Pages

Friday, June 28, 2013

Amalan Yang Menyebabkan Malapetaka Ditangguhkan

Hadis: Amalan Yang Menyebabkan Malapetaka Ditangguhkan

Soalan:

Assalamualaikum, nak tanya pasal hadis ni, boleh tolong tahkik tak?

Anas menceritakan beliau mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :-
“ALLAH S.W.T BERFIRMAN : AKU TANGGUHKAN MALAPETAKA YANG SEHARUSNYA DITIMPA KE ATAS SESUATU DAERAH APABILA AKU LIHAT DI SITU ADA ORANG YANG KERAP KE MASJID, KASIH ANTARA SATU SAMA LAIN DEMI ALLAH DAN BERSEDIA MEMOHON AMPUN PADA WAKTU TENGAH MALAM”.

Terima Kasih.

Jawab:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Terjemahan di atas boleh jadi cuma makna hadis sahaja, sedang lafaz asalnya adalah sepertimana yang akan dinyatakan di bawah. Hadis tersebut telah diriwayatkan oleh Abu as-Syeikh, al-Bayhaqi dalam Syu‘ab al-Iman, Ibn an-Najjar dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil daripada Anas RA. Namun, pada sanadnya terdapat seorang perawi daif, iaitu Salih al-Murri. Matan dan maksudnya;
روي عن أنس بن مالك قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إنّ الله يقول: إني لأهم بأهل الأرض عذابًا فإذا نظرتُ إلى عُمَّار بيوتي والمتحابين فيَّ والمستغفرين بالأسحار صرفتُ عذابي عنهم.
(أخرجه أبو الشيخ والبيهقي فى شعب الإيمان وابن النجار وابن عدي في الكامل، وفي إسناده صالح بن بشير المري ضعيف، وقال النسائى وغيره : متروك)
Terjemahan:
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya: Sabda Rasulullah SAW: Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku adakalanya ingin sekali mengazab penduduk bumi, namun apabila Aku melihat orang-orang yang memakmurkan rumah-rumah-Ku, orang-orang yang berkasih sayang kerana-Ku, dan orang-orang yang beristighfar di waktu dinihari, Aku pun menangguhkan azab-Ku terhadap mereka”.

Bagaimanapun, hadis tersebut disokong oleh dua riwayat lain; yang satunya ditemukan dalam kitab al-Musannaf susunan al-Hafiz ‘Abd ar-Razzaq (no hadis: 4740) dan satu lagi dalam kitab al-Awliya’ susunan al-Hafiz Ibn Abi ad-Dunya (no hadis: 76). Namun, kedua-dua sanad hadis dalam kedua-dua sumber tersebut juga adalah daif.

Keterangannya sepertimana berikut:

1. ‘Abd  ar-Razzaq (w. 211H) meriwayatkan hadis ini dalam al-Musannafnya dengan sanadnya daripada seorang lelaki daripada kalangan kaum Quraisy serta lain-lain yang tidak disebutkan nama mereka (majhul) yang menyandarkan hadis ini kepada Nabi SAW.

عَنْ مَعْمَرٍ، عَنْ رَجُلٍ مِنْ قُرَيْشٍ وَغَيْرِهِ يُرْجِعُونَهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: قَالَ اللَّهُ: «إِنَّ أَحَبَّ عِبَادِي إِلَيَّ الْمُتَحَابُّونَ فِيّ، الذينِ يُعَمِّرُونَ مَسَاجِدِي، وَيَسْتَغْفِرُونَ بِالْأَسْحَارِ، أُولَئِكَ الَّذِينَ إِذَا ذَكَرْتُ خَلْقِي بِعَذَابٍ ذَكَرْتُهُمْ، فَصَرَفْتُ عَذَابِي عَنْ خَلْقِي».
Maksudnya:
Daripada Ma‘mar daripada seorang lelaki Quraisy dan lain-lain yang merujukkan hadis ini kepada Nabi SAW sabdanya: Firman Allah: “Sesungguhnya hamba-hamba-Ku yang paling Aku kasihi adalah orang-orang yang berkasih sayang kerana-Ku, yang memakmurkan masjid-masjid-Ku dan beristighfar di waktu dinihari. Merekalah orang-orang yang jika Aku ingin mengazab makhluk-Ku, lalu Aku teringatkan mereka, maka Aku pun tangguhkan azab-Ku terhadap makhluk-Ku itu”.

Terdapat dalam sanad di atas perawi-perawi hadis yang tidak disebutkan namanya (majhul). Ini menjadikan sanad hadis tersebut daif kerana status mereka tidak diketahui. Tambahan lagi, ianya terputus dan tidak bersambung (mursal) kerana perawi-perawi hadis yang tidak bernama tersebut dari kalangan golongan tabiin yang tidak bertemu dengan Nabi SAW.

2. Ibn Abi ad-Dunya (w. 281H) meriwayatkan hadis yang serupa dalam kitab al-Awliya’ daripada Khalid bin Ma‘dan, seorang tabii yang dipercaya (thiqah) daripada Nabi SAW.

عَنْ خَالِدِ بْنِ مَعْدَانَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "إِنَّ أَحَبَّ عِبَادِي إِلَيَّ الَّذِينَ يَتَحَابُّونَ مِنْ أَجْلِي، الَّذِينَ يُعَمِّرُونَ مَسَاجِدِي، وَيَسْتَغْفِرُونَ بِالْأَسْحَارِ، أُولَئِكَ الَّذِينَ إِذَا أَرَدْتُ أَهْلَ الْأَرْضِ بِعُقُوبَةٍ أَوْ بِعَذَابٍ، ثُمَّ ذَكَرْتُهُمْ، صَرَفْتُ عُقُوبَتِي عَنْهُمْ مِنْ أَجْلِهِمْ".
Maksudnya:
Daripada Khalid bin Ma‘dan katanya: Sabda Rasulullah SAW: (Firman Allah:) “Sesungguhnya hamba-hamba-Ku yang paling Aku kasihi adalah orang-orang yang berkasih sayang kerana Aku, yang memakmurkan masjid-masjid-Ku dan beristighfar di waktu dinihari. Merekalah orang-orang yang jika Aku ingin menghukum atau mengazab penduduk bumi, kemudian Aku teringatkan mereka, maka Aku pun tangguhkan hukuman-Ku terhadap penduduk bumi disebabkan mereka itu”.
  
Sanad hadis ini juga daif kerana ianya terputus dan tidak bersambung (mursal). Ini disebabkan Khalid bin Ma‘dan, walaupun seorang tabii yang dipercayai (thiqah), beliau tidak pernah bertemu dengan Nabi SAW.

Walaupun, ketiga-tiga sanad hadis ini daif, namun ia saling kuat menguatkan yang dapat menafikan tanda kepalsuan padanya. Mungkin juga dapat menaikkan darjatnya daripada daif kepada hasan li ghairih.

Sekurang-kurangnya, jika daif, hadis ini masih dapat diguna pakai dalam bab fadha’il amal sebagai motivasi buat kita, kerana hadis daif menurut jumhur ulama tidaklah ditolak sepenuhnya. Cuma jika ingin menyampaikannya, tidak menyandarkannya secara pasti kepada Nabi SAW seperti berkata: “Nabi SAW bersabda”, “Nabi SAW mengkhabarkan” dan seumpamanya. Memadailah memulakan hadis ini dengan kata-kata yang menunjukkan nilai daif seperti: “Ada disebut dalam sebuah hadis”, “Ada diriwayatkan dari baginda Nabi SAW” dan seumpamanya.

Isi penting daripada hadis tersebut ialah;
-          Kelebihan amalan mengimarah atau memakmurkan masjid-masjid.
-          Kelebihan amalan berkasih sayang kerana Allah Taala.
-         Kelebihan amalan beristighfar memohon ampun kepada Allah Taala di waktu dinihari (suhur).

Wallahu a‘lam.



Saturday, May 11, 2013

Jasad Sahabat Mulia Hujr bin ‘Adi RA??


Sahabat Mulia Hujr bin ‘Adi RA

Menggali dan mengeluarkan mayat daripada kubur tanpa sebab yang kuat adalah perbuatan yang tidak harus. Ia adalah perbuatan yang tidak beradab dan tidak menghormati mayat. Apatah lagi jika mayat tersebut adalah orang yang mempunyai kedudukan dalam bidang ilmu atau medan jihad. Sebagaimana kedudukannya yang mulia dan dihormati sewaktu dia hidup begitu juga apabila ia telah meninggal dunia kedudukannya tetap sama. Perlu dijaga kehormatan dan kedudukan mulianya.

Di atas pelbagai sebab, sering juga berlaku dalam kalangan masyarakat Islam proses menggali dan mengeluarkan mayat daripada kubur. Hukumnya harus jika bertujuan untuk menyelamatkan mayat tersebut dari bahaya dan hukumnya haram jika tujuannya untuk menghinakan mayat tersebut.  

Terkini pada  27 April 2013, kubur sahabat Nabi SAW bernama Hujr ibn ‘Adi @ ‘Udai al-Kindi RA didakwa telah digali dan jasadnya dikeluarkan oleh sekumpulan penentang Rejim Asad di Syria. Makamnya dirobohkan dan jasadnya telah dipindahkan ke tempat yang tidak diketahui. Mereka mendakwa makam tersebut sebelum ini telah menjadi pusat pemujaan kelompok Syiah.


Sebaliknya, ada yang menafikan dan mendakwa perbuatan tersebut dilakukan oleh tentera Rejim Asad  sendiri untuk mencari benda berharga yang disimpan di makam tersebut atau memang sengaja untuk melarikan jasadnya. Kemudian jasadnya telah dipindahkan ke tempat kelompok Syiah. (islamsyria.com)

Dikatakan jasad Hujr ibn ‘Adi RA itu masih utuh walaupun sudah berlalu sekitar 1400 tahun. Lalu tersebar kini di internet imej jasad yang didakwa milik Hujr ibn ‘Adi RA. Ada yang percaya dan ada yang tidak serta mendakwa itu hanyalah jasad salah seorang rakyat Syria yang terkorban.  


Laporan Laman Islamindonesia.co.id (dengan suntingan)

Jika dilihat dari keterangan sejarah ada disebutkan Hujr meninggal dalam kondisi terpenggal kepalanya. Itu seperti disebutkan dalam  sebuah karya klasik Ibnu Hajar berjudul Al Isabah Fi Tamyiz As Sahabah.  Dikisahkan Hujr bin ‘Adi  yang merupakan seorang sahabat yang kritis terhadap pemerintahan Muawiyah  serta pernah turut serta dalam Perang Qadisiyah, tewas dibunuh  atas perintah Khalifah Muawiyah pada 51 H. 

Konon sebelum dipenggal lehernya, Hujr meminta para algojo untuk membiarkan dirinya berwudhu’ dan solat dua rakaat  terlebih dahulu. Usai bersolat, para algojo lantas menggiringnya  ke sebuah kawasan di pinggiran kota Dimasyq. Di sana sudah disiapkan  sebuah kuburan yang menganga  dan  kain kafan untuk jasadnya. “Engkau telah berkata bahwa engkau tidak gentar?” kata salah seorang algojonya setengah mengejek. 
  
Alih-alih menjadi marah dan panik, Hujr dengan tenang menjawabnya dengan kalimat, “Aku tidak akan gentar walaupun telah kulihat kubur yang telah tergali, kafan yang telah terbentang, dan pedang yang telah terhunus!“ Kemudian seorang algojo maju ke hadapannya dan berkata, “Hulurkan lehermu!” Ia menjawab, “Aku tidak akan membantu pembunuhan terhadap diriku.” Maka secepat kilat,  algojo itu memenggal  lehernya. 

Mengacu kepada kisah di atas, penampakan foto jasad Hujr ibn ‘Udai ini bisa jadi hanya hoax semata-mata alias berita dusta.  Kerana jika itu benar jasad beliau, tentunya keadaannya harus terpisah antara badan dengan lehernya. Kecuali ada dua kemungkinan cerita sejarah itu hanya karangan atau telah terjadi suatu keajaiban. Wallahu a'lam.

Hujr ibn ‘Adi RA juga dikenali sebagai Hujr al-Khair. Beliau memeluk Islam ketika masih muda. Beliau dan saudaranya, Hani bin ‘Adi berkunjung ke Madinah bertemu Nabi SAW di penghujung hayat baginda SAW. Beliau seorang yang soleh, zuhud dan warak serta pejuang yang berani. Al-Hakim dalam al-Mustadrak 3/468 menulis: “Dia adalah rahib para sahabat Muhammad SAW”. Di dalam peperangan Siffin, beliau bersama Khalifah ‘Ali bin Abi Talib RA sebagai salah seorang ketua tentera. Beliau dibunuh pada tahun 51 H dan dikebumikan di ‘Azra’, Dimasyq. 

Makam Hujr sebelum dirobohkan.

Kelompok Syiah menjadikan pembunuhan Hujr ibn ‘Adi RA sebagai satu rekod hitam buat Khalifah Mu‘awiyah RA. Namun, ulama Ahlus Sunnah tidak membenarkan fail pertelingkahan di kalangan para sahabat RA ini dibuka kerana ia akan hanya membuka pintu fitnah kepada umat Islam. Mereka menetapkan bahawa setiap para sahabat yang terlibat dalam pertelingkahan tersebut adalah di atas ijtihad mereka dan segala urusan mengenai mereka selanjutnya perlu diserahkan kepada Allah SWT. Ini adalah lebih selamat bagi agama setiap muslim baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

___________________
* Klip video dengan bahasa apatah...?


Thursday, March 28, 2013

Spekulasi, Pendirian dan Kesyahidan Syeikh al-Buti رحمه الله


Hingga kini ramai yang masih bingung tentang pembunuhan al-‘Allamah Syeikh al-Buti.. Saya juga masih bingung memikirkannya. Tambah dukacita lagi, apabila ada orang Islam yang bersorak gembira atas kematian beliau..

Mengapa beliau dibunuh? Apakah semata-mata kerana beliau menyokong Rejim Asad? Jika jelas apakah ada dalil syar’i yang membenarkan darah seseorang muslim itu halal semata-mata kerana zahirnya ia menyokong pemimpin yang zalim? Sedang Nabi SAW menyatakan, tidak halal darah seseorang muslim itu melainkan dengan tiga perkara; iaitu penzina yang sudah berkahwin, membunuh orang tanpa hak dan orang yang meninggalkan agamanya, yang berpisah daripada jemaah muslimin (muttafaq ‘alaih).

Dalam pada itu, satu kumpulan jemaah jihad mendakwa merekalah yang bertanggungjawab atas pembunuhan Syeikh al-Buti dan mengancam pula untuk membunuh Mufti Syria, Syeikh Hassun. Meskipun wujud spekulasi lain yang mengatakan, beliau dibunuh oleh Rejim Asad sendiri kerana beliau mula cenderung dengan perjuangan rakyat Syria..

Di saat ramai umat Islam berduka atas pembunuhannya, sebahagian umat Islam lain bergembira dan bersyukur atas pembunuhan tersebut.. Disebabkan perbezaan mazhab dan pemikiran, mereka bukan sekadar bergembira dan bersyukur, bahkan mencaci dan mencerca Syeikh al-Buti yang sudah kembali menemui Allah SWT.. La hawla wala quwwata illa biLlah… Apakah Nabi SAW menganjurkan kita mencaci dan mencerca orang muslim yang sudah mati?! Lalu timbullah alasan-alasan dan dalil-dalil rekaan yang cuba membenarkan perbuatan mereka..

Hanya pada Allah SWT saja kita serahkan semua urusan..

Jika diamati dan difikirkan, tidak mungkin seorang alim besar menyokong pemimpin yang zalim secara membuta tuli tanpa sebarang apa-apa alasan yang munasabah. Tidak mungkin Syeikh al-Buti rela dan redha dengan pembunuhan dan penyembelihan yang dilakukan oleh Rejim Asad terhadap rakyatnya sendiri. Pasti ada sebab lain… Tulisan-tulisan dan kata-kata Syeikh al-Buti tidak pun menggambarkan yang beliau telah terkeluar daripada usul syarak. Bahkan semuanya masih menunjukkan beliau seorang yang amat kuat berpegang dengan usul syarak.

Setidak-tidaknya pun dalam isu ini, beliau masih melihat dirinya berada di dalam lingkungan ijtihad, yang jika benar ia mendapat dua pahala, dan jika salah ia tetap mendapat satu pahala. Walaupun barangkali orang lain tidak berfikir begitu.

Sebenarnya bukan baru kini saja muncul pemimpin-pemimpin yang zalim, bahkan dalam sejarah Islam sendiri sudah menyaksikan kemunculan ratusan pemimpin-pemimpin yang zalim. Maka, sebagaimana para ulama pada zaman itu bertindak, begitu juga para ulama pada zaman ini bertindak. Pasti ada antara pro dan kontra. Secara zahirnya, tidak mungkin seorang muslim biasa yang waras redha dengan kezaliman mana-mana pemimpin, apatah lagi seorang alim..

Pasti ada sebab lain atas tindakan Syeikh al-Buti..

Yang pastinya, beliau menyokong Rejim Asad bukan kerana kebenaran rejim tersebut, tapi kerana tidak mahu berlaku perkara-perkara kemudharatan yang lebih besar terhadap masyarakat Islam Syria, penduduk Syam, yang disabdakan oleh Nabi SAW:
إِذَا فَسَدَ أَهْلُ الشَّامِ فَلاَ خَيْرَ فِيكُمْ.
“Jika binasa penduduk Syam, maka tiada kebaikan lagi pada kamu sekalian...” (HR al-Tayalisi, Ahmad dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih).

Memang Rejim Asad itu suatu mudharat, namun huru-hara, kekacauan, kekejaman dan pembunuhan yang berlaku adalah suatu mudharat yang lebih besar. Ini menurut pandangan beliau. Meskipun ia bersesuaian dengan usul syarak, namun ia mungkin dilihat tidak sesuai dengan konteks dan faktor semasa menurut ramai ulama yang lain.

Bagaimanapun, setelah menyaksikan pelbagai kekejaman dan kebiadapan Rejim Asad, dikatakan Syeikh al-Buti di akhir hayatnya mula cenderung dengan perjuangan rakyat dan tidak mahu lagi menyokong Rejim Asad, sebagaimana menurut Syeikh Muhammad Abu al-Huda al-Ya’qubi.

Anak perempuan beliau juga menyatakan, ayahnya sebenarnya dipaksa dan diancam oleh Rejim Asad yang akan merosakkan maruah keluarga dan anak cucunya jika beliau tidak menyokongnya.

Beliau juga ditanya mengapa tidak mahu meninggalkan Syria, tapi beliau menjawab:
"أشعرني الله بانني في هذه المرحله إن تركت هذا البلد فسوف يكون شأني كشأن أب له أهل و أولاد وأطفال يتركهم الى حيث لا يعلم مصيرهم".
“Allah menjadikan aku merasakan pada tahap sebegini, jika aku meninggalkan negara ini, maka keadaanku nanti akan menjadi seperti keadaan seorang bapa yang mempunyai isteri, keluarga dan anak-anak, lalu ia tinggalkan mereka tanpa mengetahui nasib yang bakal menimpa mereka”.

Dua minggu sebelum kejadian, al-Habib ‘Ali al-Jufri sempat menelefon Syeikh al-Buti dan beliau mengatakan;
"إنه لم يبق من العمر إلا أياما معدودة وإني لأَستروح الجنة من ورائها فلا تنس أخاك من الدعاء"...
Tidak tinggal lagi umurku kecuali beberapa hari sahaja. Dan aku dapat mencium bau syurga di belakang hari-hari tersebut. Maka janganlah kamu lupakan saudaramu ini daripada doamu..”.

Seolah-olah beliau tahu beliau akan dibunuh dengan sebab perubahan pendiriannya.. Apa lagi yang dinantikan oleh seorang lelaki yang sudah lanjut usianya?...

Tiada yang menafikan kewarakan dan kealiman Syeikh al-Buti. Ketika beliau berkunjung ke Malaysia, saya sempat berjabat tangan dengannya dan cuba mencium tangan beliau.. Namun dengan pantas beliau menyentap tangannya. Rupa-rupanya bukan saja pada saya, bahkan itu juga berlaku kepada ramai orang dan rakan yang cuba mencium tangan beliau dek kerana sifat tawadhuk dan rendah diri beliau. Dengan sifat ulama seperti inilah kita mempelajari adab dan akhlak.

Bukan rahsia lagi, para pembenci beliau bersuka ria atas kematiannya.. Sebagaimana mereka juga pernah bersuka ria atas kewafatan Syeikh Muhammad ‘Alawi al-Maliki رحمه الله.. Mereka menggunakan hujah, harus bergembira dan bersujud syukur atas kematian ahli bidaah…??! Allah… Apakah ukuran dan ciri ahli bidaah di sisi mereka yang malang ini?? Mereka tidak pun peduli dengan bagaimana kewafatan Syeikh al-Buti yang sedang mengajar agama di dalam masjid dan pada malam Jumaat pula.. yang sedang berada di dalam satu taman daripada taman-taman syurga!...رحمه الله

Semoga Allah Taala merahmati roh Syeikh al-Buti dan menempatkan beliau dalam kalangan para anbiya’ dan para solihin. Di sisi Allah Taala Yang Maha Adil kelak akan bertemu segala permusuhan…


Tuesday, March 26, 2013

Ustaz Muhammad Uthman el-Muhammady رحمه الله

- Daripada laman Ustaz Nik Roskiman (link)


ulamaKUALA LUMPUR – 25 Mac, setelah dunia dikejutkan dengan pemergian ulama tersohor, Sheikh Dr. Said Ramadhan al-Buti pada 22 Mac lalu, negara pula kehilangan seorang ulama besar bila Dr Muhammad Uthman El-Muhammady meninggal dunia di kediamannya di ISTAC, Taman Duta di sini petang tadi. Beliau dipercayai meninggal disebabkan serangan jantung. Allahyarham sebelum ini dilaporkan pernah diserang strok.
Penerima anuagerah Tokoh Maal Hijrah 2005 ini pernah menjadi Fellow Kehormat IKIM dari 1995-2008. Beliau kini berkhidmat sebagai Fellow Amat Utama Akademik ISTAC-UIAM.
Tan Sri Prof. Dr Mohd. Kamal Hassan yang ditemui ketika menziarahi keluarga memaklumkan bahawa Solat Jenazah akan diadakan di Masjid UIAM Gombak selepas Solat Zuhur esok, Selasa dan sejurus selepas itu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UIAM.  Turut hadir di kediaman arwah ialah Dekan ISTAC, Prof. Dr Ismawi Hj Zen, Dekan IRKHS  UIAM Prof. Dato’ Dr Mahmud Zuhdi dan ramai lagi.
Ustaz Muhammad ‘Uthman El-Muhammady (dilahirkan di Kampong Telok, Panji, Kota BharuKelantan Darulnaim pada 1 Februari 1943) adalah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1426 H pada 10 Februari 2005.[1]
Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, sebelum memasuki Special Malay Class pada tahun 1943 di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudiannya menjadi Maktab Sultan Ismail, atau Sultan Ismail College hingga ke Tingkatan 5. Beliau kemudian mengambil Higher School Certificate (HSC) di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star Kedah.
Pada tahun 1963, beliau memasuki Universiti Malaya Kuala Lumpur dan mendapat B.A. dalam Pengajian Islam tahun 1966. Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat M.A. tahun 1969.
Beliau terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM hingga ke tahun 1973 apabila beliau kembali ke Kelantan untuk menumpu masa sebagai seorang penulis dan pendakwah bebas hingga sekarang.
Pada tahun 1995, beliau dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D. Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kerana usaha-usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.
Minat kajian beliau adalah di dalam:
  • Bidang ilmu-ilmu Islam dan falsafah Barat
  • Pemikiran semasa dan pandangan Islam tentangnya
  • Akidah Sunni, faham ilmunya dan pandangan hidupnya
Beliau banyak menumpukan masanya di dalam masyarakat setempat dengan melaksanakan pengajian kitab di masjid-masjid sekitar Pasir Mas dan Kota Bharu, Kelantan selain dari menunaikan jemputan ceramah di merata tempat.
Di antara penulisannya yang telah dihasilkan beliau ialah:
  • “Al-Quranul-Karim, terjemahan dan Huraian Maksud” - terjemahan dan huraian tambahan atas tafsir Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali, keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) (5 jilid).
  • “Fathul Mu’in, terjemahan dan Huraian Maksud”, terbitan Majlis Ugama Islam Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan.
  • “Peradaban dalam Islam” terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, edisi 1976 dan beberapa cetak-ulang.
  • “Memahami Islam” terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1977.
  • “Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi” terbitan Majlis Ugama Islam Kelantan, 1987.
  • “Islam dan Kebudayaan” risalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berdasarkan kepada wacana tentang kebudayaan yang disampaikan pada tahun 1989 di Kuala Lumpur.
Tulisan-tulisan beliau banyak dimuatkan di blog http://blogtraditionalislam.wordpress.com.
Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.

Sumber: disunting dari Wikipedia

Friday, March 22, 2013

'Allamah Dr. al-Buti Dibunuh رحمه الله

إنا لله وإنا إليه راجعون

Ulama Pro-Assad antara 42 terbunuh serangan pengebom nekad di dalam masjid

2013/03/22 - 07:00:43 AM

DAMSYIK: Serangan pengebom nekad di dalam Masjid Eman yang terletak di tengah-tengah ibu kota Syria awal pagi tadi (waktu Malaysia) meragut 42 nyawa termasuk ulama terkenal Sunni negara itu, Sheikh Mohammad Said Ramadan al-Buti yang difahamkan cenderung kepada rejim pemerintah. 

Serangan yang dilakukan pada sebelah petang itu menyaksikan pengebom nekad meletupkan dirinya sendiri ketika Mohamed al-Bouti sedang mengadakan ceramah agama untuk pelajarnya. 
"Jumlah kematian susulan serangan pengganas ini meningkat kepada 42 di mana 84 mangsa lain mengalami kecederaan. 


Kematian Mohamed al-Buti disifatkan satu tamparan hebat kepada Presiden Bashar al-Assad, di mana beliau sedang berusaha menamatkan ancaman pemberontak di negara itu. - AFP 

-BH
-------------------------------
Syeikh Al Buti Syahid Saat Sampaikan Ceramah di Masjid


Hidayatullah.com -- Inalillahi wa inna ilahi raji'un, Al Allamah Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan Al Buti dibunuh dengan bom bunuh diri di masjid Al Iman di distrik Al Mazra'ah Damaskus. Beliau syahid saat menyampaikan pelajaran untuk para muridnya di Masjid Al Iman, demikian lansir Al Watan dan Mahaththah Al Akhbar Suria (22/3/2012).

Informasi awal menyebutkan bahwa 14 murid Syeikh Al Buty yang juga sedang menghadiri mejelis itu terbunuh dan 40 lainnya menderita luka-luka.

Sedangkan pelaku bom bunuh diri meledakkan dirinya di saat Syeikh Al Buty menyampaikan pelajarannya kepada para murid beliau.


Sebagaiman diketahui Syeikh Said Ramadhan Al Buty adalah ulama Sunni bermadzhab Syafi’i yang menamatkan studinya hingga tingkat doktoral di Universitas Al Azhar As Syarif Kairo jurusan Syari’ah Islamiyah.


Pada tahun 1965 Syeikh Ramadhan Al Buty menjadi pengajar kemudian menjadi dekan Fakultas Syari’ah di Universitas Damaskus dan menjadi Khatib Masjid Al Umawi. Dan tahun 2012 beliau menjadi ketua Ikatan Ulama Bilad As Syam.


Semoga Allah membalas segala kebaikan beliau dan mengampuni segala kesalahan beliau.

-----------------------------------------


PENDIRIAN SEDERHANA SYEIKH MUHAMMAD AL-YA'QOUBI TERHADAP AL-BUTI


PENJELASAN DARI SYEIKH AL-YAQOUBI MENGENAI PENDIRIAN DR RAMADHAN ALBOUTI TENTANG ISU SYRIA


Sumber

Transkrip terjemahan daripada seorang ulama yang disegani, Sheikh Muhammad al-Yaqoubi mengenai isu Ulama Syeikh Dr Bouti yang menyokong rejim zalim Syria. Isu ini telah lama berlegar dan menyebabkan fitnah di kalangan umat Islam yang mengenali beliau. Sangat banyak iktibar yang boleh diambil dari sini dan ianya boleh menjadi kayu ukur bagi masyarakat awam dalam melihat dan menilai isu ini.

Semoga Allah merahmati kedua-dua ulama' ini. 
--------------------------------------------------------------------------------

Adakah Syeikh Dr. Buti seorang mujtahid dalam menyokong rejim Syria?

Daripada Yang Mulia Sheikh Muhammad Al-Yaqoubi

Soalan:

Yang Dikasihi Shaykh Muhammad al-Yaqoubi,

Yang mana satu antara dua kategori berikut Dr. Bouti dikategorikan, berdasarkan pendiriannya terhadap rejim Syria:

a) Ulama yang telah melakasanakan ijtihad dan membentuk satu pendapat, yang pada pandangan beliau adalah demi kepentingan umat Islam, tetapi dia telah membuat kesilapan dalam ijtihad ini dan ganjaran pahala buatnya untuk ijtihadnya . Walau bagaimanapun, ia adalah perlu bagi ulama lain untuk memberitahu kebenaran dan pandangan yang benar dan pada masa yang sama, orang-orang yang memperkecilkan dia berdosa terhadapnya.

b) Atau adakah beliau seorang ulama yang telah memungkiri (a) yang telah menjadi ejen Nusairi dan juga beliau telah mejadi musuh kepada Islam dan juga menjadi penyokong musuh Islam? Oleh itu perlu bagi setiap ulama untuk mendedahkan beliau dan memberi amaran terhadapnya secara sepakat dan meletakkan satu pengakhiran kepada konflik di antara mereka yang menyokongnya dan mereka yang menentangnya?

(a)- (kita mengharap supaya ia tidak berlaku dan semoga Allah SWT memberi jaminan keselamatan kepadanya)

Atau jika ianya adalah dilema antara kedua-dua kedudukan, maka adakah lebih baik untuk berdiam diri [mengenai Dr Buti] dan mengambil pendapat yang baik selaku seorang Muslim? Dan adakah ianya satu dosa untuk memperkecilkan beliau dalam kes ini?

Kami meminta Sheikh untuk memberikan jawapan yang menyeluruh – moga moga diberi ganjaran untuknya sehingga pada hari kiamat; kerana orang awam sangat resah untuk jawapan yang meyakinkan daripada seorang ulama yang soleh seperti anda. Semoga Allāh SWT memberi jaminan keselamatan pada Sheikh dan meningkatkan pangkat keturunan terdahulu Sheikh dalam syurga yang tertinggi.
---------
Jawapan:

Segala puji bagi Allah SWT, salam dan rahmat ke atas sebaik-baik ciptaan, penghulu kami Muhammad SAW dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya.

Terdapat syarat-syarat, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan yang mengawal ijtihad dan terdapat perbezaan yang besar antara apa yang dianggap sebagai ijtihad yang diterima dan paten antithesis (pendapat yang ditolak kerana bertentangan dengan prinsip); perbezaan antara ijtihad yang diterima dan pendapat yang aneh ialah Ijtihad orang-orang yang diterima akan diberi ganjaran walaupun mereka telah tersilap dalam penghakiman mereka, tetapi hanya pada keadaan bahawa kesilapan mereka jatuh dalam kaedah-kaedah yang boleh diterima undang undang penafsiran (Tambahan : Al-Quran dan Sunnah)

Oleh itu, tidak semua orang yang menjalankan ijtihad akan diberi ganjaran untuk tindakannya. Malah, sesetengahnya mungkin mendapat dosa berbuat demikian. Sebagai contoh, dalam kes yang buta huruf atau orang biasa yang tidak mempunyai alat-alat yang diperlukan, kemahiran dan pengetahuan untuk ijtihad, dan dia berijtihad dalam hal-hal agama, maka dia hendaklah dikecam dan didisiplinkan. Begitu juga, seorang mufti yang memberikan fatwa berdasarkan pendapat yang tidak menepati kayu ukurnya atau pendapat yang tidak sahih. Dia perlu dikritik dan ditegur. Jika dia tidak berhenti, dia hendaklah diharamkan daripada mengeluarkan fatwa. Ulama mengatakan,

Tidak semua perbezaan adalah layak dipertimbangkan,
Kecuali suatu perbezaan yang layak diberikan merit.

Adapun hadith yang bercakap tentang hakim, telah dinyatakan; supaya mujtahid yang tidak berkelayakan tidak dimasukkan. Kerana ianya bercakap berkenaan mujtahid yang mempunyai alat dan layak untuk memperolehi keputusan dalam isu di tangan. Dalam zaman kita, kita bercakap tentang ijtihad yang terhad, bukan ijtihad umum. Di sini, 'terhad' ertinya menjalankan ijtihad dalam isu tertentu yang tidak disebut dalam teks awal; oleh "terhad" di sini kita maksudkan terhad kepada isu tertentu bukan kepada undang-undang mazhab.

Untuk mendapatkan jawapan kepada soalan tertentu, mujtahid mesti memperolehi syarat ijtihad, seperti sumber perundangan, mengetahui pelbagai pendapat dan cekap dalam pemeriksaan dan analisis prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah. Kita tidak mempertikaikan bahawa Dr. Buti mempunyai kualiti dan kemampuan ini - jika dia tidak mempunyainya, tidak ada orang lain yang akan mempunyainya.

Walau bagaimanapun, ada lagi syarat yang diperlukan untuk membuat fatwa, sains fatwa diperlukan di sini, ianya sesuatu yang merangkumi pengetahuan masa, tempat dan persekitaran penyoal. Kerana, "seseorang yang tidak memahami zaman dia hidup bukanlah seorang ulama" dan dia tidak dibenarkan untuk mengeluarkan fatwa. Warzāzātī [d.1166 AH] berkata dalam komentarnya terhadap Lāmiyah Zaqqāq [Didactic Poetry mengenai prosedur mahkamah]: "Penghakiman dan fatwa, masing-masing adalah kraf yang perlu dipelajari. Setakat pengetahuan tentang fiqh tidak mencukupi. Kerana memahami semuanya seperti qađā dan fatwa, adalah kelebihan yang melebihi pengetahuan pendapat fiqh, kerana ia memerlukan keupayaan ciri-ciri untuk menyiasat dan memperolehi. Ibn 'Arafah berkata bahawa "ia adalah keupayaan untuk teliti dan memeriksa juzuk dan secara spesifik memahami semua sifat-sifatnya, yang kehadiran atau ketiadaan mereka boleh menukar sesuatu hukum".

Saya tidak menganggap pendapat Dr Buti, semoga Allāh SWT melindunginya, sebagai suatu kesilapan yang boleh mendapatkan pahala. Kerana, beliau tidak layak untuk ijtihad dalam perkara ini [rejim Syria,]. Beliau telah tersilap pada masa lalu untuk menunjukkan pemahaman beliau terhadap masa dan keadaan di mana kita hidup. Beliau jatuh dalam kesilapan itu pada masa lalu dan ia bukannya satu perkara baru. Satu contoh yang paling terkini adalah fatwa yang beliau keluarkan sepuluh tahun lalu, yang muncul dalam majalah perubatan, Doktor anda [tabībak] dimana dia membenarkan suami melihat video lucah dengan niat untuk memperbaiki hubungan pasangan dengan isteri. Fatwa ini menerima banyak bantahan dan ia menunjukkan kekurangan Shaykh tentang pengetahuan hal ehwal semasa dan terlupa peraturan-peraturan undang-undang dan etika yang diperlukan mufti.

Terdapat beberapa sebab-sebab pendirian syeikh dan mungkin dua berikut adalah yang paling buruk.

Yang pertama dia tidak mempunyai maklumat keadaan, kecuali hanya dari satu sisi, iaitu sisi rejim. Jadi dia percaya apa yang dia dengar pertama kali, seolah-olah dia adalah orang yang dinyatakan oleh Ibn Tathriyah:

My love for her stroke me before I experienced love,
It chanced upon a vacant heart and dwelled in it.
(mohon maaf kerana tidak menterjemah puisi yang agak tinggi ini)

Ibn Abi Zayd al-Qayrawānī berkata dalam Epistle beliau, dan ia pada asalnya dikatakan oleh Tuan Ali, semoga Allāh SWT memuliakan wajahnya yang diberkati, "hati yang mudah menerima merit dan kebaikan adalah hati di mana kejahatan tidak pernah terlintas sebelumnya".

Jadi inilah sebab mengapa Dr. Bouti tidak menerima sebarang laporan mengenai Revolusi daripada sumber-sumber lain selepas dia telah menerima propaganda rejim. Ini adalah kerana hubungan rapat beliau dengan beberapa pegawai kanan rejim. Ianya telah mempengaruhi keputusan beliau dan dengan itu, beliau melihat segala-galanya dari prisma rejim dan mengulangi propaganda mereka itu tanpa beliau menyedari hakikatnya. Biasanya seorang yang baik dan benar adakala merasakan semua orang lain juga adalah baik dan benar seperti dirinya sendiri. Ini adalah hasil daripada bertahun persahabatan dan hubungan yang baik dengan orang kuat di dalam rejim itu.

Yang kedua ialah permusuhan beliau dengan Salafi dan Ikhwan Muslimin ke titik bahawa dia telah memilih sisi musuh Allāh untuk mengalahkan mereka! Beliau percaya propaganda rejim bahawa semua yang memberontak adalah Wahabi, yang akan membakar dan merobohkan makam orang-orang Alim Islam, seperti yang mereka lakukan di Libya. Memang benar, Salafi dan Ikhwan adalah antara yang pertama untuk menyertai revolusi (kebangkitan); ia adalah disebabkan oleh ideologi revolusioner yang meluas dan biasa dalam wacana mereka; manakala mereka juga popular di kalangan pencari ilmu. Namun, revolusi ini adalah revolusi orang Sunni agama Islam, yang tertakluk kepada pemerintahan diktator kejam, dan penindasan dan penyeksaan zalim.

Walaupun kita berbeza dengan Salafi mengenai beberapa isu; dan kita berbeza dengan Ikhwan dalam beberapa pandangan politik mereka, tetapi Islam menyatukan kita dan sekarang Jihad menentang rejim menyatukan kita. Kita tidak boleh bayangkan diri kita menyebelahi musuh-musuh Allah terhadap mereka. Revolusi ini bukan revolusi MEREKA, walaupun mereka adalah antara yang pertama untuk menyertai. Kami menyertai revolusi ini dari awal, ramai ulama, imam, sufi, dan orang biasa menyertai revolusi kerana pendirian kami dan pernyataan kami.

Briged Sufi juga telah dibentuk untuk melawan rejim. Dan bersama briged yang mengguna nama Taqiyuddin Ibn Taimiyyah itu juga terdapat satu pasukan dalam nama Muhiyuddin Ibn Arabi. Ini adalah kepelbagaian revolusi yang merupakan satu fakta yang kita perlu terima, sama ada kita suka atau tidak.

Dr Bouti mesti memahami perkara ini dan tidak harus menghadkan revolusi untuk kumpulan tertentu atau briged tertentu. Malah, tidak ada sebuah bandar atau kampung di Syria, yang belum menghantar lelaki berani dan askar berani untuk melawan jenayah, rejim zalim dan kejam. Tiada bandar atau kampung juga telah terlepas dibunuh tanpa belas kasihan oleh rejim ini atau terlepas daripada penindasan rejim ini.

Kami mengkritik Shaykh kerana beliau tidak bersama-sama dan menyokong revolusi. Kalaulah dia memilih untuk berdiam diri, kita akan menerima perkara tersebut dari beliau dan kita akan menerima ia sebagai satu kesilapan penghakiman dan akan memutuskan bahawa dia juga mendapat pahala, kerana ia adalah satu ijtihad yang diterima, walaupun pada hakikat ianya adalah salah. Tetapi beliau telah melampaui batas tersebut malah aktif bersubahat dan membantu raksasa, pembunuh dan penjenayah dengan memuji mereka dan bercakap berpihak kepada mereka. Dengan berbuat demikian, beliau telah melanggar sempadan ijtihad yang boleh diterima dan diberi ganjaran.

Begitu juga, kita tidak mempersoalkan niatnya atau keadaan pemikirannya, kerana kita tidak mempunyai keraguan bahawa dia adalah seorang yang baik. Kita tahu syekh dan ibadah beliau dan zuhudnya, dirinya menghalang dari keinginan dunia dan usaha beliau untuk mendapatkan keredhaan Allah swt; cintanya bagi orang-orang yang soleh dan keikhlasan beliau untuk berkhidmat kepada Islam. Walau bagaimanapun, ini hanya sebahagian daripada apa yang diperlukan bagi ulama fatwa, seperti yang kami terangkan tadi. Salah satu ciri-ciri yang paling penting mujtahid mesti mempunyai kecerdasan akal yang tajam dan kebijaksanaan.

Kerana pengetahuan kita mengenai niat baik syeikh dan keikhlasan beliau dalam Islam, kita hanya menyalahkannya, tetapi tidak menghukum beliau sebagai murtad. Ia juga kerana ini, kami telah menyampaikan pandangan kami dengan menghormati beliau dan tidak menyetujui orang-orang lain yang memperkecilkan beliau, dan kami juga tidak menggalakkan penghinaan kepada beliau. Walau bagaimanapun, prihatin berkenaan tidak bermakna bahawa kita harus berdiam diri tentang kesilapan beliau. Pengetahuan adalah harta di kalangan ulama dan tiada satu ulama pun yang boleh memonopolinya.

Shaykh Muhammad al-Yaqoubi

(Penterjemah : Bro Muaz -Pengunjung RMBRS)

Monday, March 11, 2013

Ustaz Rujhan M. Razali رحمه الله

Sumber: Q&A

AL-FATIHAH

Pemergian Allahyarham Ustaz Rujhan M. Razali
(Adik Kepada Ustaz Zul Ramli - Editor Eksekutif Majalah Q&A)
@ 12.30 pm @ 25 Rabiul Akhir 1434 @ Jumaat, 8 Mac 2013

Salam takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Rujhan. Pemergiannya amat
dirasai. Semoga Allah mencucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan
orang-orang yang beriman.

Allahyarham adalah penulis dalam majalah Q&A terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. (di ruangan Asmaul Husna dan Terapi Hati.)

Sebagai seorang Ustaz dan motivator, ini kata-kata hikmah yang pernah
beliau kongsikan kepada pendengarnya.

“Kalau tak dapat apa yang kita suka
Sukalah apa yang kita dapat”
“Jangan sedih jika diri tidak dihargai,
Tapi menangislah jika diri tidak berharga lagi”

“Hidup ini terlalu singkat
Ia menjadi bertambah singkat
Bila kita banyak membuang masa”

“Hidup ini terlalu singkat
Malang jika kita penuhkan
Dengan sengketa dan airmata”

“Hidup tidak selalu indah
Kerana disitu terletak
Indahnya kehidupan”

* Allahyarham adalah pendakwah bebas yang berasal dari Jerantut, Pahang.

Wednesday, February 20, 2013

Syeikh Wahbi Sulaiman al-Ghawiji رحمه الله


Syeikh Wahbi Sulaiman al-Ghawiji

إنا لله و إنا إليه راجعون

As-Syeikh al-‘Allamah al-Kabir al-Mursyid Syeikh Wahbi bin Sulaiman al-Ghawiji al-Hanafi al-Albani adalah seorang alim besar berketurunan Albania. Beliau telah meninggal dunia di UAE (United Arab Emirates) pada 19hb. Februari 2013.

Syeikh Wahbi dilahirkan pada tahun 1923 di Shkodra, Albania. Beliau mula belajar daripada ayahnya sendiri, Syeikh Sulaiman al-Ghawiji (juga merupakan guru Syeikh Syu‘aib al-Arnaout), Syeikh Syaaban ad-Dumanuri dan lain-lain. Pada tahun 1937, beliau berhijrah bersama bapa dan keluarganya ke Syria bagi menyelamatkan nyawa dan agama mereka. Dalam tahun yang sama, bapanya telah meyuruh beliau menyambung pengajian ke Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir. Pada tahun 1947, beliau berjaya menghabiskan pengajiannya di sana. Antara guru-gurunya di Mesir ialah: Syeikh Muhammad Khidr Husain, Syeikh Muhsin Abu Daqiqah, Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari, Syeikh Muhammad ‘Ali as-Sayis dll.

Antara guru-gurunya di Syria ialah; Syeikh Hasan Habannakah al-Maidani, Syeikh Muhammad Salih al-Farfur, Syeikh Muhammad Abu al-Yusr ‘Abidin, Syeikh ‘Abdul Wahhab Dibs-wazait dll.

Setelah pulang ke Dimasyq, Syria, beliau telah mengajar di beberapa sekolah agama di Halab dan juga di Fakulti Syariah di Dimasyq. Selain mengajar pengajian umum di masjid-masjid sekitar Dimasyq. Pada tahun 1966, beliau telah berpindah ke Riyadh, Arab Saudi dan mengajar di sana. Setahun kemudian, beliau berpindah pula ke Madinah Munawwarah dan mengajar di sana dalam tempoh 5 tahun.

Pada tahun 1974, beliau kembali semula ke Dimasyq. Namun, pada tahun 1980, sekali lagi beliau kembali mengajar di Madinah untuk tempoh 2 tahun. Beliau juga pernah mengajar di ‘Amman, Jordan untuk tempoh 2 tahun. Antara tahun 1988-2001, beliau telah bertugas pula di Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Dubai, UAE. Dan setelah itu, beliau kembali semula ke Dimasyq.

Syeikh Wahbi amat mengambil berat pelajar-pelajar yang berasal dari Albania di Syria. Beliau pernah sekali melawat bumi kelahirannya, Albania pada tahun 1991, setelah 54 tahun meninggalkannya.

Beliau telah meninggalkan banyak hasil karya dalam bidang akidah, fiqh, pendidikan, ulum al-Quran dll. sama ada dalam bahasa Arab mahupun dalam bahasa Albania. Beliau telah mengarang 35 buah kitab dalam bahasa Albania dan menterjemahkan 6 buah kitab Arab. Manakala karyanya dalam bahasa Arab melebihi 20 buah kitab. Antaranya:
1. (من قاضايا المرأة المسلمة)
2. (أركان الإيمان)
3. (أبو حنيفة النعمان)
4. (جابر بن عبد الله)
5. (سلسلة أركان الإسلام)
6. (الكافي في الفقه الحنفي)
7. (محمد رسول الله صلى الله عليه وسلم)
8. (كلمة علمية هادية حول إذا صح الحديث فهو مذهبي)
9. (كلمة علمية هادية في البدعة وأحكامها)
10. (محاضرات في تاريخ الفقه الإسلامي)
11. (لباس المرأة وزينتها)
12. (مسائل في علم التوحيد)
13. (الحياة الآخرة أحوالها وأهوالها)
14. (كشف شبهات من زعم حل أرباح القروض المصرفية)
15. (المرأة المسلمة وليس الذكر كالأنثى)
16. (عقود الجواهر المنيفة)
17. (سهام طائشة عن الفقه)
18. Tahqiq (منح الروض الازهر في شرح الفقه الاكبر للعلامة الملا علي القاري).
19. Tahqiq (ملتقى الأبحر في الفقه الإسلامي وأصوله للعلامة إبراهيم بن محمد بن إبراهيم الحلبي).
20. Tahqiq (فضائل القرآن لأبي عبيد القاسم بن سلام الهروي).
21. Tahqiq (مَحْق التقوُّل في مسألة التوسل للعلامة المحقق محمد زاهد الكوثري).
22. Tahqiq (إيضاح الدليل في قطع حجج أهل التعطيل للعلامة بدر الدين بن جماعة).

رحمه الله و غفر له و أعلى مقامه و ألحقه بالصالحين

Rujukan:
-          azahera.net
-          aslein.net
-          ar.wikipedia.org


Thursday, February 14, 2013

Dr. Syawqi Ibrahim, Mufti Baru Mesir


Dr. Syawqi Ibrahim ‘Abdul Karim ‘Allam


Jawatankuasa Ulama Besar Al-Azhar yang dipengerusikan oleh  Syeikh Al-Azhar al-Imam al-Akbar Dr. Ahmad Tayyib pada hari Isnin lepas telah memilih Dr. Syawqi Ibrahim ‘Abdul Karim ‘Allam sebagai Mufti Republik Arab Mesir yang baru menggantikan Dr. ‘Ali Jum‘ah yang dijangka tamat tempoh perkhidmatannya akhir bulan ini. 

Dr. Syawqi Ibrahim adalah seorang profesor dan ketua Jabatan Fiqah Perbandingan di Universiti Al-Azhar cawangan Tanta. Beliau telah memperoleh undian tertinggi semasa proses pengundian yang dijalankan oleh Jawatankuasa Ulama Besar Al-Azhar tersebut. 

Selain beliau, Dr. ‘Atiyyah Sayyid, profesor Fiqah Perbandingan di Universiti Al-Azhar Kaherah dan Dr. Farhat ‘Abd al-‘Ati, profesor Fiqah Perbandingan di Universiti Al-Azhar masing-masing mendapat tempat ke-2 dan ke-3 dalam proses pengundian tersebut. Jawatankuasa Ulama Besar Al-Azhar telah menetapkan beberapa syarat dalam proses pemilihan mufti yang baru. Antaranya, calon mestilah berlatarbelakangkan pendidikan al-Azhar semenjak kecil, mahir berbahasa Inggeris, seorang profesor dalam bidang syariah Islam, mempunyai pengetahuan Islam am yang luas, dan tidak melebih umur 60 tahun. 

Majlis Jawatankuasa Ulama Besar Al-Azhar tersebut turut dihadiri oleh Dr. ‘Ali Jum‘ah dan Dr. Yusuf al-Qaradawi. Dimaklumkan bahawa tempoh perkhidmatan Mufti terdahulu, Dr. ‘Ali Jum‘ah akan tamat akhir bulan ini kerana beliau telah mencapai usia 61 tahun. Dr. Syawqi Ibrahim bakal diangkat menjadi Mufti Mesir yang ke-19.

 - Pelbagai sumber