Pages

Monday, November 9, 2009

Mengimbau Tulisan Yusri Mohamad

Dalam perbezaan pandangan kita tidak dapat lari daripada cenderung kepada salah satu pihak yang terlibat. Walaupun kita kata tidak mahu masuk campur, secara automatik kita termasuk kepada pihak yang cenderung mengatakan tidak mahu masuk campur. Atau dalam masalah ilmiah, kita kata tidak setuju dengan dua pihak yang berbeza pendapat, maka kita secara automatik masuk kepada pihak yang ketiga yang tidak setuju dengan kedua-duanya. Tidak wujud erti ketaksuban di sini jika masing-masing yakin pendapatnya disandarkan kepada hujah dan dalil yang didirikan di atas asas-asas syar'i yang betul. Ini berbeza dengan mereka yang bersandarkan kepada hujah dan dalil yang tidak diiktiraf secara syar'i. Maka sokongan kepada pendapat yang lemah seperti itu adalah suatu ketaksuban. Begitu juga saya tidak lari daripada cenderung kepada salah satu pihak yang saya yakin ianya berpaksi kepada kebenaran.

Semalam dalam Mingguan Malaysia disiarkan tulisan Ustaz Yusri Mohamad (Naib Presiden, Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) dan Bekas Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia) yang diletak di sebelah bawah artikel Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (klik sini). Saya anggap tulisan beliau adalah tulisan yang menarik untuk dibaca dan difikirkan, kerana sifat kontradik dua rencana yang disiar dalam satu halaman akhbar. Tulisan tersebut juga disiarkan dalam blog beliau (klik sini). Saya petik di bawah frasa-frasa penting tulisan beliau yang perlu diberi perhatian:

Memahami isu penangkapan Dr. Asri

"Undang-undang itu (pertauliahan) bukan sahaja bertujuan untuk memastikan hanya mereka yang berkelulusan dibenarkan mengajar. Ia juga bertujuan agar mereka yang tidak sesuai dan layak, dapat dihalang daripada mengajar walaupun mempunyai pelbagai kelulusan dan gelaran akademik. Jika ada yang tidak sesuai dan layak tetapi masih berdegil untuk mengajar walaupun telah diberi amaran, maka tidak salahlah tindakan penangkapan diambil jika dirasakan perlu".

"Antara ciri utama aliran 'kaum muda' seperti yang dipegang oleh Dr. Asri ini adalah kecenderungan merujuk terus kepada nas-nas al-Quran dan sunah tanpa mengutamakan tafsiran dan ijma' para ulama. Kecenderungan ini membawa kepada penolakan terhadap kebakuan fiqh Mazhab yang empat, akidah Ash'aari-Maturidi dan kerohanian tasawuf".

"Kritikan Hamka terhadap ulama Malaysia seperti yang dipetik oleh Dr. Asri bukanlah buah pandangan terbaiknya yang perlu kita telan bulat-bulat. Kita ingin tanyakan kepada Dr. Asri, apabila beliau memetik kata-kata Hamka, "Tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!", adakah beliau bersetuju dengan kenyataan ini? Jika betul ia adalah suatu gambaran salah yang menghina bukan sahaja para ulama tanah air, tetapi turut memperlekehkan institusi Raja-raja yang tak dapat dinafikan sumbangannya dalam menaungi agama di negara kita dari dahulu hingga sekarang".

"Di Indonesia, Islam gagal diperuntukkan secara rasmi dalam perlembagaan sehingga urusan agama tidak dapat dikawal dengan kemas oleh undang-undang dan institusi rasmi. Teman-teman yang prihatin dari Indonesia sering mengeluh bahawa inilah suatu kelebihan Islam di Malaysia berbanding dengan negara mereka yang akhirnya menyumbang kepada kerencaman yang melampau dan kurangnya kesepaduan umat Islam Indonesia. Kita patut tanyakan Dr. Asri, adakah beliau mahu kita mencontohi Indonesia dalam aspek ini dan melemahkan lagi kesatuan suara dan rasa umat Islam di Malaysia?"

"Dr. Asri juga sering menyeru kepada minda yang terbuka tetapi pada masa yang sama sering mempermasalahkan perbezaan pandangan dalam isu-isu ranting hingga menimbulkan ketegangan sesama Islam. Pandangan mazhab dan jumhur ulama kerap digambarkan sebagai ketinggalan dan jumud sedangkan dalam pelbagai persoalan lain aliran ini jauh lebih ketat dan keras daripada pandangan jumhur ulama".

"Jika tidak berhati-hati, umat Islam di Malaysia yang sudah parah menanggung perpecahan mengikut garis kefahaman politik mungkin akan dirumitkan lagi dengan perpecahan aliran agama melibatkan ketiga-tiga sendi iaitu tauhid, Fikah dan tasawuf. Emosi dan simpati semata-mata tidak memadai untuk mencari sikap yang tepat dalam isu ini".

Wallahualam.

No comments: