Pages

Friday, April 22, 2011

Pemikir Islam Dr. Mustafa al-Shak’ah رحمه الله تعالى


Pemikir besar Islam Dr. Mustafa al-Shak’ah, telah meninggal dunia pada 20 April 2011, dalam usia 94 tahun, setelah sepanjang hayatnya menyumbang usaha dan berbakti demi membela agama Islam. Beliau adalah anggota Institut Penyelidikan Islam dan Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam, Mesir dan juga merupakan seorang profesor sastera dan pemikiran Islam.

Beliau dikenali dengan pendirian-pendirian tegas dan pendapat-pendapat beraninya dalam menegakkan kebenaran, dan merupakan salah seorang pemikir yang amat bersemangat memperjuang dan mempertahankan Islam. Beliau banyak menulis berkaitan sastera dan Islam, dan bukunya yang terkenal ialah "Islam Bila Mazahib" (Islam Tanpa Mazhab – telah diterjemah ke bahasa Melayu), yang menyeru terhadap kesatuan umat Islam dengan pelbagai mazhabnya, serta menentang taksub buta yang membawa kepada perbalahan dan perpecahan. Selain usaha-usaha beliau dalam memelihara keunggulan bahasa Arab, dan membangkang terhadap pindaan undang-undang keluarga dan undang-undang kanak-kanak yang bertentangan dengan syariat Islam.

Dr. Mustafa Mohammed al-Shak’ah lahir pada bulan Ogos 1917, di Wilayah Gharbiyyah, Mesir. Beliau telah memperoleh ijazah BA-nya dari Cairo University tahun 1944. Kemudian ijazah kedoktorannya dalam bidang sastera tahun 1954.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di peringkat sekolah menengah dalam tempoh (1944 1949). Kemudian sebagai pakar perancangan sosial (1949 1956) sehingga mendaftar diri bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Sastera, Universiti Ain Shams, Mesir tahun 1956. Kemudian diangkat pula sebagai Dekan Fakulti. Beliau kemudian bertugas sebagai seorang penasihat budaya di Washington (1960 1965). Setelah itu dipinjamkan untuk mengajar di Universiti Arab Beirut, Lubnan dan kemudian pula di Universiti Umm Durman di Sudan. Beliau juga pernah menjawat sebagai Dekan Fakulti di Universiti Emerates, UAE.

Beliau giat menulis karya sastera dan agama, seperti:

  1. فنون الشعر في مجتمع الحمدانيين "Seni Syair Masyarakat Hamdani".
  2. بديع الزمان الهمذاني رائد القصة العربية والمقالة الصحفية "Bediuz Zaman al-Hamadani: Pelopor Cerita dan Makalah Akhbar Arab".
  3. أبو الطيب المتنبِّي في مصر والعراق "Abu al-Tayyib al-Mutanabbi di Mesir dan Iraq".
  4. معالم الحضارة الإسلامية "Ciri Tamadun Islam".
  5. Imam al-Syafi'i.
  6. Imam Ahmad bin Hanbal.
  7. Kumpulan Makalah Tentang Pengajian Islam (dalam bahasa Inggeris).
  8. Pendidikan dan Pembelajaran di Dunia Arab (dalam bahasa Inggeris).

Dr. Mustafa al-Shak'ah telah menerima pelbagai anugerah dan penghargaan, antaranya: Anugerah Republik Mesir Kelas IV, pada tahun 1959, Anugerah Republik Mesir Kelas II pada tahun 1977, dan Anugerah Kehormat Negara dalam bidang sastera dari Dewan Tertinggi Kebudayaan, Mesir pada tahun 1989.

Sumber: Islam Today.

No comments: