu. Antara karya-karyanya yang lain ialah:

1- القادسية- دمشق- بيروت: دار الفكر 1970.

2- الإسلام في قفص الاتهام (ترجم إلى الفارسية والانكليزية)- دمشق- بيروت: دار الفكر 1970.
3- اليرموك -دمشق- بيروت: دار الفكر 1971.
4- نهاوند -دمشق- بيروت: دار الفكر 1971.
5- الإنسان بين العلم والدين -دمشق- بيروت: دار الفكر 1971.
6- ذات الصواري -دمشق- بيروت: دار الفكر 1971.
7- آراء يهدمها الإسلام -دمشق- بيروت: دار الفكر 1974.
8- غريزة أَمْ تقدير إلهي -دمشق- بيروت: دار الفكر 1975.
9- مَنْ ضيَّع القرآن؟ -دمشق- بيروت: دار الفكر 1975.
10- فتح الأندلس -دمشق- بيروت: دار الفكر 1976.
11- الإسلام وحركات التحرر العربية -دمشق- بيروت: دار الفكر 1977.
12- هارون الرَّشيد -دمشق- بيروت: دار الفكر 1977.
13- بلاط الشهداء -دمشق- بيروت: دار الفكر 1979.
14- الزَّلاَّقة -دمشق- بيروت: دار الفكر 1979.
15- الأَرَك - دمشق- بيروت: دار الفكر 1979.
16- العِقَاب -دمشق- بيروت: دار الفكر 1979.
17- فتح صِقِلَّيَّة -دمشق- بيروت: دار الفكر 1979.
18- عوامل النَّصر والهزيمة -دمشق- بيروت: دار الفكر 1979.
19- مصرع غَرْناطة -دمشق- بيروت: دار الفكر 1980.
20- الهجرة حديث غيَّر مجرى التاريخ - دمشق- بيروت: دار الفكر 1980.
21- بدر الكبرى -دمشق- بيروت: دار الفكر 1982.
22- غزوة أُحُد -دمشق- بيروت: دار الفكر 1982.
23- غزوة الخندق -دمشق- بيروت: دار الفكر 1982.
24- غزوة تبوك -دمشق- بيروت: دار الفكر 1982.
25- صلح الحديبية -دمشق- بيروت: دار الفكر 1983.
26- غزة خيبر- -دمشق- بيروت: دار الفكر 1983.
27- غزوة مؤتة - دمشق- بيروت: دار الفكر 1983.
28- فتح مكة -دمشق- بيروت: دار الفكر 1983.
29- حُسَيْن والطَّائف -دمشق- بيروت: دار الفكر 1983.
30- حروب الرَّدَّة -دمشق- بيروت: دار الفكر 1984.
31- أطلس التاريخ العربي الإسلامي -دمشق- بيروت: دار الفكر 1994.
32- فيليب حتَّي في الميزان -دمشق- بيروت: دار الفكر 1985.
33- تحرير المرأة ممن؟ وفيم حريتها. دار الفكر دمشق..
34- كارل بروكلمان في الميزان -دمشق- بيروت: دار الفكر 1987.
35- عَمُّورية -دمشق- بيروت: دار الفكر 1988.
36- وادي المخازن -دمشق- بيروت: دار الفكر 1988.
37- أُحب أن أَكون -دمشق- بيروت: دار الفكر 1989.
38- أحب أن أعرف تاريخ أمتي. دار الفكر - دمشق
39- الاسلام نهر يبحث عن مجرى. دار الفكر - دمشق
40- الاسلام والتفاهم والتعايش بين الشعوب. دار الفكر - دمشق

41- الحضارة العربية الإسلامية. دار الفكر - دمشق

Rujukan: al-Hiwar dan Multaqa al-Udaba'

Saturday, August 21, 2010

Waridkah Doa Ketika Berbuka Ini?

Soalan:

Di manakah sumber bagi doa berbuka puasa ini yang berbunyi:

يا عظيم، يا عظيم، أنتَ إلهي، لا إله غيرك، اغْفِرْ لي الذنْبَ العظيمَ، فإنه لا يغفرُ الذنْبَ العظيمَ إلاّ العظيم.

Adakah ianya terdapat di dalam kitab-kitab Sunan yang muktabar?


Jawapan:

Imam al-Nawawi rah. didapati tidak mencatatkan doa ini di dalam kitabnya yang terkenal al-Azkar, pada bab apa yang diucapkan ketika berbuka, yang menunjukkan doa ini tidak direkodkan di dalam kitab-kitab Sunan yang muktabar. Meskipun demikian, doa tersebut ada diriwayatkan oleh Ibn ’Asakir di dalam kitab beliau Tarikh Dimasyq (54/238) dalam biografi Muhammad bin ’Ali bin Ahmad bin Musa al-Samarqandi (no. 6761). Ibn ’Asakir membawakan sanadnya seperti berikut;

أخبرنا أبو محمد بن الأكفاني ثنا عبد العزيز الكتاني أنبأنا أبو عبد الله محمد بن علي بن أحمد بن موسى بن عبد الله السمرقندي قدم علينا قراءة عليه ثنا أبو علي عبد الله ابن عبد الرحمن النيازكي ثنا الشيخ الصالح أبو يعقوب يوسف بن محمد بن إسحاق المذكر ثنا أبو بكر محمد بن الفضل ثنا أبو محمد عبد الله بن محمد بن يعقوب ثنا محمد ابن منصور ثنا علي بن أبي طالب البصري ثنا عمرو بن جميع عن أبان

عن أنس عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: ما من مسلم يصوم فيقول عند إفطاره: يا عظيم يا عظيم أنت إلهي لا إله غيرك اغفر لي الذنب العظيم فإنه لا يغفر الذنب العظيم إلا العظيم إلا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه. وقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: علموها عقبكم فإنها كلمة يحبها الله ورسوله ويصلح بها أمر الدنيا والآخرة. [ 11479 ]

Terjemahan matan:

Daripada Anas daripada Nabi SAW sabdanya: “Tidaklah seorang muslim itu berpuasa lalu mengucapkan ketika ia berbuka: Wahai Yang Maha Agung, Wahai Yang Maha Agung, Engkaulah Tuhan-ku, tiada tuhan selain Engkau, ampunilah bagiku dosa yang agung, sesungguhnya tidak mengampunkan dosa yang agung itu melainkan Yang Maha Agung, melainkan ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana pada hari ibunya melahirkannya”. Sabda Rasulullah SAW lagi: “Ajarkanlah ia kepada zuriat kamu sekalian, sesungguhnya ia adalah kalimah yang disukai oleh Allah dan Rasul-Nya, dan yang dapat memperelokkan urusan dunia dan akhirat”.

Namun, Ibn ‘Asakir menyatakan bahawa martabat hadith ini adalah lemah dengan katanya:

شاذ بمرة وفي إسناده مجاهيل.اهـ

”Hadith yang syaz (ganjil) sekali, dan di dalam sanadnya terdapat beberapa perawi yang majhul (tidak diketahui)”.

Bagaimanapun, pada pendapat saya tidak ada masalah jika kita hendak mengamalkan doa tersebut kerana hadith da’if masih dapat diamalkan dalam perkara fadha’il amal, dengan syarat-syaratnya yang masyhur, antaranya tidak meyakini dengan iktikad yang pasti bahawa ianya benar-benar disabdakan oleh Nabi SAW. Lebih-lebih lagi, Ibn ’Asakir tidak pun menyatakan di dalam sanadnya ada perawi pendusta atau pemalsu hadith, yang menunjukkan bahawa hadith tersebut bukanlah sebuah hadith mawdhu’ (palsu).

Wallahu a’lam.