Pages

Saturday, May 8, 2010

Dr. Abdul Rashid Ahmad Kembali ke Rahmatullah

Takziah:

Petang tadi saya menerima mesej yang mengkhabarkan bahawa Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Ahmad telah kembali ke rahmatullah. Saya agak tak percaya dan meminta kepastian daripada sahabat saya, Dr. Faisal Ahmad Shah, rakan sekerjanya dan beliau mengatakan benar Dr. Rashid telah meninggal dunia pada jam 4 petang tadi. Beliau dimaklumi menghidap beberapa penyakit yang kronik. Dr. Rashid adalah pensyarah Jabatan Al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, dan saya pernah menjadi pelajar beliau sewaktu kelas master dahulu sekitar tahun 2003. Saya hanya mengucap istirja’ dan terkenang masa-masa kelas pengajian beliau suatu masa dahulu.


Ada di antara pandangannya yang kami tidak setuju. Setelah mengetahui bahawa beliau berkelulusan daripada Arab Saudi, maka kami pun faham. Namun, sebagai guru kami tetap menghormatinya. Perbezaan pendapat dalam masalah yang menjadi khilaf di antara ulama ini memang perlu dihadapi dengan bijak, di samping memelihara adab-adabnya. Semasa buku beliau ‘Surah Luqman: Mendidik Anak Cemerlang’ (2003, Utusan Publications) terbit, saya masih meminta beliau agar menandatangan pada buku tersebut. Meskipun di dalamnya beliau menghuraikan tauhid menurut mazhab Taymiyyin. Apa yang perlu dilakukan sekarang hanyalah berdoa semoga rohnya dilimpahi rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama dengan orang-orang soleh.


Dr. Rashid adalah anak kelahiran Sik, Kedah pada tahun 1953, dan berkelulusan BA. (Hons), Universiti Imam Muhammad Ibn Saud, Riyadh, Arab Saudi (1983), MA., Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), (1990) dan Ph.D., Universiti Malaya (UM) dengan tesisnya ‘Tafsir al-Nasafi dan Tafsir al-Jalalayn; Suatu Kajian Perbandingan’ (2003). Selain penulisan artikel, beliau turut pernah menterjemahkan kitab al-Sirah al-Nabawiyyah karya Dr. Mustafa Al-Siba’i dan diberi judul ‘Perjalanan Hidup Nabi Muhammad SAW: Kajian dan Pengajaran’ (2001) dan kitab Manhaj al-Firqah al-Najiyah oleh Syeikh Jamil Zeno (1996). Karya beliau yang lain ialah Falsafah dan Asas-asas Pendidikan Islam (1996), selain siri tafsir al-Quran yang diterbitkan dalam akhbar secara tetap.


رحمه الله تعالى رحمة واسعة


Pautan lain:

- CURRICULUM VITAE
- Bicara Tentang Isra'iliyyat.

No comments: