(Baca bahagian satu dulu)
Meningkat Kepada Hasan?
Al-‘Allamah Ahmad ibn Hajar al-Haytami (w. 974H) mengulas hadith ini dengan dua ulasan yang kelihatan berlainan di dalam dua kitabnya. Iaitu dalam kitab (المنهاج القويم شرح المقدمة الحضرمية), beliau menyatakan: “Tidak sabit mengenainya suatu apa pun, bahkan kata al-Nawawi ianya bidaah, dan hadith: “Menyapu tengkok itu adalah aman dari belenggu”, adalah palsu, tetapi hukum ini disanggah bahawa hadis berkenaan bukannya palsu.
Manakala dalam kitab (تحفة المحتاج في شرح المنهاج), al-Haytami menyebut: “Mengenai menyapu tengkok ada khilaf. Pendapat yang rajih ialah ianya tidak dituntut/disunatkan.
Namun Syeikh ’Abd al-Hamid al-Makki al-Syarwani (w. 1301H) dalam kitabnya (حاشية على تحفة المحتاج بشرح المنهاج) menukilkan dari Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani (w. 1194H) (mungkin dari kitabnya: الحواشي المدنية على شرح المقدمة الحضرمية) sebagai mengulas kata-kata al-’Allamah al-Haytami di atas dengan katanya:
وَالْحَاصِلُ أَنَّ الْمُتَأَخِّرِينَ مِنْ أَئِمَّتِنَا قَدْ قَلَّدُوا الْإِمَامَ النَّوَوِيَّ فِي كَوْنِ الْحَدِيثِ لَا أَصْلَ لَهُ وَلَكِنْ كَلَامُ الْمُحَدِّثِينَ يُشِيرُ إلَى أَنَّ الْحَدِيثَ لَهُ طُرُقٌ وَشَوَاهِدُ يَرْتَقِي بِهَا إلَى دَرَجَةِ الْحَسَنِ فَاَلَّذِي يَظْهَرُ لِلْفَقِيرِ أَنَّهُ لَا بَأْسَ بِمَسْحِهِ اهـ.
Terjemahan: Wal hasil, sesungguhnya para mutaakhirin dari kalangan imam-imam kami (fuqaha’ Syafi’iyyah) mengikut Imam al-Nawawi mengenai kedudukan hadis tersebut tiada asalnya. Tetapi kata-kata para muhaddithin menunjukkan bahawa hadis berkenaan mempunyai beberapa jalan riwayat dan sokongan yang dapat meningkatkannya kepada darjat hasan. Maka pendapat yang zahir kepada al-faqir (Syeikh al-Kurdi) ini ialah tiada halangan bagi menyapunya.
Kenyataan Syeikh al-Kurdi di atas dan pewartaan Syeikh al-Syarwani darinya bahawa hadis menyapu air ke tengkok itu dapat meningkat kepada darjat hasan kelihatan menyanggah kata-kata para ulama yang telah kita sebutkan sebelum ini, yang hanya mengatakan darjatnya antara daif dan palsu. Apa pun, nama Syeikh ’Abd al-Hamid al-Syarwani dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi ini dapat dimasukkan ke dalam senarai ulama Syafi’iyyah yang menghukumkan amalan tersebut sebagai sunat atau mustahab.
No comments:
Post a Comment