Pages

Wednesday, May 5, 2010

Kedudukan Ibu Bapa Rasulullah SAW





Soalan:


Assalamu'alaikum ustaz, baru-baru ini ada seorang ustaz menulis bahawa Ibu dan Ayah RasuluLlah SAW tempatnya adalah di dalam neraka. Mungkin ustaz dapat mengulas mengenainya.

Jawapan:

اللهمّ هداية للصواب
1. Sebenarnya, ramai yang telah meminta saya mengulas fatwa/pandangan tersebut. Pertamanya, perlu diketahui bahawa masalah ini bukan termasuk masalah pokok akidah. Sekiranya ada orang yang mati tanpa mengetahui sama ada ibu bapa Nabi SAW di dalam syurga atau neraka tidak menjejaskan akidahnya. Masalah ini juga bukan termasuk masalah ijmak yang disepakati oleh para alim ulama. Bagaimanapun, perlu diingat bahawa apa yang dibincangkan ini adalah berkaitan peribadi Rasulullah SAW, maka seharusnya kita berhati-hati dan tidak bersikap biadap tanpa kita sendiri sedari.

2. Masalah ini semacam sudah menjadi satu trend pada masa kini dalam polimik antara aliran perdana (bermazhab) dan aliran wahhabiyyah (tidak bermazhab), di mana kebanyakan aliran perdana kini menyetujui pandangan al-Suyuti bahawa ibu bapa Nabi SAW selamat daripada api neraka. Manakala aliran wahhabiyyah pula mengatakan ibu bapa Nabi SAW mati dalam keadaan syirik dan akan masuk neraka. Bahkan ada yang menyusun kitab khusus secara panjang berjela menolak pandangan al-Suyuti tersebut dan mengisbatkan ibu bapa Nabi SAW mati secara kafir. Masalah ini juga menjadi semakin runcing apabila berlaku sesat-menyesat dan bidaah-membidaahkan antara dua aliran berkenaan. Ia merupakan antara masalah yang sudah menjadi panjang berjela perbincangannya, dan saya akan cuba meringkaskannya seupaya mungkin di sini kerana kesibukan dengan tugasan-tugasan lain pada masa kini.

3. Masalah ini adalah satu daripada beberapa masalah berhubung zat Nabi SAW yang dipolimikkan antara dua aliran di atas tadi, selain berhubung masalah mawlid Nabi SAW, ziarah kubur Nabi SAW, bertawassul dengan Nabi SAW, memuja-muji Nabi SAW dalam syair/qasidah, menggubah selawat ke atas Nabi SAW, bertabarruk (mengambil berkat) dengan kesan-kesan Nabi SAW dan soal menyebut ‘sayyiduna’ Nabi SAW.

4. Dalam soal ini, ada 3 pandangan ulama berkaitan dengannya, iaitu:
i – Pertama; ibu bapa Nabi SAW akan selamat daripada api neraka kerana mereka ahli fatrah (tidak sampai seruan agama), sebagaimana pandangan al-Suyuti. Sebahagian mereka secara pasti menyebut mereka mati dalam keadaan beriman.
Ii – Kedua; ibu bapa Nabi SAW akan masuk ke dalam api neraka kerana syirik, sepertimana pandangan Mulla ‘Ali al-Qari. Sebahagian mereka secara pasti menyebut mereka mati dalam keadaan kufur.
Iii – Ketiga; berhenti (tawaqquf) dalam memberikan keputusan kerana tidak pasti dengan kesudahan kedua-duanya, sepertimana pandangan al-Sakhawi.

5. Antara faktor-faktor pendorong pandangan pertama ialah; banyak dalil al-Quran dan hadith yang mengisyaratkan kepada keselamatan ahli fatrah dan kesucian nasab keturunan Nabi SAW. Pandangan ini juga sesuai dengan keistimewaan (khususiyyat) Nabi SAW, selain bersikap penuh adab dan takzim terhadap junjungan Nabi SAW, dan tidak melakukan perkara yang dapat menyakiti hati/perasaan baginda SAW.

6. Antara faktor-faktor pendorong pandangan kedua ialah; ayat-ayat al-Quran tentang kesudahan buruk bagi para penyembah berhala, hadith Nabi SAW mengatakan bapanya dalam neraka dan larangan ke atas baginda SAW dari beristighfar untuk ibunya. Pandangan ini menegaskan bahawa dalam soal iman dan kufur tidak ada kompromi dalam hubungan kekeluargaan atau kaum kerabat dan ini yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan ia tiada kaitan dengan soal biadap kepada baginda.

7. Antara faktor pendorong pandangan ketiga ialah; dalil-dalil yang bertentangan antara satu sama lain dan dilihat sama kuat kedudukannya. Maka jalan yang selamat ialah tawaqquf kerana keputusan yang sebenarnya hanya di tangan Allah SWT, bukan di tangan kita.

8. Saya lebih cenderung kepada pandangan yang pertama di atas dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh mereka cukup memuaskan, termasuk jawapan bagi dalil-dalil yang diguna-pakai oleh pandangan kedua. Ini kerana kemungkinan berlaku nasakh (pemansukhan maklumat) dan juga pentakwilan maksud yang lebih logik dan realistik. Tambahan pula, tidak jelas dan tidak sabit bahawa ibu bapa Nabi SAW adalah para penyembah berhala dan mati dalam keadaan syirik. Kebanyakan penulis-penulis sirah Nabi SAW tidak pun menyentuh masalah ini dan hanya menyebut dengan adab ibu bapa baginda SAW meninggal dunia sebelum baginda dibangkitkan menjadi rasul.

9. Namun, pada hakikatnya saya amat berharap isu ruwet/rumit ini asalnya tidak menjadi perbincangan yang dipertonton/diwar-warkan kepada orang-orang awam yang tidak tahu tentang pokok pangkal perselisihan di kalangan ulama dan selok belok pendalilan mereka. Dikhuatiri orang awam akan terjebak kepada perkara yang dibenci oleh Rasulullah SAW. Kalaulah ustaz tersebut menjawab dengan pandangan ketiga di atas bagi saya tentu ianya lebih baik.

10. Karya-karya ulama yang disusun mengenai hal ini (sebahagiannya dapat didownload daripada internet, dan ada yang saya telah ’link’kannya di sini);

1. الحافظ جلال الدين السيوطي (ت 911) له ست رسائل وهي
« مسالك الحنفاء في والدي المصطفى» -
«الدرج المنيفة في الآباء الشريفة» -
«المقامة السندسية في النسبة المصطفوية» -
«نشر العلمين المنيفين في إحياء الأبوين الشريفين» -
«السبل الجلية في الآباء العلية» -
2. العلامة زيني جلبي الفناري قاضي حلب (ت926)، له رسالة في أبوي النبي صلى الله عليه وسلم.
3. الإمام مرتضي الزبيدي (ت 1205) له : - 1. «الانتصار لوالدي النبي المختار» . 2- «حديقة الصفا في والدي المصطفى»،
4. العلامة ابن طولون الدمشقي الحنفي (ت 953)، له : «منهاج السنة في كون أبوي النبي في الجنة».
5. العلامة أحمد بن سليمان ابن كمال باشا (ت 940)، له : «رسالة في أبوي النبي»
6. العلامة محمد بن قاسم بن يعقوب الأماسي (ت940)، له : «انباء الاصطفاء في حق آباء المصطفى»
7. الإمام ابن الجزار المصري (كان حياً سنة 984)، له : «تحقيق آمال الداجين في أن والدي المصطفى بفضل الله في الدارين من الناجين»
8. الشيخ عبد القادر بن محمد الطبري المكي (ت1033)، له : «رسالة في أبوي النبي»
9. صالح بن محمد تمرتاشي الغزي (ت 1055)، له : «الجوهرة المضية في حق أبوي خير البرية»،
10. الشيخ عبد الأحد بن مصطفى السيواسي (ت 1061)، له : «تأديب المتمردين في حق الأبوين».
11. الشيخ محمد بن أحمد المعروف بابن الملا شمس الدين الحصكفي الأصل الحلبي الشافعي (ت 1010)، ( ورسالة حسنة في إسلام أبوي رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم).
12. الشيخ حسن بن علي بن يحيى العجيمي المكي (ت 1113)، له :
1- «تحقيق النصرة للقول بإيمان أهل الفترة»
2- «منحة البارئ في إصلاح زلة القارئ»
13. الشيخ وحدي الرومي (ت 1126ه)، له مرشد الهدى في نجاة أبوي المصطفى.
14. الشيخ محمد بن أبي بكر المرعشي ساجقلي (ت 1150)، له : «السرور والفرج في حياة إيمان والدي الرسول».
15. الشيخ أحمد بن عمر الديربي الغنيمي الأزهري الشافعي (ت 1151)، له : «تحفة الصفا فيما يتعلق بأبوي المصطفى».
16. الشيخ علي ضضطلي، له : «رسالة في نجاة أبوي النبي وكونهما من أهل الفترة».
17. الشيخ حسين بن أحمد بن أبي بكر المعروف بالداديخي (ت 1171)، له : « قرة العين في إحياء الوالدين»
18. الشيخ أحمد بن علي بن عمر بن صالح المنيني الدمشقي (ت 1172)، له : «مطلع النيرين في إثبات النجاة والدرجات لوالدي سيد الكونين»
19. الشيخ حسن بن عبد الله بن محمد البخشي الحلبي (ت 1190)، له : « الرد على من اقتحم القدح في الأبوين المكرمين»
20. الشيخ محمد بن يوسف بن يعقوب الإسبري الحلبي (ت 1194)، له : «رسالة في نجاة الوالدين المكرمين لسيد البشر»،
21. الشيخ أبو الحسن بن عمر بن علي القلعي (ت 1199)، له : «رسالة في إيمان أبوي النبي».
22. الشيخ علي بن صادق بن محمد الداغستاني ثم الدمشقي (ت 1199)، له : «رسالة في نجاة أبوي الرسول»
23. الشيخ سليمان بن عبد الرحمن مستقيم زاده الحنفي(ت 1202)، له : «رسالة موجزة في حق أبوي النبي»
24. الشيخ محمد غوث بن ناصر الدين المدراسي (ت 1238)، له : «بسط اليدين لإكرام الأبوين».
25. الشيخ محمد بن عبد الرحمن الأهدل الحسيني (ت 1258)، له : «القول المسدد في نجاة والدي محمد».
26. الشيخ محمد بن عمر بالي المدني (ت بعد 1285). له : «سبل السلام في حكم آباء سيد الأنام».
27. الشيخ محمد يحيى بن محمد المختار بن الطالب الشنقيطي الولاتي (ت 1330)، له : «خلاصة الوفاء في طهارة أصول المصطفى من الشرك والجفاء»
28. الشيخ أحمد فايز بن محمود البرزنجي( ت 1337). له : « السيف المسلول في القطع بنجاة أصول الرسول»
29. الشيخ محمد بن عبد الرسول البرزنجي الحسيني المدني (ت 1103)، له : «سداد الدين وسداد الدين في إثبات النجاة والدرجات للوالدين»
30. الشيخ محمد علي بن حسين المالكي المكي (ت 1367)، له : «سعادة الدارين بنجاة الوالدين».
31. العلامة السيد إسحاق عزوز الحسني المكي رحمه الله تعالى (ت 1415هـ)، له الحججُ الواضحات في نجاة الأبوين والأجداد والأمهات.
32. الشيخ أحمد بن منصـور بن اسماعيل قرطـام الفلســطيني المالكي الأشعري، له إظهار الحق بوجوب الدفاع عن سيد الخلق.
33. الدكتور : محمود الزين، له منهاج الوفا في نجاة والدي المصطفى


Tambahan :

1. Fatwa al-‘Allamah Syeikh ‘Ali Jum’ah, Mufti Mesir (terjemahan Melayu dari blog Jom Faham): siri satu dan siri dua.
2. Artikel al-Fadhil Syeikh Ustaz Muhammad Fuad al-Maliki.
3. Ulasan Ustaz Mujahid Abdul Wahab.
4. موقع الصوفية
5. Panel Penyelidikan Yayasan Sofa.
6. Ulasan Syeikh Mustafa al-Hamami.
7. Catatan Abdullah 'Akur.

No comments: