Pages

Wednesday, May 27, 2009

"Saya Tak Boleh Baca Quran"

Semester ini (2009/2010), pihak Akademi Islam (KUIS) mula mengadakan penapisan kemahiran membaca al-Quran ke atas para pelajar baru, sama ada pelajar aliran agama mahupun bukan agama. Mereka yang tak boleh baca atau teruk bacaannya akan dimasukkan ke dalam kelas tajwid. Ini kerana sebelum ini banyak kes dikesan, pelajar-pelajar tidak dapat membaca al-Quran atau membacanya dengan 'merangkak-rangkak'.. walaupun pelajar aliran agama sekalipun.

Dalam ujian kemahiran tersebut tidak sedikit juga yang surrender mengaku ; "Saya tak boleh baca Quran". Saya termenung dan terfikir, salah siapakah ini? Masalah sebegini berlaku di kalangan pelajar IPT. Bagaimana agaknya jika semua IPT membuat penapisan seperti ini? Melihat skop yang lebih jauh, tidak tahu membaca al-Quran atau 'buta' al-Quran ini sebenarnya masih banyak berlaku di kalangan masyarakat Islam negara kita. Jika pelajar IPT seperti demikian, bagaimana pula dengan orang awam, pekerja am, kaki tangan swasta, kerajaan dan sebagainya? Sibuk sangatkah urusan dunia kita hingga urusan akhirat tak perlu dititik berat?

Amat sedih juga bila dibayangkan, bahawa ini hanya segelintir kecil dari sekian ramai orang di luar sana yang tidak tahu membaca al-Quran. Antara faktornya, datang dari keluarga-keluarga yang amat sedikit didikan agama mereka dan yang sibuk semata-mata dengan urusan duniawi. Menjadi tanggungjawab saya menyeru, belajarlah al-Quran demi kebahagiaan ukhrawi. Dalami dan fahamilah isi kandungannya. Masa yang digunakan tidak akan rugi berbanding yang dihabiskan dengan kelalaian.


No comments: