Monday, November 2, 2009

Maksud Mimpi yang Soleh

Matan:

عَنْ ‏ ‏أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ‏ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏قَالَ ‏ ‏الرُّؤْيَا الْحَسَنَةُ مِنْ الرَّجُلِ الصَّالِحِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ

Terjemah:

Dari Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Mimpi yang baik dari lelaki yang soleh adalah satu juzuk daripada 46 juzuk kenabian". (Riwayat al-Bukhari: 6468)

Syarah:

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari ketika menghuraikan hadith di atas membawakan riwayat-riwayat lain dan kemudian menyatakan: Maka kita perolehi daripada riwayat-riwayat ini 10 wajah, yang paling sedikit, 1 juzuk daripada 26, dan yang paling banyak, daripada 76. Di antara keduanya terdapat 40, 44, 45, 46, 47, 49, 50 dan 70. Yang paling sahih secara mutlak ialah yang pertama di atas, dan diikuti yang 70. Disebut dalam Syarah al-Nawawi: Dan dalam riwayat 'Ubadah 24, dan dalam riwayat Ibn 'Umar 26, namun dua riwayat ini saya tidak tahu siapa yang mengeluarkannya kecuali ada setengah ulama yang menisbahkan riwayat Ibn 'Umar ini kepada periwayatan al-Tabari. Di dalam huraian Ibn Abi Jamrah disebutkan pula, bahawa ianya diriwayatkan dengan pelbagai lafaz, lalu disebut sebahagian riwayat-riwayat lepas serta menambah: Dalam satu riwayat 72, riwayat lain 42, riwayat lain 27, dan riwayat lain 25. Maka dengan ini jumlah kesemuanya mencecah 15 lafaz.

Kaitan antara mimpi dengan kenabian adalah dari segi kebenarannya dan pengetahuan tentang perkara-perkara yang ghaib. Justeru itu, mimpi yang benar adalah mirip kenabian, namun dalam nisbah yang kecil, iaitu satu bahagian dari antara 20-an hingga 70-an bahagian kenabian. Perbezaan pembahagian ini adalah menurut perbezaan individu yang mengalaminya, jika ianya mimpi yang jelas nyata tidak perlu kepada ta'bir, maka nisbahnya adalah kepada 20-an atau 40-an, adapun jika ianya mimpi yang berbentuk simbolik yang perlu kepada ta'bir, maka nisbahnya adalah kepada 70-an.

Ini dikuatkan dengan sebuah hadith daripada Abu Hurairah ra yang mengaitkannya dengan akhir zaman, katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Apabila telah mendekati hari kiamat, maka mimpi orang mukmin hampir tidak pernah berdusta. Dan mimpi seorang mukmin itu adalah 1/46 bahagian dari kenabian". (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan al-Tirmizi)

Adapun mimpi orang yang tidak soleh, orang fasik dan orang kafir ianya tidak termasuk kepada pembahagian nisbah ini, meskipun kadangkala mimpinya itu benar. Ini kerana kebenaran mimpi mereka itu tidak didasari oleh keimanan dan ketakwaan kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Maka jika berlaku ia adalah petunjuk untuk situasi kehidupan dunia mereka semata-mata, atau dalam kes yang langka/nadir sebagai petunjuk kepada pintu hidayat Allah SWT untuk mereka. Daripada Abu Hurairah ra berkata, "Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Tiada yang tertinggal dari kenabian kecuali khabar-khabar gembira (al-mubasysyirat). Mereka bertanya: Apa itu khabar gembira? Baginda menjawab: Mimpi yang baik." (Riwayat al-Bukhari dan Abu Dawud).

Wallahu a'lam.

No comments: