Sunday, May 30, 2010

Mengenang Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim رحمه الله تعالى

Antara perkara yang dapat menyejukkan hati dan menenangkannya ialah melihat wajah orang-orang soleh (kalau tak sejuk dan tenang, itu tanda hati dah karat sangat!). Ada diriwayatkan bahawa dengan melihat orang-orang soleh fikiran kita akan teringat kepada Allah SWT disebabkan akhlak dan perbuatan orang-orang soleh tersebut yang tidak lari dari kaitan berzikir kepada Allah SWT. Ini adalah antara foto kenangan bagi al-Marhum Mawlana al-Imam al-Ra'id al-'Allamah Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim, syeikh Tariqat Syaziliyyah Muhammadiyyah dan pengerusi al-'Asyirah al-Muhammadiyyah Mesir رحمه الله تعالى ورضي عنه. Beliau meninggal dunia sewaktu saya masih di Mesir lagi namun saya tidak berpeluang untuk menziarahi beliau sepanjang tempoh tersebut, cuma majalah 'Muslim' yang diterbitkannya sentiasa menjadi idaman saya pada setiap keluarannya. Beliau adalah antara ulama yang dikategorikan oleh Prof. Dr. Ahmad 'Umar Hashim sebagai muhaddith / ahli hadith di dalam kitabnya 'al-Muhaddithun fi Misr wa al-Azhar'.

Dalam foto di atas menceritakan secebis daripada rutin kehidupan beliau. Jika diperhatikan jam di dinding sudah menunjukkan pukul 9. 20 pagi, dalam musim dingin yang sejuknya menggigit kulit. Kerana itu beliau memakai pakaian tebal bagi musim sejuk. Ia adalah suatu rutin biasa waktu bagi beliau membaca surat khabar, namun disebabkan matanya sudah kabur dan usianya yang lanjut beliau terpaksa menggunakan kanta pembesar bagi memudahkannya membaca. Penglihatan beliau terjejas tentunya disebabkan antara lain oleh kerja-kerja menulis dan menelaah yang banyak dilakukan oleh beliau sejak dari usia muda lagi. Bersebelahan katilnya terletak rak kitab-kitab bagi memudahkan beliau mencapai mana-mana kitab yang ingin ditelaahnya, atau membelek dokumen-dokumen penting. Rak tersebut juga dibuat tinggi sebagai memelihara adab terhadap kitab serta memuliakannya. Dipenjuru katil pula tersangkut di atas kaki katil seutas tasbih yang digunakan oleh beliau untuk berzikir kepada Allah SWT, kerana menjadi rutin kebiasaan beliau berzikir selepas dari solat subuh sehinggalah ke waktu syuruk.

Syeikh Muhammad Zaki adalah antara tokoh ulama tasawuf yang berdiri dengan teguh dalam mempertahankan amalan-amalan kesufian daripada serangan aliran-aliran yang kontra terhadapnya. Beliau juga tidak berdiam diri serta mengkritik secara tegas mana-mana bentuk penyelewengan atau amalan yang terkeluar daripada syarak yang berlaku di kalangan ahli-ahli sufi sendiri. Perjuangan beliau dalam memartabatkan maqam ihsan tidak terhenti setelah kewafatannya semata-mata, malah ia tetap diteruskan dan dikembangkan lagi oleh para pengikut serta murid beliau dan juga para pencinta sehinggalah ke hari ini. Alhamdulillah.

Rujukan:

- Rawd al-Rayyahin.

1 comment:

al-hakim said...

Assalamualaikum ustaz. Semoga ustaz sihat dan sentiasa di bawah naungan Allah. Saya terjumpa blog ustaz masa mencari tajuk takhrij hadith dalam bahasa Melayu. Bila tengok nama pemilik blog, nama ustaz. Tak sangka dan rasa gembira. Semoga diberi peluang berjumpa dengan ustaz di Malaysia kelak. Doakan saya untuk peperiksaan akhir sehingga 22 Jun ini. Semoga ustaz terus diberi kesihatan mencurahkan ilmu di lapangan blog.

- Hamizan Abdul Karim