Pages

Thursday, November 19, 2009

Gerakan Wahhabiyyah dan Ulama Melayu Tradisional (2)

11. Berdasarkan kajian menunjukkan pengaruh Wahhabiyyah pada peringkat awal di kalangan masyarakat Melayu sebenarnya lebih kepada pengaruh pemikiran Salafiyyah ala Muhammad 'Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha, dan bukannya sepertimana pemikiran Wahhabiyyah moden sekarang ini. Demikian juga di Indonesia, di mana kelompok Muhammadiyyah yang mendokong aliran Salafiyyah ala Muhammad 'Abduh dan Muhammad Rasyid Ridha adalah berbeza dengan kelompok Salafiyyah Wahhabiyyah Indonesia. Syeikh Abu Bakar al-Asy'ari (m. 1390H) contohnya adalah lulusan Universiti al-Azhar di Mesir. Begitu juga Syeikh Tahir Jalaluddin (m. 1956).

12. Mufti Kelantan, Haji Musa 'Abdul Samad (m. 1357H) yang juga terpengaruh dengan aliran ini, meskipun belajar di Mekah, namun beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Syeikh Muhammad Rasyid Ridha. Bagaimanapun yang peliknya, beliau adalah pengikut Tariqat Ahmadiyyah yang diambilnya daripada Syeikh Muhammad al-Dandarawi, dan telah menterjemahkan kitab 'Aqd al-Darr al-Nafis yang merupakan manaqib Syeikh Ahmad bin Idris oleh Syeikh Ibrahim al-Rasyid, dan juga menterjemah Manaqib Sayyidi Ibrahim al-Rasyid oleh Syeikh Isma'il al-Nawwab.

13. Fatwa-fatwa Mufti Haji Musa telah menerima kritikan oleh ramai ulama antaranya oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani (m. 1376H), Syeikhul Islam Selangor dan Mufti Haji Ibrahim Muhammad Yusuf (m. 1374H) yang menjadi mufti Kelantan kemudiannya. Tengku Mahmud Zuhdi telah mengarang kitab Tazkiyah al-Anzar wa Tasfiyah al-Afkar, manakala Mufti Haji Ibrahim pula telah menulis risalah 'Jiwa Amalan'. Kitab Tazkiyah al-Anzar telah diberi kata aluan oleh ramai ulama yang menyokong antaranya, Syeikh Muhammad Mukhtar 'Atarid Bogor, Syeikh 'Abdul Qadir Mandailing, Syeikh Muhammad Nur al-Fatani, Syeikh Pak Da 'El, dan lain-lain.

14. Antara tokoh Negeri Sembilan yang menolak aliran ini ialah Syeikh Muhammad bin Nasib, Qadhi Besar Seremban yang telah menulis risalah 'Kebatilan Kaum Muda'. Beliau mempunyai hubunngan yang erat dengan Mufti Negeri Sembilan, Syeikh Ahmad bin Muhammad Sa'id Linggi (m. 1382H).

Demikianlah sedikit yang saya dapat catatkan berkaitan pengaruh gerakan Wahhabiyyah ini selepas kematian Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab pada tahun 1206H sehingga ke sekitar tahun 1400H (iaitu dalam tempoh hampir 200 tahun), serta hubungannya dengan reaksi ulama Melayu tradisional.

والله أعلم

No comments: